PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
MENDENGAR GEMA BAHASA MELAYU
SEKADAR DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Assalamualaikum,
Perhimpunan Agung UMNO 5-9 November 2007 ini khabarnya tak lagi diberi liputan menerusi siaran langsung di TV seperti sebelumnya berikutan isu sensitif dibangkitkan secara terbuka. Lainlah sekadar berligar di sebalik dinding Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), ianya tak tersibar ke seluruh pelusuk kampung dan desa; justeru isu sensitif boleh dibendung, dibedung dan dibondong. Gamaknya! Tak tahulah takrif isu sensitif yang kononnya menjadi keresahan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini, sekalipun kebobrokan bangsa berterusan menusuk perasaan. Apalagi Bahasa Melayu sekadar bergema dalam Perhimpunan Agung UMNO, tetapi pimpinan UMNO berbangga meminggirkan Bahasa Melayu di majlis-majlis lain di dalam negara sendiri.
Daifnya Bahasa Melayu kepada pimpinan UMNO, malah berita TV malam ini (2 November 2007) masih boleh ditonton menteri UMNO gunakan bukan Bahasa Melayu apabila menjawab soalan pihak media. Astaga! Baguslah TV tak buat siaran langsung ketika Perhimpunan Agung UMNO November ini, kalau sekadar ‘kokok berdegar-degar ekor bergelumang tahi’. Gema Bahasa Melayu dalam Perhimpunan Agung UMNO di PWTC akan berakhir selepas segalanya selesai, sama macam letupan soyuz menolak kapsul ke angkasa, ledaknya tak sampai pun satu jam mengguntur. Kalau tak dibantu propaganda menerusi media, penerokaan di angkasa juga akan dilupakan.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
WAJARNYA BENGKEL PENGKOMPUTERAN
JADI KOKURIKULUM BERTERUSAN DI SEKOLAH
Bengkel pengkomputeran wajar dijadikan kokurikulum berterusan di sekolah-sekolah bagi memastikan pelajar-pelajar bukan sekadar ‘penumpang’ kepada pengetahuan yang berasaskan teknologi maklumat (IT), kata Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Gombak Setia, Haji Yuszahari Mohd Yusuff. Ketika merasmikan bengkel pengkomputeran dan IT yang diselenggara Kelab Channel IT, Universiti Industrial Selangor (Unisel) dengan kerjasama Sekolah Menengah Hillcrest, Taman Seri Gombak di sini semalam (1 November 2007) beliau mengingatkan pelajar-pelajar, kemajuan dan pembangunan negara di masa akan datang adalah bergantung kepada pencapaian yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam IT.
“Takrif IT adalah luas bukan sekadar bermain game di Cyber CafĂ© semata-mata, malah penggunaan telefon bimbit dan sistem pesanan ringkas (SMS) juga sebahagian daripada ilmu IT,” beritahu Haji Yuszahari seterusnya. Beliau turut menyarankan pelajar-pelajar memberikan fokus sehala dalam melaksanakan pembelajaran di sekolah, di samping menjauhkan diri daripada memberi fokun ‘tak tentu hala’, bagi membentuk masyarakat yang berjaya di masa hadapan. Kelab Channel IT Unisel yang diketuai pemenang hadiah kedua Sayembara Mengarang Novel Remaja Sempena 50 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007, Nurul Salwa turut menayangkan montaj mengenai gerak kerja kelab berkenaan kepada Haji Yuszahari.
Menyentuh inisiatif Kelab Channel IT Unisel memilih Sekolah Menengah Hillcrest menggerakkan bengkel pengkomputeran dan IT, Haji Yuszahari menggesa pelajar-pelajar memanfaatkan pengetahuan berkenaan dengan menggunakan kemudahan komputer di rumah masing-masing. Katanya, sekalipun pihak sekolah-sekolah belum mempunyai kemudahan komputer bagi melaksanakan program pengkomputeran, sebaliknya tak boleh dijadikan alasan tak boleh meningkatkan pengetahuan IT. “Kalau setiap pelajar berusaha memanfaatkan ilmu yang diperolehi menerusi bengkel pengkomputeran, maknanya mereka turut membantu usaha kerajaan meningkatkan kemahiran modal insan,” beliau mengingatkan selanjutnya.
KERAJAAN GALAKKAN BERHUTANG
PTPTN BEBAN SEPANJANG HAYAT PELAJAR
Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menyifatkan kerajaan menjadi ‘ayah’ yang mendidik anak-anak berhutang, menyebabkan pelajar-pelajar di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) sama ada IPTA mahupun IPTS terpaksa menanggung beban sepanjang hayat. Serentak dengan itu beliau mendesak Program Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dihapuskan, justeru memulihkan semula skim pemberian biasasiswa seperti sebelumnya. Beliau memberitahu demikian, selepas menutup bengkel pengkomputeran dan IT yang diselenggara pelajar-pelajar Kelab Channel IT Universiti Industrial Selangor Unisel, di Sekolah Menengah Hillcrest, Taman Seri Gombak pada 2 November 2007.
Menurut Kamal, dasar pendidikan adalah memberi jaminan asas dari kerajaan bagi memberikan pendidikan yang maksimum kepada generasi akan datang menerusi program ‘modal insan’. Kalau pelajar-pelajar digalakkan berhutang ketika masih belajar di IPTA atau IPTS, mereka akan berhadapan dengan kaedah membayar balik pinjaman PTPTN termasuk ‘interest’ selepas enam bulan menamatkan pengajian. “Apabila pelajar-pelajar terbabit tak memperoleh pekerjaan bagi membayar balik pinjaman, sudah tentu mereka menanggung beban hutang sepanjang hayat, dengan ‘interest’ yang meningkat setiap bulan dan tahun berikutnya,” beritahu Kamal.
AGENDA KEFAHAMAN ISLAM
PRIMA AKAN TEMUI DATO’ NIK AZIZ
Agenda perpaduan Melayu menerusi kefahaman Islam akan menjadi fokus kepada PRIMA apabila bertemu Mursyidul PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata aktivis masyarakat Mohd Sayuti Omar. Katanya, pertemuan disebut dijangka secepat mungkin, ketika Tuan Guru Dato’ Nik Aziz turun ke Kuala Lumpur tak lama lagi. Mohd Sayuti yang juga penulis prolifik buku-buku politik mengakui, pertemuan tersebut tak akan membabitkan isu politik, sebaliknya akan lebih memberi fokus kepada agenda perpaduan Melayu menerusi kefahaman Islam, sebagai titik tolak meningkatkan usaha menolak ‘perhambaan minda’ di kalangan masyarakat.
“Perhambaan minda menyebabkan agenda perpaduan Melayu sering menimbulkan prasangka yang melampau, justeru kita perlu mencari titik tolak yang boleh memberi fokus lebih bermanfaat,” beritahu Mohd Sayuti ketika menghubungi sekretariat PRIMA baru-baru ini (31 Oktober 2007). Beliau memberitahu seterusnya, menurut sumber PAS Tuan Guru Dato’ Nik Aziz akan turun ke Kuala Lumpur berdasarkan jadual yang sudah ditetapkan. Justeru katanya, PRIMA akan mengambil peluang berkenaan sebaik mungkin sebagai kunjungan hormat kepada Tuan Guru Dato’ Nik Aziz yang tak dinafikan adalah pemimpin yang prihatin dengan agenda perpaduan berasaskan kefahaman Islam.
INFO SASTERA & BUDAYA:
DEKLAMASI PUISI SUARA PERDANA
MANIFESTASI ‘MELAYU MUDAH LUPA’
Deklamasi puisi suara perdana akan digerakkan malam bulan November 2007 ini sebagai manifestasi berdasarkan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ di pekarangan rumah Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Lorong Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail. Sekalipun tarikh belum ditetapkan, tetapi PRIMA akan meneruskan program berkenaan setelah tertangguh berikutan bulan Ramadhan pada September 2007 yang lalu. Sekretariat PRIMA dimaklumkan, Dato’ Kamal sudah pun bersetuju menggerakkan malam deklamasi perdana November 2007 ini, setelah menerima respons di kalangan pemuisi-pemuisi tanah air.
Kalangan pendeklamator dan penyair memang dijemput menghadiri majlis deklamasi puisi ini dengan tak menghadkan kepada antologi ‘Melayu Mudah Lupa’, sebaliknya bebas memberikan manifestasi mengikut pendekatan secara terbuka. Antara penyair dan pendeklamator yang dijangka memeriahkan majlis deklamasi puisi suara perdana PRIMA ini Ruhanie A.R. (Dato’ Ruhanie Ahmad), Kamal Amir (Dato’ Kamal Amir), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Mohd Sayuti Omar (MSO), Raja Petra Kamaruddin, Dharmala N.S., Nurul Salwa dan ramai lagi. Mereka yang berminat menyertai malam deklamasi puisi perdana adalah dialu-alukan, malah boleh juga menghubungi sekretariat PRIMA menerusi emel.
bersama Pak Parjo
PERTANIAN DIGERAK UNTUK GLOBAL
DARI KACA MATA CENDEKIA MELAYU
Syahdan dimaklumkan kepada fakir, akan perihal minggu lalu konvensyen pertanian digerakkan di Seremban di bawah selenggaraan kementerian terbabit yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah. Apalagi Pak Lah dikatakan prihatin dengan idea mahu memodenkan pertanian, setidak-tidaknya digerakkan untuk ke peringkat global. Sebermula diceriterakan seperti yang tersurat kepada fakir akan keperihalan pada period pra merdeka, kebanyakan orang Melayu menjadikan pertanian itu sebagai sumber mata pencarian mereka turun temurun, hingga sekitar dekad 1960-an bangkitlah juara kaum prolitar seperti Pak Hamid Tuah yang dilabel sebagai ‘peneroka tanah haram’. Astaga!
Maka diberitahulah kepada fakir konvensyen pertanian di Seremban penghujung Oktober 2007 itu, cendekia Melayu yang dijemput membentangkan kertas kerja ianya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, bekas tokoh akademik Tun Profesor Diraja Engku Abdul Aziz Abdul Hamid dan tokoh pentadbir Tan Sri Arshad Ayub. Sebagai cendekia Melayu, mereka mengkritik pemikiran petani-petani Melayu yang tak pernah berubah, dengan tak pernah membuat penilaian petani-petani Melayu dekad 1940-an dan 1950-an ramai yang sudah meninggal dunia. Kalau pemikiran petani-petani Melayu tak berubah sejak 50 tahun lalu, maknanya mereka adalah generasi yang diasuh selepas UMNO mentadbir negara. Heh heh heh!
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment