Friday, July 27, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


KALANGAN AKADEMIK SOKONG KU LI
BAHASA MELAYU BUKAN MELAMPAU

Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah menyambut baik ucapan mantan Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika menyampaikan ‘Syarahan Zaaba’ di Universiti Malaya semalam (26 Julai 2007). Dalam ‘Syarahan Zaaba’ itu Tengku Razaleigh menegaskan, orang Melayu hanya meminta perkara yang sederhana sahaja iaitu mahukan bahasa dan kebudayaan Melayu tidak dipersoal. Kata Mansor, kalau komuniti Cina masih berbangga dengan ‘bahasa Cina’ (atau Mandarin), orang India dengan ‘bahasa India’ (atau (Tamil), orang Melayu juga perlu mendaulatkan ‘bahasa Melayu’.


Menurut Mansor, pada peringkat awal digerakkan sekolah-sekolah menengah Melayu, pemimpin-pemimpin negara tidak berasa malu menyebut ‘sekolah menengah Melayu’, kenapa sekarang disebut ‘sekolah menengah kebangsaan’. Mansor, antara pelajar awal yang dieksprimen bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ pada 1958 di Tanah Melayu ketika menghubungi laman blog PRIMA hari ini (27 Julai 2007) berkata, “Setelah kita habiskan masa untuk memartabat bahasa Melayu, kenapa sekarang mengalah tak bersebab?”


Beliau mengakui, rakan-rakannya yang pernah menjadi murid sekolah menengah Melayu sama ada di Alor Setar, Kedah mahupun di Kota Bharu, Kelantan sekitar dekad 1950-an dulu melahirkan rasa kecewa dengan fenomena pendidikan. Jelas mereka, ujar Mansor, setelah dijadikan ‘mangsa’ sebagai bahan eksprimen ‘orang-orang politik’ ketika itu, mengapa pengorbanan mereka disia-siakan dengan Bahasa Melayu di ubah kepada status ‘Bahasa Malaysia’. Secara tidak langsung ‘orang Melayu’ bukan sahaja kehilangan bahasa, malah akan kehilangan ‘bangsa’ apabila diwujudkan ‘bangsa Malaysia’, katanya.


MANGSA SEKOLAH MENENGAH MELAYU


Bekas pelajar-pelajar sekolah menengah Melayu yang dijadikan eksprimen oleh pejuang-pejuang politik bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ adalah ‘mangsa’ kesilapan dasar pendidikan yang sukar dimaafkan, kalau Bahasa Melayu diubah status kepada ‘Bahasa Malaysia’. Sebagai pelajar yang dieksprimen di Negeri Sembilan pada 1959, sasterawan Dharmala N.S. memberitahu ketika Sekolah Menengah Melayu Seremban digerakkan, pelajar yang dipilih seramai 80 orang dengan tiga orang guru sahaja. Guru-guru yang mengajar tidak dilengkapkan dengan buku teks, justeru terpaksa menterjemah sendiri buku-buku Bahasa Inggeris sewaktu mengajar. Jangan haraplah pada DBP!


Apabila pelajar-pelajar terbabit lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diiktiraf setanding dengan Malayan Certificate of Education (MCE) di sekolah menengah aliran Inggeris pada 1963, mereka berhadapan dengan isu pengangguran. Di sekolah menengah Melayu belum mempunyai persediaan bagi Higher School Certificate (HSC) untuk mereka meneruskan pengajian ke Universiti Malaya. Mereka yang menamatkan SPM pada 1963, sekadar mampu menjadi guru sandaran/sementara (sebelum diterima masuk ke DTC atau maktab perguruan), kerani, posmen, pembantu pertanian dan yang setaraf.


Mereka terpaksa menunggu sehingga 1971 apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwujudkan, di samping peperiksaan untuk Sijil Tinggi Persekolahan (STP) disediakan iaitu sebelum ditukar kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Memang sebelum itu peperiksaan di peringkat menengah dikendalikan oleh Oxford Universiti di London (maknanya dasar pendidikan kita masih dijajah). Begitulah pengorbanan pelajar-pelajar di sekolah menengah aliran Melayu yang dieksprimen pada 1958 dulu. Justeru apakah pengorbanan mereka disia-siakan dengan menukar status Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia?.


MEMBACA MENINGKATKAN ILMU

Banyak pihak bersetuju ‘membaca adalah jambatan ilmu’, bagi membolehkan setiap individu ‘celik minda’. Kempen membaca yang digerakkan oleh kerajaan negeri Selangor di Shah Alam bermula 27 Julai hingga 3 Ogos 2007 akan datang, menerusi pameran buku adalah dialu-alukan oleh PRIMA. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz percaya kerajaan negeri Selangor mengambil pendekatan bijak apabila menggerakkan kempen membaca. Apalagi khutbah Jumaat di masjid-masjid (misalnya di Masjidi Al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak hari ini 27 Julai 2007) juga turut menyeru jemaah prihatin dengan isu membaca, kerana ummah yang rajin membaca mampu meningkatkan ilmu bagi bersaing dengan kaum lain.


Ironinya, kata Kamal ketika kempen membaca digalakkan, Ketua Penerangan UMNO Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib tak mahu rakyat membaca. Mereka yang mahu mengikuti laman blog dimomok-momokkan; apalagi membeli buku-buku yang menjurus kepada ‘celik minda’. Mungkin sahaja Tan Sri Muhammad menggalakkan rakyat sekadar membaca buku-buku propaganda, bagi membolehkan 50 tahun akan datang generasi Melayu akan menjadi ‘robot bernyawa’. Ketika komuniti Cina dan India di Malaysia membaca bahan-bahan yang ‘celik minda’, komuniti Melayu disogokkan dengan bahan-bahan bacaan propoganda yang bobrok, katanya. Misalnya laman blog Malaysia Today yang dikendali Raja Petra Kamaruddin digantung operasi adalah contoh menggagalkan kempen membaca di kalangan masyarakat Melayu.


INFO SASTERA & BUDAYA :

KEGILAAN AURA HARRY POTTER
BUDAYA MELAYU TERIKUT-IKUT


Buku siri ‘Harry Poter’ karya J.K. Rowlings penulis wanita yang mampu memikat ramai pembaca di seluruh dunia hingga mencecah 3 – 4 juta naskhah, bukanlah hebat kalau ikut nisbah penduduk dunia. Tak berapa persen sahaja daripada sejumlah penduduk dunia yang beli buku berkenaan. Tetapi disebabkan propaganda berkesan penerbit buku, malah penerbit filem yang mengadaptasi karya tersebut, makanya J.K. Rowling pun mampu tersenyum lebar. Kalau novel Melayu mampu disibar ke seluruh dunia nisbah 3-4 juta itu memang boleh dicapai juga, sayangnya apakan daya novel-novel yang ditulis dalam Bahasa Melayu tak melepasi ‘dunia tanpa sempadan’.


Bahkan novel-novel Melayu tak mampu masuk ke Indonesia, ketika novel-novel dari Indonesia bebas mencari pasaran di negara ini. Karyawan Indonesia yang melabel diri mereka sebagai ‘abang’ seolah-olah jijik melihat karya-karya dari Malaysia yang dianggap ‘adik’ itu. Belajarlah dari pengalaman sasterawan Dharmala N.S. ke Sumatera Barat bagi menghasilkan skrip filem ‘Raja Melewar’, apabila mereka beranggap segala-gala terletak di tangan mereka. Malah ada individu yang mengaku berketurunan waris ‘Raja Melewar’ justeru perlu dibayar imbuhan bagi menulis skrip berkenaan.



Sebaliknya apabila disoal oleh Dharmala, ketika ‘Raja Melewar’ berhijrah ke Tanah Melayu untuk menaiki takhta, sama ada sudah berkahwin atau belum, individu tersebut secara pongah menyatakan raja itu masih muda berusia dalam lingkungan 20-an sahaja dan belum berkahwin. Justeru soal Dharmala, kalau ‘Raja Melewar’ belum berkahwin ketika itu, bagaimana beliau boleh meninggalkan waris atau zuriatnya. Makanya terloponglah individu tersebut, walaupun kononnya mempunyai degri ‘Drs.’, dan pada rundingan kali kedua saya diberitahu oleh (Allahyarham) Tan Sri Abdul Samad Idris, individu terbabit tak hadir. Begitulah!

ISU KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PRIHAL MENTERI DENGAN ISTILAH
MENJAGA MUZIUM ATAU DIMUZIUMKAN!


Siapalah Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar mahu buat kenyataan, tak ada alternatif lain dari Malaysia untuk jawatan Setiausaha Agung Komanwel, selain daripada Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Kalau atas kapisiti menteri luar pun, bukan selayaknya Syed Hamid Albar bersuara, seperti laporan akhbar BERITA HARIAN hari ini (27 Julai 2007). Label mereka sama sahaja iaitu ‘menteri kabinet’, malah Dr. Rais dikira lebih senior lagi daripada Syed Hamid (bukan dikira daripada insiden 1987). Justeru, Syed Hamid tak akan bersuara, kalau tak disuruh bersuara, apalagi kalau bukan bos sendiri mahukan beliau bersuara.


Bukanlah mudah bagi seseorang menteri yang sudah meninggalkan jawatannya pada 1987 (kerana dicantas), mahu kembali mencapai kedudukannya kalau tak cukup prasyarat orang tua-tua Melayu dulu: Hati berani senjata tajam; mulut bacar emas banyak! (Kalau Syed Hamid tak faham maknanya, kenalah tanya Dr. Rais sendiri). Begitulah apabila membaca epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai insiden selepas pembunuhan Tun Mutahir bin Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam di Melaka pada 1509. Apabila Raja Zainal dikatakan ‘mengurat’ Tun Fatimah maka ‘hulubalang’ Sultan Mahmud membunuhnya. ‘Hulubalang’ Sultan Mahmud tak akan berani membunuh ‘adik sultan’, kalau ianya tak menerima ‘lampu hijau’ dari sultan. Sama seperti Dr. Rais yang suka belajar pepatah petitih orang tua-tua dulu seperti terkilat ikan di air ialah:

1 comment:

MSO said...

Assamaulaikum Pak Dhar... puas saya buka blog lama tak dapat. Lepas call Haji Bakar baru tahu blog baru. Menarik dan kalau Pak Dhar mahu apa-apa gambar yg dalam simpanan saya bagi tahu. Sedia membantu. Selamat malam :Prihatin kepada nasib bangsa dan negara. Salam / mso /