Monday, December 29, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


BAK SIRIH YANG PULANG KE GAGANG:
UNDANG YANG EMPAT MEMILIH YAMTUAN

Assalamualaikum,

Memang terlalu sulit pemilihan DYMM Tuanku Yang Dipertuan Besar, hingga jam 4.00 petang hari ini (29 Disember 2008) semuanya dirahsiakan sehinggalah YTM Dato’ Kelana Petra, Dato’ Haji Mubarak Dhuhak, Undang Luak Sungai Ujong (Imam Undang Yang Empat) secara rasmi membuat pengumuman di Balairongseri Istana Seri Menanti. Sekalipun saya cuba hubungi Kamarudzaman Salleh yang sentiasa bersama disisi YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau sejak hari kemangkatan Tuanku Jaafar 27 Disember 2008 yang lalu, tetapi beliau tetap merahsiakan segalanya, di samping hanya sekadar memberikan sedikit tip iaitu ‘angin baru’. Alhamdullillah.

Kerapatan Undang Yang Empat memilih DYMM Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir menaiki takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan seolah-olah bak sirih pulang ke gagang. Ketika kemangkatan ayahanda baginda Almarhum Tuanku Munawir pada 1967, Tuanku Mukhriz baru berusia 18 tahun sahaja di samping dalam kedudukan ‘Putera Yang Empat’, baginda memegang pesaka Tengku Panglima Besar. Walaupun baginda pernah dilantik menjadi Pemangku Yang Dipertuan Besar apabila ayahandanya ke luar negeri, tetapi Undang Yang Empat ketika itu memilih Tuanku Jaafar untuk menaiki takhta. Selepas 41 tahun berlalu, DYMM Tuanku Mukhriz dipilih menaiki takhta oleh Undang Yang Empat seperti disebut: ‘Sirih pulang ke gagang; cincin pulang ke jari, harta pulang ke empunya’. Barangkali!

BUSH MASIH CAKAP BESAR:
TUDUH HAMAS MACAM SAMSENG

George W Bush yang akan meninggalkan jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) 20 Januari 2009 ini, masih berlagak macam koboi apabila melabelkan pejuang Hamas sebagai ‘samseng’ ketika mengulas serangan Israel ke atas Gaza semalam (28 Disember 2008). Dalam serangan Israel ke atas Gaza yang dipanggil ‘Operation Cast Lead’, 290 jiwa terbunuh dengan 780 orang cedera bagi tempoh 24 jam. Seperti biasa pihak Israel memberitahu pihaknya seorang sahaja terbunuh akibat serangan 150 roket Hamas diikuti tembakan mortar ke selatan negeri Yahudi itu. Laporan kebangsatan Israel mengenai orang Yahudi hanya seorang sahaja mati, sekadar propaganda untuk naikkan semangat tenteranya seolah-olah mereka kebal macam Firaun Ramses.

Apalagi dengan insiden kasut terbang yang hampir menerjah ke muka George Bush dalam lawatannya ke Iraq baru-baru lalu, imej AS sebenarnya macam longkang pecah melimpahkan kotoran yang berbau busuk lagi busuk dan sebusuk-busuknya. Ironinya, bakal Presiden AS, Barrack Hussein Obama yang berjanji mahu memulihkan imej AS sekadar menyebut beliau ‘mengikuti rapat’ serangan Israel ke atas Gaza. Dalam tempoh tak sampai sebulan lagi Bush akan menjadi ‘kutu belahak’, beliau masih bercakap besar dengan tak memikirkan Barrack Hussein Obama yang akan menduduki Rumah Putih namanya mirip dengan musuh beliau iaitu Barrack (Saddam) Hussein Obama (Osama bin Laden). Justeru, PBB yang sudah tak berfungsi seharusnya memikirkan premis ibu pejabat dipindahkan dari AS ke negara lain yang lebih bermaruah.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


BEKAS PELAJAR MELAYU YANG DIEKSPRIMEN:
TAMPIL MENGAMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Dua bekas pelajar yang dieksprimen bagi pendidikan Melayu sekitar dekad 1950-an bersedia tampil mengemukakan saman kepada kementerian pelajaran sekiranya isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) tak diselesaikan secara bijaksana. Menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dua bekas pelajar yang dieksprimen apabila sekolah menengah Melayu mula dilaksanakan ialah pimpinan PRIMA sasterawan Dharmala N.S. (Pak Dharma) dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Mereka sudah berkorban untuk memartabatkan pendidikan aliran Bahasa Melayu, tetapi PPSMI seolah-olah melupakan pengorbanan mereka. “PRIMA akan mengambil tanggungjawab kalau GAPENA tak meneruskannya pada 31 Disember ini,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya Dato’ Kamal Amir menambah, pelajar-pelajar yang dieksprimen untuk pelaksanaan pendidikan menengah Melayu pasca merdeka, berhadapan dengan serba kekurangan termasuk buku teks yang tak sempat diterjemahkan, guru-guru yang tak terlatih sekadar daripada lulusan Kirkby di United Kingdom dan bangunan sekolah yang terpaksa menumpang di premis lain. Katanya lagi, pelajar-pelajar yang lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP yang setaraf LCE) pada 1960, diikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM yang setaraf MCE) tak disediakan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP yang setaraf HSC) untuk ke pusat pengajian tinggi, disebabkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hanya diwujudkan pada 1970.

“Pelajar-pelajar yang diekspimen ini hanya mampu menjadi guru, kerani dan lain-lain perjawatan rendah dengan kelulusan tersebut pada 1962,” jelas Dato’ Kamal Amir lagi. Justeru beritahu Dato’ Kamal Amir, Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein perlu memahami sejarah pendidikan Melayu sebelum berdegil mahu meneruskan PPSMI. Bagi menghargai pengorbanan bekas pelajar-pelajar yang dieskprimen ini, PRIMA tak teragak-agak meneruskan kempen ormas (organisasi massa), sekiranya Gapena masih mahu ‘bertarik tali’ dalam isu berkenaan. “PRIMA sudah menghubungi beberapa peguam Melayu yang bersedia bersama PRIMA mewakili dua orang bekas pelajar pendidikan Melayu yang dieksprimen ini,” kata Dato’ Kamal Amir.

ANWAR PERLU UNTUK KOMPROMI:
PELUANG TUBUH ‘KERAJAAN BARU’

Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim disaran berkompromi dalam usaha menubuhkan kerajaan baru yang ditaja kumpulan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah iaitu ‘Kerajaan Perpaduan’. Justeru mereka yang di sekeliling Dato’ Seri Anwar perlu menerima hakikat, kerajaan baru tak mungkin ditubuhkan dalam usaha mengakhiri dominasi UMNO dan BN sejak 1955, menurut kalangan penganalisis politik. Kalangan yang rapat dengan kem Tengku Razaleigh mengakui beberapa siri rundingan dengan pihak Dato’ Anwar sudah dijalankan, tetapi menemui jalan buntu apabila pihak PKR mahukan pemimpin mereka menerajui kerajaan selaku Perdana Menteri. “Kalau Dato’ Seri Anwar boleh berkompromi sebelum Mac 2009 kerajaan baru sudah boleh ditubuhkan,” beritahu kalangan yang rapat dengan kem Tengku Razaleigh.

Sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh memberitahu rundingan dengan Dato’ Seri Anwar masih dalam proses yang menggalakkan, sekalipun banyak perkara yang belum mencapai titik persamaan. Beberapa pihak percaya sekiranya berlaku peralihan kuasa pada Mac 2009, di samping bakal Presiden UMNO yang baru Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, kedudukan Dato’ Seri Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pasti akan terjejas. Mereka percaya Dato’ Seri Najib akan menggunakan isu liwat yang dihadapi Dato’ Seri Anwar bagi menghilangkan kelayakan menjadi Ahli Parlimen. “Selagi sistem kehakiman tak dipulihkan sepenuhnya, kedudukan Dato’ Seri Anwar adalah diragukan,” kata sumber tersebut.

Sebaliknya penghalang besar dalam setiap usaha Dato’ Seri Najib adalah Tengku Razaleigh yang ‘saham’nya semakin meningkat sekarang, menurut sumber daripada kem Tengku Razaleigh. Malah sumber tersebut tak menafikan Dato’ Seri Najib juga cuba mendapatkan sokongan Tengku Razaleigh, di samping Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berusaha ‘memancing’ Ahli Parlimen Gua Musang itu. Dalam senario politik sekarang Tengku Razaleigh dilihat terlalu penting bagi meredakan isu kekalutan yang sedang memuncak menjelang Mac 2009. “Sekiranya segala perbezaan antara Tengku Razaleigh dan Dato’ Seri Anwar dapat diselesaikan, kekalutan semakin mudah untuk mencari titik persamaan,” menurut sumber itu selanjutnya.

INFO SASTERA & BUDAYA

DITERBITKAN SEMPENA BACA PUISI:
ANTOLOGI SAJAK ‘SIMFONI PASIR SALAK’

Antologi sajak ‘SIMFONI PASIR SALAK’ akan diterbitkan sempena majlis baca puisi ‘Simfoni Pasir Salak: Mengarak Keranda 152 lagikah?’, beritahu penyalaras majlis baca puisi berkenaan Dr Seri Intan Mokhtar. Katanya, majlis baca puisi yang akan diadakan pada 24 & 25 Januari 2009 di Pasir Salak adalah manifestasi keberangan rakyat terhadap isu PPSMI (Pengajaran dan Pembalajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). Menurut Dr Seri Intan, antologi tersebut diselenggara oleh penyair Yassinsalleh yang juga bekas guru berkemahiran dalam terjemahan Melayu-Inggeris dan Inggeris-Melayu. “Penyair-penyair Melayu tak menentang usaha meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, tetapi PPSMI menghina perjuangan bahasa Melayu,” beliau menambah.

Seterusnya Dr Seri Intan menjelaskan, penyair Yassinsalleh yang berkemahiran dalam terjemahan Inggeris-Melayu dan Melayu-Inggeris, tak pernah pun mengikuti PPSMI, sebaliknya mampu membuat kerja-kerja terjemahan menerusi pembelajaran dalam sastera Melayu. Malah katanya lagi, Yassinsalleh pernah menghasilkan terjemahan perubatan dengan kaedah pembedahan tradisional pada dekad 1980-an yang disiarkan secara bersiri menerusi majalah INTISARI. Justeru menurutnya, PPSMI adalah agenda yang benar-benar mengelirukan, mencelarukan dan mengharukan. Bagi mereka yang berhasrat untuk menyertai antologi sajak ini ujar Dr Seri Intan bolehlah kirimkan menerusi emel kepada PRIMA muluk47@gmail.com atau Yassinsalleh: yassinsalleh2005@yahoo.com.

PUISI LAMA

Pantun Anak Melayu

Kalau tuan membeli lemang
Belikan saya rendang sepinggan
Kalau di Terengganu UMNO tergamang
Jangan biarkan Melayu ‘mati beragan’.

Pisang kelat dibuat lempeng
Bubuh kelapa siap diparut
UMNO tenat tambah melempeng
Najib terlupa ‘si tukang karut’.

Bulan mengambang tengah malam
Pungguk merayu berhiba-hiba
PAS hilang UMNO tenggelam
Di mana Melayu mahu berlaba?

Kalau tuan memotong nangka
Jaga getahnya jangan terpalit
Kalau ke Terengganu mahu berseloka
Tahulah siapa pandai pembelit!

Anak ikan dimakan ikan
Anak seluang patah ridiknya
Kalau terkilan mengundi sakan
Macam si bijak hilang cerdiknya.

Anak Melayu pandai berpantun
Mencari lawan bertemu muka
Hilang malu bersopan santun
Kuala Terengganu gelanggang dibuka.

-Sheikh Alba al-Kampari
Jelebu, Negeri Sembilan
27 Disember 2008.


INFO SUARA PROLITAR

SIAPA BAPA KRONI MALAYSIA:
ANWAR PERLU BUAT PENDEDAHAN

Apa hal SUARA KEADILAN? Cakap fasal dinasti Razak. Kenapa tak cakap fasal dinasti Lim Goh Tong, dinasti Vincent Tan, Yeoh (YTL), Tan and Tan dan lain-lain taukeh Cina di Malaysia? Bila Melayu berjaya sikit sakit hati. Phd – Penyakit Hasad Dengki. Kenapa tak tanya Anwar Ibrahim apa dia buat masa TPM dan Men Kew? Berapa banyak ahli perniagaan kroni yang dia sokong? MRCB dulu siapa punya? Bukan dinasti Anwar ke? Siapa yang baik dengan Francis YTL, Vincent Tan dan lain-lain? Suara Keadilan patut interbiu Anwar siapa Bapa Kroni Malaysia? (SMS 26 Disember 2008; 16:41:44 – Gerakan Anti Hipokrasi Malaysia – GAHM; 010-2019579)

PERATURAN TALI PINGGANG KENDERAAN
PASTIKAN SEMUA TAUKEH & VIP IKUT PERATURAN.

Tak lama lagi pemakaian tali pinggang keledar bagi tempat duduk belakang kenderaan dikuat kuasakan. Denda RM300 kepada yang langgar peraturan. Bagaimana dengan taukeh-taukeh besar yang menyandar di belakang, adakah ianya dikuatkuasa? Begitu juga dengan VIP, menteri-menteri dan raja-raja Melayu? Mereka semua duduk di kerusi belakang kenderaan. Pihak JPJ dan polis trafik perlu memberi jaminan semua mereka yang terbabit ikut peraturan ini.(SMS; 28 Disember 2008; 14: 28: 31 – Man Cincai, Selayang, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

IKAN DI AIR SUDAH TAHU:
JANTAN BETINA SELOKA ORANGKAYA
Sebermula maka berselokalah Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein akan kerajaan Melayu itu memperuntukkan RM200 juta bagi menaikkan taraf kemudahan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) yang daif, kurang selamat dan tak pernah menerima bantuan. Arakian disebutkan oleh Orangkaya Dato’ Seri Hishamuddin itu perihal sepupunya Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak sudah mengumumkan peruntukan tambahan bagi SBK ketika menggulung perbahasan di balarongseri (4 November 2008) yang lalu, adanya. Heh heh heh! Bagaimanapun rakan-rakan fakir sudah mengetahui terkilat ikan di air tahulah jantan betinanya, kerana tak lama lagi pilihanraya kecil di Kuala Terengganu.

Arakian maka beberapa puluh bagai ditulisnya oleh segala pandai Keling, tiada juga berkenan pada Hang Nadim. Maka kata segala penulis, “Hanyalah ini pengetahuan kami sekalian; jika lain daripada ini tiadalah kami tahu, tapi berilah teladannya supaya kami tulis.” Maka kata Hanng Nadim, “Mintalah dakwat penulis itu.” Syahdan diberi oleh Keling itu pada Hang Nadim. Maka ditulis oleh Hang Nadim pada kertas bunga yang seperti kehendak hatinya. Telah dilihat oleh segala penulis Keling yang banyak itu, maka sekaliannya heran tercengang-cengang melihat kelakuan tangan Hang Nadim menulis. Maka hendak diturut oleh sekalian penulis itu tiada dapat, kerana tujuannya macam terkilat ikan di air kelihatanlah jantan betinanya, seperti yang disebut dalam ‘Kitab Melayu’ yang dinukil oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, December 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

EDISI KHAS:

BAGINDA TUANKU JAAFAR MANGKAT
BELASUNGKAWA SEKALIAN RAKYAT JELATA

Assalamualaikum,

Kira-kira jam 1.45 tengahari, 27 Disember 2008, Kamarudzaman Salleh menelefon dari Balai Undang Luak Rembau beritahu beliau di pejabat YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau. Balai Undang dikawal rapi oleh polis, sebaik sahaja diumumkan DYMM Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Bagaimanapun sebelum Kamarudzaman menelefon, memang saya sudah mendengar berita ringkas di radio jam 12.00 tengahari mengenai kemangkatan baginda. Kamarudzaman sekadar beritahu YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip berkirim salam, di samping beliau menyaksikan fenomena di Balai Undang dengan pengumuman kemangkatan Yang Dipertuan Besar.

Secara peribadi saya pernah mengadap DYMM Tuanku Jaafar di Istana Hinggap, Seremban pada 1981, apabila menemani Tan Sri Abdul Samad Idris bagi mengundang baginda mencemar duli merasmikan muktamar Nasrul Haq di Seremban. Bagimanapun saya mengadap bukan atas kapisiti Pemangku Setiausaha Agung Nasrul Haq ketika itu, tetapi berbincang untuk menyediakan teks titah ucapan baginda pada hari perasmian muktamar. Baginda sendiri menitahkan teks titah ucapan tersebut diselitkan dengan pepatah petitih serta perbilangan Adat Perpatih. Kemudian pada dekad 1990-an, saya bersama Tan Sri Abdul Samad berlepas ke Padang di Propinsi Sumatera Barat terlebih dahulu sebelum baginda bersama keluarganya berangkat tiba membuat lawatan tak rasmi.

Kebetulan pula lawatan ke Sumatera Barat ketika baginda masih lagi Yang Dipertuan Agong, justeru Konsul Malaysia di Medan terpaksalah turun ke Padang. Malah Duta Malaysia di Jakarta juga turut menghadiri majlis-majlis rasmi bersama Gabenor Sumatera Barat ketika itu, Drs Hassan Basri Durin yang juga kenalan rapat Tan Sri Abdul Samad. Bersama Tan Sri Abdul Samad memang saya terbabit membantu membuat kaji selidik mengenai takhta kerajaan Negeri Sembilan, justeru serba sedikit pembabitan baginda dalam aktiviti kemasyarakatan dalam pengetahuan saya. Baginda diputerakan di Kelang pada 19 Julai 1922, ketika ayahanda baginda berkhidmat sebagai pegawai tadbir Melayu di Kelang, Selangor.

Memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seri Menanti pada 1928, baginda melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar mulai 1933. Menamatkan pengajian di Kuala Kangsar pada 1941, baginda dihantar ke Raffles College di Singapura tetapi tergendala akibat pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu. Pada period pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah Daerah Seemban. Berikutan Jepun menyerah kalah pada 1945, British kembali ke Tanah Melayu dengan mengirim Harold Mac Michael memaksa raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan menerima retorik penubuhan Malayan Union.

Ketika Harold Mac Michael ke Seremban pada 14 November 1945, bagi mendapatkan tandatangan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad bersama YTM Undang Yang Empat (Dato’ Kelana Putera Dato’ Maamor Kassim, Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman Dato’ Shahmaruddin Abdul Rahman, Undang Luak Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Kamat Sulaiman, Undang Luak Johol dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Ipap Abdulla, Undang Luak Rembau) serta wakil Tunku Besar Tampin, Sharifah Loyah – baginda Tuanku Jaafar menurunkan tanda tangan sebagai saksi bersama Tengku Nasir dan Tengku Hussain.

Apabila pembentukan Malayan Union, baginda berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) Rembau pada 1946. Baginda ditukarkan ke pejabat Sekretariat Negeri Selangor di Kuala Lumpur pda 1948, tetapi meletakkan jawatan beberapa bulan sahaja berkhidmat di situ. Seterusnya pda 1948, baginda berangkat ke London bagi melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Nottingham. Selepas menerima ijazah LL.B, baginda menerima kursus di seberang laut bagi persediaan berkhidmat dengan kerajaan apabila balik ke tanah air. Sekembalinya ke tanah air baginda dihantar berkhidmat selaku ADO Parit di Perak, kemudiannya Penolong Setiausaha Kerajaan III Perak di Ipoh.

Baginda mula berkhidmat di Negeri Sembilan pada dekad 1950-an dengan menjawat Pegawai Daaerah (DO) Tampin, tetapi pada 1957 memulakan perkhidmatan dalam bidang diplomatik. Dalam tahun 1957 baginda memegang jawatan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa-Bangsa Bersatu, diikuti Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London (1958-1962). Baginda mula berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Kaherah dan Republik Arab Bersatu (1963-1965) dan ditukarkan ke Nigeria dan Ghana (1965-1967). Ketika berkhidmat di Nigeria, baginda dipilih oleh Undang Yang Empat menaiki takhta kerajaan Negeri Sembilan pada 18 April 1967, berikutan kemangkatan kekanda baginda, Tuanku Munawir.

Sewaktu menuntut di Universiti Nottingham, baginda Tuanku Jaafar aktif dalam sukan malah pernah menjadi juara badminton, skuasy dan tenis di kalangan pelajar-pelajar di situ. Memang baginda merupakan pemain badminton, skuasy dan tenis yang baik sejak menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tak hairanlah baginda juga merupakan aktivis badan sukan dengan menjadi Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Melayu Malaya dan Yang Dipertua Persatuan Bolasepak, Kriket dan Hoki Melayu bagi negeri Perak. Baginda dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong ke 10 (1994-1999) dalam Persidangan Raja-Raja Melayu, selepas berakhir pusingan sembilan raja-raja Melayu memegang jawatan Yang Dipertuan Agong Malaysia. Al-Fatehah!

-Pak Dharma

Friday, December 26, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

LUCU INSIDEN ANAK BERKHATAN:
PENDARAHAN MINTA DOA TENGKU RAZALEIGH

Assalamualaikum,

Bapa saudara saya Yassinsalleh berkunjung ke rumah malam 25 Disember 2008 sebaik sahaja mendapat tahu kelahiran cucu saya Puteri Nurlaily Suffiyah. Sebelumnya Dato’ Kamal Amir menelefon bagi mengucapkan tahniah, sementara isterinya Datin Rozi menghubungi isteri saya. Mungkin sahaja melucukan mengenai insiden anak-anak Dato’ Kamal Amir yang berkhatan pada 20 Disember 2008, kebetulan saya tak dapat hadir disebabkan ke Pekan melihat suasana di rumah peninggalan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak di pinggir Sungai Pahang pada hari Sabtu. Apalagi setiap hari Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak memang balik ke Pekan, di samping rumah berkenaan menjadi pejabat khidmat masyarakat Ahli Parlimen Pekan. Heh heh heh!

Lucunya, anak-anak Dato’ Kamal Amir mengalami pendarahan menyebabkan Datin Rozi juga panik, lantas menelefon isteri saya pada 24 Disember 2008. Sebaliknya Dato’ Kamal Amir tak panik, tetapi menghubungi Tengku Razaleigh Hamzah bukannya doktor bagi mendapat khidmat nasihat. Tengku Razaleigh sekadar membekalkan Dato’ Kamal Amir air yang sudah didoakan sama seperti dilakukan oleh pemimpin Darul as-Syifa’ Dato’ Dr Harun Din. Alhamdullillah, pendarahan yang dialami anak-anak Dato’ Kamal Amir sembuh selepas meminum air yang didoakan oleh Tengku Razaleigh. Rupa-rupanya Tengku Razaleigh juga berkemahiran dalam rawatan tradisional, sekalipun beliau tak dikenali dengan kebolehan tersebut.

Memang tak menghairankan kemahiran Tengku Razaleigh dalam rawatan tardisional, kerana Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris pun banyak memberitahu saya mengenai rahsia rawatan tradisioanal. Sekalipun beliau terbabit dalam gerakan politik di samping menduduki kerusi kabinet, tetapi tak menyisihkan rawatan secara tradisional yang jelas dianggapnya sebagai ‘budaya Melayu’. Pernah satu ketika seorang tetamu (wanita) berkunjung ke pejabatnya di Finas mengalami histeria, beliau sekadar merenung tajam kepada tetamu berkenaan hingga gangguan histeria itu terhenti. Tak hairanlah Dato’ Kamal Amir mengakui, kadangkala perlu menerima hakikat mengenai kaedah rawatan tradisional juga mampu membantu.

Dr Amar Hassan dari Perlis pula mengirim SMS apabila terlepas daripada hukuman Jawatankuasa Disiplin UMNO yang dipengerusikan Tengku Ahmad Rithauddin Ismail, justeru tak dipecat dari Bahagian Arau. Sebelumnya Dr Amar merupakan aktivis Pemuda UMNO Negeri Perlis, yakni sudah lama menjadi ahli UMNO. Entah kenapa beliau tiba-tiba tersenarai sebagai aktivis yang dipantau oleh jawatankuasa disiplin, yang turut akan dipecat? Ketika UMNO dalam keadaan kucar-kacir, mundar-mandir dan cemar-cupir mahu memecat aktivis yang berpotensi seperti Dr Amar, mungkin sahaja UMNO akan berhadapan dengan suasana: Dikerat tak bersambung, dicarik tak bertampung; dicicir tak berpungut, dipinggir tak bersangkut. Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

UMNO PASTI ‘BUNGKUS’ DI TERENGGANU:
SEMPADAN TERAKHIR TAKAH SURVIVAL NAJIB

Banyak pihak berpendapat UMNO ‘bungkus’ dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari 2009 ini berdasarkan beberapa spekulasi. Justeru pilihanraya kecil berkenaan menjadi ‘sempadan terakhir’ kepada takah survival politik Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang bakal menjadi Presiden UMNO pada Mac 2009 nanti. Penganalisis politik Sallehuddin Hashim berkata, “Pilih Wan Farid masuk parit, nak lawan tengok PAS letak calon kerana ianya undi Cina menjadi penentu.” Menurutnya lagi, kalau pragmatik untuk memilih UMNO sepatutnya Zuber Embong diletakkan sebagai calon. Seterusnya Sallehuddin merasakan peluang UMNO untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu terlalu sukar.

Ketika UMNO berhadapan masalah, PAS juga perlu memastikan calonnya diterima oleh pengundi di Kuala Terengganu, kata aktivis masyarakat Dr Seri Intan Mokhtar. Beliau memberitahu, kenyataan Dato’ Husam Musa mengenai isu hukum hudud mungkin menjejaskan sokongan pengundi Cina, tetapi faktor kemenangan PAS adalah bergantung kepada kebobrokan pimpinan UMNO sekarang. Dato’ Seri Mohd Najib diketahui umum sebagai pemimpin bermasalah, justeru calon yang dianggap proksi beliau akan lebih sukar diterima oleh pengundi. Apalagi sudah kedengaran desas desus Ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz mahu menjadikan pilihanraya kecil ini sebagai platform menguji pengaruhnya menjelang pemilihan UMNO Mac nanti. “Kalau pimpinan UMNO di luar Terengganu dibawa berkempen, pilihanraya kecil akan memihak kepada PAS,” menurut Dr Seri Intan menambah.

PEMILIHAN KETUA PENGARAH DBP:
KEWIBAWAAN PENDIDIKAN MELAYU

Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Profesor Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah berkelayakan ditampilkan selaku Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berdasarkan keterampilan beliau melonjakkan kewibawaan pendidikan Melayu. Dato’ Dr Mohd Mansor yang memulakan pendidikan peringkat menengahnya di Sekolah Menengah Dato’ Abdul Razak, Tanjung Malim bukan sahaja antara pelajar pendidikan Melayu yang dieksprimen bagi memenuhi aspirasi perjuangan nasionalisme UMNO dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KKGMS) sekitar 1958/59, malah pencapaian akademiknya mengkagumkan. Sebagai pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor juga aktivis sastera dan persuratan yang memahami aspirasi sebenar takah perjuangan Bahasa Melayu.

Di samping Dato’ Dr Mohd Mansor, bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ A Aziz Deraman juga masih berkemampuan melonjakkan kedaulatan Bahasa Melayu seperti ditampilkan beliau menerusi ‘Majlis Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu’ pada Ogos 2000. Dato’ A. Aziz yang juga bekas pelajar di Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman, Cheras adalah berasaskan pendidikan Melayu, di samping pemikir budaya yang berwibawa apabila memegang jawatan pengarah kebudayaan pada period Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dilestarikan sekitar dekad 1970-an. Justeru Kementerian Pelajaran di bawah Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dalam usaha memulihkan semula imej DBP sebagai penggerak Bahasa Melayu wajar memastikan dua tokoh sastera dan persuratan terbabit menduduki kerusi Ketua Pengarah DBP. Mudah-mudahan!

PRIMA SEDIA AMBIL TANGGUNGJAWAB
SAMAN KERAJAAAN KALAU GAPENA UNDUR

Pimpinan PRIMA bersedia meneruskan langkah menyaman kerajaan dan Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein yang mencabul Perkara 152 Perlembagaan dalam isu pelaksanann Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sekiranya Gapena gagal berbuat demikian, kata aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar (MSO). Serentak dengan itu Haji Mohd Sayuti mengumumkan majlis Baca Puisi 152 pada 31 Disember 2008 ini jam 8.30 malam di kediaman Dato’ Kamal Amir No. 1 Lorong Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail. “Kalau Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mahu bertolak ansur, PRIMA akan meneruskan langkah sebagai manifestasi bangsa Melayu,” beliau menjelaskan.

Siri Baca Puisi 152 akan diteruskan di Pasir Salak pada 24 & 25 Januari 2009, di samping sebelum itu akan digerakkan ke Kuala Terengganu pada 7 Januari 2009 sempena penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, menurut Haji Mohd Sayuti menambah. Kesabaran PRIMA sudah tak mampu bertahan selagi kementerian pelajaran secara arogan mahu meneruskan pencabulan Perlembagaan Persekutuan, kata beliau. Sementara itu di Temerloh, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia (KPKM), Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah bersedia membawa PRIMA menggerakkan majlis Baca Puisi 152 di kediamannya bila-bila masa sahaja. “Bangsa Melayu pasti berasa berang apabila hak mereka dicabul sewenang-wenangnya,” beliau memberitahu.

INFO SASTERA & BUDAYA

MAJLIS ARTIS SEKADAR KOMERSIL:
JANGAN SAMPAI JADI FANTASI KETERLALUAN.

Penghargaan kepada artis yang keterlaluan oleh masyarakat hingga meminggirkan para sasterawan dianggap sebagai budaya undur ke belakang, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menyentuh penghargaan kepada majlis perkahwinan artis yang dianggap komersial, di samping menimbulkan perbalahan di kalangan stesen TV menurut Dato’ Kamal Amir, ianya membawa masyarakat ke alam fantasi seolah-olah majlis perkahwinan artis lebih bernilai daripada ‘budaya negara’. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA beliau berkata, akibat fantasi yang keterlaluan artis luar negeri juga diberi anugerah pingat kebesaran yang membawa gelaran Dato’. “Bukan sahaja di negara berkenaan pingat tersebut tak dihargai oleh masyarakatnya, malah tak sesuai dengan budaya di negeri itu,” beliau menjelaskan.

Sebaliknya menurut Dato’ Kamal Amir, aktivis budaya yang mengangkat martabat jatidiri bangsa terus dipinggirkan ketika negara lain mementingkan kebudayaan masing-masing. Pemikir budaya seperti Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee misalnya, dianggap sebagai karyawan filem sahaja semasa hayatnya, hanya diberi penghargaan selepas beliau meninggal dunia. Justeru katanya lagi, ramai kalangan pemikir budaya di kalangan aktivis persuratan tak diberi penghargaan disebabkan pandangan mereka yang kritis. Beliau menyebut beberapa tokoh seperti Yassinsalleh, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Suhaimi Haji Muhammad, Dato’ Ruhanie A.R., Yahaya Ismail atau Mohd Affandi Hassan yang dianggap penyair biasa sahaja. “Pandangan mereka kritis, tetapi sumbangan kepada pemikiran budaya Melayu lebih hebat daripada Shah Rukh Khan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) Hajjah Fauziah Raof yang baru sahaja menjalani pembedahan lutut di Hospital Selayang turut melahirkan kekesalan dengan penghargaan yang keterlaluan kepada artis. Ahli-ahli sukan yang pernah mengharumkan nama negara satu ketika dulu, dianggap terlalu kecil sangat sumbangan mereka dibandingkan daripada artis-artis, beliau menambah. Begitu juga dengan bekas wartawan-wartawan dianggap lebih rendah sumbangan mereka daripada artis-artis. Sekalipun bekas wartawan-wartawan tetapi merekalah yang mengangkat artis-artis berpotensi, begitu juga bekas ahli-ahli sukan turut mengharumkan nama negara. “Janganlah sampai penghargaan itu diberikan kepada tersalah orang, tetapi berdasarkan untuk seronok-seronok,” beritahu Hajjah Fauziah.

PUISI LAMA

Puisi Berkanun

Tikam bunuh padang berdarah
sial baka berpuntung suluh
upih racun sisa dimakan
maling curi terluang dinding
samun saka tegak di batas
umbut umbi tebu di bibir.

Sumbang salah laku perangai
menggonggong membawa terbang
pulang pagi berbasah-basahan
menjual bermurah-murah
dahaga dahagi memberi malu
mamak menyembah malam
kemanakan menyembah siang
raja adil raja disembah
raja nanar raja disanggah.

Kemanakan beraja ke mamak
mamak beraja pada penghulu
penghulu beraja pada muafakat
muafakat bersendi alur dan patut
alur patut bersendi benar
benar berdiri sendiri-sendirinya!

-Alba
Jelebu, Negeri Sembilan.
25 Disember 2008.

INFO SUARA PROLITAR

SATU KILO HARGA GETAH:
TAK MAMPU BELI SEPINGGAN NASI

Harga getah yang turun hingga RM1.25 sekilo, tak mampu untuk membeli sepinggan nasi goreng RM4.00. Memang kerajaan tak mempunyai ‘tongkat sakti’ bagi mengubah harga barangan dalam tempoh satu malam, tetapi perancangan yang baik mungkin boleh membantu rakyat. Apalagi pekebun-pekebun kecil harapkan untuk meminta bantuan, kalau bukan kepada kerajaan? – (SMS; 25 Disember 2008; 13: 41: 28 – Rusdi; Felda Titi, Jelebu, Negeri Sembilan)

AMALAN TIKAM KAWAN DI BELAKANG
PATUT JADI PERINGATAN KEPADA UMNO

Langkah Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato’ Zahar Hashim menyertai PAS, sepatutnya menjadi peringatan kepada UMNO supaya tak menikam kawan dari belakang. Sikap menikam kawan dari belakang dan bertindak macam sulur kacang melilit junjung, memag menjadi amalan UMNO. Lagi ramai dipecat, lagi cepat UMNO menjadi sejarah - (SMS; 24 Disember 2008; 22:37:21 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

JANGAN SEMBUNYI PUNCA VIRUS:
HENTI MEMBINA RUMAH BURUNG

Kementerian Kesihatan tak seharusnya menyembunyikan punca virus chikungnya, jika benar ianya disebabkan nyamuk yang membiak menerusi air bertakung di kawasan rumah memelihara burung walit (burung layang-layang). Hentikan pembinaan rumah memelihara burung walit dibina yang mencari keuntungan hasil sarang burung tersebut, tetapi implikasinya menyusahkan orang ramai. – (SMS; 24 Disember 2008; 23:42:09 – Abu Zahim, Tapah, Perak)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA PAK LAH DUKACITA:
APABILA GEORGE BUSH DIKASUTKAN

Syahdan tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pergilah ia ke negeri Farsi. Maka berteguhan janjilah ia dengan pemerintah di negeri Farsi, Mahmoud Ahmadinejad untuk sama-sama berniaga kedua-dua negeri Farsi negeri Melayu itu. Sebermula Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah taklah ia bersetuju akan penitir canang di negeri Baghdad melontarkan kasut ke muka pemerintah negeri atas angin yang bernama George W Bush. Maka diceritakan orang banyak akan George W. Bush dilontarkan dengan kasut, kerana terlalu bencinya orang di negeri Baghdad akan tingkah lakunya. Arakian tak terperikan ramainya orang di negeri Baghdad menjadi mangsa peperangan George W. Bush itu.

Sebermula telah datang ke Goa maka diwartakan kepada wazir-wazir peri kebesaran negeri Melayu bernama Melaka dengan makmurnya serta dengan ramai bandarnya. Pada masa itu wazirnya di Goa, Alfonso d’Albuqarque namanya. Maka ia pun terlalu ingin mendengar khabar negeri Melaka itu. Maka ia menyuruh berlengkap kapal tujuh buah, dan ghali panjang sepuluh, fusta tiga belas. Telah sudah lengkap mak disuruhnya meyerang Melaka, maka negeri atas angin itu tak mahu negeri Melayu itu melebihi akan kemayshuran negerinya. Maka Gonzalo Priera nama kapitanya telah datang ek Melaka, maka dibedilnya dengan meriam. Syahdan ramailah rakyat negeri Melaka menjadi mangsa sama seperti rakyat Baghdad dibedil George W. Bush yang dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, December 24, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

HADIAH MENJELANG TAHUN BARU:
MENYAMBUT KEHADIRAN CUCU PERTAMA

Assalamualaikum,

Bagi pihak PRIMA saya mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempena hari jadinya ke 82 pada 20 Disember 2008, kerana tarikh berkenaan memang sentiasa menjadi ingatan saya, berikutan hari jadi saya jatuh pada 21 Disember. Rupa-rupanya selepas hari jadi saya pada 21 Disember, hadiah menjelang tahun baru ialah menyambut kehadiran cucu pertama saya Puteri Nurlaili Suffiyah, selepas solat Maghrib kira-kira jam 7.40 malam pada 22 Disember 2008. Memang agak terlewat saya menimang cucu, kerana rakan-rakan sebaya sudah mempunyai lebih 10 orang cucu. Malah kawan-kawan yang lebih muda usia pun cucunya ramai, disebabkan pada usia awal 20-an sudah mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun semalam (22 Disember 2008), seorang kawan beritahu mengenai kong kalikong dalam frasa pengagihan buku menerusi skim Biro Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran. Buku-buku yang dihantar ke Sarawak dan Sabah yang diberikan kepada ‘pembekal’, menunggu bayaran dari BTP untuk melunaskan wang kepada pihak penerbit. Malah ‘pembekal’ yang gagal menyalurkan buku-buku ke sekolah melaporkan penerbit-penerbit tak mempunyai stok. Isu yang dihadapi oleh penulis-penulis buku ialah sama ada ‘pembekal’ benar-benar peniaga yang ‘tulen’ atau sekadar peniaga ‘anugerah’ menerusi kroni politik. Apabila penerbit ‘kantoi’, sudah tentu peruntukan BTP tak sampai kepada sasaran untuk membantu penulis. Barangkali!
Misalnya, berlaku kes BTP sudah melunaskan bayaran kepada pembekal ‘anugerah’ berdasarkan dokumen yang dilampirkan, tetapi buku-buku tak sampai ke destinasi atas alasan penerbit tak mempunyai stok. Astaga! Sepatutnya bayaran yang sudah dilunaskan kepada pembekal ‘anugerah’ seharusnya dikembalikan, bukan menyenarai hitamkan penerbit yang kononnya tak mempunyai stok mencukupi. Justeru, Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein wajar ‘turun padang’ bagi memantau pembekal buku ‘anugerah’ yang sekadar kroni dengan diluluskan oleh BTP. Setidak-tidaknya pembekal buku lengkap dengan kemudahan perhubungan yang boleh dihubungi oleh penerbit.

Isu yang sama turut dihadapi Perpustakaan Negara yang diberi peruntukan membeli buku-buku terus dari pengarang ketika di bawah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa), Dato’ Seri Dr Rais Yatim. Bagaimanapun apabila kementerian yang sama berubah nama kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di samping menterinya Dato’ Shafie Apdal, skim membeli buku terus kepada pengarang dimansuhkan. Perpustakaan Negara membeli buku-buku daripada penerbit, tetapi ironinya satu penerbit sahaja memperoleh lebih 100 judul buku; apalagi ianya dikenali bukan penerbit bumiputera. Kalau BTP untuk pembekal buku, Perpustakaan Negara untuk penerbit ‘tunggal’, siapa pula untuk pengarang Melayu? Alahai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

ORANG KUAT GAPENA BUAT KEPUTUSAN YANG TEPAT
AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP KP

Syabas! Ketua Satu Gapena Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Pelajaran dalam isu Bahasa Melayu dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana mencabul perlembagaan negara mengikut Perkara 152. Tak timbul selepas enam tahun dilaksanakan baru Gapena mengambil tindakan seperti didakwa Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, tetapi perjuangan bahasa sudah digerakkan sejak 1950-an, malah dilanjutkan hingga 1960-an dan pada 1970-an Bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya di Dewan Rakyat dan mahkamah. Barangkali Dato’ Seri Hishamuddin sudah terlupa, justeru perlu diingatkan menerusi tindakan undang-undang.

PRIMA menyokong penuh langkah Gapena, malah bersedia untuk mengumpul dana bagi membantu tindakan undang-undang ke atas kementerian terbabit boleh dilaksana. Profesor Emeritus Tan Sri Ismail tak akan berseorangan dalam perjuangan bahasa, dan Dato’ Seri Hishamuddin wajar memahami aspirasi bangsa Melayu. Langkah PRIMA menyokong ‘Grup Pemuisi Simfoni Pasir Salak’ menganjurkan majlis baca puisi di samping kesediaan mengarak ‘Keranda 152’ seperti pada dekad 1960-an seharusnya menyedarkan Dato’ Seri Hishamuddin ‘sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan’. Melaksanakan kekuatan ‘kuasa’ bagi menghalal cara, belum pernah mencapai matlamatnya, kerana George W Bush yang mampu menggunakan kekuatan militan ke atas Iraq akhirnya dimalukan dengan lontaran kasut ke muka. Begitulah!

INFO SASTERA & BUDAYA

ANTOLOGI PUISI ‘HIJRAH MUSAFIR’
SENTUHAN BERSAHAJA PENULIS PAHANG

Sempena ulang tahun ke 50 Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), organisasi massa (ormas) berkenaan menerbitkan antologi puisi penulis Pahang ‘Hijrah Musfair’. Antologi yang diselenggara oleh Baharuddin C D dan Rahman Haji Yusof memuatkan karya 35 penulis kebanggaan ormas di negeri Pahang. Dengan kata pengantarnya dari Profesor Rahman Shaari, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, ‘Hijrah Musafir’ mungkin sahaja sentuhan bersahaja penyair-penyair veteran termasuk E. Tan Alauddin, M. Ashikin, M.Z. Alias, Baharuddin C.D., Sahmad Malaya atau L. Mankadir Shamsi. Sekalipun tak menampilkan bait-bait simbolisme, ambiguitis atau imajeri yang hebat, tetapi ‘Hijrah Musafir’ tetap merakamkan jatidiri ‘Melayu’nya.

Membaca beberapa puisi yang termuat dalam ‘Hijrah Musafir’, ormas di Pahang seolah-olah meminggirkan Yassinsalleh, penyair yang sentiasa bermain dengan ungkapan melankoliknya seperti ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ dan ‘Semantan Tersulakah Engkau’. Memang ketiadaan Yassinsalleh dalam antologi puisi yang diterbitkan DPMP, ianya seolah-olah tak melengkapi suara penyair anak Pahang. Misalnya, apabila GAPENA sekitar dekad 1980-an dimalukan dengan penolakan Pak Sako bagi menerima anugerah ‘Budayawan Gapena’, ianya dianggap kerana hadiahnya sekadar sepasang pakaian Melayu. Fakta sebenarnya ialah, Pak Sako terkilan apabila Pak Zek (Zakaria Hitam) juniornya terlebih dahulu diberi anugerah ‘Budayawan Gapena’ itu. Maknanya, kenapa beliau dipinggirkan oleh Gapena sebelum itu?

PUISI

Legasi Puteri Prolitar

(Selamat datang cucuku
Puteri Nurlaili Suffiyah)

Ku perhatikan malam
tertegun merapati
kilau mimpi melimpah
ke sisi angin waktu
yang terhambat memukau
bibir lembutmu membelah
getar tangis di tembok pasrah
mengombak ke dadaku
bak siulan camar senja.

Lepaskan jarum arloji
memutar waktuku yang singkat
di atas permaidani ungu
ku hitung bulatan cahaya
di celah jeriji purnama
tabtibau semakin galak
melompati lurah gaung
mencari keramahan tangismu.

Ku cari aroma wangian
di hujung pelipismu
antara getar angin & sumber rahsia
bayang malam di dadaku
hulurkan jari jemarimu
menyambut butir-butir doa
dalam genggaman syahdu
titisan legasi puteri prolitar!

-Dharmala N.S.
Kuala Lumpur
22 Disember 2008.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PERKARA HUKUM HUDUD DISEBUT:
KETIKA PILIHANRAYA DI TERENGGANU

Sebermula berkatalah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak perkara hukum hudud yang disebut-sebut harakah Islam (PAS) itu sudah lapuk. Arakian akan PAS itu tak pula menyebut-nyebut hukum hudud, tetapi Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib sengaja mahu melaga-lagakan mereka. Syahdan kalau tak berlakulah pilihanraya kecil di Kuala Terengganu itu, maka Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib pun tak tahu bercakap mengenai hukum hudud. Maka akan kerajaan negeri Melaka dan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Ali Rustam juga akan menjemput Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib hari ini (25 Zulhijjah 1429/23 Disember 2008) untuk melancarkan kewangan Islam (DMDI) heh heh heh!

Syahdan maka raja Pahang pun tersenyum. Titah baginda, ‘Adapun Telanai Terengganu kita suruh bunuh itu sebab biadap mulutnya, mengata-ngata negeri Melaka di bawah kelengkapannya. Adapun saudara sepupu Seri Akar Raja yang mati itu, mana bicara laksamana dengan Seri Akar Raja, kerana ia bukan orang lain pada laksamana.’ Maka laksamana dan Seri Akar Raja bermohon pergi menanamkan saudara sepupunya itu. Maka Sultan Pahang berangkat masuk. Maka segala yang mengadap itu pun masing-masing kembali ke rumahnya. Maka laksamana pun turun ke perahunya, kerana tak mahulah ia mendengar akan perkara hukum hudud yang dibesar-besarkan oleh Orangkaya Seri Akar Raja seperti halnya Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib yang dikarang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Monday, December 22, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

KETIKA BERDIRI DI TEBING SUNGAI
LOKASI BALAI POLIS DI BAKAR DI SEMANTAN.

Assalamualaikum,

Sempat juga singgah di masjid di Mempatih, Lancang untuk solat subuh, dalam perjalanan ke Pekan semalam (20 Disember 2008). Disebabkan temu janji jam 10.00 pagi, Ir Fazal Khan mengajak bertolak jam 4.00 pagi dari Kuala Lumpur. Masya Allah! Rupa-rupanya masjid di perkampungan Lana di Mempatih itu adalah lokasi perjuangan anak-anak Pahang memulakan frasa gerakan nasionalisme pimpinan Dato’ Bahaman Orangkaya Semantan. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Malaysia, Syed Adenan Dato’ Syed Abdullah menunjukkan kepada saya, tapak bekas pekan Semantan dari jambatan Mempatih. Apalagi lokasi tapak bekas pekan Semantan memang terletak di bawah jambatan berkenaan.

Seolah-olah terimbau kepada saya insiden Dato’ Bahaman membakar balai polis Semantan di pinggir sungai sekitar tahun 1891, disebabkan di tapak lokasi berkenaan masih tersergam sebatang pokok besar. Di situlah balai polis atau markas pasukan Sepahi (menurut Ir Fazal Khan ‘Sepahi’ dalam bahasa Urdu bermaksud ‘tentera’) ditempatkan, yang menjadi sasaran Dato’ Bahaman. Bagaimanapun kata Syed Adenan (Abang Engku), sebenarnya Dato’ Bahaman tak sehebat yang digambarkan oleh orang-orang Melayu hingga boleh ditembakkan menjadi peluru lela (meriam). Dato’ Bahaman adalah sekadar pemimpin biasa, tetapi mempunyai strategi perang yang tersusun.

Mungkin sahaja Dato’ Bahaman yang gelarannya ‘Orangkaya Semantan’ sebagai pembesar istana memang mempunyai amalan kebatinan, tetapi bukan seperti yang diberi gambaran oleh masyarakat Melayu terlalu hebat. Malah dikatakan boleh melompat dari tebing ke tebing Sungai Semantan, seolah-olah seorang yang memilik supernatural power. Sebagai manusia biasa Dato’ Bahaman sendiri pernah diperintahkan oleh Sultan Pahang membantu Tengku Kudin (Ridhauddin) yang disokong British untuk melawan pemberontakan Raja Mahadi di Selangor tahun 1872 (atau 20 tahun sebelum kebangkitan nasionalisme di Pahang).

Wilayah yang ditadbirkan oleh Dato’ Bahaman bukanlah Temerloh (Kuala Semantan), tetapi Mukim Semantan yang meliputi Lancang dan Mentakab. Selepas Dato’ Bahaman dilabel sebagai ‘penderhaka’, jawatan Orangkaya Semantan sebagai pembesar istana dimansuhkan, tetapi sebagai pelaksanaan dasar ‘pecah dan perintah’ Inggeris ianya digantikan dengan jawatan ‘Dato’ Setia Pahlawan Semantan’. Tokoh pertama memegang jawatan ‘Dato’ Setia Pahlawan Semantan’ ialah datuk kepada Abang Engku sendiri, Dato’ Syed Ali al-Habshi. Adik kepada Dato’ Syed Ali al-Habshi ini dikenali Syed Zin al-Habshi berpindah ke Jelebu di Negeri Sembilan.

Ketika di Jelebu Syed Zin dikenali ‘Syed Zin al-Jefri’ berkahwin dengan waris berundang Ulu Jelebu, justru anaknya Syed Ali Syed Zin al-Jefri dilantik menyandang pesaka Undang Luak Jelebu sehingga 1895. Disebabkan Jelebu di bawah pemerintahan Dato’ Syed Ali al-Jefri pada 1891 itu, tak hairanlah ramai pejuang-pejuang Pahang melarikan diri ke Jelebu sebelum ke Terengganu. Dato’ Bahaman dikatakan pernah membuat pertahanan di Jeram Ampai, Kenaboi di Jelebu (kira-kira tiga kilometer dari Pahang merentasi Gunung Besar Hantu), berdasarkan Jelebu di bawah pemerintahan Dato’ Syed Ali al-Jefri.

Sebaliknya apabila istana melantik Syed Ali al-Habshi (bapa saudara Dato’ Syed Ali) memegang jawatan Dato’ Setia Pahlawan Semantan pada 1892 atas nasihat British, tak hairanlah Dato’ Bahaman melarikan diri ke Terengganu yang juga disebut Jeram Ampai sebagai pertahanannya. Bagaimanapun menurut Abang Engku, memang ada perjanjian sulit di antara Dato’ Bahaman dengan datuknya Syed Ali al-Habshi, apabila jawatan Orangkaya Semantan dimansuhkan dan diganti kepada Dato’ Setia Pahlawan Semantan. Bagaimanapun Abang Engku taklah berbangga dengan jawatan anugerah British yang disandang oleh datuknya, kemudian diwarisi oleh ayahnya Dato’ Syed Abdullah.

Pada 1964 Abang Engku pernah bertanding atas tiket Bebas ketika memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Lancang, sekalipun ayahnya Dato’ Syed Abdullah bertanding atas tiket UMNO di DUN Mentakab. Dalam usia 21 tahun, Abang Engku mencuba nasibnya menentang arus, bagaimanapun tewas kepada calon MCA di DUN Benus (sekarang Lancang). Beliau seolah-olah tak menghiraukan kedudukan ayahnya yang bertanding di DUN Mentakab boleh terjejas, sebaliknya Dato’ Syed Abdullah memberitahu saudara maranya, “Terpulanglah pada awak semua sama nak sokong Nan atau tidak”. Begitulah semangat anak Semantan, barangkali!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA:

SENJATA AMPUH PAS DI TERENGGANU
CALON UMNO BERHADAPAN PANCAROBA

Pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjadi calon UMNO dalam pilihanraya kecil Parlimen KualaTerengganu adalah sebagai ‘orang pilihan Najib’, kata bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak semalam (20 Disember 2008) di Kuala Terengganu apabil UMNO negeri itu mengemukakan nama Dato’ Wan Ahmad Farid, beliau memberitahu jurang perpecahan UMNO semakin ketara, sekalipun semua pihak cuba menafikan. Apalagi keputusan UMNO sekarang banyak dibuat oleh Dato’ Seri Najib yang bakal mengambil alih kuasa pada Mac 2009, jelasnya. “Peluang calon UMNO menang bukanlah mudah dalam keadaan perpecahan sekarang,” menurut Dato’ Kamal Amir.

Katanya lagi, PAS mungkin sahaja meminta sokongan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zaid Ibrahim sebagai senjata ampuh pada pilihanraya kecil di Kuala Terengganu 17 Januari 2009 akan datang. Dato’ Zaid menjadi wira baru orang Melayu di pantai timur, apabila meletak jawatan menteri kerana memprotes ISA yang berkaitan dengan isu penulis blog Raja Putra Kamaruddin mendedahkan kes Datin Seri Rosmah Mansor. Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, protes yang dilakukan oleh Dato’ Zaid adalah prinsip apabila ISA digunakan untuk kepentingan pihak tertentu, bukan masalah keselamatan awam sebenarnya. “Mungkin PAS akan menampilkan Dato’ Zaid sebagai senjata ampuh, ketika UMNO di ambang perpecahan,” beritahu Dato’ Kamal Amir menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA:

PUISI

Di Hujung Mimpi

Kadang-kadang kita singgah
mandi air terjun
sambil mendengar serindit
berkicauan
dan mentari turun
menyulam pelangi
indah sungguh bercinta.

Kadang-kadang kita singgah
menghitung manik embun
sambil bintang-bintang menari
dan bulan membelai
tubuh kita tak berbenang
nikmat sungguh berkasih.

Kadang-kadang pula
kita terdampar di gurun sengsara
kita berdakapan
di ranjang kerikil
dan bara pasir
menghampar pilu yang amat
saujana duri kaktus
pembalut luka
tabah sungguh merempuh dugaan.

Tiba-tiba kini tidak lagi
meniti pelangi
kerana kau tak mahu lagi
menatang mimpi
dan aku tak pandai
menjanjikan fatamorgana
siksa sungguh rindu!

-Yassinsalleh
jam 1430
Disember 19, 08.


INFO SUARA PROLITAR:

PERJUANGKAN ISU MELAYU
JANGAN KOKOK AJE BERDERAI!

Syabas GPMS dan ketuanya Dato’ Reezal Merican Naina Merican, nak pertahankan isu berkaitan orang Melayu. Nak perluaskan biasiswa JPA, macam mana dengan PTPTN yang dibangkitkan orang Melayu? Kita pun tahu yang perlekehkan orang Melayu, bukan orang lain, tapi orang Melayu juga. PPSMI, apa dah jadi dengan GPMS? Bahasa Melayu pun GPMS tak berani nak cakap. Orang Melayu tak suka bahasanya dipanggil ‘Bahasa Malaysia’, sebab dah hilang Melayunya. Janganlah GPMS jadi ‘kokok berdegar-degar, ekor bergelumang taik’ – (SMS; 21 Disember 2008; 12:47:07 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MAKA MAULANA BERASA KESAL
KARANGAN PUISI SUDAH TAK HALAL.

Syahdan akan bekas Mufti Perlis, Maulana Dr Asri Zainul Abidin berasa kesallah ia apabila jabatan yang diketuai Orangkaya Dato’ Seri Ahmad Sabry Cheek melarang lagu ‘Aku Bukan Musuh Harta’ disiarkan. Arakian akan Orangkaya Dato’ Seri Ahmad Sabry Cheek tidaklah ia bersuara, tetapi diarahkan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Dato’ Adilah Shek Omar memberitahu orang banyak semalam (22 Zulhijjah 1429 atau disebut juga anak cucu fakir 22 Disember 2008). Puisi dalam lagu berkenaan kononnya tak sesuai kepada pendengaran orang-orang tertentu, menyebabkan Dato’ Seri Ahmad Sabry yang berfikiran terbuka itu turut serba salah jua, adanya. Maulana Dr Asri itu khabarnya pergilah ia ke negeri atas angin untuk mengaji lagi, kononnya.

Sebermula maka Tun Abdul Karim pun ke tengahlah. Maka Seri Dewa Raja tampil ke hadapan, duduk di kepala gajah. Maka di palingnya Balidamani, lalu dilanggarnya pintu Kadi Menawar. Beberapa pun dipasang orang mercun dan periuk api dengan tempik sorak seperti tagar, tiada dihisabkan oleh Balidamani, dirempuhnya juga. Syahdan pintu pagar pun terbuka lalu masuk ke dalam. Maka sekalian orang pun hairan melihat tahu Seri Dewa Raja naik gajah itu, gajah penakut jadi berani. Maka gajah pun dikepilkan orang ke balai Kadi Menawar, begitu perihal berkuasanya anak orang besar Melaka daripada alim ulama, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:












HIDUP BAHASA MELAYU!