JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
ISU YURAN MASIH BELUM REDA:
KENAPA IBU BAPA PULA DIPERSOAL?
Assalamualaikum,
Sukar juga mahu menjawab SMS mahupun telefon, apabila kalangan ibu bapa bertanya fasal isu ‘yuran sekolah’, kerana sebelumnya Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein mendabik dada kononnya kerajaan prihatin dengan masalah rakyat, justeru ‘yuran sekolah’ dihapuskan. Hari ini (7 Januari 2008), sekretariat PRIMA dihubungi kalangan ibu bapa yang berasa hairan apabila Dato’ Seri Hishamuddin pula bertanya: ‘Apa yang ibu bapa boleh berikan kepada pendidikan anak-anak?’. Sepatutnya kata mereka, Dato’ Seri Hishamuddin tanya kepada dirinya sendiri, apa yang beliau boleh beri apabila kalangan ibu bapa menghantar memorandum mengenai kebobrokan dalam pentadbiran sekolah sebelum ini?
Dato’ Seri Hishamuddin tak pernah memberi respons kepada permasalahan yang disampaikan menerusi memorandum, hingga terpaksa pula disalurkan kepada Pejabat Perdana Menteri. Ironinya, Pejabat Perdana Menteri mampu pula memberi respons berbanding dengan Kementerian Pelajaran. Aduhai! Isu ‘yuran sekolah’ tak akan menjadi kecoh, kalau sebelumnya Dato’ Seri Hishamuddin ‘tak buka mulut’ beritahu keprihatinan mahu ringankan beban ibu bapa ‘yuran sekolah’ dimansuhkan. Bagaimana kalau yuran sekolah tahun lalu keseluruhannya hampir RM70 sahaja, tetapi tahun ini mencecah kepada RM106 ianya pemansuhan yang sebenar-benar dimansuh semansuh-mansuhnya?
Demi masa depan anak-anaklah, ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Samalah seperti contoh seorang anak yang mendapat pendidikan tinggi menempelak ibu bapanya: AYAH APA TAU?, atau MAK APA TAU?. Kalau ibu bapa tak tahu apa-apa, masakan si anak terbabit boleh bersekolah hingga mencapai pendidikan tinggi. Sebodoh-bodoh petani di kampung pun, mereka akan hantar anak-anak mereka bersekolah sekalipun terpaksa ‘ikat perut’ untuk jimatkan perbelanjaan. Ternyata Dato’ Hishamuddin sekali lagi buat silap apabila mempersoal ibu bapa: ‘Tanyalah apa boleh diberi demi pembelajaran anak-anak’. Heh heh heh!
Hari ini (7 Januari 2008), seorang bapa murid beritahu mengenai yuran sekolah yang minggu lalu RM87, tetapi hari ini dinaikkan pula RM106, kononnya untuk koperasi dan blah blah blah! Justeru pihak PRIMA bertanya kepada Pengerusi PIBG di sekolah terbabit, dengan jawapannya pihak sekolah sudah memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya. Tentulah Pengerusi PIBG juga melongo, kerana tak tahu penjelasan yang bagaimana diberikan oleh pihak sekolah. Kalaulah sudah diberi penjelasan yang sejelas-jelasnya, macam mana Pengerusi PIBG pun tak tahu butir-butir ‘yuran sekolah’ tambahan yang dikenakan kepada pelajar. Wal hasil balik asal!
GURU DULU GURU SEKARANG:
SEKOLAH DULU SEKOLAH SEKARANG
Petang ini (7 Januari 2008), pendakwah bebas dari Negeri Sembilan dikenali Abdul Latiff Haji Ahmad, 67 menelefon beritahu mengenai almarhom ayahnya Tuan Guru Sheikh Haji Ahmad bin Sutan Muda Sheikh Haji Salim, tak pernah kecoh fasal yuran apabila mendirikan ‘sekolah agama rakyat’ di Kampung Seperi di Jelebu. (Sekarang sudah dijadikan Sekolah Kebangsaan Seperi). Tuan Guru Sheikh Haji Ahmad dikenali Tuan Guru Haji Mat Kampar, berasal dari Kota Bangun, Kubu Sembilan, di pekan Kuok dalam kabupaten Kampar di propinsi Riau, Indonesia dilahirkan pada 1855. Beliau mendirikan pasentarin di Kampar bersama ayahnya Sheikh Haji Sulaiman di samping menjalankan perkhidmatan sheikh haji sekitar dekad 1870-an.
Apabila bersara dari perkhidmatan sheikh haji pada dekad 1900-an, beliau menetap di Kampung Seperi di daerah Jelebu, dengan anaknya Sheikh Haji Karim meneruskan legasi sheikh haji di Muar. Sebelum meninggal dunia pada 1940, Tuan Guru Haji Mat Kampar mendirikan madrasahnya (kalau di Indonesia pasentarin), dengan tak menetapkan yuran kepada pelajar-pelajar. Disebabkan ketika itu sekitar dekad 1910-an dan 1920-an, pihak Inggeris pun tak peduli sangat sama ada orang Melayu bersekolah atau tak bersekolah, ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah agama rakyat Tuan Guru Haji Mat Kampar, tak peduli fasal ‘yuran sekolah’. Bawa buah kelapa dua tiga biji; atau bawa beras segenggam atau angkut air penuh setempayan pun, cukuplah! Memang tak sama guru dulu guru sekarang dan sekolah dulu sekolah sekarang. Es, es es!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
TELAPAK BUDAYA ANJUR DEKLAMASI:
PUISI ‘MAAL HIJRAH’ DI TASIK SERI GOMBAK
Telapak Kebudayaan Gombak (Telapak Budaya) menganjurkan deklamasi puisi ‘Maal Hijrah’ bermula jam 2.30 petang di lokasi terbuka Taman Tasik Seri Gombak (sebelah Masjid al-Khiriyyah), 19 Januari 2008 ini, hari Sabtu. Pengerusi Telapak Budaya, Sdr Omar Sudi Abdul Manan memberitahu deklamasi berkenaan membabitkan Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA), Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM), Jawatankuasa Penduduk Seksyen 10 dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Gombak Setia. Penyair-penyair, pelajar IPT dan artis-artis tempatan dijangka mendeklamasikan puisi masing-masing, di samping acara berkenaan terbuka secara percuma kepada kehadiran penduduk-penduduk di sini.
ADUN Gombak Setia, Haji Yuszahari Yusuff dijangka akan mendeklamasikan puisi bertemakan ‘Maal Hijrah’ sempena sambutan ‘Hari Maal Hijrah’ pada 10 Januari 2008. Menurut Sdr Omar Sudi, di samping Haji Yuszahari beberapa orang penyair terkenal dijangka akan mendeklamasi puisi mereka menerusi PRIMA, sementara WHAM pula akan mengundang beberapa artis bagi memeriahkan acara ‘Baca Puisi’ berkenaan. Kata Sdr Omar Sudi lagi, kira-kira 100 jemputan dijangka hadir, di samping jamuan turut disediakan (mungkin juga makan tengahari). “Bagi mereka yang bimbang dengan waktu solat, lokasinya berdekatan dengan Masjid al-Khiriyyah, dan mereka mempunyai kemudahan yang cukup,” beliau menjelaskan.
Antara penyair yang dijangka hadir ialah Ruhanie HR (Dato’ Ruhanie Ahmad), Ahmad Sarju, Dato’ Kamal Amir, M. Ashikin (Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah), dan Dharmala N.S. Bagaimanapun Presiden WHAM, Hajjah Fauziah Raof belum memberikan nama artis-artis yang dijangka turut mendeklamasikan puisi. Srd Omar Sudi menjelaskan, aktiviti baca puisi ‘Maal Hijrah’ ini sebagai inisiatif pertama ‘Telapak Budaya’ yang baru sahaja di tubuhkan di bawah Jawatankuasa Penduduk Seksyen 10, bagi melestarikan pembangunan kebudayaan di daerah Gombak. Penduduk-penduduk di Taman Seri Gombak juga dialu-alukan hadir dalam memeriahkan lagi sambutan Maal Hijrah dan baca puisi ini, ujar Sdr Omar Sudi.
ANWAR SUDAH BERI RESPONS:
DEKLARASI PERDANA 10 KEPRIHATINAN
Penasihat Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah memberi respons kepada ‘Deklarasi Perdana, 10 Keprihatinan’ yang disampaikan oleh PRIMA, beritahu pimpinan PKR Sdr Omar Jaafar ketika menghubungi sekretariat PRIMA hari ini (7 Januari 2008). Justeru kata Sdr Omar satu perjumpaan dengan penulis-penulis akan digerakkan di rumah Setiausaha Agung PKR Tan Sri Khalid Ibrahim di Damansara tak lama lagi. Sekalipun tarikh perjumpaan belum ditetapkan, tetapi Dato’ Seri Anwar sudah bersetuju berdialog bagi membincangkan deklarasi berkenaan. “Perjumpaan tersebut akan membabitkan penulis-penulis lain bagi membolehkan perbincangan lebih berkesan,” beritahu Sdr Omar.
Pimpinan kanan PRIMA, Sdr Yahaya Ismail (Pak Ya) mengalu-alukan kesediaan Dato’ Seri Anwar bertemu dengan pimpinan PRIMA bagi membincangkan ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’. Pak Ya memberitahu sekretariat PRIMA, sekalipun ianya perjumpaan yang turut membabitkan penulis-penulis di luar PRIMA, tetapi pihak kami mahukan perjumpaan tertutup diadakan terlebih dahulu. Sebelum perjumpaan tersebut dibukakan kepada pihak lain, Dato’ Seri Anwar akan diminta bertemu pimpinan PRIMA dalam tempoh 15 mahupun 20 minit. “Ketika di Yayasan Pimpinan Perdana 15 Ogos 2007 lalu, kami juga membuat perjumpaan tertutup10 minit dengan Tun Dr Mahathir, sebelum wacana digerakkan,” jelas Pak Ya.
DANA KEMANUSIAAN KES BATU BURUK:
NIK AZIZ DIMINTA LANCARKAN DI KELANTAN
Pimpinan PRIMA bersetuju membentuk ‘Dana Kemanusiaan’ hari ini (7 Januari 2008) bagi membantu keluarga Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz yang terbabit dalam kes perhimpunan ‘BERSIH’ di Batu Burok, Terengganu pada 8 September 2007. Serentak dengan itu PRIMA akan meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan ‘Dana Kemanusiaan’ berkenaan dalam perjumpaan di Kota Bharu penghujung bulan Januari ini. Ketika mengumumkan penubuhan ‘Dana Kemanusiaan’ tersebut di Taman Seri Gombak petang ini, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu:
“Pihak PRIMA tak mencampuri urusan perundangan, tetapi dana tersebut ditubuhkan bagi membantu keluarga Suwandi dan Azman berikutan insiden di Batu Buruk pada 8 September 2007. Apalagi pihak kami difahamkan mereka berdua hadir ke perhimpunan BERSIH, sebagai rakyat biasa yang mahu mendengar perkembangan tanah airnya dan mereka bukan aktivis mana-mana gerakan politik. Berikutan insiden tersebut mereka masih ditahan, menyebabkan keluarganya berhadapan dengan masalah kehilangan sumber pendapatan.” Berikutan dengan penubuhan ‘Dana Kemanusiaan’ tersebut Dato’ Kamal Amir menderma RM500 sebagai pendahuluan.
Pengendali laman web, Sdr Zaharin Mohd Yasssin turut menyumbangkan RM500 bagi ‘Dana Kemanusiaan’ tersebut diikuti bekas Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen Dato’ Ruhanie Ahmad menyumbangkan RM500 . Menurut Sdr Zaharin beliau akan menggerakkan kutipan derma bagi mengisi ‘Dana Kemanusiaan’ tersebut, di samping bersetuju dilantik menjadi setiausahanya dengan Dato’ Kamal Amir selaku pengerusi. Akaun khas ‘Dana Kemanusiaan’ akan dibuka, justeru mereka yang bersimpati dengan keluarga terbabit bolehlah menghubungi Dato’ Kamal Amir, Sdr Zaharin atau sekretariat PRIMA.
INFO SASTERA & BUDAYA
Pengendali laman web, Sdr Zaharin Mohd Yasssin turut menyumbangkan RM500 bagi ‘Dana Kemanusiaan’ tersebut diikuti bekas Ahli Parlimen Parit Sulong yang juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) di Parlimen Dato’ Ruhanie Ahmad menyumbangkan RM500 . Menurut Sdr Zaharin beliau akan menggerakkan kutipan derma bagi mengisi ‘Dana Kemanusiaan’ tersebut, di samping bersetuju dilantik menjadi setiausahanya dengan Dato’ Kamal Amir selaku pengerusi. Akaun khas ‘Dana Kemanusiaan’ akan dibuka, justeru mereka yang bersimpati dengan keluarga terbabit bolehlah menghubungi Dato’ Kamal Amir, Sdr Zaharin atau sekretariat PRIMA.
INFO SASTERA & BUDAYA
DOKUMENTASI PIMPINAN NEGARA:
BUKU 100 TOKOH TERBIT DI PASARAN
BUKU 100 TOKOH TERBIT DI PASARAN
Bagi peminat buku dokumentasi, buku ‘Sempena Jubli Emas Merdeka: 100 Tokoh Malaysia’ menganalisis pembabitan pejuang-pejuang nasionalisme pra merdeka hingga kepada pimpinan negara pasca merdeka. Dalam analisis berkenaan, Dato’ (Sir) Onn Jaafar diangkat sebagai tokoh penggerak nasionalisme, diikuti Tunku Abdul Rahman Putra, tokoh penggerak kemerdekaan. Lain-lain tokoh yang dimuatkan dalam buku dokumentasi berkenaan termasuk Tun Abdul Razak (Bapa Pembangunan), Tun Hussein Onn (Bapa Perpaduan), Tun Dr Mahathir Mohamad (Bapa Pemodenan) dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Ke 5). Pemimpin-pemimpin yang pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri juga termuat sama dalam buku yang diterbitkan oleh Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Buku yang dihasilkan oleh Dr Ammar Haji Hassan dan Dharmala N.S. ini memang memuatkan 100 tokoh dengan pelbagai bidang dalam sumbangan cemerlang kepada pembangunan negara. Sekalipun memuatkan 100 tokoh, tetapi ramai juga mereka yang berjasa besar kepada negara tak disenaraikan dalam buku dokumentasi berkenaan. Tokoh penting dalam gerakan nasionalisme juga tak semuanya diungkapkan dalam analisis tersebut, apalagi yang kurang diperkatakan menerusi penulisan sejarah sebelum ini. Di samping kekurangan maklumat yang boleh dirujuk kepada internet, tokoh-tokoh terbabit juga tak ditampilkan. Justeru dalam kata pendahuluan buku ini ianya menyebut:
“Seperti dirawikan oleh al-Baihaqi daripada Abdullah bin az-Zubair r.anha, katanya: Di dalam peperangan Khandaq aku telah dikumpulkan bersama-sama dengan kaum wanita dan kanak-kanak di dalam satu benteng. Bersama-sama denganku ialah Umar bin Abu Salmah. Beliau telah mendukungku sambil berdingkit, lalu akupun naik ke atas belakangnya dan melihat apa yang sedang berlaku. Aku telah melihat bapaku sekejap bergerak ke sana dan sekejap bergerak ke sini. Tiada seorangpun musuh yang datang menyerang melainkan beliau akan menyerangnya…” (hingga habis dirawikan). Maknanya, insiden yang dirawikan itu ialah membabitkan seorang sahabat Rasullullah yang tak kurang besar jasanya dalam perjuangan Islam iaitu Zubair al-Awwam, tapi ketokohannya tak diberi penampilan hebat.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
ADUHAI, KE MANA MINYAK MASAK
KURANGKAH BEKALAN DI DALAM NEGARA?
Sebermula tersebutlah dalam negara Malaysia akan kekurangan bekalan minyak masak, hingga menjelang tahun baru 2008 banyaklah pasaraya, kedai-kedai runcit dan pemborong-pemborong tak keruan dengan kejadian itu. Maka terdengarlah oleh fakir menerusi berita di TV3 jam 8.00 malam pada suatu hari (7 Januari 2008) seorang rakyat jelata berkata: Apa guna lantik menteri, kalau tak boleh buat kerja. Maka oleh sahabat fakir dihubunginya menteri itu menerusi telefon, lalu terbukalah rahsia sebenar mengapa berlakunya kekurangan minyak masak di dalam negara. Kasihan jugalah fakir mendengarkan perihal Dato’ Shafie Apdal yang menanggung segala tohmah disebabkan angkara pihak pengilang minyak bersama heh heh hehnya!
Syahdan disuratkan kepada fakir oleh yang empunya ceritera, mengenai 40 tempayan minyak yang dibawa oleh ketua penyamun ke dalam negeri. Singgahlah dia ke rumah Ali Baba kerana dendamnya setelah Kassim Baba menceroboh masuk ke dalam gua tempat disimpan harta kekayaannya. Akan Kassim Baba itu sudahlah dibunuh dengan dipotong-potong oleh ketua penyamun, menyebabkan terpaksalah Ali Baba mencari tukang jahit bagi mencantumkan semula tubuh abangnya. Maka tak diketahui oleh Ali Baba di dalam 40 tempayan itu bukanlah minyak sebenar-benar minyak, tetapi penyamun bersembunyi hingga disangkakan minyak masak sudah berkurangan di dalam negara mengikut ‘Kitab Melayu’ yang disuratkan daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment