WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
EDISI KHAS:
BAGINDA TUANKU JAAFAR MANGKAT
BELASUNGKAWA SEKALIAN RAKYAT JELATA
Assalamualaikum,
Kira-kira jam 1.45 tengahari, 27 Disember 2008, Kamarudzaman Salleh menelefon dari Balai Undang Luak Rembau beritahu beliau di pejabat YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau. Balai Undang dikawal rapi oleh polis, sebaik sahaja diumumkan DYMM Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Bagaimanapun sebelum Kamarudzaman menelefon, memang saya sudah mendengar berita ringkas di radio jam 12.00 tengahari mengenai kemangkatan baginda. Kamarudzaman sekadar beritahu YTM Dato’ Haji Muhamad Sharip berkirim salam, di samping beliau menyaksikan fenomena di Balai Undang dengan pengumuman kemangkatan Yang Dipertuan Besar.
Secara peribadi saya pernah mengadap DYMM Tuanku Jaafar di Istana Hinggap, Seremban pada 1981, apabila menemani Tan Sri Abdul Samad Idris bagi mengundang baginda mencemar duli merasmikan muktamar Nasrul Haq di Seremban. Bagimanapun saya mengadap bukan atas kapisiti Pemangku Setiausaha Agung Nasrul Haq ketika itu, tetapi berbincang untuk menyediakan teks titah ucapan baginda pada hari perasmian muktamar. Baginda sendiri menitahkan teks titah ucapan tersebut diselitkan dengan pepatah petitih serta perbilangan Adat Perpatih. Kemudian pada dekad 1990-an, saya bersama Tan Sri Abdul Samad berlepas ke Padang di Propinsi Sumatera Barat terlebih dahulu sebelum baginda bersama keluarganya berangkat tiba membuat lawatan tak rasmi.
Kebetulan pula lawatan ke Sumatera Barat ketika baginda masih lagi Yang Dipertuan Agong, justeru Konsul Malaysia di Medan terpaksalah turun ke Padang. Malah Duta Malaysia di Jakarta juga turut menghadiri majlis-majlis rasmi bersama Gabenor Sumatera Barat ketika itu, Drs Hassan Basri Durin yang juga kenalan rapat Tan Sri Abdul Samad. Bersama Tan Sri Abdul Samad memang saya terbabit membantu membuat kaji selidik mengenai takhta kerajaan Negeri Sembilan, justeru serba sedikit pembabitan baginda dalam aktiviti kemasyarakatan dalam pengetahuan saya. Baginda diputerakan di Kelang pada 19 Julai 1922, ketika ayahanda baginda berkhidmat sebagai pegawai tadbir Melayu di Kelang, Selangor.
Memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seri Menanti pada 1928, baginda melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar mulai 1933. Menamatkan pengajian di Kuala Kangsar pada 1941, baginda dihantar ke Raffles College di Singapura tetapi tergendala akibat pencerobohan Jepun ke atas Tanah Melayu. Pada period pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah Daerah Seemban. Berikutan Jepun menyerah kalah pada 1945, British kembali ke Tanah Melayu dengan mengirim Harold Mac Michael memaksa raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan menerima retorik penubuhan Malayan Union.
Ketika Harold Mac Michael ke Seremban pada 14 November 1945, bagi mendapatkan tandatangan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad bersama YTM Undang Yang Empat (Dato’ Kelana Putera Dato’ Maamor Kassim, Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Mendelika Menteri Akhir Zaman Dato’ Shahmaruddin Abdul Rahman, Undang Luak Jelebu, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Kamat Sulaiman, Undang Luak Johol dan Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Ipap Abdulla, Undang Luak Rembau) serta wakil Tunku Besar Tampin, Sharifah Loyah – baginda Tuanku Jaafar menurunkan tanda tangan sebagai saksi bersama Tengku Nasir dan Tengku Hussain.-Pak Dharma
No comments:
Post a Comment