
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
SEMPENA HARI WILAYAH
KECOH SEJARAH PEMBUKA KL
Assalamualaikum,

Cuti umum esok (1 Februari 2008) sempena ‘Hari Wilayah Persekutuan’ yang sudah diwartakan, masih menimbulkan kekecohan apabila diungkit mengenai tokoh yang mahu diiktiraf sebagai pembuka Kuala Lumpur. Sekitar dekad 1980-an, ketika Tan Sri Abdul Samad Idris atas kapisiti Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan diminta Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (ketika itu dipimpin oleh Dato’ Dr Sulaiman Mohamed) bercakap dalam simposium ekonominya, menyebut tokoh pembuka Kuala Lumpur ialah Raja Abdullah bin Raja Ali. Pembukaan Kuala Lumpur oleh Raja Abdullah pada 1859 ialah berikutan penemuan ‘cabang tiga’ sungai, di samping membangunkan perlombongan bijih timah di Ampang.
.jpg)

Yap Ah Loy pula sekadar Kapitan Cina yang ketiga, selepas Hiu Siew dan Liu Ngim Kong. Pada 1854 Yap Ah Loy baru sahaja berhijrah ke Melaka dari Negeri China ketika berusia 17 tahun, kemudiannya bekerja sebagai buruh di Lukut, Negeri Sembilan (ketika itu di bawah pemerintahan Selangor). Beliau juga pernah menjadi buruh di bawah Kapitan Cina di Rasah, Seremban Yap Ah Shak. Kronologi kedatangan Yap Ah Loy pun tak membuktikan beliau pembuka Kuala Lumpur, apalagi ketika Majlis Municipal Kuala Lumpur menerbitkan buku ‘100 Tahun Kuala Lumpur’ pada 1959, pihaknya mengambil sempena kedatangan Raja Abdullah pada 1859.

-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
‘JALAN MELAYU’ DI KUALA LUMPUR
WAJAR DINAIK TARAF SERTA NILAI BARU

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa) diminta memulihara ‘Jalan Melayu’ di pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang bagi menjadi legasi kebanggaan bangsa. Gesaan itu dibuat oleh Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz sempena ‘Hari Wilayah Persekutuan’ esok (1 Februari 2008) berdasarkan fakta sejarah, di jalan itulah bermulanya pembukaan Kuala Lumpur oleh Raja Abdullah bin Raja Ali pada tahun 1859. Malah di jalan itulah juga peniaga Minangkabau dikenali Sutan Puasa membangunkan perniagaan hingga membolehkan pelabur-pelabur mengusahakan industri perlombongan, katanya.

INFO SASTERA & BUDAYA:
TAMPARAN KEPADA CEDEKIAWAN
ANUGERAH ‘SASTERAWAN NEGARA’ DIKEMBALI

Khalayak sastera dikatakan digemparkan dengan isu khabarnya salah seorang penerima anugerah ‘Sasterawan Negara’ akan memulangkan semula kurniaan tersebut setelah merasakan pembangunan sastera di negara ini tak mengikut landasan sebenar kesusasteraan Melayu. Menurut sumber berkenaan, Sasterawan Negara terbabit sukar menerima senario perkembangan sastera sekarang, kerana jauh menyimpang daripada yang diasaskan sejak dekad 1930-an, 1940-an dan 1950-an. Sekalipun tak dinyatakan sebab musabab sebenarnya, tetapi sebagai sasterawan yang berkaliber tentunya beliau merasa reputasinya terjejas sekiranya membiarkan fenomena sekarang berterusan, kata sumber berkenaan seterusnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
MEMILIH CALON YANG BERSIH
SUKAR MENILAI SECARA LAHIRIAH

Sebermula dicanangkan ke seluruh pelusuk negeri akan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah membayangkan pilihanraya terlalu dekat seperti disebut Buletin Utama TV3 jam 8.00 malam (31 Januari 2008). Maka diberitahu kepada fakir akan perihal Dato’ Seri Abdullah mahukan calon-calon yang bersih mewakili UMNO (gamaknya bukanlah ahli-ahli Gabungan Pemantau Pilihanraya Bersih dan Adil iaitu BERSIH!). Kata sahibul hikayat, selepas peristiwa 13 Mei berkatalah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, dalam sebuah negara yang semua orangnya buta, sesiapa yang buta mata sebelah pun bolehlah menjadi raja, seperti diberitahu kepada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment