
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
POLITIK AKADEMIK DI IPT
MACAM API DALAM SEKAM
Assalamualaikum,
MACAM API DALAM SEKAM
Assalamualaikum,

Memang sukar dipercayai apabila desas desus menyebut berlakunya naratif ‘politik akademik’ di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sama ada ianya sebelum mahupun selepas diwujudkan kementerian pengajian tinggi pada 2004. Justeru pembentukan kementerian pengajian tinggi juga tak memberi makna, sekiranya struktor pentadbiran IPT masih ‘di takuk lama’, dengan membenarkan ‘politik akademik’ menjadi ‘api dalam sekam’ yang membawa pelajar-pelajar diselubungi ‘perhambaan minda’ berterusan. Misalnya, isu pelantikan pemikir budaya dan intelektualisme bagi ‘Kerusi Tun Ghafar Baba’ mahupun ‘Kerusi Zaaba’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dikatakan berlaku hanky panky tak berkesudahan, menyebabkan sukar mahu membuat pelantikan.


Ketika IPT di bawah kementerian pelajaran/pendidikan, ‘politik akademik’ sudah menular secara bekesinambungan. Dalam pertemuan di rumahnya satu ketika dulu Allahyarham Bapak Profesor Syed Hussein al-Attas pernah menyebut insiden beliau diminta balik ke Malaysia bagi memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaya. Ketika itu beliau masih berkhidmat dengan IPT di Singapura, di samping akan menikmati skim persaraan dalam tempoh sembilan bulan sahaja bagi menamatkan perkhidmatan. Disebabkan desakan yang kuat dari kementerian, beliau hilang nikmat skim persaraan apabila diminta balik serta merta dengan tak sempat menunggu tempoh sembilan bulan dalam perkhidmatan di IPT Singapura. Aduhai!
Akibat ‘politik akademik’ beliau menghadapi pelbagai tekanan apabila memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaya sehingga isu beliau mengkritik kenaikan pangkat dalam akademik termasuk jawatan profesor yang dianggapnya ‘profesor kangkong’ dijadikan ‘lapangan sasar’ untuk menjatuhkan beliau. Malah isu pembelian karpet bagi ubahsuai pejabat Naib Canselor juga digembar-gemburkan, sekalipun kos pembiyaan di bawah RM3,000 ketika itu boleh diluluskan sendiri oleh beliau atas kapisiti Naib Canselor. Apabila beliau diberhentikan dari Naib Canselor Universiti Malaya, bukan sahaja kehilangan skim persaraan dari IPT di Singapura malah beliau tak menerima sebarang kemudahan dari IPT di negaranya sendiri. Begitulah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA :
‘DEKLARASI PERDANA’ SUDAH DIHANTAR
DISEMBAHKAN KEPADA RAJA-RAJA MELAYU

Kebimbangan rakyat sudah disampaikan kepada pimpinan Melayu termasuk Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di samping bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai keprihatinan dan tanggungjawab PRIMA, ujar Pak Ya lagi. Terpulanglah kepada pimpinan Melayu bagi mengambil langkah-langkah susulan atau pasrah kepada takdir seoah-olah ‘menunggu bulan jatuh ke riba’, katanya. Seterusnya Pak Ya menolak sebarang tanggapan sikap ‘bangsa Melayu’ yang menjadi punca segala masalah, tetapi yakin kebobrokan dalam pimpinan Melayu menyebabkan rakyat yang dipimpin berada dalam fenomena ‘ketam jalan mengereng, mahu mengajar anaknya berjalan betul’. “Kalau peluang yang disediakan untuk mengisi tembolok pemimpin, kenapa salahkan bangsa Melayu yang menjadi mangsa pimpinan?” tegas Pak Ya.
JUARA SEPAK TAKRAW DI PARLIMEN
PUBLISITI MURAH ATAU ‘TUMPUL IDEA’

Langkah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tak menyertai Sukan SEA di Korat, Thailand menjadi heboh di Dewan Rakyat semalam (5 Disember 2007), seolah-olah juaranya menggegar di Parlimen. Bagaimanapun tak tahulah sama ada ianya gimmik mahu mencari publisiti murah, atau mereka yang terbabit membahaskan isu berkenaan dalam keadaan ‘tumpul idea’, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Ironinya, tambah Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, isu yang menimbulkan sensasi itu dijawab oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, bukan Melayu yang kemungkinan kurang memahami ‘sepak takraw’.


Dengan menukar ‘bola rotan’ kepada ‘bola plastik’ sekali lagi Thailand mahu terus mendominasi permainan ‘sepak takraw’ sebagai budaya mereka, seolah-olah Malaysia mesti mematuhi kemahuan mereka. Kalau Thailand berkeras dengan sikap arogan mereka, PSM wajar bertindak mempertahan maruah negara di samping menggerakkan pemahaman terhadap ‘budaya Melayu’ serta kaitannya dengan ‘sepak raga’. Sukan sepak raga sudah popular sejak kesultanan Melaka sekitar 1400-an, bukan budaya yang diimpot dari Thailand, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor seterusnya. “Malaysia mampu popularkan sukan ‘sepak raga’ kalau dilaksanakan program terancang,” kata Dato’ Dr Mohd Mansor.
INFO SASTERA & BUDAYA:
TEATER KANAK-KANAK REALISME
PERTAMA DIHASILKAN LADIN NUAWI

Ladin yang dikenali bersama Kumpulan Bingkas Kebayan terbabit mementaskan banyak teater kanak-kanak yang berbentuk sombolisme, di samping mementingkan artistik persembahan. Teater berkenaan dipersembahkan percuma kepada kanak-kanak dan remaja mulai jam 3.30 petang secara terbuka. Taman Budaya terletak di lokasi berdekatan Balai Polis Trafik, Jalan Bandar, Kuala Lumpur akan menguji kemampuan Ladin merealisasikan tema kenegaraan sbagai aktivis teater kanak-kanak tersohor. Mereka yang inginkan butir-butir lanjut mengenai teater ‘Kain Bendera Kain’ boleh menghubungi Ladin menerusi handset 012-3721453 atau hantarkan emel kepada beliau: ladinuawi@yahoo.com.my.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
KAJIAN BADAN ANTARABANGSA
PILIHAN YANG ADIL LAGI BERSIH

Kata sahibul hikayat pilihanraya di Malaysia itu bebaslah dari segala kebebasan yang bebas sebebasnya seperti keperihalan kaji selidik badan antarabangsa TNS dan Gallup International. Syahdan akan kaji selidik itu menyebut 74 peratus mengakui pilihanraya itu bebas dan adil, sementara 69 peratus mengakui Malaysia ditadbir mengikut kemahuan rakyat. Syabas! Maka diberitahu kepada fakir semua media arus perdana melaporkan hasil kaji selidik itu di muka hadapan akhbar-akhbar besar hari ini (6 Disember 2007), kerana ianya memang menjadi kesukaan, kelekaan dan kepekaan seperti keperihalan katak di hujung pelepah kelapa keseronokan ditiup angin bayu yang diceriterakan kepada fakir oleh nenek moyang dahulukala. Heh heh heh!

Sebermula akan Sultan Mahmud itu mahu mengadakan pilihanraya bagi memilih bendahara setelah kematian Bendahara Putih yang masyhur lagi gah namanya ketika belayar ke benua China. Maka berbarislah sembilan orang calon (tapi tak pula berparti kononnya!), termasuklah Paduka Tuan Tun Muhammad bin Tun Perak, Seri Maharaja Tun Mutahir bin Tun Ali, Seri Nara Diraja Tun Tahir bin Tun Ali yang dikatakan paling kanan statusnya di istana Melaka. Syahdan akan bonda Sultan Mahmud itu adik kepada Tun Mutahir bersembunyilah di sebalik pintu katanya, “Pilihlah Pak Mutahir!”. Maka dipilihlah oleh Sultan Mahmud akan Tun Mutahir jadi bendahara lalu ditanya olehnya, “Adilkah?”. Dijawablah oleh tuan-tuan itu, “Adil Tuanku!”. Tak pula kedengaran kepada nenek moyang fakir, “Bersihkah?”, seperti juga yang didengar oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment