Friday, February 22, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

POLITIK BUKAN SEKADAR CERAMAH
TAPI KUASA WANG & PENGARUH PERIBADI


Assalamualaikum,




Bermula dengan SMS yang kemudiannya berbalas-balas petang ini (22 Februari 2008), saya mendapat kawan baru yang masih belum bersua muka lagi, tetapi sekadar dikenali sebagai Ustaz A sahaja. Di mana Ustaz A memperoleh nombor telefon saya tak penting, tetapi implikasinya memang berkaitan dengan kebobrokan pentadbiran negara yang serba pincang, goncang dan goyang. Barangkali! Apalagi Ustaz A seolah-olah sengaja menimbulkan suasana lucu, kerana mahukan saya menjadi calon pilihanraya ke 12 kali ini. Tetapi lanskap politik 2008 tak sama dengan 1958, kerana semangat sahaja dengan ucapan yang memukau audien ketika berceramah tak menjadi aset, sebaliknya kuasa wang mengatasi pengaruh peribadi. Begitulah!





Seterusnya Ustaz A menyentuh mengenai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim yang dianggap hebat dengan ungkapan pepatah petitih sewaktu berucap, sebaliknya beliau juga pernah melihat saya naik ke platform di samping ucapan berpepatah petitih. Alhamdullillah! Sekalipun Ustaz A sebagai Imam Masjid (seorang penjawat awam) tak membuat perbandingan, tetapi beliau bangkitkan juga sikap arogan pimpinan negara yang berbangga dengan pembina masjid berjuta-juta ringgit, sebaliknya tak dimakmurkan secara terancang. Apalagi hari rini di Masjid al-Khiriyyah Taman Seri Gombak, teks khutbah memuji-muji kerajaan negeri Selangor dengan peruntukan berjuta-juta ringgit bagi skim khairat kematian (gamaknya tak dikategori politikkan masjid). Aduhai!





Apalagi Ustaz A juga mengimbau senario di Negeri Sembilan berkaitan proklamir Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Mohamad Hassan mengenai pembinaan tujuh masjid baru di negeri berkenaan baru-baru ini. Kabarnya masjid di Rantau (kawasan DUN Menteri Besar Negeri Sembilan) menerima sponsor RM7 juta dari tokoh korporat dan penerima anugerah Maal Hijrah 1429, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dalam pembinaan bangunan masjid di situ. Bangunan masjid yang hebat dengan penduduk yang minima di kariah terbabit katanya, memungkinkan masjid berkenaan sekadar menjadi lambang ‘keegoan’, bukanlah sebagai rumah ibadat yang dikehendaki oleh Islam.





Justeru teringatlah saya ketika berkunjung di Masjid Sikamat di Seremban sekitar tahun 2002 untuk bersolat, keadaannya lengang tak berjemaah sekalipun sudah masuk waktu zohor. Alahai! Di samping di kawasan perumahan di sekitar kawasan Titi yang merangkumi beberapa kawasan perumahan di samping sekolah-sekolah berasrama (sebagai lambang ‘keegoan’ juga, gamaknya!) termasuk sekolah teknik, Maktab Rendah Sains Mara, sekolah komuniti (kabarnya terletak juga lokasi rumah Dato’ Mohd Yunus Rahmat, (pegawai khas di pejabat Setiausaha Agung UMNO), tak dibina pula masjid yang bernilai RM7 juta. Heh heh heh!





-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA





BN DI PERLIS SEMAKIN PARAH
PENYOKONG SHAHIDAN TAK KOMPROMI




Laporan dari Perlis menerusi telefon petang ini (22 Februari 2008), lanskap politik di negeri itu dalam keadaan berkemelut, berserabut dan berkelabut. Dalam laporan hingga petang tadi (setakat jam 6.00 petang), penyokong-penyokong Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim enggan berkompromi dengan keputusan Putrajaya dalam senarai pemilihan calon. Menurut sumber, penyokong-penyokong Dato’ Seri Shahidan lebih rela mengambil sikap ‘tak aktif’ dalam pilihanraya kali ini, sekiranya Putrajaya menetapkan calon-calon yang akan diletak bertanding pada hari penamaan calon 24 Februari ini. “Mereka tak terkilan kalau negeri Perlis jatuh ke tangan PAS, daripada berkompromi dengan Putrajaya apabila keputusan hanya dibuat oleh seseorang,” menurut sumber itu.




Berikutan insiden dalam lanskap politik di negeri Perlis setakat jam 6.00 petang tadi (22 Februari 2008), Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengakui beliau sudah menerima laporan tersebut sejak beberapa hari lalu. Malah kemelutnya lebih parah lagi menurut Dato’ Kamal Amir, kerana Setiausaha Agung UMNO Dato’ Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad enggan menjadi calon, sekiranya Dato’ Seri Shahidan kekal memimpin kerajaan negeri Perlis. Dato’ Kamal Amir yang juga penganalisis politik memberitahu, Dato’ Seri Mohd Radzi adalah pemimpin yang rebah dan bangun bersama Dato’ Seri Abdullah sejak insiden 1987. “Dato’ Seri Abdullah tak ada pilihan lain, sama ada Dato’ Seri Mohd Radzi atau Dato’ Seri Shahidan?” kata Dato’ Kamal Amir.




AZMIN CALON PARLIMEN GOMBAK
PAS-PKR AKAN UMUM DI PINGGIRAN




Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dijangka akan diumum sebagai calon pembangkang di kawasan Parlimen Gombak, di samping calon PAS bagi DUN Gombak Setia, Dato’ Ismail Kamus dan DUN Hulu Kelang Shaari Sungip. Sementara PKR pula meletakkan calonnya di DUN Batu Caves bagi menentang calon MIC yang juga dikatakan muka baru. Kedua-dua parti berkenaan yang menjadi rakan dalam Barisan Alternatif (BA) akan membuat pengumuman berkenaan malam besok (23 Februari 2008), dalam ceramah terbuka di Padang Pinggiran Batu Caves, seperti diproklamir oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hassan Mohd Ali selepas solat Jumaat di masjid al-Khiriyyah Taman Seri Gombak hari ini (22 Februari 2008).




Ketika memberitahu mengenai ceramah BA malam besok (23 Februari 2008), Dato’ Dr Hassan bersama beberapa penyokong dan aktivis PAS turut menyebarkan risalah, di samping manifesto bersama BA bagi negeri Selangor yang menggariskan “urustadbir berwibawa” serta “sosial dan kebajikan masyarakat”. Manifesto bersama itu berteraskan kepada prinsip ‘Selangor Bersih, Maju dan Berkebajikan’ turut menawarkan kepentingan umum iaitu (i) menurunkan harga petrol, desel dan gas; (ii) menyediakan pendidikan percuma; (iii) memberikan khidmat kesihatan percuma; (iv) merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dan (v) mewujudkan kerajaan beramanah, adil, bersih dan berkebajikan.




PARLIMEN REMBAU JADI UJIAN
TANAH ADAT TAK AKAN DIGADAI




Naib Ketua Pemuda UMNO, Sdr Khairy Jamaluddin yang diura-ura bertanding di Parlimen Rembau pada pilihanraya ke 12, mungkin berhadapan saingan sengit apabila kerjasama PAS-PKR akan digerakkan serentak. Pengendali blogger di Rembau Sdr Rozmal Malakan memberitahu, pihaknya tak akan membenarkan ‘tanah adat’ di Rembau digadai oleh mereka yang ‘pelahap’ hingga menjejaskan maruah bangsa. Sdr Rozmal yang juga pengarah pilihanraya PAS di Parlimen Rembau berkata, pengundi-pengundi di Rembau bukan sekadar menolak Khairy, malah sukar menerima kerakusannya mahu melonjak ke atas dengan ‘memijak bahu orang lain’.




“Insya Allah, PAS dan PKR di Rembau sudah membuat persiapan awal semata-mata mempertahankan ‘tanah adat’ daripada digadaikan sekiranya membenarkan UMNO terus mendominasi politik di daerah Rembau,” katanya menerusi SMS ketika menyokong pendirian PRIMA, ‘pilih calon, bukan pilih parti’. Sdr Rozmal juga turut mengumumkan aktivis Pemuda PKR Cikgu Badrulhisham sebagai calon BA di Parlimen Rembau dalam pilihanraya 8 Mac nanti. Seterusnya sdr Rozmal juga mengakui akan mengiringi calon PKR dan PAS yang bertanding di kerusi Parlimen Rembau dan DUN di kawasan terbabit sebagai mesej kepada BN dan UMNO, rakyat Malaysia akan membawa perubahan iaitu berdasarkan ‘Allah tak mengubah nasib sesuatu kamum, tetapi kaum itu sendiri yang menentukan nasib masa hadapan mereka’.




PENDIRIAN PRIMA P/RAYA KE 12
‘PILIH CALON, BUKAN PILIH PARTI’




Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah yang tak hadir dalam mesyuarat tak rasmi PRIMA baru-baru ini, memberitahu beliau memilih kawasan Parlimen Pekan bagi mewakili PRIMA mengiringi Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pada hari penamaan calon 24 Februari 2008 ini dalam menyahut pendirian yang ditetapkan PRIMA ‘pilih calon, bukan pilih parti’. Sebelum ini dalam mesyuarat tak rasmi PRIMA di Taman Seri Gombak ketetapan dibuat sebagai pendirian bersama ialah: ‘PILIH CALON, BUKAN PILIH PARTI’. Justeru petang ini (22 Februari 2008) Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM menghubungi sekretariat PRIMA memberitahu beliau akan ke kawasan Parlimen Pekan.





Dalam mesyuarat berkenaan pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail membuat keputusan ke Parlimen Lembah Pantai menyertai perarakan Dato’ Shahrizat Abdul Jalil, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz ke Parlimen Gua Musang bersama Tengku Razaleigh Hamzah, aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar ke Pasir Mas memberi sokongan moral kepada calon PAS Dato’ Ibrahim Ali dan pimpinan PRIMA Pak Dharma dijangka menyertai perarakan Dato’ Ahmad Bujang dan Haji Yuszahari Yusuff di Gombak. Sementara Haji Abu Bakar Ninggal mengakui isterinya (Hajjah Roselina Hussein) sudah menerima panggilan telefon dari Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail pagi ini (22 Februari 2008), tetapi belum membuat keputusan sama ada akan ke Permatang Pauh atau ke Lembah Pantai.





Aktivis teater di Pahang L. Mankadir Shamsi mewakili PRIMA mengiringi calon PAS Ustaz Kamal Shaari di Parlimen Kuala Krau dan calon PKR Haji Suhaimi Said di DUN Jenderak. Di Melaka aktivis budaya Dr Harun Kidam tak menyertai perarakan, tetapi menyokong pendirian PRIMA iaitu ‘pilih calon, bukan pilih parti’. PRIMA juga turut memberi sokongan moral kepada calon PKR bagi DUN Dengkel, di Selangor Sdr Ishamuddin Hj Ismail dalam melestarikan manifesto yang digariskan bersama dengan PAS bagi menghadapi pilihanraya ke 12 ini. Bagaimanapun PRIMA hanya menyokong calon-calon UMNO yang bertanding atas tiket BN berdasarkan ‘pilih calon, bukan pilih parti’ itu.





INFO SASTERA & BUDAYA




K’JAAN NS DIMINTA KAJI SEMULA:
PEMBAZIRAN IDEA BERI ANUGERAH




Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Mohamad Hassan diminta mengkaji semula anugerah sastera yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, apabila penerima anugerah tak dianggap penyumbang besar dalam sastera dan budaya Melayu. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA seorang penulis muda dari Seremban dikenali Sdr Azmi, mengakui komen kolumnis Salbiah Ani di Berita Harian tak lama dulu adalah ditujukan kepada proses memberi anugerah kepada penulis di Negeri Sembilan. Dalam tulisan tersebut menurut Sdr Azmi, kolumnis berkenaan mengkritik langkah memberi anugerah kepada individu yang sudah meninggal dunia, ketika tokoh sebenar dalam bidang penulisan di Negeri Sembilan masih lagi hidup.




“Memang saya tahu dari A hingga Z mengenai cara pemberian anugerah tersebut, bukan berdasarkan ketokohan tetapi mengikut kesongsangan idea,” menurut Sdr Azmi yang menyifatkan kerajaan Negeri Sembilan hanya membazir masa sekiranya pemilihan dibuat secara semborono. Katanya, bagaimana seseorang yang hanya menghasilkan sebuah sajak sahaja boleh dipilih menerima anugerah. Setidak-tidaknya menurut Sdr Azmi lagi, pihak kerajaan Negeri Sembilan atau pejabat Menteri Besar seharusnya mempunyai dokumentasi lengkap sama ada dari akhbar mahupun majalah, bukan sekadar ‘tangkap muat’ menerusi persatuan yang kewibwaannya boleh dipersoal. “Karya-karya yang diterbit oleh persatuan dengan kewangan kerajaan negeri, masih dipertikai tahap pencapaian dan mutu karyanya,” beliau menjelaskan.



KOMENTAR

bersama Pak Parjo



LEGASI PIMPINAN DARI BAPA
MEMANG SIASAH SEJAK PURBA





Syahdan disebutlah oleh perawi akan calon-calon yang bertanding pada pilihanraya ke 12 di sebuah negeri bernama Malaysia dalam bulan Rabiulawal 1429 nanti, ramailah anak-anak pemimpin meneruskan legasi kepimpinan ayah mereka. Diberitahu kepada fakir antara anak-anak pemimpin itu termasuk Dato’ Mukhriz anakanda kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan ramailah lagi anak-anak orang-orang besar itu dijadikan calon, adanya. Sebermula kejadian tersebut sudahlah berlaku pada dekad 1970-an, apabila pada pilihanraya kecil di Kajang anak wakil rakyat yang meninggal dunia Dato’ Nazir yang bernama Dato’ Azmir itu dijadikan calon. Maka sekalian hamba rakyat di Kajang pun mengundilah untuk memenangkan anak wakil rakyat itu.





Kata yang empunya ceritera pada tahun 1976 juga berlakulah kejadian seperti itu apabila Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia, maka diperkenan oleh Sultan Pahang akan anak orang besar itu yang bernama Dato’ Mohd Najib menjadi calon dalam pilihanraya. Maka tiadalah akan hamba Melayu itu membantah akan kemahuan rajanya, kerana sudah mustaid segala yang dikatakan oleh orang tua-tua dahulu, tiadalah anak Melayu itu menderhaka. Syahdan sekali persetua Bendahara Paduka Raja Tun Perak itu hilanglah, lalu dikebumi oleh Sultan Mahmud Syah mengikut adat orang-orang besar dahulukala jua, adanya.





Adapun baginda Sultan Mahmud Syah tiadalah ia keluar ke balai penghadapan beberapa hari oleh kerana masyghol teramat sangat. Setelah beberapa hari dimintalah oleh orang-orang besar baginda keluar ke balai penghadapan kerana mereka semua hendak mengadap ke bawah duli. Maka baginda pun melantik adik Bendahara Paduka Raja yang pernah diutus ke benua China iaitu Tun Perpatih Putih menjadi bendahara, kerana baginda tidaklah mengikut akan siasah orang tua-tua dahulu iaitu melantik anak bendahara, Paduka Tuan gelarnya Tun Muhammad namanya. Disebabkan Tun Perpatih Putih itu sudah tua, tiadalah lama ia menjadi bendahara, lalu digantikan pula oleh Seri Maharaja Tun Mutahir sebagaimana disurat menerusi kalam:

















HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: