JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
POLIS TURUT BACA ‘HARAKAH’
RAKYAT MENOLAK PERHAMBAAN MINDA
Assalamualaikum,
Balik dari menziarah sepupu saya, Kak Jah yang dimasukkan ke Hospital Tawakkal di Jalan Pahang Barat petang ini (27 Mac 2008), saya singgah di restoran berdekatan. Dua orang anggota polis kelihatan minum di restoran berkenaan, dengan salah seorang membaca akhbar ‘Harakah’ terbitan PAS. Maknanya, anggota polis terbabit tak berasa kekok lagi untuk membeli akhbar ‘Harakah’ selepas berlakunya anjakan paradigma pada 8 Mac 2008 lalu. Majoriti rakyat sudah menolak ‘perhambaan minda’ yang dieksploit oleh media arus perdana sejak bertahun-tahun dengan memberi ‘pil khayal’ kepada pimpinan negara apabila menyogokkan laporan yang ‘molok-molok’, hingga akhirnya Malaysia terjerumus ke lembah yang serba bobrok, korok dan teruk.
Memang pagi lagi adik sepupu saya Sazali dari Seremban menelefon jam 7.00 a.m. beritahu mengenai Kak Jah yang dimasukkan ke wad hospital berkenaan sejak semalam, tetapi keadaannya sudah agak stabil. Selepas itu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail dan bekas profesor Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah pula menelefon bertanyakan isu di Terengganu, berikutan Tengku Razaleigh Hamzah menghadap ke Istana Negara jam 3.00 petang semalam (26 Mac 2008). Berikutnya penyair Yassinsalleh mengirim SMS berkaitan cemuhan orang ramai terhadap pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pelbagai ejekan, sindiran dan usikan berkaitan peribadi pimpinan negara itu yang terlalu jelek untuk dipaparkan. Aduhai!
Sekalipun hulubalang-hulubalang di sekeliling Dato’ Seri Abdullah sudah bersuara bagi mempertahankan wibawa ketua, tetapi keberangan rakyat sudah sampai kepada kemuncaknya. Menteri Luar yang baru, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim menyifatkan Menteri Besar Terengganu yang menerima watikah dari istana, Dato’ Ahmad Said boleh jatuh bagaikan ‘nangka masak’, begitu juga pelbagai pihak mengingatkan beliau akan berhadapan dengan undi tak percaya di DUN Terengganu. Semua pihak menyedari suara hulubalang-hulubalang berkenaan sekadar ‘ngauman harimau kertas’, kerana majoriti rakyat berdiri teguh di belakang raja-raja Melayu. Sekalipun UMNO belum jatuh bagai ‘nangka masak’, tetapi hakikatnya sudah terkulai, tersalai dan tersadai!
Mesej yang disampaikan kepada Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Mohd Taib apabila mahu menangguhkan Perhimpunan Agung, secara tidak langsung adalah signal kepada Dato’ Seri Abdullah, beliau harus tunduk dengan kemahuan majoriti ahli. Hari ini (27 Mac 2008) media arus perdana menyiarkan kenyataan Ketua Puteri UMNO Dato’ Noraini Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Muhammad Hassan, Perhimpunan Agung UMNO tak wajar ditangguhkan. Apalagi bekas Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo juga turut mempersoal logiknya Perhimpunan Agung UMNO ditangguhkan. Begitulah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
WAJARNYA PERHIMPUNAN KHAS
ATAU PAK LAH PERLU BERUNDUR!
Bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mendesak Perhimpunan Khas perlu digerakkan, bukan menunggu sehingga Disember 2008 seperti diputuskan oleh Majlis Tertinggi yang bersidang petang ini (27 Mac 2008). Serentak dengan itu beliau yang juga Jurucakap PRIMA menggesa pimpinan UMNO peringkat bahagian bangkit menolak ‘perhambaan minda’ di samping menyahut seruan Tengku Razaleigh Hamzah supaya Perhimpunan Khas digerakkan secepat mungkin. Katanya, beliau bimbang dengan ‘kelambatan’ Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mempertahan glorinya, UMNO akan ditumbangkan menerusi ‘undi tak percaya’ di Parlimen dalam tempoh terdekat. “Dato’ Seri Abdullah dan UMNO jangan memperlekeh keupayaan parti lawan seperti sebelum 8 Mac 2008 yang lalu,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Justeru menurut Dato’ Kamal Amir, sekiranya Dato’ Seri Abdullah mahu membawa UMNO bersidang pada Disember 2008, adalah lebih baik pimpinan UMNO itu meletak jawatan. Apabila UMNO mengalami prestasi buruk pada pilihanraya 8 Mac 2008, pihak PRIMA merasakan kesalahan tersebut adalah secara kolektif. Tetapi apabila Dato’ Seri Abdullah mahukan Perhimpunan Agung pada Disember 2008, menurut Dato’ Kamal Amir ianya adalah kesalahan Presiden UMNO sendiri. Justeru sebagai ahli UMNO kata Dato’ Kamal Amir, beliau mendesak Dato’ Seri Abdullah berundur tanpa syarat, kerana UMNO sudah dimalukan di Perlis dan di Terengganu. “Malah hari ini (27 Mac 2008) UMNO dimalukan lagi dengan peletakan jawatan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Ghaffur Salleh,” beliau menjelaskan.
KHALID DIMINTA SEGERA SIASAT
EXCO LINDUNGI PERUSAHAAN MAKSIAT
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim diminta menyiasat segera laporan salah seorang Exco Negeri Selangor terbabit melindungi perusahaan rumah maksiat, bagi mengelakkan belia-belia terjerumus dalam kegiatan tak bermoral. Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Belia Asian, Sdr Sobri Ahmad berkata, adalah tak wajar individu yang terbabit melindungi perusahaan rumah maksiat diberi kedudukan dalam kerajaan negeri, kerana ianya membabitkan moral golongan belia. Sdr Sobri mengulas kenyataan bekas Pengerusi Perhubungan BN Selangor Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam blog PRIMA baru-baru ini yang mendakwa beliau mempunyai bukti salah seorang Exco Selangor sekarang terbabit melindungi perusahaan rumah maksiat.
Dakwaan tersebut menurut Sdr Sobri membabitkan isu belia, justeru langkah susulan perlu diambil demi kepentingan negeri Selangor yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuhnya, Islam adalah agama rasmi. Menurut Sdr Sobri lagi, ianya juga membabitkan gejala sosial, disebabkan wanita-wanita yang dibawa masuk ke Selangor bagi perusahaan rumah maksiat, adalah wanita-wanita asing yang sekadar diberikan visa lawatan bagi tempoh beberapa bulan bukannya pas kerja. Pelantikan ADUN terbabit sebagai Exco kerajaan negeri adalah mencemarkan imej negeri Selangor. “Pihak gerakan belia akan menghantar memorandum kepada DYMM Tuanku Sultan, sekiranya Tan Sri Khalid berkompromi dalam isu ini,” beritahu Sdr Sobri.
KERAJAAN DIDESAK KEMBALIKAN:
TANAH RAKYAT MISKIN DI PULAU PINANG
Kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru didesak kembalikan semula tanah rakyat miskin yang diambil oleh pentadbiran di bawah bekas Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon yang lokasinya terletak di Padang Tembak (bersebelahan bangunan sekolah), kata aktivis PRIMA penyair Yassinsalleh. Beliau yang dihubungi oleh penduduk-penduduk terbabit memberitahu, sebidang tanah lapang milik orang-orang miskin membabitkan rumah-rumah kediaman mereka sudah ditukar hakmilik kepada individu berpengaruh. Menurut Sdr Yassinsalleh pihaknya menerima laporan dari pemilik-pemilik tanah berkenaan menyebut, “We Penang people like to appeal to new CM to take immediate legal action against previous BN exco government for such deal and return back the land to Penang people.”
Menurut Sdr Yassinsalleh, pihak PRIMA sekadar menyampaikan mesej dari rakyat yang menjadi punca kebobrokan pentadbiran hingga BN berhadapan dengan prestasi buruk pada pilihanraya lalu. Serentak dengan itu Sdr Yassinsalleh juga mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang yang baru mendedahkan nama individu yang diberikan hakmilik tanah berkenaan, setelah merampasnya dari pemilik-pemilik miskin yang malang. Seterusnya kata Sdr Yassinsalleh, adalah tak menghairankan rakyat Pulau Pinang menukar kerajaan negeri, berikutan sikap arogan BN sebelum ini yang pongah terhadap hegemoni kuasa politik mereka. “Langkah mendedahkan kebobrokan itu bukanlah ‘balas dendam’, sebaliknya memberikan keadilan kepada mereka yang teraniaya sebelum ini,” beritahu Sdr Yassinsalleh.
ORANG MELAYU TAK KOMPROMI
PERTAHAN KEDAULATAN RAJA-RAJA
Mana-mana pihak yang mahu mempersoal kedaulatan raja-raja akan berhadapan dengan tentangan yang tak berkompromi dari orang-orang Melayu di seluruh negara, kata pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Beliau yang juga bekas pensyarah di USM memberitahu, raja-raja Melayu adalah benteng terakhir melindungi kepentingan orang Melayu menerusi perlembagaan. Katanya, tindakan menentang pelantikan Menteri Besar dengan mengugut memulaukan istiadat angkat sumpah bukan sahaja ‘biadap’ malah tak mahu mencabar kedaulatan raja-raja Melayu yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan di negeri baginda. “UMNO jangan cuba memperlekeh raja-raja Melayu hingga dituruti oleh pimpinan politik bukan Melayu,” katanya.
Haji Yahaya juga menyentuh insiden di Perak dan di Selangor apabila pimpinan politik bukan Melayu cuba memperlekeh institusi istana. Sambil menyebut ‘Deklarasi Perdana 10 Keprihatinan’ yang sudah disembahkan kepada raja-raja Melayu pada November 2007 Haji Yahaya menegaskan, orang Melayu tak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu memperlekeh institusi raja-raja Melayu. Malah PRIMA katanya akan menggerakkan penyatuan Melayu apabila terdesak sekiranya ketuanan raja-raja Melayu cuba diperlekehkan. “Justeru jangan cuba mempersoal kedaulatan raja-raja Melayu semata-mata mahu mempertahan ego politik, kerana orang Melayu tak akan berkompromi demi menegakkan ketuanannya,” beritahu Haji Yahaya.
PENGENDALI BLOG JADI CONTOH
PELIHARA PERSEFAHAMAN BERSAMA
Pakar kaunseling Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengingatkan pengendali laman blog dan laman web tak bercakaran sesama sendiri, sebaliknya perlu menjadi model kepada masyarakat sebagai golongan yang berprinsip. Mengulas insiden yang menimpa pengendali laman web ‘Malaysia Today’ Raja Petra Kamaruddin apabila dikenakan saman fitnah RM4 juta, Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga bekas profesor dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, setiap pengendali laman blog dan laman web mestilah menjalin persefahaman di samping membela rakan-rakan. “Kalau hari ini pelepah di bawah jatuh, pelepah di atas jangan mentertawakan, kerana musibah sentiasa menunggu,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.
Sambil melahirkan rasa kecewa apabila pengendali laman blog menggunakan ruang terbatas untuk menjatuhkan rakan sendiri atas konsep menolak ‘perhambaan minda’, Dato’ Dr Mohd Mansor mengingatkan dalam masa berusaha membangun pertumbuhan minda masyarakat, adalah malang apabila bercakaran sesama sendiri. Katanya lagi, Raja Petra Kamaruddin membuktikan laman web yang dikendalikannya mampu mendedahkan isu yang sering disembunyikan. Justeru, rakan-rakan pengendali laman blog dan laman web perlu memberi sokongan moral kepada Raja Petra Kamaruddin. “PRIMA sentiasa memandang berat dengan isu yang dihadapi rakan-rakan, justeru kita tak seharusnya bercakaran sesama sendiri,” ujar beliau.
INFO SASTERA & BUDAYA
TEROPONG SASTERA LEBIH TELUS
UNTUK PANEL PENILAI ANUGERAH
Panel penilai bagi memberi anugerah kepada penulis di Malaysia, perlu gunakan teropong sastera yang lebih telus, bukan sekadar berdasarkan rakan-rakan di sekeliling mereka sendiri. Setakat ini sekretariat panel penilai ditempatkan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berfungsi sebagai memilih penulis yang di sekeliling mereka sahaja, menurut aktivis teater L. Mankadir Shamsi. Ketika menghubungi sekretariaat PRIMA hari ini (27 Mac 2008), Mankadir yang juga aktivis Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) kurang yakin dengan usaha pencalonan bagi ‘Anugerah Sea Write’ ke Bangkok yang dibuka sekarang. “Pencalonan perkara yang lain, tetapi DBP sendiri sepatutnya mempunyai para penyelidik bagi membuat pencalonan,” beritahu Mankadir.
Menurut Mankadir, sekiranya pihak penyelidik sastera di DBP menggunakan teropong sastera yang telus, masakan mereka tak pernah menemui nama-nama seperti Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Dharmala N.S., Yahaya Ismail, Habsah Hassan, A.F. Yassin, Mohd Affandi Hassan, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, Salmi Manja dan ramai lagi yang mampu mengangkat martabat sastera Melayu. Seterusnya kata Mankadir, mungkin sahaja di kalangan penulis-penulis terbabit terdapat juga yang enggan menerima anugerah berkenaan, tetapi pihak panel seharusnya mencari sebab musabab kenapa mereka bertindak demikian. “Janganlah berlaku seperti insiden Allahyarham Pak Sako menolak anugerah Budayawan Gapena sekitar dekad 1980-an,” ujarnya.
Menyentuh insiden Pak Sako (Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad) menolak anugerah Budayawan Gapena jelas Mankadir lagi, bukan disebabkan nilai anugerah berkenaan sekadar sepasang pakaian Melayu, kain songket dan destar. Sebaliknya sikap Gapena sendiri yang memberi anugerah kepada tokoh persuratan Melayu dikemudiankan dari tokoh yang lebih junior. Seterusnya Mankadir menambah, kesilapan yang dilakukan oleh Gapena apabila memberi anugerah kepada Pak Sako, selepas Pak Zakaria Hitam dan Tan Sri Abdul Samad Idris seolah-olah memperlekehkan sumbangan beliau, janganlah pula diulangi oleh DBP. “Belajarlah daripada kesilapan supaya persuratan Melayu tak akan diperlekeh oleh pihak lain,” beritahu Mankadir selanjutnya.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PENDEKATAN BARU FASAL AGAMA
GABUNGAN ILMU DAN PENGETAHUAN
Syahdan dipukul canang ke seluruh pelusuk negeri akan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dato’ Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu mengubah pandangan masyarakat terhadap peranan dan tugas jabatan agama seperti disurat orang hari ini 20 Rabiulawal 1429 (atau disebut anak cucu fakir 27 Mac 2008), adanya. Maka diingatkan pegawai-pegawai dan hulubalang sekalian supaya melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin, kerana gerangannya sebelum ini kuranglah baik. Arakian akan Islam Hadhari yang disebut orang banyak itu, menteri-menteri juga mengakui terlalu kabur, maka sukarlah mahu menterjemahkan kepada rakyat jelata sekalian.
Sebermula akan perkara agama itu, maka oleh Sultan Mansor Syah dititahkan Tun Bija Wangsa ke Pasai bertanyakan suatu masalah: “Segala isi syurga itu kekalkah ia di dalam syurga dan segala isi neraka itu kekalkah di dalam neraka?”. Maka Tun Bija Wangsa membawa bersama emas urai tujuh tahil dan dua orang perempuan peranakan Makasar, Dang Bunga namanya seorang anak biduanda Muar, Dang Bibah namanya seorang. Berasa hairanlah segalah pendeta di Pasai, kerana perkara agama yang mahu diketahui oleh Sultan Melaka itu bersabit dengan ‘tahakik’. Arakian akan pendeta-pendeta di Pasai taklah bermegah-megah dengan ilmu agamanya, tetapi memberikan jawapan secara tahakik seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ menerusi:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment