Sunday, March 30, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)




DARI LAMAN BLOG:



PERIHAL WARGA EMAS PRIMA
KEMBALI KEPADA NILAI KAMPUNG



Assalamualaikum,


Disebabkan anak bongsu saya dalam Tingkatan 3 menyertai latihan sukan di sekolah pagi ini (30 Mac 2008), terpaksalah batalkan untuk balik ke Bagan Datoh di Perak. Lagi pun bukanlah mustahak sangat, sekadar mahu melihat lembu peliharaan yang dipawah kepada adik ipar saya. Bagaimanapun tak sama dengan aktivis teater Sdr L. Mankadir Shamsi yang menjadikan ternakan lembu sebagai perusahaan utama, apabila beliau menetap di kampung setelah mencapai status ‘warga emas’. Tak hairanlah Sdr Mankadir begitu sinonim dengan sajaknya ‘Lembu Tua’ yang sering dideklamasikan, akibat lembu-lembunya yang ditindik hidung mudah sangat diheret ke mana sahaja. Bahkan kata Sdr Mankadir, apabila diheret ke lokasi penyembelihan pun tak pernah lembu-lembu ternak berkenaan membantah. Begitulah!

Berbeza dengan pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, dalam masa mencapai status warga emas sekarang, sering sahaja berulang alik ke Pekan di Pahang apabila mengusahakan tanaman herba di lokasi tanahnya lebih kurang seluas 4 hektar. Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga ialah Presiden Kaunseling Malaysia di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memilih perusahaan tanaman herba setelah menerima pandangan individu yang berpengalaman dalam perusahaan herba. Sebagai aktivis karya kreatif, Dato’ Dr Mohd Mansor juga tak pernah kering idea untuk menulis puisi, justeru akan membacakan sajak-sajak baru apabila mendeklamasi puisi sebagai manifestasi penyair terhadap alamnya.


Pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail tak pula balik ke kampung halamannya di Parit Buntar, Perak dalam melestarikan status ‘warga emas’nya. Sebaliknya beliau memilih perkampungan di Hulu Selangor mengusahakan tanaman sayur-sayuran di lokasi tanah seluah 10 hektar, bersama anaknya graduan dari luar negeri yang enggan ‘makan gaji’. Barangkali! Ironinya, Haji Yahaya terlalu sukar memohon tanah kerajaan di negeri Selangor bagi melaksanakan perusahaan pertanian (sebelum pimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi memberi keutamaan mengkomersial sektor pertanian), justeru terpaksa menyewa tanah daripada individu di Hulu Selangor. Apa yang dialami oleh Haji Yahaya seakan-akan sama dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee apabila gagal memohon pinjaman MARA untuk heh heh heh!


Penyair Yassinsalleh yang sinonim dengan sajak ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ satu ketika dulu, khabarnya mencari jatidiri di kampung juga apabila mencapai status ‘warga emas’, tak hairanlah puisi-puisi yang di SMSkan kepada saya juga begitu condong menyayangi sumber perkampungan. Misalnya sajak ‘Gurindam 10 Budak Hitam Putrajaya’ sering dideklamasikan sebelum pilihanraya 8 Mac 2008, termasuk juga di laman rumah PENA di Kuala Lumpur. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz juga turut mencari jatidiri di kampungnya di Manjong di Perak menerusi puisi-puisi yang dihasilkannya, sekalipun kesibukan habiskan masa di padang golf (atau di Indonesia disebut ‘golof’).



-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:
UCAPTAMA TUN DR M, DR KHIR TOYO
PERJUMPAAN BLOGGER DI PETALING JAYA


Pengendali laman blog dan laman web menganjurkan perjumpaan dengan pimpinan Melayu, sebelum Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek sempat menemui kalangan media alternatif yang diwar-warkan sebelum ini. Perjumpaan tersebut diadakan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 1 April 2008 ini sebagai manifestasi mengenai keprihatinan bangsa Melayu terhadap kebobrokan dalam kepimpinan sekarang, menurut panatianya Sdr Sallehuddin. Inisiatif yang diambil oleh Sdr Sallehuddin menganjurkan perjumpaan tersebut, berikutan pertemuan tak rasmi pengendali laman blog dengan bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo baru-baru ini, berkaitan rasa bimbang komuniti Melayu dengan senario politik sekarang.



Dalam jemputan pihak panatia kepada kalangan aktivis masyarakat menerusi SMS hari ini (30 Mac 2008), bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohd Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mokhriz Mahathir sudah memberi persetujuan bagi menyampaikan ucaptama. Sekalipun Sdr Sallehuddin tak memberikan butir-butir lanjut, tetapi bagi mereka yang berminat untuk menyertai perjumpaan berkenaan adalah dialu-alukan. Justeru mereka yang peka dengan permasalahan negara sekarang bolehlah menghubungi Sdr Sallehuddin menerusi h/p 013-3022627 bagi mendapatkan keterangan lanjut. Dengan ini PRIMA meminta para aktivis ke majlis perjumpaan tersebut, dengan menghubungi Sdr Sallehuddin.




KELANTANGAN SUARA TUN DR M
APABILA PIMPINAN MUDA BERDIAM DIRI

Kelantangan suara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kuota pencalonan bagi bertanding jawatan Presiden UMNO dihapuskan seperti dilaporkan media hari ini (30 Mac 2008), disebabkan pimpinan muda UMNO hanya mampu berdiam diri, beritahu bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, memang peruntukan tersebut dibuat ketika Tun Dr M menjadi Presiden UMNO, tetapi beliau sudah mengakui akan kesilapan tersebut, malah meminta maaf sekiranya langkah tersebut memberi masalah kepada UMNO. Dato’ Kamal Amir yang juga Jurucakap PRIMA turut menjelaskan dalam pertemuan PRIMA dengan Tun Dr M pada 15 Ogos 2007, beliau meminta maaf sekiranya langkah tersebut menjadi satu kesilapan kepadanya.


“Malah Tun Dr M turut meminta maaf kepada ahli-ahli UMNO sekiranya beliau membuat pilihan yang salah apabila melantik Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku timbalannya ketika itu,” beritahu Dato’ Kamal Amir setelah beberapa pihak menyalahkan beliau (Tun Dr M) yang melantik Dato’ Seri Abdullah selaku timbalannya. Menurut Dato’ Kamal Amir ketika pertemuan di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun Dr M memberitahu beliau sudah memilih semua timbalannya berdasarkan kehendak ahli-ahli UMNO ketika, justeru beliau tak sedar sama ada pelantikan tersebut satu kesilapan atau sebaliknya. “Sebab itu Tun Dr M memberitahu PRIMA, beliau meminta maaf kalau langkah tersebut menjadi satu kesalahan,” ujar Dato’ Kamal Amir lagi.




INFO SASTERA & BUDAYA:


PRIMA TURUT AMBIL BORANG
CALONKAN PENERIMA ‘SEA WRITES’

Aktivis PRIMA Sdr Zainal Abidin Rasidin memberitahu beliau sudah mengambil borang pencalonan bagi ‘Anugerah Sea Writes’ di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bagi membantu panel penilai di sekretariat terbabit yang kurang menggunakan teropong sastera yang telus. Menurut Sdr Zainal Abidin yang juga Presiden Penaja Pemandu-pemandu Teksi Islam Lembah Kelang yang juga bekas wartawan, pihaknya sekadar mahu membuat pencalonan sahaja, kerana pihak panel sudah mempunyai calonnya mengikut teropong sasteranya sendiri. “Penilaian yang dibuat sama juga macam isu pilihanraya yang berliku-liku, bersiku-siku dan berpenjuru-penjuru, justeru pihak PRIMA sekadar hantarkan calonnya sahaja,” beritahu Sdr Zainal Abidin.


Seterusnya kata Sdr Zainal Abidin, penggiat sastera perlu bangkit mempersoal wibawa panel berkenaan, kerana penilaian seni terlalu subjektif bentuknya. Beliau mengambil contoh novel ‘Salina’ A Samad Said yang hanya diiktiraf sebagai pemenang sagu hati sempena kemerdekaan, sebaliknya diangkat sebagai karya sastera Melayu pertama bertaraf antarabangsa. Begitu juga dengan lagu ‘Bahtera Merdeka’ yang dicipta Kassim Masdor sekadar menduduki tempat ketiga pertandingan lagu-lagu patriotik sempena merdeka pada dekad 1950-an, tetapi menjadi lagu popular dan digemari ramai berbanding lagu yang mendapat tempat pertama dan kedua iaitu ‘Nusa Jaya’ dan ‘Putera Puteri’. “Panel penilai di sekretariat di DBP juga sama seperti kisah orang buta dengan gajah dalam membuat penilaian bagi anugerah beprestij itu,” menurut Sdr Zainal Abidin.


Menyentuh sikap arogan panel penilai dalam Anugerah Sasterawan Negara juga turut dipersoal oleh Sdr Zainal Abidin, kerana katanya lebih cenderung kepada kalangan yang rapat dengan mereka. Kalau berdasarkan mutu karya ujar Sdr Zainal Abidin, apakah karya-karya yang menang dalam sayembara di peringkat nasional kurang bermutu. Malah kata Sdr Zainal Abidin lagi, Khadijah Hashim dan Dr Fatimah Busu antara penulis yang sering memenangi hadiah sayembara mengarang, tetapi pihak panel penilai seolah-olah ‘berasa kekok’ memilih pengarang wanita untuk Anugerah Sasterawan Negara. Justeru beliau menambah, pihak DBP berasa malulah kerana karya-karya Shahnon Ahmad dan Tok Awang Ngah tersenarai di perpustakaan Universiti Ohio, di Amerika Syarikat.

JANGAN BIAR RAKYAT BERGURINDAM
PAK LAH TAK PERLU TERUS DIBUAI MIMPI


Majoriti rakyat terus meluahkan rasa meluat menerusi SMS dan pelbagai pendekatan bagi menyampaikan mesej kepada pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, penyair Yassinsalleh memberitahu banyak ‘gurindam’ dihasilkan oleh para karyawan sebagai manifestasi kepada rasa kurang senang terhadap pimpinan negara, malah sebahagiannya menuntut supaya Dato’ Seri Abdullah berundur. Justeru katanya, Dato’ Seri Abdullah tak perlu dibuai mimpi, menerusi pujian ‘molok-molok’ dari orang-orang keliling. “Contohilah pimpinan negara di masa lalu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berundur apabila rakyat menyampaikan mesej yang jelas sejelas-jelasnya,” beritahunya di samping melampirkan ‘gurindam’ yang disampaikan kepadanya oleh orang ramai:


Gurindam Si Dol

Hatiku kecewa tiada dapat berkata
rakyat mengata nista
raja murka segala
hatiku berduka,
setiap ku kata semuanya salah belaka
dek angkara menantu, aku dibenci begitu
ku harap Islam Hadhari di Terengganu bestari
tapi aduh duh duh,
si dia tak lagi jadi MB
menantu oh menantu
engkau punya pasallah semua tu
anak oh anak apa salah kau bersuami
isteri oh isteri yang dicintai
bukankah elok kita berundur diri
sebelum lina tidur berdiri!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


IBU MALANG DIRUNDUNG MUSIBAH
SEKADAR PASRAH DENGAN KEJADIAN

Sekali persetua tersebutlah ibu malang di negeri Melayu iaitu Perlis Indera Kayangan bernama Norlaila Bahari berusia 51 tahun, dirundung musibah kerana tak diketahui siapa membunuh anaknya Allahyarhamah Noritta Shamsuddin, lima tahun yang lalu. Dalam laporan para penyurat hari ini, 22 Rabiulawal 1429 (atau kata anak cucu fakir ialah 30 Mac 2008), si ibu malang itu bertambahlah malang kerana tiadalah keputusan siapakah pembunuh anaknya itu. Malah suaminya Allahyarham Shamsuddin Ahmad sudahlah juga meninggal dunia dengan menanggung kesedihan berikutan kejadian yang menimpa anak gadisnya itu, dibunuh orang tak berperi kemanusiaan. Arakian kejadian yang menimpa anaknya seakan-akan terlalu berserabut seperti yang menimpa Allahyarham Mustakizah suatu ketika dahulu, adanya.

Syahdan terlalu masyghol Sang Rajuna Tapa, kerana pangkat dan darjat yang dikurnia raja sebagai bendahari, tak dihiraukan oleh Sultan Iskandar yang memerintah Singapura. Adapun Sang Rajuna Tapa itu anaknya bernama Dang Anom telah dijadikan gundek oleh raja Singapura, sekalipun gadis malang itu sudah bertunang dengan salah seorang dato’ panglima yang juga orang besar istana. Maka dilihat oleh pegawai-pegawai istana dato’ panglima itu berdua-duaan dengan Dang Anom, lalu ditangkap kerana dituduh bermukah. Arakian Dang Anom anak bendahari itu dihukum sula oleh Sultan Iskandar bersama dengan dato’ panglima kerana dituduh bermukah. Maka matilah keduanya, tetapi Sang Rajuna Tapa dibukanya pintu kota hingga perajurit-perajurit Majapahit masuk menyerang Singapura, dan alahlah negeri itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ kata:

HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, March 28, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

POLIS TURUT BACA ‘HARAKAH’
RAKYAT MENOLAK PERHAMBAAN MINDA

Assalamualaikum,

Balik dari menziarah sepupu saya, Kak Jah yang dimasukkan ke Hospital Tawakkal di Jalan Pahang Barat petang ini (27 Mac 2008), saya singgah di restoran berdekatan. Dua orang anggota polis kelihatan minum di restoran berkenaan, dengan salah seorang membaca akhbar ‘Harakah’ terbitan PAS. Maknanya, anggota polis terbabit tak berasa kekok lagi untuk membeli akhbar ‘Harakah’ selepas berlakunya anjakan paradigma pada 8 Mac 2008 lalu. Majoriti rakyat sudah menolak ‘perhambaan minda’ yang dieksploit oleh media arus perdana sejak bertahun-tahun dengan memberi ‘pil khayal’ kepada pimpinan negara apabila menyogokkan laporan yang ‘molok-molok’, hingga akhirnya Malaysia terjerumus ke lembah yang serba bobrok, korok dan teruk.

Memang pagi lagi adik sepupu saya Sazali dari Seremban menelefon jam 7.00 a.m. beritahu mengenai Kak Jah yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan sejak semalam, tetapi keadaannya sudah agak stabil. Selepas itu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail dan bekas profesor Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula menelefon bertanyakan isu di Terengganu, berikutan Tengku Razaleigh Hamzah menghadap ke Istana Negara jam 3.00 petang semalam (26 Mac 2008). Berikutnya penyair Yassinsalleh mengirim SMS berkaitan cemuhan orang ramai terhadap pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pelbagai ejekan, sindiran dan usikan berkaitan peribadi pimpinan negara itu yang terlalu jelek untuk dipaparkan. Aduhai!

Sekalipun hulubalang-hulubalang di sekeliling Dato’ Seri Abdullah sudah bersuara bagi mempertahankan wibawa ketua, tetapi keberangan rakyat sudah sampai kepada kemuncaknya. Menteri Luar yang baru, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim menyifatkan Menteri Besar Terengganu yang menerima watikah dari istana, Dato’ Ahmad Said boleh jatuh bagaikan ‘nangka masak’, begitu juga pelbagai pihak mengingatkan beliau akan berhadapan dengan undi tak percaya di DUN Terengganu. Semua pihak menyedari suara hulubalang-hulubalang berkenaan sekadar ‘ngauman harimau kertas’, kerana majoriti rakyat berdiri teguh di belakang raja-raja Melayu. Sekalipun UMNO belum jatuh bagai ‘nangka masak’, tetapi hakikatnya sudah terkulai, tersalai dan tersadai!
Mesej yang disampaikan kepada Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib apabila mahu menangguhkan Perhimpunan Agung, secara tidak langsung adalah signal kepada Dato’ Seri Abdullah, beliau harus tunduk dengan kemahuan majoriti ahli. Hari ini (27 Mac 2008) media arus perdana menyiarkan kenyataan Ketua Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Muhammad Hassan, Perhimpunan Agung UMNO tak wajar ditangguhkan. Apalagi bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga turut mempersoal logiknya Perhimpunan Agung UMNO ditangguhkan. Begitulah!


-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA

WAJARNYA PERHIMPUNAN KHAS
ATAU PAK LAH PERLU BERUNDUR!

Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mendesak Perhimpunan Khas perlu digerakkan, bukan menunggu sehingga Disember 2008 seperti diputuskan oleh Majlis Tertinggi yang bersidang petang ini (27 Mac 2008). Serentak dengan itu beliau yang juga Jurucakap PRIMA menggesa pimpinan UMNO peringkat bahagian bangkit menolak ‘perhambaan minda’ di samping menyahut seruan Tengku Razaleigh Hamzah supaya Perhimpunan Khas digerakkan secepat mungkin. Katanya, beliau bimbang dengan ‘kelambatan’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mempertahan glorinya, UMNO akan ditumbangkan menerusi ‘undi tak percaya’ di Parlimen dalam tempoh terdekat. “Dato’ Seri Abdullah dan UMNO jangan memperlekeh keupayaan parti lawan seperti sebelum 8 Mac 2008 yang lalu,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya Dato’ Seri Abdullah mahu membawa UMNO bersidang pada Disember 2008, adalah lebih baik pimpinan UMNO itu meletak jawatan. Apabila UMNO mengalami prestasi buruk pada pilihanraya 8 Mac 2008, pihak PRIMA merasakan kesalahan tersebut adalah secara kolektif. Tetapi apabila Dato’ Seri Abdullah mahukan Perhimpunan Agung pada Disember 2008, menurut Dato’ Kamal Amir ianya adalah kesalahan Presiden UMNO sendiri. Justeru sebagai ahli UMNO kata Dato’ Kamal Amir, beliau mendesak Dato’ Seri Abdullah berundur tanpa syarat, kerana UMNO sudah dimalukan di Perlis dan di Terengganu. “Malah hari ini (27 Mac 2008) UMNO dimalukan lagi dengan peletakan jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Ghaffur Salleh,” beliau menjelaskan.

KHALID DIMINTA SEGERA SIASAT
EXCO LINDUNGI PERUSAHAAN MAKSIAT
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim diminta menyiasat segera laporan salah seorang Exco Negeri Selangor terbabit melindungi perusahaan rumah maksiat, bagi mengelakkan belia-belia terjerumus dalam kegiatan tak bermoral. Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Sdr Sobri Ahmad berkata, adalah tak wajar individu yang terbabit melindungi perusahaan rumah maksiat diberi kedudukan dalam kerajaan negeri, kerana ianya membabitkan moral golongan belia. Sdr Sobri mengulas kenyataan bekas Pengerusi Perhubungan BN Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam blog PRIMA baru-baru ini yang mendakwa beliau mempunyai bukti salah seorang Exco Selangor sekarang terbabit melindungi perusahaan rumah maksiat.

Dakwaan tersebut menurut Sdr Sobri membabitkan isu belia, justeru langkah susulan perlu diambil demi kepentingan negeri Selangor yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuhnya, Islam adalah agama rasmi. Menurut Sdr Sobri lagi, ianya juga membabitkan gejala sosial, disebabkan wanita-wanita yang dibawa masuk ke Selangor bagi perusahaan rumah maksiat, adalah wanita-wanita asing yang sekadar diberikan visa lawatan bagi tempoh beberapa bulan bukannya pas kerja. Pelantikan ADUN terbabit sebagai Exco kerajaan negeri adalah mencemarkan imej negeri Selangor. “Pihak gerakan belia akan menghantar memorandum kepada DYMM Tuanku Sultan, sekiranya Tan Sri Khalid berkompromi dalam isu ini,” beritahu Sdr Sobri.

KERAJAAN DIDESAK KEMBALIKAN:
TANAH RAKYAT MISKIN DI PULAU PINANG

Kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru didesak kembalikan semula tanah rakyat miskin yang diambil oleh pentadbiran di bawah bekas Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon yang lokasinya terletak di Padang Tembak (bersebelahan bangunan sekolah), kata aktivis PRIMA penyair Yassinsalleh. Beliau yang dihubungi oleh penduduk-penduduk terbabit memberitahu, sebidang tanah lapang milik orang-orang miskin membabitkan rumah-rumah kediaman mereka sudah ditukar hakmilik kepada individu berpengaruh. Menurut Sdr Yassinsalleh pihaknya menerima laporan dari pemilik-pemilik tanah berkenaan menyebut, “We Penang people like to appeal to new CM to take immediate legal action against previous BN exco government for such deal and return back the land to Penang people.”

Menurut Sdr Yassinsalleh, pihak PRIMA sekadar menyampaikan mesej dari rakyat yang menjadi punca kebobrokan pentadbiran hingga BN berhadapan dengan prestasi buruk pada pilihanraya lalu. Serentak dengan itu Sdr Yassinsalleh juga mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru mendedahkan nama individu yang diberikan hakmilik tanah berkenaan, setelah merampasnya dari pemilik-pemilik miskin yang malang. Seterusnya kata Sdr Yassinsalleh, adalah tak menghairankan rakyat Pulau Pinang menukar kerajaan negeri, berikutan sikap arogan BN sebelum ini yang pongah terhadap hegemoni kuasa politik mereka. “Langkah mendedahkan kebobrokan itu bukanlah ‘balas dendam’, sebaliknya memberikan keadilan kepada mereka yang teraniaya sebelum ini,” beritahu Sdr Yassinsalleh.

ORANG MELAYU TAK KOMPROMI
PERTAHAN KEDAULATAN RAJA-RAJA
Mana-mana pihak yang mahu mempersoal kedaulatan raja-raja akan berhadapan dengan tentangan yang tak berkompromi dari orang-orang Melayu di seluruh negara, kata pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Beliau yang juga bekas pensyarah di USM memberitahu, raja-raja Melayu adalah benteng terakhir melindungi kepentingan orang Melayu menerusi perlembagaan. Katanya, tindakan menentang pelantikan Menteri Besar dengan mengugut memulaukan istiadat angkat sumpah bukan sahaja ‘biadap’ malah tak mahu mencabar kedaulatan raja-raja Melayu yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan di negeri baginda. “UMNO jangan cuba memperlekeh raja-raja Melayu hingga dituruti oleh pimpinan politik bukan Melayu,” katanya.

Haji Yahaya juga menyentuh insiden di Perak dan di Selangor apabila pimpinan politik bukan Melayu cuba memperlekeh institusi istana. Sambil menyebut ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ yang sudah disembahkan kepada raja-raja Melayu pada November 2007 Haji Yahaya menegaskan, orang Melayu tak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu memperlekeh institusi raja-raja Melayu. Malah PRIMA katanya akan menggerakkan penyatuan Melayu apabila terdesak sekiranya ketuanan raja-raja Melayu cuba diperlekehkan. “Justeru jangan cuba mempersoal kedaulatan raja-raja Melayu semata-mata mahu mempertahan ego politik, kerana orang Melayu tak akan berkompromi demi menegakkan ketuanannya,” beritahu Haji Yahaya.

PENGENDALI BLOG JADI CONTOH
PELIHARA PERSEFAHAMAN BERSAMA


Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengingatkan pengendali laman blog dan laman web tak bercakaran sesama sendiri, sebaliknya perlu menjadi model kepada masyarakat sebagai golongan yang berprinsip. Mengulas insiden yang menimpa pengendali laman web ‘Malaysia Today’ Raja Petra Kamaruddin apabila dikenakan saman fitnah RM4 juta, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas profesor dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, setiap pengendali laman blog dan laman web mestilah menjalin persefahaman di samping membela rakan-rakan. “Kalau hari ini pelepah di bawah jatuh, pelepah di atas jangan mentertawakan, kerana musibah sentiasa menunggu,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.

Sambil melahirkan rasa kecewa apabila pengendali laman blog menggunakan ruang terbatas untuk menjatuhkan rakan sendiri atas konsep menolak ‘perhambaan minda’, Dato’ Dr Mohd Mansor mengingatkan dalam masa berusaha membangun pertumbuhan minda masyarakat, adalah malang apabila bercakaran sesama sendiri. Katanya lagi, Raja Petra Kamaruddin membuktikan laman web yang dikendalikannya mampu mendedahkan isu yang sering disembunyikan. Justeru, rakan-rakan pengendali laman blog dan laman web perlu memberi sokongan moral kepada Raja Petra Kamaruddin. “PRIMA sentiasa memandang berat dengan isu yang dihadapi rakan-rakan, justeru kita tak seharusnya bercakaran sesama sendiri,” ujar beliau.

INFO SASTERA & BUDAYA

TEROPONG SASTERA LEBIH TELUS
UNTUK PANEL PENILAI ANUGERAH
Panel penilai bagi memberi anugerah kepada penulis di Malaysia, perlu gunakan teropong sastera yang lebih telus, bukan sekadar berdasarkan rakan-rakan di sekeliling mereka sendiri. Setakat ini sekretariat panel penilai ditempatkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berfungsi sebagai memilih penulis yang di sekeliling mereka sahaja, menurut aktivis teater L. Mankadir Shamsi. Ketika menghubungi sekretariaat PRIMA hari ini (27 Mac 2008), Mankadir yang juga aktivis Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) kurang yakin dengan usaha pencalonan bagi ‘Anugerah Sea Write’ ke Bangkok yang dibuka sekarang. “Pencalonan perkara yang lain, tetapi DBP sendiri sepatutnya mempunyai para penyelidik bagi membuat pencalonan,” beritahu Mankadir.

Menurut Mankadir, sekiranya pihak penyelidik sastera di DBP menggunakan teropong sastera yang telus, masakan mereka tak pernah menemui nama-nama seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Dharmala N.S., Yahaya Ismail, Habsah Hassan, A.F. Yassin, Mohd Affandi Hassan, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, Salmi Manja dan ramai lagi yang mampu mengangkat martabat sastera Melayu. Seterusnya kata Mankadir, mungkin sahaja di kalangan penulis-penulis terbabit terdapat juga yang enggan menerima anugerah berkenaan, tetapi pihak panel seharusnya mencari sebab musabab kenapa mereka bertindak demikian. “Janganlah berlaku seperti insiden Allahyarham Pak Sako menolak anugerah Budayawan Gapena sekitar dekad 1980-an,” ujarnya.

Menyentuh insiden Pak Sako (Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad) menolak anugerah Budayawan Gapena jelas Mankadir lagi, bukan disebabkan nilai anugerah berkenaan sekadar sepasang pakaian Melayu, kain songket dan destar. Sebaliknya sikap Gapena sendiri yang memberi anugerah kepada tokoh persuratan Melayu dikemudiankan dari tokoh yang lebih junior. Seterusnya Mankadir menambah, kesilapan yang dilakukan oleh Gapena apabila memberi anugerah kepada Pak Sako, selepas Pak Zakaria Hitam dan Tan Sri Abdul Samad Idris seolah-olah memperlekehkan sumbangan beliau, janganlah pula diulangi oleh DBP. “Belajarlah daripada kesilapan supaya persuratan Melayu tak akan diperlekeh oleh pihak lain,” beritahu Mankadir selanjutnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

PENDEKATAN BARU FASAL AGAMA
GABUNGAN ILMU DAN PENGETAHUAN
Syahdan dipukul canang ke seluruh pelusuk negeri akan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dato’ Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu mengubah pandangan masyarakat terhadap peranan dan tugas jabatan agama seperti disurat orang hari ini 20 Rabiulawal 1429 (atau disebut anak cucu fakir 27 Mac 2008), adanya. Maka diingatkan pegawai-pegawai dan hulubalang sekalian supaya melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin, kerana gerangannya sebelum ini kuranglah baik. Arakian akan Islam Hadhari yang disebut orang banyak itu, menteri-menteri juga mengakui terlalu kabur, maka sukarlah mahu menterjemahkan kepada rakyat jelata sekalian.

Sebermula akan perkara agama itu, maka oleh Sultan Mansor Syah dititahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai bertanyakan suatu masalah: “Segala isi syurga itu kekalkah ia di dalam syurga dan segala isi neraka itu kekalkah di dalam neraka?”. Maka Tun Bija Wangsa membawa bersama emas urai tujuh tahil dan dua orang perempuan peranakan Makasar, Dang Bunga namanya seorang anak biduanda Muar, Dang Bibah namanya seorang. Berasa hairanlah segalah pendeta di Pasai, kerana perkara agama yang mahu diketahui oleh Sultan Melaka itu bersabit dengan ‘tahakik’. Arakian akan pendeta-pendeta di Pasai taklah bermegah-megah dengan ilmu agamanya, tetapi memberikan jawapan secara tahakik seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ menerusi:



HIDUP BAHASA MELAYU!

Wednesday, March 26, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG

UMNO GHAIRAH MENGJEAR GLORI
TAK PRIHATIN SEJARAH PENUBUHAN

Assalamualaikum
Berbeza dengan program sehari bersama tokoh di Muzium Negeri Sembilan bulan lalu ketika saya diminta membicarakan sejarah Tuanku Tambusai, Dato’ Siamang Gagap dan Perang Bukit Putus, hari ini (26 Mac 2008) program berkenaan kurang diberi sambutan dengan perbincangannya ‘Batu Megalitik Di Negeri Sembilan’ bersama bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Dato’ Dr Adi Haji Taha. Mungkin sahaja topik berkenaan kurang menarik minat orang ramai, sekalipun ianya berkaitan dengan tamadun bangsa Melayu dan sejarah pembangunan minda manusia. Tak sampai pun 30 orang peserta yang hadir, malah dua tiga orang sahaja yang mengambil bahagian membahaskan isu ‘Batu Megalitik Di Negeri Sembilan’ itu. Entahlah!

Muzium Negeri Sembilan juga menggerakkan ‘Program Titipan Zaaba 2008’ pada 29 Mac 2008 di Pekarangan Teratak Zaaba di Jempol dengan ‘pengkisahan Zaaba’ bersama Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI Dato’ Wira Dr Mohd Rosli Saludin dan Pengarah Penerbit, UPSI Profesor Dr Haji Buhari Lubis. Mungkin sahaja lokasi berkenaan jauh dari bandar Seremban, tetapi bagi mereka yang prihatin dengan sejarah bangsanya pasti berminat menyertai pengkisahan Zaaba (Tan Sri Pendeta Zainal Abidin Ahmad) yang dilahirkan di tapak (replika) teratak berkenaan pada 16 September 1895. Malah aktivis UMNO sekarang pun kurang peka dengan peranan Zaaba sepanjang November 1945 hingga 1 Mac 1946 yang menggerakkan Kongres Melayu Pertama.
Apalagi golongan muda UMNO sama ada Pemuda, Puteri mahupun Putera yang ghairah mengejar status dan glori, sekadar diberi kefahaman UMNO diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar. Begitulah! Mereka tak pernah peduli mengenai pembabitan Zaaba dua kali mengirim telegram kepada Dato’ Onn (ketika itu Pegawai Daerah Batu Pahat), di samping ke pejabat Setiausaha Jabatan Tanah Jajahan (Menteri Tanah Jajahan) British di London mempertikai kebiadapan Harold Mac Micahel memaksa raja-raja Melayu bagi menurunkan tanda tangan sepanjang November-Disember 1945. Apabila akhbar-akhbar Melayu memainkan isu berkenaan secara berterusan, barulah Dato’ Onn menghubungi Zaaba memberikan persetujuan menggerakkan Kongres Melayu Pertama.

Dengan pengaruh Dato’ Onn sebagai anak pembesar Johor, beliau menghubungi Dato’ Panglima Bukit Gantang (Haji Abdul Wahab Tok Muda Abdul Aziz) di Ipoh tokoh elit di Perak dan Tunku Abdul Rahman Putra (Pegawai Daerah Kulim), kerabat diraja Kedah bagi menggerakkan perpaduan Melayu dengan Zaaba dilantik sebagai pengerusi panatia kongres. Dato’ Onn sekadar mencadangkan nama kongres tersebut ditukar kepada Pertubuhan Melayu Bersatu (UMO), tetapi Zaaba mahukan ianya bersifat gerakan kebangsaan (bukan kenegerian) dengan menamakan ‘Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ (UMNO). Maknanya, nama UMNO itu lahir dari mulut Zaaba, bukan Dato’ Onn, Tunku, Tun Razak, tetapi Pemuda, Puteri mahupun Putera sekadar heh heh heh!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA

PAK LAH SUKAR UNTUK PULIHKAN
‘KRISIS KEYAKINAN’ PALING BOBROK

Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah merasakan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sukar memulihkan ‘krisis keyakinan’ yang dihadapi UMNO sekarang, berdasarkan Pulau Pinang negeri kelahirannya jatuh ke tangan lawan pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Justeru kata Dato’ Dr Moh Mansor sekalipun Dato’ Seri Abdullah melipat-gandakan usaha dengan pelbagai strategi, secara moraliti beliau sebagai pemimpin tetap tercalar, tercabar dan tercakar. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini (26 Mac 2008), Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM berpendapat ‘krisis keyakinan’ UMNO sukar dibendung melainkan perubahan drastik perlu dibuat dalam pimpinan UMNO.

“Kalau enggan menerima hakikat, UMNO tak perlu memikirkan teori pandulum akan memberi kemenangan pada pilihanraya akan datang,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Sambil merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang menyebut UMNO akan berhadapan dengan ‘mala petaka’ sekiranya pemilihan dibuat tahun ini, Dato’ Dr Mohd Mansor menyifatkan ianya sebagai ‘membuaikan’ Dato’ Seri Abdullah dalam mimpi yang ‘molok-molok’. Menurutnya lagi, Tan Sri Muhammad perlu bersikap seperti Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar ketika memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO yang berani mengkritik pimpinan untuk menyelamatkan kepentingan UMNO khususnya dan orang Melayu amnya. “Apalah gunanya bermegah dengan status, kalau jadi Pak Kadok ayam menang kampung tergadai,” katanya menambah.

PIMPINAN UMNO TAK SINAMBUNG
PAK LAH, NAJIB TAK BERPENGGANTI
Pimpinan UMNO sekarang berhadapan dengan fenomena tiada pengganti bagi kesinambungan kepimpinan, menyebabkan krisis Menteri Besar Terangganu tak mampu ditangani secara berkesan, beritahu aktivis masyarakat di Temerloh, Pahangan Sdr L. Mankadir Shamsi. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini (26 Mac 2008) menerusi SMS, Sdr Mankadir berkata, bagaimana Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu memimpin negara sedangkan negerinya sendiri Pulau Pinang terlucut ke tangan parti lawan. Seterusnya beliau menambah, UMNO juga tak boleg bergantung kepada Dato’ Seri Najib kerana kemenangannya bukan menerusi sokongan penduduk tempatan, sebaliknya dibantu oleh lebih 20,000 undi yang didaftarkan dari luar. “Najib sekadar senyum dalam tangisan, tetapi berapa lama nak mampu bertahan,” jelas Mankadir.

Mankadir juga tak percaya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mampu memulihkan ‘krisis keyakinan’ UMNO sekarang berdasarkan pengaruh beliau yang terhad. Mustahil bagi Tengku Razaleigh untuk memulihkan negara, ketika negeri Kelantan tak berupaya UMNO mahu menawannya. Apalagi Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan isu pengorekan pasir di perairan Johor oleh Singapura ketika menjadi Menteri Besar Johor, turut menyumbang kepada kebobrokan UMNO yang berterusan, ujar Mankadir lagi. Justeru katanya, UMNO yang berhadapan dengan fenomena tak memiliki pemimpin bagi meneruskan kesinambungan, ditambah lagi dengan kekalahan lima negeri termasuk satu Wilayah Persekutuan seharusnya sedar rakyat semakin meluat, menyampah dan menyumpah dengan kerenah mereka, katanya.

Menyentuh isu pelantikan Menteri Besar Terengganu yang menerima watikah dari Majlis Pemangku Raja Terengganu, Dato’ Ahmad Said katanya, kesombongan UMNO yang menganggap mereka sahaja berpengalaman mentadbir negeri sudah terjawab. Lima negeri yang dikuasai parti lawan, tak menghadapi masalah melantik Menteri Besar dan Ketua Menteri sekalipun tak berbangga dengan konsep ‘kongsi kuasa’, tetapi UMNO di Terengganu seolah-olah ‘kata parang paku serpih’, menurut Mankadir selanjutnya. “UMNO di Terengganu seharusnya menjadikan Kelantan dan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz sebagai model memimpin kerajaan negeri, bukannya menjadikan Terengganu sebagai model untuk mentadbir Kelantan,” beliau menambah.


INFO SASTERA & BUDAYA

SOKONG PIMPINAN GAPENA DIROMBAK
TEMPOH LAMA TERLALU MEMBOSANKAN
Penulis bebas Sdr Zainal Abidin Rasidin menyokong saranan pengkritik sastera tersohor dekad 1960-an, Haji Yahaya Ismail supaya pimpinan Gabungan Penulisan Nasional (Gapena) dirombak. Beliau yang pernah menjadi aktivis Angkatan Penulis Kreatif Kuala Lumpur (AKTIF) iaitu salah sebuah persatuan kerabat Gapena merasakan pimpinan yang terlalu lama adalah membosankan. Merujuk kepada pimpinan Profesor Emeritus Tan Sr Ismail Hussein yang memimpin Gapena sejak ditubuhkan pada awal dekad 1970-an, Sdr Zainal Abidin berkata, “Gapena bukan sahaja membiarkan ‘Bahasa Melayu’ menjadi ‘Bahasa Malaysia’ seperti diluluskan oleh kabinet, malah di sekolah-sekolah pengajaran mata pelajaran sastera sekadar memenuhi silibas sahaja,” katanya.

Menurut Sdr Zainal yang turut menghadiri aktiviti sastera di Kuantan anjuran Gapena baru-baru ini, tak memperlihatkan ciri-ciri perjuangan Bahasa Melayu yang cemerlang, sebaliknya lebih menjurus kepada pesta-pestaan yang gemilang. Justeru, beliau meminta setiap badan kerabat Gapena membebaskan diri daripada perhambaan minda merombak pimpinan yang terlalu lama mengukuhkan hegemoni kuasanya ke atas organisasi massa (ormas) itu. Sebelum ini pengkritik sastera Haji Yahaya Ismail dan Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah secara terbuka mahukan pimpinan Gapena dirombak. “Apabila pimpinan terlalu lama di tangan seseorang individu, ianya lebih banyak buruk dan kebaikan,” kata Sdr Zainal.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

200 RIBU HADIR MAJLIS KESYUKURAN
MENYAMBUT DUA ORANG MEMANDA MENTERI

Kata sahibul hikayat diberitahu kepada fakir akan perhimpunan di negeri Melayu bernama Kelantan baru-baru ini (tak pula diberitahu akan tarikhnya) dihadiri dua orang memanda menteri, seorang memanda menteri dari Kedah dan seorang lagi memanda menteri dari Kelantan. Gerangannya majlis kesyukuran kerana kemenangan pemilihan orang-orang besar, adanya. Adapun memanda menteri Tuan Guru Dato’ Nik Aziz itu sudah lamalah berada di atas kerajaannya, sementara memanda menteri Azizan Razak barulah sahaja ia menduduki kerajaan di negeri Kedah itu. Maka orang besar yang dipilih ‘Tok Him Adi Jagat’ terkejutnya ia melihat rakyat tak terpemenai banyaknya menghadiri majlis kesyukuran itu, kerana tak pernahlah sebelumnya akan ‘Tok Him Adi Jagat’ dalam majlis yang dihadiri terlalu banyak rakyat jelata tak terpemenai begitu, adanya.

Arakian maka tersebutlah perkataan raja Pasai, Sultan Zainal Abidin namanya larilah menumpang balok orang ke Melaka, setelah segala orang Pasai menderhaka menolong adiknya merebut kerajaan baginda. Apabila sampai di Melaka, maka oleh Sultan Mansor Shah dititahkan Bendahara Paduka Raja merajakan semula Sultan Zainal Abidin dengan membawa ramai bala tentera tak terpemenai banyaknya. Maka kata bendahara kepada orang kaya-kaya itu, “Adapun kita ini akan pergi berperang, baiklah kita makan sedaun.” Maka oleh bendahara disuruhnya bentang kajang di pantai itu; di atas kajang itulah dihampari daun. Lalu dibubuh nasi, maka makanlah bendahara dengan segala orang kaya-kaya dan hulubalang dengan segala rakyat hina dina sekaliannya sedaun, menyebab mereka bersatu hati melawan musuh disebut orang dalam ‘Kitab Melayu’ kepada:










HIDUP BAHASA MELAYU!

Tuesday, March 25, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

AROGAN 22 ADUN DI TERENGGANU
MELAWAN FRASA KEBANGKITAN RAKYAT

Assalamualaikum,

Kebetulan sibuk menyiapkan proses terakhir penerbitan buku autobiografi Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol semalam (24 Mac 2008), saya tak menulis laman blog. Apalagi mengendali laman blog peribadi, tak sama dengan mereka yang menerima sponsor, kerana bukan semua kalangan pengendali laman blog mahupun laman web ‘diupah’ pihak tertentu. Tak tahulah dengan Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek yang berhasrat sangat mahu bertemu pengendali laman blog dan laman web atas kemahuan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, mereka yang disponsor inikah atau mereka yang bebas seperti laman blog yang saya kendalikan?

Sekalipun tak mengisi laman blog disebabkan mahu menyiapkan proses terakhir penerbitan buku berkenaan, tetapi kebobrokan yang berlaku tetap juga diberi perhatian. Misalnya, awal jam 10.00 pagi (24 Mac 2008) pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail menelefon berkaitan dengan isu kebobrokan di Terengganu apabila 22 ADUN berkeras melawan frasa kebangkitan rakyat. Mereka masih menyangka kedudukan 22 kerusi boleh memanipulasi kuasa perlembagaan seperti sebelum insiden 8 Mac 2008, hingga menutup telinga dengan naratif penolakan rakyat. Mempertahankan individu seperti Dato’ Seri Idris Jusoh, sekadar menimbulkan ‘krisis istana’ kerana keperihalan itu sudah berlaku di Perak pada 1959 dan 1974, mahupun di Pahang pada 1978. Aduhai!

‘Krisis istana’ juga berlaku di Kedah selepas pilihanraya 1999, tetapi Tan Sri Sanusi Junid mengambil langkah bijak dengan meletakkan jawatan selaku Menteri Besar dalam usaha mengelakkan ianya berlarut-larut, melalut-lalut dan mengarut-ngarut. Tak tahulah kalau Dato’ Seri Idris Jusoh mahu menjadi Menteri Besar dengan sukar mahu jejakkan kaki ke istana, kerana pada period sekarang ‘kuasa perlembagaan’ juga harus tunduk dengan ‘kuasa rakyat’. Gerombolan polis yang dikerahkan untuk melakukan provokasi juga akan berhadapan dengan masalah besar, apabila ‘kuasa rakyat’ membuktikan BN mahupun UMNO sekadar ‘kenderaan’ yang perlu di ‘overhaul’. Begitulah!

Ketika menghantar anak saya balik ke Unisel di Bestari Jaya (Batang Berjuntai) kira-kira jam 10.00 malam (24 Mac 2008), aktivis PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula menelefon beritahu pertemuan dengan beberapa rakan pengendali blog di Riverside, PWTC. Kabarnya, beliau berbual-bual dengan Sang Kelembai (Zaharin Mohd Yassin), Rahim King dan beberapa lagi yang tak dikenalinya termasuk seorang dari Kedah. Rata-rata rakan tersebut secara sinikal berasa hairan dengan konsep ‘kongsi kuasa’ BN hingga tak mampu selesaikan ‘krisis keyakinan’ di Terengganu. Ironinya, ‘Barisan Alternatif’ di Perak dan Selangor berhasil menerapkan agihan kuasa secara sempurna bagi membentuk kerajaan negeri. “Sepatutnya UMNO dan BN yang menjadi model membentuk kerajaan negeri dengan pengalaman sejak 1955,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.

Sebelumnya dalam perjalanan ke Unisel (Universiti Industrial Selangor) kira-kira jam 9.00 malam (24 Mac 2008) saya menerima SMS dari Ustaz Azmi, Imam Masjid Jamek Kuala Kelawang, Jelebu, memberitahu beliau berkunjung ke Kuala Lumpur. Kebetulan pula beliau menaiki komuter dalam kunjungan ke Kuala Lumpur, hampir terasa rimas dengan kutukan dan cacian orang ramai terhadap kebobrokan UMNO berikutan insiden di Terengganu apabila Dato’ Seri Idris Jusoh mahu menunjukkan sikap arogannya. UMNO yang menuduh BA (Barisan Alternatif) yang menderhaka kepada baginda Sultan Perak kerana memulaukan upacara angkat sumpah, anehnya 22 ADUN di Terengganu dipengaruhi Dato’ Idris Jusoh bagi melestarikan naratif ‘derhaka’ itu. Aduhai!

Rupa-rupanya isu di Terengganu masih berterusan hingga ke malam, apabila penyair Yassinsalleh pula menelefon jam 12.00 malam (24 Mac 2008 atau menjelang 25 Mac 2008), di samping mengirim SMS dari rakan-rakan di Terengganu yang kecewa dengan sikap Dato’ Seri Idris Jusoh menerima (qada’ dan qadar), tetapi masih menunjuk arogan melawan hati nurani majoriti rakyat. SMS yang dikirim Yassinsalleh dipanjangkan dari rakan-rakan di Terengganu menyebut: “Rupa-rupanya bukan sahaja di Mekah ada ‘tanah haram’, di Terengganu juga ada ‘Menteri Besar haram’, ‘22 wakil rakyat haram’ (kerana melawan perlembagaan ketuanan Melayu) dan akirnya disebut juga ‘UMNO Lah (….) haram. Cacian dan makian rakyat ini seharusnya baik-baik difikirkan, bukan balik-balik disingkirkan. Heh heh heh!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

EXCO SELANGOR BARU DILANTIK
LINDUNGI PERUSAHAAN RUMAH MAKSIAT

Bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menyifatkan mereka yang mahu membersihkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor sama ‘seperti tikus yang membaiki labu’. Dalam pertemuan dengan pimpinan PRIMA baru-baru ini, Dato’ Seri Dr Mohd Khir memberitahu salah seorang Exco kerajaan negeri yang disenaraikan oleh kerajaan baru terbabit melindungi ‘perusahaan rumah maksiat’. Ketika kerajaan negeri di bawah pimpinannya berusaha menghapuskan perusahaan ‘rumah maksiat’, orang itulah yang bertindak melindungi pengusaha berkenaan. “Saya mempunyai bukti ADUN yang disenaraikan sebagai Exco kerajaan negeri itu adalah orang yang melindungi perusahaan rumah maksiat,” beritahu Dato’ Dr Mohd Khir. (ADUN berkenaan sudahpun mengangkat sumpah sebagai Exco dalam laporan media hari ini, 25 Mac 2008).

Justeru kata Dato’ Dr Mohd Khir, beliau berasa hairan bagaimana kerajaan yang mahu membawa pembaharuan tergamak menyenaraikan Exconya dari kalangan orang yang terbabit melindungi perusahaan ‘rumah maksiat’. Seterusnya beliau menjelaskan, ketika mentadbirkan kerajaan negeri Selangor memang pihaknya membanteras perusahaan ‘rumah maksiat’, apalagi yang berkaitan dengan membawa masuk wanita-wanita dari luar dengan meyalahgunakan visa pelawat. Ketika kerajaan negeri berusaha membanteras perusahaan ‘rumah maksiat’, beliau (Exco terbabit) melindungi kegiatan berkenaan. “Malang bagi rakyat negeri Selangor ketika memilih tebu, tetapi terpilih ‘tekung’nya yang tak bermanfaat,” beritahu Dato’ Seri Dr Mohd Khir.

ISTANA NEGARA MEMINTA KU LI
MENGHADAP YANG DIPERTUAN AGONG

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan diminta menghadap DYMM Yang Dipertuan Agong di Istana Negara esok (26 Mac 2008) jam 3.00 petang, beritahu sumber yang rapat dengan Langgak Golf di Jalan Tun Razak. Bagaimanapun menurut sumber berkenaan, tak diketahui seba-sebab Tengku Razaleigh dipanggil menghadap, tetapi kemungkinan berkaitan dengan kekecohan yang berlaku dalam isu pelantikan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said. “Tengku dipanggil menghadap ke Istana Negera besok (26 Mac 2006), tetapi butir-butir lanjut tak diberitahu kerana membabitkan kepentingan nasional,” beritahu sumber tersebut menerusi telefon kepada sekretariat PRIMA malam ini (25 Mac 2008, 10.00 malam).

INFO SASTERA & BUDAYA

DR M BERSAMA 37 PELAJAR:
ISU KERAKYATAN ‘JUS SOLI’ UMNO

Berdasarkan autobiografi Tun Dr Mahathir, ayahnya Mohamad bin Iskandar dikatakan mempunyai jurai keturunan yang bersalasilah dari Kerala, India; sementara ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi memang berketurunan Melayu di Kedah. Tun Dr Mahathir pula anak bongsu daripada sembilan adik beradik, iaitu empat perempuan dan lima lelaki. Empat daripada adik beradik beliau (dua lelaki dan dua perempuan) adalah saudara sebapa, iaitu hasil perkahwinan Mohamad bin Iskandar dengan isteri pertamanya.

Tun Dr Mahathir menamatkan pengajian di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, di Singapura pada 1953 dengan menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS). Ketika menuntut di Universiti Malaya, beliau mengenali (Tun) Dr Siti Hasmah Mohd Ali aktivis pelajar yang terbabit menggerakkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Beliau kemudiannya melangsungkan perkahwinan dengan Dr Siti Hasmah pada 5 Ogos 1956, dan dikurniakan tujuh cahaya mata iaitu empat lelaki dan tiga perempuan.

Sebagai aktivis pelajar Dr Siti Hasmah bersama Tun Dr Mahathir menyertai 35 orang lagi pelajar-pelajar di Universiti Malaya ketika itu, menghantar memorandum bantahan mengenai isu kerakyatan ‘Jus Soli’ bertarikh 16 Mei 1950. Memorandum kepada raja-raja Melayu dan pimpinan UMNO dan Majlis Mesyuarat Melayu itu sebagai gerakan awal pelajar-pelajar yang berkesinambungan dari aktivis pelajar di Maktab Perguruan Tanjung Malim pada dekad 1930-an sebelumnya.

Selepas menerima ijazah, Tun Dr Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis pada period 1954-1957. Berikutan peletakan jawatan beliau dari perkhidmatan kerajaan pada 1957, Tun Dr Mahathir membuka klinik sendiri dikenali ‘Maha Clinic’ di Alor Setar. Disebabkan beliau tidak terikat dengan etika perjawatan setelah membuka klinik sendiri, Tun Dr Mahathir semakin aktif berpolitik. Menjelang pilihanraya 1959, beliau dikatakan tidak disenangi kalangan pimpinan UMNO peringkat negeri Kedah apabila membangkitkan isu kriteria calon bagi pilihanraya.

Beirkutan lanskap politik yang serba tidak kena ketika itu, Tun Dr Mahathir enggan bertanding pada pilihanraya 1959. Bagaimanapun pada pilihanraya umum 1964, beliau diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Kota Setar Selatan. Tun Dr Mahathir menang di kerusi Parlimen berkenaan dengan memperoleh 12,406 undi menewaskan calon PAS, Mohd Shariff Haji Abdul Shukur (8,196 undi). Sebagai Ahli Parlimen, Tun Dr Mahathir sering menerima perhatian pihak media, apabila mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

(Segmen daripada buku ‘100 TOKOH MALAYSIA’ oleh Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan, diterbitkan Kantung Network Sdn Bhd, Kuala Lumpur; 2007 dengan harga RM50 senaskhah).

GAPENA PERLU ROMBAK PIMPINAN
GERAKAN PERSURATAN PEJUANG BAHASA

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) perlu merombak pimpinan sekarang bagi menggerakkan perjuangan bahasa lebih berprinsip, menurut pengkritik sastera tersohor dekad 1960-an, Haji Yahaya Ismail. Beliau bersetuju dengan pandangan novelis Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah baru-baru ini, Gapena selaku ‘organisasi massa’ (ormas) gagal melonjakkan martabat persuratan Melayu, kerana kebanyakan pimpinannya bukan kalangan pejuang bahasa. Menurut Haji Yahaya yang juga bekas pensayarah USM dan bekas pegawai penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gapena sekadar mampu melobi untuk mendapat sumber pembiyaan aktivitinya, di samping ‘impian kosong Dunia Melayu’, hingga bahasa Melayu diperkotak-katik di bumi sendiri, katanya.

“Badan-badan persuratan di seluruh negara perlu mengubah persepsi iaitu merombak pimpinan Gapena, bagi kembali kepada perjuangan bebas sekitar dekad 1960-an untuk melonjakkan semula martabat bahasa Melayu,” menurut Haji Yahaya yang juga adalah penggerak ‘Front Bertindak Bahasa Melayu’ di DBP pada 1966 apabila kerajaan secara retorik mahu menangguhkan status Bahasa Melayu selaku ‘bahasa rasmi’ dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka (1957). Pada dekad 1970-an Haji Yahaya juga turut menolak penubuhan Gapena yang dianggapnya ‘penulis tak perlukan persatuan’ tetapi ‘persatuan yang memerlukan penulis’. “Apalag gunanya Gapena kalau ianya untuk kepentingan beberapa kerat ahli akademik yang tak pernah menghasilkan sebuah buku pun,” ujar Haji Yahaya selanjutnya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo.

DULU TITAH SEKARANG TITAH
TITAH MANA AKAN HAMBA JUNJUNG

Sebermula berlakulah kekecohan di negeri Melayu yang dikenali dengan peristiwa Megat Panji Alam dan Megat Kembar Ali di zaman bahari, adanya. Adapun di negeri itu dikatakan Dato’ Ahmad Said dititahkan oleh baginda menjadi Menteri Besar seperti disebut orang banyak pada 17 Rabiulawal 1429 (bagi anak cucu fakir ialah 25 Mac 2008) iaitu hari ini. Syahdan akan fakir diberitahu oleh seorang rakan dari Pahang Cikgu Mohd Noor bin Jion yang sudah berusia 92 tahun (sekarang), sekali persetua berpantunlah Orangkaya Semantan Dato’ Bahaman pada 1982 apabila dikunjungi utusan dari istana: ‘Utusan datang membawa perintah/ke kubu pertahanan kamu menurut/ini titah, itu pun titah/titah yang mana hendakku turut’. Adapun sebelumnya dalam mesyuarat di istana sultan memerintahkan Dato’ Bahaman melawan orang putih, tetapi selepas dipujuk oleh orang putih baginda menghantar utusan supaya meletakkan senjata.

Syahdan akan Dato’ Ahmad Said itu menurut perintah rajanya, sekalipun tak disuka oleh memanda Perdana Menteri yang tak mahu masuk menyembah bagi menyelesaikan kekemelutan, kekalutan dan kekelabutan. Arakian kata orang banyak memanda Perdana Menteri sekadar mendengar laporan ‘molok-molok’ Dato’ Seri Idris Jusoh yang tak dikehendaki oleh seisi rakyat Terengganu kerana mereka yang lebih mengetahui akan sebab musababnya. Syahdan akan Megat Panji Alam itu mati dibunuh oleh Laksamana Hang Tuah bukanlah secara berhadapan, tetapi menikam curi dari belakang. Maka Megat Kembar Ali yang mahu membela abangnya ditikam dari sebalik pintu istana oleh Hang Jebat dan Hang Kasturi pula seperti disebut orang banyak dalam ‘Kitab Melayu’ kepada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Sunday, March 23, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PAS TOLAK JADI MB SELANGOR
KELIBAT KJ MENJELMA DI MANA-MANA


Assalamualaikum,


Sebelum ke majlis perkahwinan anak rakan lama di Padang Balang, Gombak sempat juga saya ke rumah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Sdr Omar Sudi Abdul Manan di Selayang hari ini (23 Mac 2008). Beliau juga mahu ke Pahang beberapa hari bersama Ketua UMNO Bahagian Gombak Dato’ Ahmad Bujang untuk berihat setelah kekecewaan dengan kekalahan teruk di Parlimen pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Kata Omar Sudi, pengalaman selepas pilihanraya 1999 boleh membantu insiden kekalahan pada 2008 ini, iaitu semua pihak dalam UMNO perlu kembali bersatu di samping bekerja kuat. Bagaimanapun beliau mengaku kekalahan pada pilihanraya kali ini lebih terasa menyakitkan hingga sekarang masih menanggung implikasi ‘mimpi ngeri’nya.



“Saya nak ke Pahang beberapa hari untuk tenangkan fikiran bersama Dato’ Ahmad Bujang,” beritahu Sdr Omar Sudi. Memang pada pilihanraya baru-baru Dato’ Ahmad gagal mempertahankan DUN Hulu Kelang kepada calon PAS, Shaari Sungip. Aduhai! Bagaimanapun saya difahamkan bukan sahaja UMNO berhadapan dengan kelibat ‘KJ’ (Khairy Jamaluddin), malah PAS juga turut diganggu kelibat KJ (Kamaruddin Jaafar). Justeru Sdr Omar Sudi bertanya sama ada dalam perjumpaan dengan Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo semalam (22 Mac 2008) saya bangkitkan isu KJ dalam PAS atau tidak, kerana dikatakan mempengaruhi banyak keputusan yang dibuat pimpinan PAS selama ini.



Mungkin sahaja Sdr Omar Sudi tersilap bertanya, disebabkan Dato’ Seri Dr Khir Toyo pemimpin UMNO Selangor, bukannya PAS. Bagaimanapun sebelumnya terdengar desas desus Dato’ Sri Dr Khir Toyo dikatakan mengambil inisitaif berunding dengan pihak PAS bagi mengadakan kerajaan campuran di Selangor. Kononnya, Dato’ Seri Dr Khir bersedia memberi laluan kepada Dato’ Dr Hassan Ali menduduki kerusi Menteri Besar sekalipun BN mempunyai 20 kerusi berbanding PAS 8 kerusi. Khabarnya pula Dato’ Dr Hassan akan dikenakan tindakan tata tertib apabila mendahului pimpinan Pusat membuat rundingan, di samping Dato’ Sri Dr Khir diminta lepas jawatan Pengerusi Perhubungan Selangor. Entahlah!


Tak sempat pula mahu bertanya kepada Dato’ Seri Dr Khir dalam perjumpaan itu semalam, disebabkan sumber tersebut baru saja diterima hari ini (23 Mac 2008). Dato’ Seri Dr Khir dan Dato’ Dr Hassan sekadar mahu selamatkan negeri Selangor daripada kuasa politik bukan Melayu. Sebelumnya dalam rundingan awal dikatakan pimpinan utama PAS termasuk Tuan Guru Dato’ Nik Aziz, Tuan Guru Dato’ Seri Hadi Awang dan Dato’ Husam Musa sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada Dato’ Dr Hassan tetapi ‘KJ’ PAS yang dikatakan pro-Anwar Ibrahim menghalang keputusan tersebut. Maknanya ‘biar padan muka’ UMNO apabila Selangor terlucut kepada persepakatan baru yang memberi ruang dominasi politik kepada bukan Melayu. Heh heh heh!



TUN DR M DI MEGA MALL
MASIH GAGAH DAN BERSEMANGAT



Kira-kira jam 6.00 petang hari ini (23 Mac 2008), aktivis PRIMA Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah beritahu beliau terserempak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali melintasi kawasan di Mega Mall berhampiran PWTC. Kebetulan Dato’ Dr Mohd Mansor menghantar isterinya ke PWTC bagi menghadiri satu majlis, justeru beliau berligar-ligar sahaja di Mega Mall bagi menunggu waktu majlis berkenaan selesai. Sebaik sahaja terserempak Tun Dr M, beliau sempat bertanya khabar sahaja, tetapi melihat bekas PM itu masih sihat, gagah dan bersemangat. “Memang fizikal Tun agak kurus sedikit, tetapi langkahnya masih gagah seolah-olah terus bersemangat,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Kalau berpeluang memang Dato’ Dr Mohd Mansor mahu juga berbual-bual fasal senario politik sekarang, sebaliknya Tun Dr M sudah menuju ke kereta yang menunggu di luar. Apalagi Dato’ Dr Mohd Mansor memang terkilan dengan lanskap politik di Perak sekarang, kerana sebagai anak Perak yang lama berhijrah ke Pahang, sentimen anak negeri masih kekal di jiwanya. Katanya, parti bukan Melayu yang ‘mahu tunjuk belang’ boleh diberi mesej sekiranya BN yang mempunyai 28 kerusi bersedia bertolak ansur dengan PAS yang mendominasi 6 kerusi. Kalau benar Dato’ Seri Dr Mohd Khir bersedia korbankan kerusi MB, apa salahnya Dato’ Seri Tajol Rosli berkompromi dengan PAS. “Kalau ini berlaku mereka bukan Melayu tak berani nak tuntut jawatan itu jawatan ini dalam kerajaan negeri,” jelas Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pakar kaunseling.

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:

WANITA UMNO MASIH BELUM OK
RAFIDAH DIMINTA TAK BAWA ‘PIL KHAYAL’


Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah Raof mengingatkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato’ Seri Rafidah Aziz tak memberikan ‘pil khayal’ kepada Presiden UMNO Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila menyifatkan Pergarakan Wanita UMNO sekarang OK. Menurut Hajjah Fauziah, ketika Dato’ Seri Rafidah membuat kenyataan media bersama Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato’ Shahrizat Abdul Jalil baru-baru ini mereka sekadar mahu memberi gambaran kepada Dato’ Seri Abdullah segalanya ‘ok’ seperti sebelum pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. “Kalau Pak Lah hanya mahu mendengar laporan ‘molok-molok’ sahaja, sudah tentu UMNO akan terus menangis tak berlagu,” beritahu Hajjah Fauziah.



Selama ini kata Hajjah Fauziah, Pergerakan Wanita UMNO sentiasa mengurut dada menahan sabar dengan kerenah Rafidah dan Shahrizat yang enggan menerima laporan mengenai kebobrokan dalam pimpinan Wanita UMNO di peringkat Bahagian. Mereka serahkan segala urusan kepada Perhubungan Negeri, dengan bersikap ‘seolah-olah jijik’ untuk turun menjejakkan kaki ke peringkat Bahagian yang bergolak, jelas Hajjah Fauziah selanjutnya. Sambil merujuk kepada senario di Bahagian Gombak, Hajjah Fauziah lantas bertanya berapa kali Rafidah mahupun Shahrizat menemui Pergerakan Wanita Bahagian Gombak bagi meyelesaikan masalah berbangkit. “Tak ada makna Rafidah mahupun Shahrizat beritahu media Wanita UMNO ok, sedangkan majoriti pimpinan di peringkat Bahagian mengurut dada melihat gimmik mereka di TV,” ujar beliau menambah.



Menurut Hajjah Fauziah terlalu banyak kebobrokan dalam pimpinan Pergerakan Wanita UMNO di peringkat Bahagian tak sampai ke pengetahuan Dato’ Seri Abdullah, akibat kelicikan Rafidah dan Shahrizat. Katanya, pimpinan Rafidah dan Shahrizat fikir pengundi-pengundi Melayu terus mengundi BN, sekalipun segala kebobrokan itu sengaja disembunyikan bagi menyampaikan laporan yang ‘molok-molok’ kepada Dato’ Seri Abdullah. Memang pada pilihanraya 2004 segala perbuatan mereka dipendam sahaja oleh pimpinan peringkat Bahagian dengan ‘mengurut dada’, tetapi sekarang Rafidah dan Shahrizat belum berjejak di alam nyata, menurut Hajjah Fauziah. “Jangan kerana mereka berdua membawa lumpur, habis semua Wanita UMNO terpalit,” katanya.


KABINET DIANGGAP ‘DI ALAM BARZAH’
PERSEDIAAN UNTUK PERHIMPUNAN AGUNG


Susunan kabinet Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang diprokalmir baru-baru ini dianggap oleh pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail sebagai ‘kabinet di alam barzah’ bagi persediaan untuk menghadapi Perhimpunan Agung UMNO di samping pemilihan pimpinan tertinggi. Memberitahu dalam satu perjumpaan dengan pengendali laman blog dan laman web di sebuah hotel di Subang semalam (22 Mac 2008) Haji Yahaya berkata, ‘kabinet di alam barzah’ jangan terlalu yakin dengan kekuatan mereka melalui laporan-laporan indah kroni dan media berkepentingan, kerana proses ‘undi tak percaya’ di Parlimen boleh menumbangkan. “Justeru Dato’ Abdullah jangan bergantung kepada ‘kabinet di alam barzah’ semata-mata, beliau perlu mencari formula lain,” beritahu Haji Yahaya.


Haji Yahaya yang juga bekas editor di Sabah Times di Kota Kinabalu pada period pentadbiran Dato’ Harris Salleh menambah, disebabkan Dato’ Seri Abdullah terlalu yakin dengan laporan-laporan indah sebelum pilihanraya 8 Mac 2008 menerusi kroni-kroni dan media berkepentingan, beliau diberi ‘pengajaran’ yang memedihkan. Kalau Dato’ Seri Abdullah masih juga ‘berseronok’ dengan ‘kabinet di alam barzah’, justeru bersedialah dengan kedudukan 140 kerusi di Parlimen yang hanya 78 sahaja UMNO, itupun termasuk di Sabah, menurut Haji Yahaya lagi. Seterusnya Haji Yahaya bersetuju UMNO menerima sahaja saranan bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad agar membentuk ‘Majlis Presiden’ bagi menasihati Presiden UMNO dalam tempoh terluka, terduka dan tercuka sekarang.



PILIHAN MENTERI ‘BUTA SEJARAH’
MENYERTAI KABINET SERBA ‘BERKELABUT’



Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menganggap Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih menteri ‘buta sejarah’ menyertai kabinet yang serba ‘berkelabut’. Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim hari ini (23 Mac 2008) mahu mengemukakan ‘undang-undang anti-lompat’ beliau memberitahu, apabila ‘menteri buta sejarah’ dibawa menyertai kabinet, maknanya Dato’ Seri Abdullah membuat pilihan yang salah. Katanya, undang-undang anti-lompat sudah dilaksanakan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Joseph Pairin Kitingan tetapi tak berkesan. “Malah Dato’ Pairin mahu membubarkan DUN Sabah juga terganggu apabila Yang Dipertua Negeri enggan menanda tangani perisytiharan,” katanya.



Seterusnya Dato’ Kamal Amir juga berasa hairan seorang peguam berpengalaman seperti Dato’ Zaid Ibrahim, tak menyedari proses membawa usul ‘undang-undang anti-lompat’ itu tak akan berjaya dalam keadaan sekarang. Sebarang pindaan undang-undang di Parlimen tak mampu dilaksanakan sehingga pilihanraya akan datang, disebabkan BN tak mempunyai dua pertiga majoriti, jelas Dato’ Kamal Amir menambah. Serentak dengan itu Dato’ Kamal Amir menasihati Dato’ Zaid Ibrahim tak perlu memberikan laporan ‘molok-molok’ kepada Dato’ Seri Abdullah, kalau sekadar mahu mempertahan kedudukan di dalam kabinet. “Lebih baik buat kritkan yang baik bagi membolehkan Dato’ Abdullah mentadbir dengan berkesan,” kata Dato’ Kamal Amir.




INFO SASTERA & BUDAYA:



MEMPROMOSI NILAI-NILAI ASIA
KETERAMPILAN PIMPINAN DR M



Keterampilan pimpinan di samping keinginan mahu merealisasikan impian Malaysia sebagai sebuah negara industri, meletakkan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap ‘bapa pemodenan’. Dalam tempoh 22 tahun di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir, Malaysia menjadi negara industri pembuatan menerusi kejayaan program pengeluaran automobil nasional. Malah pada period Tun Dr Mahathir juga pelancaran stelit dilaksanakan, pembangunan teknologi digerakkan termasuk telefon selular, teknologi maklumat (IT) dan laluan transit ringan (LRT).


Beliau dilabel sebagai pejuang politik yang mempromosi nilai-nilai Asia yang mahukan kapitalisme autokratik iaitu menolak pendekatan individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar tidak campur tangan (laissezfaire). Memang kadangkala Tun Dr Mahathir dilihat membawa idealisme yang kontroversi, tetapi beliau mampu menggerakkan Malaysia terlalu pantas. Misalnya, sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, Tun Dr Mahathir menukar perbezaan waktu yang ketara 30 minit di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, kepada persamaan waktu yang tidak menjejaskan pentadbiran negara.



Secara historikal Tun Dr Mahathir yang terbabit dalam gerakan nasionalisme sejak menjadi aktivis pelajar di univerisiti, sekalipun ketika itu Malayan Union meledak, pembabitan beliau kurang menyerlah. Apabila Kongres Melayu Pertama digerakkan pada 1-4 Mac 1946, dua buah persatuan Melayu sahaja yang mewakili negeri Kedah iaitu ‘Kesatuan Melayu Kedah’ dan SEBERKAS. Delegasi ‘Kesatuan Melayu Kedah’ ialah Haji Hussein Che Dol (Ketua), Ayob Abdullah, Abdul Hamid Abdullah, Senu Abdul Rahman, Omar Din, Haji Mohd Rejab Darus dan Haji Salleh Shamsuddin (pemerhati). Bagi SEBERKAS pula delegasinya ialah Mohammad bin Jamil Binjal (Ketua), Haji Masaud Thaha, Azhari Taib dan Haji Omar Salleh (pemerhati).



Memang Tun Dr Mahathir tidak menyertai delegasi berkenaan, tetapi beliau antara aktivis terawal mendaftarkan diri menyertai UMNO di Kedah. Dilahirkan di sebuah rumah di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 20 Disember 1925, beliau memulakan pendidikan di Sekolah Melayu Seberang Perak sebelum memasuki Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pada period pendudukan Jepun, Tun Dr Mahathir terbabit berniaga cendol, membuka kedai kopi di samping menjual buah-buahan di pekan Rabu, Alor Setar. (bersambung esok).

(Dipetik dari buku ‘100 TOKOH MALAYSIA’; Dharmala N.S./Dr Ammar Haji Hassan; Kantung Network Sdn Bhd., Kuala Lumpur; 2007. Harga senaskhah ialah RM50).

SMS SAMPAI MESEJ RAKYAT
SUARA PRIHATIN SELURUH NEGARA



Gurindam SMS



Tamat sudah mimpi yang ngeri
suara rakyat harus dihormati
orang Melayu tersangatlah rugi
kerana dendam kesumat di hati
dapat kuasa lupa diri

Himpun harta & kumpul isteri
saudara mara & kroni-kroni
ingatkan berkuasa sampai ke mati
yang membangkang pun tak sedar diri
Bila marah penuh emosi
menang sorak suka hati
kampung tergadai tak siapa peduli
orang Cina bersatu hati
lalu dapat sebuah negeri
Melayu tumpang puas hati
kerana tersangatnya sakit hati
kepada UMNO tersangatnya benci
Ada empat tahun lagi
Melayu perlu baiki diri
jangan kita berpecah lagi
takut negeri tergadai lagi!

(Puisi ini disampai menerusi SMS oleh YS yang dipanjangkan dari sahabatnya).




KOMENTAR
bersama Pak Parjo



PERIHAL MEMANDA PERDANA MENTERI
DISORAK ORANG BANYAK DI TEMPAT LUMBA




Syahdan akan negeri Melayu itu diberitahu mengenai canggihnya perhubungan di dalam negeri, maka mudahlah disampaikan pesanan (kata anak cucu fakir SMS) fasal Memanda Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi disorak-sorak orang banyak (atau di boo boo, kata anak cucu fakir) petang ini 15 Rabiulawal 1429 (seperti disebut anak cucu fakir 23 Mac 2008) ketika tiba di tempat acara perlumbaan (disebut orang litar F1). Percayalah fakir akan memanda Perdana Menteri semakin tak digemari oleh rakyat, kerana terlalu banyak diberitahu akan kesusahan orang banyak semenjak ia memerintah negeri. Gerangannya! Sebermula fakir pun berasa sedih hati juga apabila mendengar pesanan itu, kerana tak eloklah memanda Perdana Menteri diperlaku begitu.



Arakian akan memanda Bendahara Seri Wak Raja tibalah ke balairongseri, ketika pembesar-pembesar negeri selesai menjunjung duli. Akan Sultan Muzaffar tidaklah baginda sedar akan ketibaan memanda Bendahara Seri Wak Raja, disebabkan sudah lama dihadap di balairongseri masih juga memanda bendahara itu tidak muncul. Pada kasadnya memanda Bendahara Seri Wak Raja tidak sukakan dirinya menaiki takhta, kerana terlalu kasihnya bendahara kepada paduka adinda Sultan Abu Syahid yang terbunuh pada malam perebutan kuasa di istana Melaka itu. Setelah dilihat oleh memanda Bendahara Seri Wak Raja, Sultan Muzzafar masuk ke dalam apabila ia sampai di balairongseri, maka pada kasadnya sultan itu mereka. Berasa malulah memanda Bendahara Seri Wak Raja lalu balik ke rumah meminum racun, maka matilah ia meninggalkan anak-anaknya Tun Perak, Tun Kudu dan Tun Putih seperti dalam ‘Kitab Melayu’ dibacakan kepada:





HIDUP BAHASA MELAYU!