
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
HARGA BARANG YANG DIPANTAU
TAK SERAGAM DI KOTA DAN DI DESA
Assalamualaikum,
Minggu lalu (9 Februari 2008) balik ke Jelebu bagi majlis kenduri di rumah emak, saya membeli dua kilo ikan keli (semilang) dengan harga RM15 sekilo yang kononnya dibekalkan oleh FAMA. Aduhai! Hari ini (13 Februari 2008) saya ke pasar NSK di Selayang, harga bagi ikan keli sekilo ialah RM3.50; maknanya hampir lima kali ganda perbezaan harga. Bukan sahaja ikan keli, sebaliknya buah tembikai juga jauh berbeza dari di kota dibandingkan di desa yang kononnya dibekalkan oleh FAMA iaitu sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya memantau harga bagi sektor asas tani. Harga buah tembikai di gerai di daerah Jelebu ialah RM2.20 sekilo, dibandingkan dengan di pasaraya NSK di Selayang harganya ialah RM1.59. Heh heh heh!

Mungkin sahaja majoriti penduduk di daerah Jelebu menyangka memang harga ikan keli ditetapkan RM15 sekilo, justeru mereka membeli sekiranya mampu. Apalagi ikan berkenaan dibekalkan oleh FAMA yang sentiasa mematuhi arahan kerajaan memantau setiap harga barang, mudah-mudahan tak membebankan rakyat. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentunya memberikan tugas kepada agensi seperti FAMA untuk memasarkan hasil pertanian pekebun-pekebun kecil. Kalau harga yang dipasarkan oleh FAMA terlalu tinggi di luar bandar dibandingkan di pasaraya di kota Kuala Lumpur, implikasinya pekebun-pekebun kecil akan berhadapan hikayat lama ‘berniaga buluh kasap, untung entah ke mana, modal pula lesap’.


Bukan sahaja pada 1969 beberapa orang menteri tergolek misalnya Tan Sri Senu Abdul Rahman (Kubang Pasu), Dr Lim Swee Aun (Larut), Dr Ng Kam Poh (Teluk Anson) dan Tan Sri Wong Pow Nee (DUN Bukit Mertajam), malah pada pilihanraya 1999 pun Tan Sri Megat Junid Megat Ayub (Parit) dan Dato’ Annuar Musa (Kubang Kerian) juga ‘wal hasil balik asal’. Mungkin sahaja Pilihan Raya Umum Ke 12, parti lawan dianggap tak mempunyai isu besar, tetapi tak bermakna ‘air tenang tak ada buaya’ kerana seperti disebut orang tua-tua: ‘Terbalik mata belum tentu mati, tetapi terbalik lidah boleh mati’. Begitulah!
INFO HAK ASASI MANUSIA:
NEGARA MUFLIS KERANA ‘PENYAMUN’
ANWAR MENGAKU CAMPAK FAIL KORPORAT

Beliau memberi penjelasan tersebut ketika menjawab isu yang dibangkitkan oleh jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengenai perkara yang terkandung dalam ‘DEKLARASI PERDANA, 10 KEPRIHATINAN’. Memberitahu mengenai insiden mencampakkan fail pengendali konsesi lebuhraya, Dato’ Seri Anwar berkata, keuntungan yang diperolehi oleh pengendali konsesi lebuhraya itu tak mampu untuk membayar imbuhan kepada ‘penyamun-penyamun’ yang menunggu dari Perlis sampai ke Johor. Begitu juga isu kenaikan harga minyak, kalau pihak terbabit boleh untung berbilion ringgit, kenapa mesti naikkan harga petrol hanya untuk memberi imbuhan kepada ‘penyamun-penyamun’, beliau menambah.

PEKERJA PASARAYA DIBELASAH
PRIMA KESAL MAJIKAN TAK PRIHATIN

Sikap majikan tak prihatin melindungi pekerjanya apabila dibelasah oleh pelanggan dikesali oleh PRIMA, disebabkan tiada langkah diambil memberikan bantuan. Malah lebih menyedihkan pekerja terbabit diberhentikan serta merta, disebabkan majikan tak mahu mengambil risiko sekiranya ia membabitkan gangsterism, kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Keluarga pekerja terbabit menemui pimpinan PRIMA hari ini (13 Februari 2008) bagi memberitahu insiden berkenaan. Pekerja di pasaraya Parkson Grand, Selayang itu, Mohd Nurul Akmal bin Adnan, 20 mengadu kepada PRIMA beliau dibelasah oleh pelanggan atas alasan tak melayaninya. “Selepas dibelasah oleh pelanggan, majikan pula memberhentikan Mohd Nurul Akmal serta merta,” ujar Dato’ Kamal Amir.
Pihak PRIMA beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya sudah menasihatkan keluarga Mohd Nurul Akmal membuat aduan polis. Berikutan kejadian itu laporan polis sudah dibuat malam semalam (12 Februari 2008). Bagaimanapun kata Dato’ Kamal Amir, langkah majikan memberhentikan Mohd Nurul Akmal adalah tak profesional, justeru kementerian sumber manusia perlu menyiasat segera di samping mengambil langkah positif. Pihak PRIMA akan menulis surat kepada Menteri Sumber Manusia (iaitu dalam kerajaan sementara) Dato’ Dr Chan Fong Onn bagi memastikan pasaraya Parkson Grand prihatin terhadap keselamatan pekerja-pekerjanya. “PRIMA meminta penjelasan sama berlaku diskriminasi kaum atau tidak dalam pasaraya Parkson Grand,” kata Dato’ Kamal Amir lagi.
INFO SASTERA & BUDAYA:
AKTIVITI BACA PUISI
MALU SEBUT PEMBABITAN PRIMA


Penyair-penyair yang terbabit mendeklamasikan sajak pula merupakan aktivis PRIMA malah dijemput dengan kerjasama PRIMA termasuk Ruhanie HR (Dato’ Ruhanie Ahmad yang sentiasa hadir dalam semua aktiviti PRIMA), Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Dato’ Kamal Amir, Yassinsalleh, L. Mankadir Shamsi, Datin Rozie dan Nurul Salwa (mahasiswi dan pemenang kedua sayembara mengarang novel remaja sempena Jubli Emas DBP 2007). Bagi menjaga imej ‘Harakah’ sepatutnya pelapor menemui penganjur majlis baca puisi berkenaan, bukan menulis semborono seolah-olah ianya digambarkan ‘menghentam pimpinan Pak Lah’. Apabila puisi menghentam pimpinan, termasuklah semua pemimpin yang pongah, bobrok dan korok, tak semestinya Pak Lah mahupun UMNO. Telapak Budaya Gombak, WHAM, pejabat DUN Gombak Setia dan Majlis Perbandaran Selayang menunjangi aktiviti PRIMA bagi memasyarakatkan puisi. Begitulah!
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
SEMBOYAN DIGUNAKAN ‘PADE DOH’
KELANTAN MENJADI SASARAN ‘ORANG MUDA’


Sebermula akan semboyan ‘Pade Doh’ itu kabarnya sudah pernah digunapakai oleh orangkuat pembangkang bernama Lim Kit Siang pada pilihanraya 1995, tetapi dalam bahasa yang fakir kurang faham iaitu ‘Enough is Enough!’. Bagaimanapun anak cucu fakir memberitahu bahasa yang fakir tak faham itu maksudnya sama juga dengan ‘Pade Doh’. Syahdan sekali persetua berjalanlah Raja Muhammad bersama anak-anak muda dalam negeri Melaka itu, lalu ke kampung Bendahara Paduka Raja. Ketika itu anak Bendahara Paduka Raja bernama Tun Besar bermain sepak raga bersama kawan-kawan sebaya yang muda juga. Maka jatuhlah bola raga yang disepak oleh Tun Besar menimpa destar Raja Muhammad. Lalu ditikam oleh Raja Muhammad akan Tun Besar lantas ke balakang, maka kawan-kawannya mula mengisar hulu keris. Syahdan segeralah Bendahara datang mengingatkan anak-anak muda itu dengan berkata, “Janganlah kita pertuankan anak raja yang seorang ini.” Begitulah yang diberitahu kepada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment