Friday, August 24, 2007




JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG

APABILA PENULIS DIPANGGIL
BERUCAP SELEPAS PELANCARAN BUKU

Assalamualikum,

Wartawan Berita Harian, Amirullah menarik saya keluar dewan di Seri Pacific, lokasi berlangsungnya pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmada Bdawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’, untuk sesi bergambar. Kebetulan pula selepas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Mohd Radzi Sheikh Ahmad selesai melancar buu berkenaan, pengerusi majlis Dato’ Aziz Singah ternampak saya duduk bersebelahan Ketua Penerangan UMNO Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan, bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, pegawai khas dari Jabatan Perdana Menteri Dato’ Haji Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Omar Haji Othman dan aktivis UMNO dari Perak Dato’ Kamaruddin.

Mereka mendesak Dato’ Aziz Singah memanggil saya naik ke pentas, sekalipun upacara pelancaran sudah dikira selesai, ketika tetamu-tetamu sedang menghadapi hidangan. Justeru sempatlah saya memberitahu buku berkenaan ditulis adalah amanat ayahanda angkat, guru dan sahabat saya Allahyarham Tan Sri Abdul Sama Idris yang berhasrat mahu menulis mengenai perjuangan ‘Barisan 33’ yang pernah dibentuk oleh Dato’ Ahmad Badawi pada 1953. Memang sumbangan Dato’ Ahmad Badawi kurang diberi penekanan oleh penulis-penulis sejarah, tetapi berdasarkan pengamatan Tan Sri Abdul Samad Idris (yang menjadi Pengerusi Tetap Pemuda UMNO 14 tahun berturut-turut) pada dekad 1950-an dan 1960-an, Dato’ Ahmad Badawi mencorakkan hala tuju Pemuda UMNO atas kepercayaan yang diberikan oleh ketuanya Tun Sardon Jubir.

-Muluk

INFO HAK ASASI MANUSIA

PENULIS SEJARAH NASIONALISME
PEMIMPIN MELAYU MESTI PRIHATIN


Setiausaha Agung UMNO yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Mohd Radzi Tan Sri Sheikh Ahmad menggesa pemimpin-pemimpin Melayu prihatin dengan penulisan sejarah nasionalisme. Ketika melancarkan buku autobiografi ‘Analitikal Pimpinan Pemuda; Ahamad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ di dewan Seri Pacific hari ini (24 Ogos 2007), Radzi berkata, sumbangan Dato’ Ahmad Badawi dalam kepimpinan Pemuda UMNO hampir dilupakan, sekiranya tak ada usaha menyelidikan pembabitan tokoh berkenaan dalam gerakan nasionalisme.

“Mungkin sahaja Pak Lah sendiri tak mengetahui banyak rahsia perjuangan ayahnya Dato’ Ahmad Badawi seperti pembentukan ‘Barisan 33’, justeru ianya memerlukan kaji selidik dalam penulisan sejarah,” beliau menjelaskan. Radzi sendiri mengaku beliau juga tak banyak mengetahui rahsia perjuangan ayahnya Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Hashim, kalau tak membaca buku ‘Riwayat Hidup Tunku Abdul Rahman Putra’ karya Abdul Aziz Ishak, sebagai ahli Majlis Jawatankuasa Agung UMNO (sekarang Majlis Tertinggi) yang sering bertelagah pendapat dengan Tunku.


Kata Radzi lagi, sebagai anak seseorang itu memang tak diberitahu oleh ayahnya rahsia perjuangan politik, sebaliknya sekadar dididik mencapai kecemerlangan dalam akademik. Justeru liku-liku perjuangan ayahnya dalam gerakan nasionalisme lebih banyak diketahui oleh rakan-rakan rapat yang terbabit bersamanya. Seterusnya Radzi mengakui, Dato’ Ahmad Badawi sering ke Perlis semasa pilihanraya umum 1955 bagi membantu ayahnya (Tan Sri Sheikh Ahmad) dalam kempen pilihanraya, sekalipun beliau (Dato’ Ahmad Badawi) atak menjadi calon. “Dato’ Ahmad Badawi lebih mementingkan kesetiaan kepada UMNO daripada mengejar kedudukan menjadi calon,” ujarnya.
AHMAD BADAWI SELAMATKAN PAS
BENARKAN PREMIS MENJADI MARKAZ


Ayah Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, Allahyarham Dato’ Ahmad Badawi bin Sheikh Abdullah Fahim, ketika menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO sekitar dekad 1950 pernah menyelamatkan Parti Islam SeMalaya (PAS) apabila parti itu tak mampu mencari premis sebagai markaz perjuangannya. Menurut Pembantu Khas kepada Setiausaha Agung UMNO yang juga bekas Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Mohd Yunus Rahmat, Dato’ Ahmad Badawi membenarkan PAS menggunakan bangunan madrasahnya Daeratul Maarifi al-Wataniah di Kepala Batas sebagai markaz parti berkenaan.

Berucap ketika pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Dato’ Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ yang disempurnakan oleh Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, beliau menegaskan, Dato’ Ahmad Badawi adalah bersikap terbuka dalam kepimpinannya. Pemuda UMNO ketika itu ternyata bertuah kerana dipimpin oleh ulama besar yang dihormati selaku naib ketua di samping ketuanya Tun Sardon Jubir. “Pengalaman beliau sebagai aktivis pelajar ketika menuntut di Timur Tengah bersama pelajar-pelajar Mesir dan Turki, membolehkan Dato’ Ahmad Badawi turut menggerakkan Pemuda UMNO dengan pendekatan radikal,” beritahu Yunus seterusnya.

ANTOLOGI ‘MELAYU MUDAH LUPA’
DIBAWA KE RUMAH GAPENA MALAM INI.


Antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ dibawa ke Rumah GAPENA malam ini (24 Ogos 2007) bagi dideklamasikan oleh beberapa orang penyair, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Pemilihan Rumah Gapena setelah dipersetujui oleh pimpinan ormas budaya dan sastera itu, yang tertarik dengan perjuangan PRIMA mahu mempertahankan ‘Bahasa Melayu’ sebagai bahasa rasmi negara. Sebelum ini PRIMA secara konsistan menolak sebarang usaha menukar ‘Bahasa Melayu’ kepada ‘Bahasa Malaysia’, malah pihaknya bersedia menemui Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memberi penjelasan.

“Kami menerbitkan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ adalah sebagai manifestasi bangsa Melayu yang kecewa apabila kontrak sosial sejak 1957 sengaja dipersoal,” kata Kamal ketika memberitahu mengenai deklamasi sajak berkenaan. Sambil menolak usaha yang dibuat PRIMA sebagai menimbulkan keresahan kaum, Kamal menegaskan apa yang dibuat oleh PRIMA adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang kita junjung tinggi. Mereka yang mempersoal isu berkenaan sengaja mahu memperlekeh kedaulatan ‘Bahasa Melayu’ yang sudah diterima sebagai bahasa rasmi menerusi kontrak sosial itu, ujarnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

KERENAH BIROKRASI DI DBP
NOVEL MANSOR DICINCANG HABIS


Novel karya Dr Mohd Mansor Abdullah yang dihantar ke Dewan Bahasa dan Pustaka dicincang habis oleh pihak editorial, tetapi masih juga diterbitkan dengan tak diberi sebarang alasan. Menurut sumber, novel berkenaan diminta oleh pihak editorial dibuat beberapa pembetulan yang dicadangkan, bagi diterbitkan DBP. Sebaliknya, setelah ianya dicincang habis, pihak editorial masih tak berpuas hati, dengan tak memberi alasan yang munasabah sama ada ianya ditolak atau sebaliknya. “Kalau novel berkenaan tak sesuai diterbitkan oleh DBP, seharusnya tak perlu meminta Dr Mansor membetulkan, malah ianya wajar ditolak lebih awal,” kata sumber berkenaan.

Kerenah birokrasi yang berterusan kekal di DBP tak memperlihatkan usaha mahu meningkatkan pengembangan sastera Melayu, sekalipun kedudukan sastera Melayu hanya menjadi mata pelajaran ‘kelas dua’ di sekolah-sekolah menengah. Bukan sahaja novel karya Dr. Mansor yang menghadapi isu kerenah birokrasi, malah novel karya SN Profesor Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad juga tak terlepas menjadi mangsa. Menurut sumber tersebut, salah sebuah novel Shahnon sudah terperap di DBP sejak hampir lima tahun lalu. “Kerajaan perlu memantau perkembangan di DBP, kalau mahu melihat sastera Melayu kembali subur di tengah khalayaknya,” beritahu sumber berkenaan.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

DASAR PENGAJIAN TINGGI DILANCAR
KUALITI YANG BAGAIMANA DIMAHUKAN?



Kabarnya dasar pengajian tinggi negara akan dirombak bagi menghasilkan graduan yang berkualiti dalam usaha memenuhi keperluan modal insan. Proses transformasi akan dilakukan di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010, yang kononnya akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi 27 Ogos 2007 ini. Baguslah! Tak tahulah definasi ‘kualiti’ yang dimahukan, kerana aktiviti pelajar-pelajar yang berasaskan kepada penyelidikan bersepadu ditafsirkan sebagai ‘politik’. Pensyarah yang sepatutnya memberi kuliah dua jam, sekadar 20 minit sahaja dengan memberitahu pelajar-pelajar: “Saya pensyarah, saya yang berkuasa menentukan kuliah!”

Ironinya, pensyarah terbabit tak menyedari gajinya dibayar adalah daripada PTPTN yang disalurkan kepada pelajar-pelajar. Justeru pegawai-pegawai di kementerian pengajian tinggi, perlulah turun padang juga bagi memantau pensyarah-pensyarah yang berkualiti sahaja dibenarkan mengajar di IPTA atau IPTS. Kalau sekadar merangka pelan itu pelan ini, kemudian dilancarkan oleh PM samalah macam: Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu! Apalagi pensyarah yang membuat keputusan sesuatu projek pelajar-pelajarnya ‘berunsur politik’, sebelum ianya dilaksanakan. Biasanya yang tahu fasal ‘menyelam air di tunggak’, sekalipun tak pernah menyelam di laut dalam dan tak perlukan kail lebih panjang sejengkal ialah:











HIDUP BAHASA MELAYU.

No comments: