JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
Assalamualaikum,
Laman blog Jawatankusa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) sudah lebih sebulan beroperasi. Rakan-rakan memberi sokongan yang baik, terutama mesej yang disampaikan ialah menentang perhambaan minda. PRIMA melihat amaran Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kebebasan perlu dihargai, memang disambut baik. Dengan menghargai kebebasan barulah kita boleh ‘menentang perhambaan minda’ yang selama ini diracun oleh penjajah sama ada politik, ekonomi mahupun budaya, hingga melabelkan orang Melayu sebagai ‘pemalas’.
Kalau kebebasan itu dirampas seperti keperihalan kedatangan Benggali Putih pada 24 Ogos 1511, tempoh untuk memperolehnya semula terlalu lama iaitu sehingga 31 Ogos 1957. Bagaimanapun dalam tempoh tersebut, orang Melayu tetap menolak ‘perhambaan minda’, justeru mereka melancarkan gerakan militan seperti dicetuskan oleh Sultan Mahmud Shah pada 1511 hingga bagidna mangkat pada 1528. Pateh Kadir dan Pateh Unus turut melancarkan gerakan militan pda 1513, diikuti pula oleh Silawatang di Sungai Kesang, malah silih berganti hingga Dato’ Dol Said di Naning pada 1831.
Orang Melayu secara fizikal menerima penjajah, tetapi mereka tetap menolak perhambaan minda menyebabkan kebangkitan Raja Mahadi di Selangor (1872), Dato’ Bandar Tunggal Abdullah Ahmad di Sungai Ujong, Negeri Sembilan (1874), Dato’ Maharajalela di Pasir Salak, Perak (1876) dan Dato’ Bahaman di Semantan, Pahang (1892). Mereka gagal dalam perjuangan menolak ‘perhambaan minda’, tetapi ianya berkesinambungan pula menerusi penulisan Syed Sheikh al-Hadi, Tok Kenali, Sheikh Tahir Jalaluddin dan rakan-rakan mereka. Apabila kita yakin dengan keilmuan ‘modal insan’, maknanya kita juga menolak ‘perhambaan minda’.
-Muluk-
INFO HAK ASASI MANUSIA:
MARINA LEE PERTAHAN ISLAM
KETIKA BERHADAPAN SOAL SIASAT
KETIKA BERHADAPAN SOAL SIASAT
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz kagum dengan kecekalan Puan Marina Lee mempertahankan syariat Islam, ketika disoal siasat pihak polis selama 45 minit jam 11.00 pagi hari ini (8 Ogos 2007). Marina Lee, isteri pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dipanggil ke balai polis bagi sesi soal siasat. Sebaik shaja selesai soal siasat, Marina mengakui enggan menjawab soalan-soalan yang sensitif, kerana mematuhi syiar Islam iaitu isteri wajib mematuhi perintah suaminya sekalipun ‘nyawa’ menjadi galang ganti.
“Justeru kita berbangga dengan kecekalan Marina mempertahankan syiar Islam sebagai seorang isteri yang tak berkompromi dengan sesiapa bagi berdiri teguh di sisi suaminya,” beritahu Kamal ketika mengulas pengakuan Marina selepas selesai soal siasat polis. Ketika disoal siasat polis, Marina ditanya mengenai sumber kewangan Raja Petra, di samping nama anak-anaknya. Menurut Kamal, Marina memberitahu pihak penyiasat, beliau berpegang kepada syiar Islam iaitu suami berhak memukul dan menceraikan kalau si isteri ingkar dengan perintahnya.
Marina mengakui seterusnya, jelas Kamal iaitu mematuhi perintah suaminya tak memberitahu apa-apa kepada pihak polis. Sekiranya beliau diceraikan oleh suami dalam keadaan sudah berumur, tentulah hidupnya akan menjadi sia-sia. Apalagi dipukul kerana ingkar kepada perintah suami, beliau tak boleh mendakwa suaminya ‘mendera’ kerana kesalahan itu berpunca daripada dirinya sendiri. “PRIMA melihat Marina seorang wanita berhati waja yang perlu dicontohi oleh semua wanita, dalam mempertahankan hak asasi manusia dan menolak perhambaa minda,” ujar Kamal menambah.
JABATAN PELAJARAN PERLU PANTAU
AMALAN BUDAYA ‘BANGAU OH BANGAU’
AMALAN BUDAYA ‘BANGAU OH BANGAU’
Guru-guru yang bersikap ‘lepas tangan’ dalam tanggungjawab dianggap amalkan budaya ‘bangau oh bangau’ iaitu menyalahkan orang lain untuk menegakkan benang basah, kata mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah. Serentak dengan itu beliau meminta jabatan pelajaran negeri, mahupun kementerian pelajaran memantau sikap berkenaan, di samping mengingatkan kesatuan guru-guru (NUTP) yang mempertahankan guru-guru, supaya membuat siasatan telus bukan berdasarkan laporan sebelah pihak (iaitu guru-guru sahaja).
Dr Mansor yang juga bekas pengetua di sekolah menengah di Pahang, menarik perhatian kepada insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan baru-baru ini apabila dua pelajar melarikan diri dari rumah. Beliau yang dihubungi oleh ibu bapa pelajar terbabit berasa terkejut, disebabkan pihak sekolah meminta murid berkenaan menyampaikan ‘surat gantung sekolah’ kepada ibu bapanya. “Sudah tentu murid terbabit tak akan serahkan surat tersebut kepada ibu bapa, menyebabkan mereka tak tahu anaknya digantung sekolah,” jelas Dr. Mansor.
Berikutan insiden tersebut pelajar-pelajar terbabit melarikan diri dari rumah, kerana bimbang hukuman terhadapnya diketahui oleh ibu bapa. Malah menurut Dr Mansor lagi, ibu bapa hanya mengetahui anaknya ke sekolah, tetapi dalam masa digantung tak tahu ke mana mereka menghilangkan diri. Guru sekolah bekenaan menemui ibu bapa, setelah pelajar terbabit melarikan diri dari rumah, di samping menyalahkan ibu bapa tak mampu memantau anaknya. “Tuanku Sultan Pahang pun pernah ingatkan pihak sekolah jangan amalkan budaya ‘bangau oh bangau’ iaitu menyalahkan orang lain,” kata Dr. Mansor.
PAK LAH DIMINTA KOTAKAN KATA
BUKAN MACAM ‘KALAU ROBOH KOTA MELAKA’
BUKAN MACAM ‘KALAU ROBOH KOTA MELAKA’
Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kotakan apa yang dikata dalam mesej penutup Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2007. Bagaimanapun kata Dr. Mansor, janganlah ianya menjadi ‘kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa saya dirikan’ hingga banyak isu yang dibangkitkan tak dijawab, termasuk 20 Perkara tuntutan Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) dalam memorandum yang disampaikan sebulan lalu.
Dalam kenyataannya hari ini (8 Ogos 2007), Dr Mansor juga melahirkan rasa terkilan apabila kerajaan tak mampu ‘kotakan kata’ dalam isu, pelajar Melaysia berasal dari Johor yang menghina lagu ‘Negaraku’. “Kalau Tuanku raja-raja Melayu turut berdiri memberi hormat apabila lagu Negaraku berkumandang, kenapa seorang pemuda berusia 24 tahun dibiarkan mencabul kedaulatan negara,” katanya. Menurut Dr. Mansor sebagai bekas tenaga pengajar di ITPA, kerajaan perlu memanggil balik pelajar yang biadap, bagi menerima ‘hadiah’ setimpal, walaupun melakukan perbuatan itu di luar negara.
Seterusnya Dr. Mansor menjelaskan, ketika beliau menuntut di Amerika Syarikat, pelajar-pelajar yang mencemarkan nama baik negara perlu dihantar balik serta merta. Beliau merasa kerajaan tak mampu ‘kotakan kata-kata’, sekiranya pelajar terbabit dibiarkan mencemar nama baik negara di luar negeri, seolah-olah mempersenda Bahasa Melayu, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu. “Kalaulah Melayu sudah tak mempunyai bahasa, bangsa atau raja-raja, takkan rakyat Malaysia pun berdiam diri dengan perkara yang sengaja dibangkitkan oleh pelajar terbabit,” katanya.
INFO SASTERA & BUDAYA:
BUKU MELAYU DIANGGAP TAHYOL
KARANGAN ROWLING DIKATA ISTIMEWA
KARANGAN ROWLING DIKATA ISTIMEWA
Penerbit buku-buku Haji Abu Bakar Ninggal yang pernah menerbitkan buku-buku popular siri ‘Berkelahi Dengan Syaitan’ sekitar dekad 1980-an mahukan kempen galakan membaca digerakkan menerusi perpustakaan di sekolah-sekolah. Beliau yang terkejut dengan siri buku ‘Harry Poter’ diterjemahkan ke Bahasa Melayu diedarkan secara bebas ke perpustakaan sekolah, sebaliknya diri ‘Berkelahi Dengan Syaitan’ ditohmah dengan pelbagai tanggapan, sebelum ianya dibaca dan dikaji. “Buku-buku Melayu dikategorikan sebagai tahyol, tetapi buku-buku J. K. Rowling dianggap terlalu istimewa,” beritahu Haji Bakar sinis.
Seterusnya Haji Bakar memberi contoh filem Melayu yang disekat dengan pelbagai ‘pantang larang’, menyebabkan filem-filem luar yang bercirikan seram mendominasi pasaran di dalam negara. Apabila filem Melayu dibenarkan membuat filem seram seperti ‘Jangan Pandang Belakang’, ‘Waris Jari Hantu’ dan beberapa lagi ianya tak kurang pula mendapat sambutan seperti filem-filem yang diimport dari luar. “Maknanya, kalau dibenarkan bersaing, karyawanMelayu mampu membuktikan kreativiti mereka setanding dengan karyawan luar,” jelasnya.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
bersama Pak Parjo
ULAR LIDI MAKIN GARANG
NAGA AKAN MENJADI MANGSA!
NAGA AKAN MENJADI MANGSA!
Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dikatakan kebanyakan negara-negara Afrika tertarikh dengan modul ‘kongsi kuasa’ di Malaysia yang dimanfaatkan bersama oleh semua rakyat di negara ini. Tetapi rantau Asia Tenggara tak lupa fasal Thaksin Sinawarta yang digulingkan rakyatnya di Thailand, atau Megawati Soekarnoputri gagal pertahankan kuasa dalam pilihanraya di Indonesia. Rakyat Indonesia menyedari kelicikan Singapura memonopoli perdagangan, berikutan kealpaan Megawati lebih dahsyat daripada masalah ‘kekaburan’ Gus Dur sebelumnya. Begitu juga rakyat Thailand yang tak mahu kompromi dalam isu perladangan di negaranya hampir dikuasai oleh kelicikan Singapura.
Bukan sahaja Thailand dan Indonesia, malah Republik Rakyat China juga hampir terpedaya dengan kelicikan Singapura melabur dalam perindustrian di negaranya. Justeru RRC lebih pintar memintas ‘yang tersurat dan yang tersirat’ dalam agenda Singapura mahu kembangkan sayap di tanah besar itu. Entah kenapa Malaysia yang sering menjadi penganjur kepada dialog antarabangsa, membiarkan projek ‘Pembangunan Wilayah Iskandar’ di Johor ‘dibelek-belek’ oleh Singapura, menyebabkan anak-anak Johor cemas tak menentu.
Mereka bersama Generasi Profesional & Perwaris Bangsa (ProWaris) bangkit mempersoal kewajaran kerajaan melaksanakan projek itu, kerana tidak mahu berlaku insiden ‘ular lidi’ akan menelan ‘naga’. Tetapi ProWaris takkan bersendirian kalau pertahankan martabat Melayu dan ketuanan bangsanya, justeru individu Melayu yang profesional, cerdik pandik atau cendekiawan juga perlu bersama kerana kabarnya bantahan ProWaris ‘macam masuk telinga kiri keluar telinga kanan’ seperti nasib yang menimpa kaum kerabat Melayu di zaman feudalisme yang diketahui sangat-sangat oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment