Wednesday, January 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

MESEJ HINDRAF SUDAH DITERIMA
KL DAN PUTRAJAYA DI ERI CUTI UMUM

Assalamualaikum,


Sejak semalam (21 Januari 2008) persekitaran Batu Caves sudah mula dikunjungi penganut Hindu, dengan kenderaan sudah banyak diletakkan di kiri kanan lebuhraya Lingkaran Tengah yang satu ketika dulu heboh retak 13 tiang. Aduhai! Besok (23 Januari 2008) sambutan Thaipusam akan dirayakan lebih hebat dari Sungai Ganjis dan Sungai Jamna di India, tetapi sejak petang ini (22 Januari 2008) kesesakan lalu lintas sudah terasa bagi penduduk-penduduk yang tinggal di persekitaran Batu Caves. Malah setiap tahun masalah lalu lintas yang serba sesak sudah menjadi asam garam penduduk-penduduk Batu Caves dari pelbagai kaum, hingga bau masam buah kelapa yang dipecahkan turut menjadi tradisi alam sekitar yang tercemar, tercabar dan tersasar.

Tak dapat dielakkan pada 24 Januari 2008, pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Selayang akan dikerah pula membersihkan sampah sarap yang bertaburan daripada hampir dua juta masyarakat Hindu yang berkumpul, berhimpun dan berdemonstrasi. Mesej Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) sudah diterima apabila Perdana Menteri Dato’ Abdullah Ahmad Badawi memproklamir cuti umum bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya di hadapan 21,000 ahli MIC yang menganjurkan ‘Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri’ di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras. Bukan sahaja cuti bagi Thaipusam, tetapi mungkin juga perayaan ‘Ponggul’ yang sebelum ini kurang diberi perhatian oleh masyarakat India sendiri di negara ini.

Sekalipun Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak ‘mendabik dada’ kononnya, lima orang pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA mampu mengekang demonstrasi jalanan (Berita Harian, 22 Januari 2008), tetapi Dato’ Seri Najib terlupa tuntutan Hindraf sudah diterima. Apalagi di Selangor, Menteri Besar Dato’ Seri Mohd Khir Toyo memberi jaminan 40,000 kanak-kanak India yang tak mempunyai rekod dalam jabatan pendaftaran negara (JPN) akan diberi prioriti memasuki persekolahan. Maknanya ibu bapa terbabit tak perlu bersusah payah mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka lagi seperti warga negara yang lain, kerana kerajaan yang ‘bermurah hati’, ‘berserah diri’ dan ‘berendah peribadi’ boleh heh heh heh!

Justeru Presiden MIC Dato’ Seri Samy Vellu pun memperkuatkan lagi dakwaan Hindraf mengenai masyarakat India yang terpinggir apabila meminta Menteri Besar dan Ketua Menteri mengikut jejak Menteri Besar Selangor menyelesaikan masalah kanak-kanak India yang tak memiliki sijil kelahiran. “Jika Menteri Besar yang bertindak sendiri dan mengarahkan kanak-kanak diberi sijil kelahiran Jabatan Pendidikan Negeri akan ambil tindakan, tapi jika saya yang beritahu, mereka tidak akan buat”, kata Dato’ Seri Samy Vellu (Berita Harian 22 januari 2008). Maknanya, betullah dakwaan Hindraf, Dato Seri Samy Vellu tak buat apa-apa untuk masyarakat India sampaikan sijil kelahiran kanak-kanak India pun tak terurus. Waduh duh duh!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA


PASUKAN BOMBA DAN PENYELAMAT
WAJAR DIPINDAH KE KEMENTERIAN LAIN

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan memindahkan Pasukan Bomba dan Penyelamat di bawah Kementerian Dalam Negeri yang fungsinya lebih relevan berbanding dengan Kemterian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Buat masa sekarang kata Dato’ Kamal Amir, pihak PRIMA menerima banyak rungutan orang ramai mengenai logiknya ‘Pasukan Bomba dan Penyelamat’ berkenaan diletakkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. “Memang PRIMA difahamkan kementerian terbabit kurang memberi perhatian kepada jabatan bomba, sebaliknya lebih peka kepada ‘skuad pasukan penyelamat sukarela’ yang ditubuhkan,” jelas Dato’ Kamal Amir menambah.

Menurutnya lagi, skuad pasukan penyelamat sukarela itu pula dikatakan menggunakan peralatan Pasukan Bomba dan Penyelamat dalam kerja-kerja mereka, malah dilaporkan pihak menteri juga (Dato’ Seri Ong Ka Ting) sering menggunakan pesawat helikopter jabatan bomba dalam urusan kementeriaan yang tak membabitkan ‘Pasukan Bomba dan Penyelamat’. Justeru kata Dato’ Kamal Amir, pesawat helikopter jabatan bomba adalah khusus untuk kerja-kerja penyelamat, bukan digunakan membuat lawatan oleh menteri terutama pada musim pilihanraya. “Rungutan orang ramai yang disampaikan kepada PRIMA adalah relevan bagi ‘Pasukan Bomba dan Penyelamat’ diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

NEGARA KEBAJIKAN BOLEH DILAKSANA
ASAL SAHAJA RASUAH MAMPU DIBENDUNG

Bukan perkara mustahil ‘negara kebajikan’ mampu dilaksanakan di negara ini, asal sahaja kerajaan mampu membendung rasuah, kronisme dan nepotisme, jelas pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail (Pak Ya). Beliau yang juga pengkritik sastera tersohor pada dekad 1960-an di samping bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan, England dan Australia adalah di antara pemerintahan yang merealisasikan ‘negara kebajikan’. Pak Ya yang pernah menuntut di Universiti Monash, Autsralia berkata demikian mengulas laporan akhbar hari ini (22 Januari 2008) yang menyebut Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu Dato’ Rosol Wahid yang memperlekeh Presiden PAS Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang mahukan ‘negara kebajikan’.

“Negara kebajikan boleh dilaksanakan asal sahaja kerajaannya mampu membendung rasuah, kronisme dan nepotisme yang berleluasa,” menurut Pak Ya seterusnya. Negara yang gagal membendung rasuah, kronisme dan nepotisme akan menjadi bankrap malah gagal ditadbirkan secara telus, sekalipun ianya mampu memenangi pilihanraya menerusi seribu satu helah, di samping menyalahgunakan harta kerajaan untuk berkempen, kata Pak Ya menambah. Pak Ya memberitahu, England dan Australia menyediakan elaons kepada warga emas dan rakyatnya yang menganggur di bawah pentadbiran ‘negara kebajikan’ apabila rasuah, kronisme dan nepotisme mampu dikawal secara minima.

INFO SASTERA & BUDAYA

WACANA SASTERA MELAYU
SUKAR MENEMBUSI PASARAN

Wacana sastera Melayu yang pernah digerakkan oleh Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menerusi ‘Dialog Utara’ mahupun ‘Dialog Selatan’ sekadar berpusar dalam perbincangan ilmiah, dengan tak mampu menjadi langkah permulaan membawa karya-karya Melayu menembusi pasaran di negara jiran, menurut novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) melahirkan rasa bosan dengan dialog antara Malaysia-Indonesia, tetapi semua berakhir dalam dewan perbincangan. “Tak ada sebarang usaha untuk membawa novel-novel Melayu mahupun majalah-majalah tempatan menembusi pasaran di Indonesia,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor.

Menurut Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, sikap taksub khalayak di Indonesia dengan karya-karya tempatan mereka, mungkin boleh diatasi menerusi persefahaman dengan ilmuan sastera di negara itu. Beliau yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM berkata, sebaliknya harga senaskhah novel Melayu mungkin terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pasaran di Indonesia, adalah punca kegagalan menembusi pasaran ke Indonesia. Bagaimanapun novel-novel Melayu mampu memasuki pasaran di Brunei, tetapi dengan kuantiti yang terhad berdasarkan laporan penerbit-penerbit kecil kecil, katanya. “Karya sastera tak akan bermakna apa-apa sekiranya gagal dipasarkan kepada khalayak,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor selanjutnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SEMUA DIMINTA BERTERUS TERANG
TIGA JAM BINCANG PERKARA BIASA

Sebermula semua 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) berbincanglah di pejabat Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya lebih tiga jam, tetapi sekadar bincang perkara biasa. Setiausaha Agung BN Dato’ Mohd Radzi Sheikh Hashim memberitahu mereka yang mahu menyuratkan laporan itu, hanya bincang perkara biasa sahaja. Maka akan Presiden MCA Dato’ Seri Ong Ka Ting pula dilihat oleh orang ramai hanya membisu seribu bahasa apabila keluar meninggalkan mesyuarat yang hanya sekadar perkara biasa sahaja itu. Alahai! Lalu diberitahu kepada fakir akan Presiden MIC Dato’ S. Samy Vellu berkatalah ia, banyak perkara dibincang, semua ketua parti menyuarakan pandangan. Heh heh heh!

Syhadan akan Kitul itu disuratkan oleh nenek moyang fakir berhutanglah ia kepada Raja Mendaliar. Suatu ketika berbalahlah Raja Mendaliar dengan Nina Sura Dewana, lalu bertemulah Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir untuk menyelesaikan masalah mereka. Maka disuruh balik oleh Bendahara Seri Maharaja kerana hari sudah malam. Akan Nina Sura Dewana diberikannya Bendahara Seri Maharaja, emas sebahara sebagai hadiah, tetapi perbuatan itu dilihat oleh Kitul. Syahdan Kitul pun tak berlingah memberitahu akan Raja Mendaliar kejadian, lalu semua hutangnya dilupuskan sahaja. Maka Raja Mendaliar pun menemui Bendahara Seri Maharaja bertanya perihal emas sebahara yang diberikan Nina Sura Dewana, tetapi kata Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, perkara biasa sahaja seperti didengar oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!!!

No comments: