PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
CABARAN KEPADA UMAT ISLAM
RAMADAN UJIAN KEPADA PERPADUAN
RAMADAN UJIAN KEPADA PERPADUAN
Assalamualikum,
PRIMA megambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua umat Islam, di samping menjalankan ibadat puasa dengan penuh ketakwaan dan tawaduk kepada Allah SWT. Memang di Malaysia umat Islam mampu menjalankan ibadat puasa dalam suasana aman sejahtera, berbanding dengan fenomena yang dihadapi oleh rakyat Iraq dan Afghanistan selepas diceroboh Amerika Syarikat sejak 2001. Begitu juga umat Islam di selatan Thailand dan Filipina yang berhadapan dengan tekanan mental dan fizikal dalam perjuangan mereka mempertahankan maruah umat Islam, di samping campur tangan luar yang melabel mereka sebagai ‘militan Islam’.
Justeru langkah Britain di bawah pimpinan Perdana Menteri Gordon Brown mengubah polisi luar negaranya yang tak mahu terikat dengan kepongahan Geroger W. Bush dari Amerika Syarikat terutama isu ketenteraan di Iraq adalah dialu-alukan. Brown dikatakan mahu mengundurkan tenteranya dari Iraq adalah selaras dengan kehendak hak asasi di seluruh dunia termasuk aktivis di Amerik Syarikat sendiri. Rakyat AS yang berfikiran waras selama ini sudah menggerakkan penentangan terhadap polisi Bush yang memusuhi umat Islam sama seperti dilakukan kepada oleh AS kepada komunisme sekitar dekad 1950-an, 1960-an dan 1970-an dulu. Ramadan ini sebaik-baiknya dijadikan titik tolak untuk perpaduan umat Islam menentang kepongahan musuh Islam.
Apabila gerakan Islam berbangga dengan kejayaan di Afghanistan mahupun di Bosnia-Hezegovina menghapuskan kepongahan komunisme, mereka hampir terlupa mengenai jerat AS yang memperalat sistem demokrasi dalam menjaring kealpaan umat Islam dengan dendam kesumat selepas kemenangan Sallehuddin al-Ayubi dalam ‘perang salib’ terakhir. Begitulah ketika menonton filem di Astro CinemaX (9 September 2007) yang berjudul ‘Kingdom of Heaven’, agak menusuk apabila watak Saladin (Sallehuddin) menuturkan kepada pemimpin Jurusselem: “Aku Sallehuddin bukannya pemimpin Kristian yang membalas dendam terhadap mangsanya, sebab itu aku bebaskan kamu semua, lagipun pada aku Jurusselem ni tak ada apa-apa nilainya”. (Begitulah lebih kurang diterjemahkan dialog daripada bahasa Inggeris itu). Kalau Bush nak faham, fahamlah!
-Muluk.
INFO HAK ASASI MANUSIA
KERUGIAN RM 500 RIBU MPKT
BOLEH DIELAKKAN SECARA BERHEMAH
Kerugian Majlis Bandaran Kuala Terengganu dilaporkan melebihi RM500 ribu, berikutan rusuhan dua hari lalu (9 September 2007) boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengambl sikap berhemah. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon dari London menyebut, rusuhan tak akan berlaku sekiranya tak berlaku sebarang provokasi dari pihak berkuasa, berdasarkan senario di masa lalu. Apabila pihak berkuasa menggunakan pendekatan provokasi, di samping dilaporkan menggunakan ‘peluru hidup’ bagi menyuraikan perusuh-perusuh, seolah-olah ianya dilakukan secara terancang bagi menimbulkan ketegangan.
Menurut Kamal dengan membaca laporan dari jauh, beliau melahirkan rasa terkilan dengan pendekatan pihak berkuasa menolak sesi ceramah yang mahu diadakan oleh BERSIH dalam suasana aman. Kerajaan sendiri mengakui Malaysia dalam keadaan aman, malah pihak pasukan keselamatan sentiasa mengawal ketenteraman awam, sudah sewajarnya permit mengadakan ceramah dibenarkan. “Adalah menghairankan apabila pihak berkuasa sengaja melarang ceramah umum, ketika negara dalam keadaan aman tenteram dan bukan diganggu gugat hingga mengancam keselamatan negara,” menurut Kamal menelefon sekretariat PRIMA.
Kata Kamal lagi, pada period penjajah sekitar dekad 1950-an rapat umum dibenarkan pada pilihanraya 1955, sekalipun ketika itu negara di bawah pentadbiran darurat, malah beberapa kawasan diletakkan di bawah kategori ‘lokasi hitam’. Tak pernah pula berlaku rusuhan yang menggugat masyarakat sepanjang kempen pilihanraya 1955, disebabkan British tak membangkitkan sebarang provokasi semasa rapat umum dijalankan. Memang pihak berkuasa boleh menyalahkan perusuh-perusuh dengan alat propaganda yang berat sebelah, sebaliknya masyarakat bertamadun tahu hanya ‘pihak berkuasa’ sahaja yang mampu melakukan kekasaran, kekerasan dan pemerasan, kata Kamal.
LAGI PANDANGAN UMUM MENGENAI
AUTOBIOGRAFI ‘LILIN MEMBAKAR DIRI’
Bendahari UMNO Bahagian Kelang, Dato’ Azman Salleh memberitahu sudah menerima buku autobiografi ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Ahmad Badawi Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’. Katanya, beliau menerima sendiri dari Dato’ Yunus Rahmat dari pejabat Setiausaha Agung UMNO, di samping beliau (Yunus) mengakui beliau sekadar memberikan kerjasama sahaja. Justeru, tak timbul Yunus mengakui beliau yang terbabit dalam meyediakan teks asal buku berkenaan, menurut Azman ketika ditemui di sebuah restoran di Hulu Kelang, Sabtu lalu (8 September 2007). “Dato’ Yunus sendiri mengaku pada saya, beliau hanya memberikan kerjasama sahaja,” ujar Azman.
Menyentuh mengenai teks buku berkenaan, Azman memberitahu terdapat sedikit kesilapan mengenai status Jeneral (B) Ibrahim Ismail yang menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO pertama bersama Tun Abdul Razak selaku Ketua Pemuda UMNO. Menurut Azman, kesilapan itu kecil sahaja iaitu Jeneral (B) Ibrahim sudah bergelar ‘Tun’, bukan lagi ‘Tan Sri’ seperti disebut dalam buku berkenaan. Mungkin sahaja buku ‘LILIN MEMBAKAR DIRI’ sudah dihasilkan lebih awal, malah tersimpan lama di bahagian penerbitan, justeru status ‘Tun’ yang sudah diterima oleh Jeneral (B) masih lagi disebut ‘Tan Sri’. Terima kasih kepada Azman, yang membuat pembetulan setelah beliau menghayati buku berkenaan secara teliti.
INFO SASTERA & BUDAYA
DEKLAMASI ‘MELAYU MUDAH LUPA’
DITANGGUH SELEPAS MUSIM BERPUASA
Deklamasi antologi puisi ‘Melayu Mudah Lupa’ yang dijangka diadakan lebih awal, terpaksa ditangguh sehingga selepas selesai umat Islam berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Aktivis PRIMA, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengakui penangguhan itu memang berkaitan dengan insiden bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang menjalani rawatan pintasan koronori di IJN baru-baru ini. Beliau memberi penjelasan berikutan ramai-ramai aktivis PRIMA dan penyair yang terbabit menyumbanbgkan puisinya mahu tahu mengenai program seterusnya mengenai antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ itu.
Bekas Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman yang menyumbangkan empat buah puisi dalam antologi berkenaan menerusi SMS bertanyakan sama ada ianya akan diadakan majlis pelancaran atau tidak. Menurut Dr Mansor, antologi ‘Melayu Mudah Lupa’ mula berada di pasaran sejak 24 Ogos 2007, justeru kesibukan rakyat Malaysia menyambut 50 tahun merdeka pada 31 Ogos 2007, menyebabkan majlis berkenaan ditangguhkan. Kebetulan pula dua orang kuat PRIMA bertolak di luar negeri iaitu Dato’ Kamal Amir ke London pada 28 Ogos (dijangka balik pada 15 September 2007) dan Yahaya Ismail ke Jakarta pada 30 Ogos (balik pada 9 September 2007) menyebabkan ianya terpaksa ditangguh kepada tarikh yang lebih sesuai.
“Apalagi berikutan Tun Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan koronori pda 4 September, kita terpaksa mencari tarikh paling sesuai,” beritahu Dr Mansor. Memang tak dinafikan di peringkat awal, pihak PRIMA mengharapkan Tun Dr M boleh ikut serta dalam majlis yang diatur, disebabkan antologi berkenaan dihasilkan adalah berdasarkan aspirasi dari sajak beliau ‘Melayu Mudah Lupa’. Memandangkan tahap kesihatan Tun Dr M memerlukan rihat yang panjang, PRIMA tetap akan meneruskan majlis pelancaran dan deklamasi mengikut masa yang sesuai. Bagaimanapun PRIMA tetap menghargai Tun Dr M yang memberi aspirasi hingga antologi berkenaan dapat dihasilkan, kata Dr Mansor.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
KEPERIHALAN LAPORAN AUDIT NEGARA
HAIRANNYA MENTERI PERSOAL KEMENTERIAN
Laporan audit negara memang mengkagumkan, apabila mempersoal banyak perbelanjaan tak munasabah. Tahniah kepada Dato’ Ambrin Buang! Malah teringatlah pula keberanian Dato’ Ambrin seolah-olah Tan Sri Ahmad Noordin mahupun Dato’ Ishak Tadin apabila mengendalikan audit. Tetapi Tan Sri Ahmad Noordin dan Dato’ Ishak Tadin dikatakan tak lama pula menduduki kerusi panas di audit negara. Tak tahulah dengan Dato’ Ambrin yang sedang teruji, diuji atau ditaji pula akhirnya. Masya Allah! Bukanlah mudah bagi memperoleh khidmat pegawai-pegawai dedikasi yang terhebat seperti Tan Sri Ahmad Noordin, Dato’ Ishak, Dato’ Hassan Ibrahim atau Dato’ Ambrin yang dilabel sebagai ‘trouble shooter’ oleh pihak yang tak senang dengan keberaniannya.
Ironinya, tak semena-mena pula menteri yang lain merungut fasal kementerian menteri lain, seperti dilapor ‘buletin utama’ TV3 semalam (10 September 2007, jam 8.00 malam). Sekalipun item barang yang harga biasanya RM40, tetapi dibeli oleh IKBN (di bawah kementerian belia dan sukan) dengan harga lebih RM200, tetapi tak sepatutnya yang bersuara itu Dato’ Seri Rafidah Aziz. Beliau sewajarnya mengawasi kementerian beliau, bukannya mempersoal kementerian di bawah Dato’ Azalina, kerana ianya bolehlah pula ditafsirkan ‘terkilat ikan di air, dah dikenal jantan betinanya’. Seperti disebut dalam epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai insiden perlantikan Tun Mutahir menjadi bendahara ialah berikutan ‘bonda’ Sultan Mahmud memberi isyarat dari belakang pintu.
Terlalulah banyak ibarat tamsil dalam epik ‘Sejarah Melayu’ itu, kalau mahu dijadikan kefahaman: Yang baik jadikan tauladan; yang buruk jadikan sempadan. Entahlah! Tentu boleh dihayati juga bagaimana Tun Fatimah (anak Tun Mutahir) membuang kandungan asal sahaja hamil, menyebabkan Sultan Mahmud bermuram durja. Bagaimanapun setelah Sultan Mahmud bersetuju melantik anak yang bakal dilahirkan Tun Fatimah menjadi ‘raja muda’, barulah beliau (Tun Fatimah) tak membuang kandungannya. Makanya akan keperihalan yang berlaku dalam epik ‘Sejarah Melayu’ itu sentiasalah ianya menjadi ilham kepada:
HIDUP BAHASA MELAYU.
No comments:
Post a Comment