PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
INFO PRIMA:
(dari meja pimpinan)
MENOLAK PERHAMBAAN MINDA:
ELAK WUJUDNYA ‘ROBOT BERNYAWA’
ELAK WUJUDNYA ‘ROBOT BERNYAWA’
Selepas 50 tahun merdeka, Malaysia perlu menolak sebarang sikap perhambaan minda bagi mengelak wujudnya masyarakat ‘robot bernyawa’. Justeru kebebasan intelektual hendaklah digalakkan, bagi membolehkan perdebatan pemikiran boleh dibincangkan secara rasional. Penahanan pengendali laman web Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nathaniel Tan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 13 Julai lalu (dan dibebaskan dengan jaminan polis empat hari kemudian), begitu juga insiden yang dihadapi pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bukanlah langkah bijak.
Jurucakap Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan bersikap rasional, bukan dipengaruhi segelintir pimpinan UMNO yang mempunyai agenda. Katanya, pengendali-pengendali blog tak berhasrat menjatuhkan kerajaan, kerana yang mampu menjatuhkan kerajaan ialah ahli-aahli UMNO sendiri. Sebaliknya menurut Kamal, pengendali-pengendali blog mahu melihat kerajaan menjadi ‘pentadbir’ yang bermaruah bukan ‘penguasa’ yang pongah, justeru negara akan menerima manfaat kalau ditadbir kerajaan yang baik.
RAJA PETRA DISOAL SIASAT
Pengendali laman blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin disoal siasat hari ini (25 Julai 2007) di balai polis Dang Wangi Kuala Lumpur selama 5 jam. Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz turut hadir memberi sokongan moral. Kamal mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana menyelesaikan isu Raja Petra dalam tempoh tak sampai 24 jam selepas Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib membuat laporan polis semalam (24 Julai 2007). Anehnya isu Ketua Polis Negara, Ketua Menteri Sabah dan beberapa kes yang lain tidak disoal siasat walaupun laporan sudah dibuat. Begitulah Malaysiaku...
SURAT DARI PENYAIR
Saudara Dharmala,
Saya menyokong penuh usaha saudara bersama Jawatankuasa Ad-Hoc untuk berjuang memartabatkan kembali bahasa kita – yang langsung tidak dihiraukan oleh pemerintah untuk memartabatkannya – lenyap bahasa maka lenyaplah bangsa! – kerana dalam masa terakhir kini (setelah negara kita mencapai taraf dewasa kemerdekaan) bahasa kita diinjak-injak! (Rejab F.I. , Perlis; 1 Jun 2007).
Pernah bertugas sebagai pengarang yang (kemudiannya diturunkan kepada penolong pengarang) dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan selama lapan tahun, tetapi gara-gara kesinisan tulisan termasuk cerpen berjudul ‘Retorik’ (yang memenangi hadiah pengharagaan Hadiah Sastera Kumpulan Exxcomobil 2005) telah digugurkan dari jawatan berkuatkuasa pada 30 Disember 2005. (Ramli Abdul Halim, Kota Bharu, Kelantan; 18 Jun 2007)
MELAYU LUPA MELAYU
Aku bangsa Melayu
dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu
aku Melayu kerana ibu dan ayahku Melayu
nenek moyang aku pun Melayu
maka bercakaplah aku
Bahasa Melayu.
Tiba-tiba tanpa disedari
Tanah Melayu jadi Malaya
mau tak mahu aku terima.
(Zakaria Bidin, Kuala Lumpur; dari antologi ‘Melayu Mudah Lupa’)
INFO SASTERA:
MANSOR YANG KONTROVERSI
PERHATIAN KEPADA ‘AMIGO POSSA’
Bukan sahaja DBP memberi perhatian kepada penerbitan novel dan antologi sajak Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, malah media arus perdana juga turut membuat liputan dengan novel ‘Amigo Passa’ (Berita Harian, 24 Julai 2007). Memang sebelum ini karya-karya Mansor kurang diberi perhatian sama ada pengulas-pengulas sastera, mahupun media seolah-olah pembabitan beliau dipandang sepi. Gamaknya! Mansor, yang juga mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mula menulis sejak dekad 1960-an, malah paling prolifik sekitar dekad 1970-an dengan menghasilkan cerpen setiap bulan (atau 12 cerpen setahun).
Di samping cerpen, Mansor juga menulis sajak dengan nama penanya M. Ashikin. Sekitar dekad 1970-an, tulisan Mansor untuk teks sejarah sekolah menimbulkan kontroversi di Parlimen. (Mendiang) P. Patoo ketika itu Ahli Parlimen Ipoh (DAP) mendesak kerajaan mengharamkan buku teks sejarah yang ditulis Mansor, yang ditakrif berbau perkauman. Berikutan kritikan di Parlimen, Mansor bersetuju halaman yang ditakrif berbau perkauman itu dibuang daripada buku yang ditulisnya. Mungkin sahaja disebabkan menjadi penulis kontroversi, Mansor seolah-olah dipinggirkan oleh panel penilai yang berpusat DBP bagi anugerah SEA Writer, apalagi Sasterawan Negara. Entahlah!
INFO BUDAYA & WARISAN:
BANGUNAN WARISAN DIWARTAKAN
NILAI SEJARAHNYA PERLU DIPELIHARA
Koresponden ketika UMNO digerakkan pada 1946 ialah di premis beralamat No 21 Hale Street, Ipoh. Malah apabila Dato’ Onn Jaafar menghubungi Tunku Abdul Rahman bagi menjawab surat Tunku bertarikh 30 Mei 1946 menyebut: “Saya sukacita kalau Tunku datang berjumpa dengan saya pada 15 dan 16 Jun 1946 supaya kita dapat berunding dalam hal ini. Perjumpaan ini diadakan di atas kehendak saya dan sangat penting. Kalau Tunku dapat datang sila berhubung dengan Dato’ Panglima Bukit Gantang di rumah No 21 Hale Street, Ipoh secepat mungkin…”
Begitu juga dengan koresponden ‘Parti Perikatan’ digerakkan di premis Dewan Perhimpunan Cina (sekarang Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur. Malah persetujuan Tunku menerima tawaran Pesuruhjaya Tinggi melantik wakil ‘Parti Perikatan’ menjadi menteri iaitu Tun H.S. Lee dan Tun Dr. Ismail ialah berlamat di Dewan Perhimpunan Cina. Secara historikal dua premis terbabit itu adalah bangunan warisan yang memiliki nilai sejarah yang wajar diwarta dan dipulihara. Tak tahulah takrif ‘KekWa’ pula mengenai bangunan warisan. Aduhai!
INFO POLITIK:
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
bersama Pak Parjo
JAWATAN KOSONG 42,000
GRADUAN MENGANGGUR LAGI RAMAI
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Dr Fong Chan Onn, 22 Julai 2007 lalu memberitahu media, sekarang ini terdapat jawatan kosong 42,000. Hebat juga! Tetapi dilaporkan secara rambang, graduan yang menganggur lagi ramai daripada jumlah jawatan kosong yang berdasarkan ‘angka’ itu. Tengku Razaleigh Hamzah ketika dikunjung aktivis PRIMA tak lama dulu, mengakui ramai juga graduan menganggur menemui beliau. Bagaimanapun beliau tak mampu menangani jumlah yang besar, tetapi setakat beberapa orang sahaja yang boleh dibantu menerusi kemampuan beliau yang terbatas.
Kabarnya kalangan intelektual Melayu dalam jabatan-jabatan kerajaan juga, merasakan ‘something wrong’ hingga fenomena begini makin sukar dibendung. Setiap tahun ramai graduan dikeluarkan oleh IPTA dan IPTS, tetapi mereka yang sudah memenuhi polisi ‘modal insan’ kerajaan masih juga ‘can melican, ketipang payung’! Dulu pun ramai juga penganggur hingga Allahyarham Sudirman Haji Arshad buat lagu ‘Aku Penganggur’, tetapi ketika itu tak ramai graduan ‘yang sepak kertas’. Bagaimanapun yang tahu sangat fasal ‘sepak kertas’ atau kata Tan Sri P. Ramlee ‘kira bulu kambing’ (Pendekar Bujang Lapok) ialah:
1 comment:
Tak patut la soal siasat Raja Petra tu. Buat dia macam "kambing hitam".
Post a Comment