Saturday, March 1, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)








PILIHANRAYA KE 12, 8 MAC 2008
‘UNDILAH CALON, BUKAN UNDI PARTI’
SERUAN DARIPADA PIMPINAN PRIMA





DARI LAMAN BLOG:


PELANCARAN BUKU RON
PRIMA TAK DAPAT HADIR


Assalamualaikum,


Hingga jam 1.00 pagi (28 Februari 2008), masih lagi ‘teh tarik’ dengan Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dan beberapa orang anak muda yang berhasrat mahu menggerakkan semula ‘Persaudaraan Nasrul Haq’, di sebuah restoran di Taman Seri Gombak. Ketika balik dari ‘teh tarik’ terserempak pula Sdr Zainal Alam aktivis UMNO di Taman Seri Gombak yang mengetuai pekerja-pekerja UMNO memasang poster pilihanraya di fasa 3, justeru saya berhenti sekejap melihat pekerja-pekerja pilihanraya memanjat pokok dan tiang-tiang lampu jalan hingga jam 2.00 pagi. Sdr Zainal Alam bimbang pula sekiranya poster yang direntang di jalan terkena lori atau bas yang melintas disebabkan rendah sangat kerana tak dibekalkan tangga untuk pemasangan poster-poster berkenaan.


Sebelumnya jam 8.30 malam saya ke Hulu Kelang menghadiri majlis pelancaran tiga buku terbaru yang dihasilkan oleh Dato’ Ruhanie Ahmad (Ron) berjudul ‘Gelombang Kuning, Gelombang Rakyat’, ‘Hindraf Satu Konspirasi’ dan ‘The Toyol Code’, di sebuah restoran. Haji Mohd Sayuti Omar menjengah sebentar sahaja, malah tak ikut sama dalam perbincangan di Danau Kota disebabkan mahu ke Brickfields mengikuti ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kasihan pula Sdr Zakaria Bidin yang terpaksa datang dari Melaka, kerana sebelumnya saya menyangka beliau berada di Kuala Lumpur, justeru turut juga membuat undangan. Apalagi saya balik lebih awal jam 10.00 malam apabila anak-anak muda yang mahu menggerakkan ‘Persaudaraan Nasrul Haq’ sudah menelefon sebaik sahaja mereka sampai di rumah. Astaga!



Justeru Dato’ Kamal Amir tak sempat bertemu saya pada majlis pelancaran buku dan dialog dengan Ron di Hulu Kelang. Beliau menelefon saya untuk ‘teh tarik’, ketika anak-anak muda terbabit seronok menjalani latihan ringan sebagai senaman riadah. Selesai sahaja menjalani latihan ringan, saya mengajak mereka ikut sama ‘teh tarik’ di restoran terbabit, di samping Dato’ Kamal Amir bersama isterinya sudah menunggu di situ. Di kalangan anak-anak muda berusia di bawah 20 tahun itu, Mohd Adnan yang menjadi ketua mereka bukanlah terlalu muda, sebaliknya dua orang anak remajanya turut sama mengikuti latihan berkenaan. Mohd Adnan pula seorang jurutera yang terbabit dalam kontraktor binaan memang sibuk, sebaliknya beliau mampu membahagikan masa.


Mungkin sahaja Ron menyangka saya sengaja terburu-buru meninggalkan majlisnya, begitu juga Dato’ Kamal Amir yang lewat menjengah muka. Disebabkan tak sempat bertemu pada majlis buku Ron, justeru Dato’ Kamal Amir menelefon juga sekalipun sudah jam 12.00 malam. Memang menjadi kebiasaan kami, tak pernah mengelak untuk ‘teh tarik’ asal sahaja saling menghubungi di waktu tengah malam. Seolah-olah kembali mengingat nostalgia bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris atau Pak Sako sekitar dekad 1980-an dan 1990-an, apabila menelefon waktu malam sekadar untuk ‘teh tarik’ sebagai mengganti naratif ‘melepak’ di kalangan anak-anak muda. Alahai!



-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


ENGGAN UMUM JUMLAH DANA
RAIS YATIM LANCAR AKADEMI BUKU



Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa) Dato’ Seri Dr Rais Yatim melancarkan ‘Akademi Buku Malaysia’, tetapi enggan mengumumkan jumlah dana sebagai geran pelaksanaan akademi berkenaan yang dilangsungkan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi ini (29 Februari 2008). Sebaliknya beliau melahirkan rasa kesal berikutan ‘Akademi Buku Malaysia’ tak digerakkan oleh pihak yang terbabit sekalipun sudah diluluskan pelaksanaannya sejak 1985. Kata Dato’ Seri Dr Rais, sebelum ini KeKWa memperuntukkan RM5 juta bagi membantu penulis-penulis menerusi pembelian secara langsung karya-karya mereka oleh Perpustakaan Negara. “Sebelum ini saya ditemui oleh pengarang-pengarang ternama yang merungut dengan masalah buku-buku yang dihasilkan,” beritahu Dato’ Seri Dr Rais.


Menurut Dato’ Seri Dr Rais lagi, pelaksanaan Akademi Buku Malaysia yang dipegerusikan oleh bekas Timbalan Menteri Penerangan Dato’ Haji Khalid Yunus adalah dengan matlamat menyediakan tenaga pekerja terlatih dan profesional dalam industri penerbitan buku; meningkatkan keupayaan negara dalam produktiviti penerbitan buku, meningkatkan budaya membaca dan membangunkan modal insan yang cemerlang melalui industri buku. Katanya, kejayaan penulis-penulis barat mencapai pasaran tinggi dalam inudstri buku, bukan disebabkan medium bahasa Inggeris tetapi berdasarkan budaya membaca mereka. “Kalau budaya membaca di kalangan Melayu ditingkatkan, 250 juta penutur Bahasa Melayu dan Indonesia boleh mencapai sasaran tinggi dalam pasaran buku,” beritahu Dato’ Seri Dr Rais.



LAWATAN NAJIB KE PENDANG, KEDAH
ORANG PAS, ORANG UMNO & ORANG UTAN



Lawatan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak ke Pendang, Kedah semalam (28 Februari 2008) dikatakan ‘terkena paku buah keras’ apabila menegur salah seorang penyokong lawan memakai baju berlambangkan PAS, beritahu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail. Dato’ Seri Najib yang ‘menabur janji’ dengan kerajaan akan melaksanakan projek perumahan kos rendah dan sederhana di tanah rancangan Felda menjelang pilihanraya 8 Mac ini, menarik perhatian orang ramai apabila beliau menegur penyokong lawan memakai baju menggunakan lambang PAS. “Bagaimanapun lelaki terbabit memberitahu, beliau memakai baju berlambang PAS kerana ayah dan datuknya adalah orang PAS,” menurut Haji Yahaya yang juga bekas pensyarah di USM.



Justeru kata Haji Yahaya lagi, Dato’ Seri Najib bertanya apakah beliau memakai baju berlambang PAS semata-mata disebabkan ayah dan datuknya dahulu ‘orang PAS’ hingga terlalu taksub kepada PAS. Penyokong parti lawan itu memberitahu, beliau meneruskan kesinambungan perjuangan ayah dan datuknya iaitu sebagai legasi ‘orang PAS’, kata Haji Yahaya seterusnya. Secara arogan Dato’ Seri Najib mengingatkan penyokong parti lawan (kononnya mahu berhemah semasa berkempen, dan tak menyentuh peribadi orang lain), bagaimana pula kalau ayah dan datuknya ‘orang Utan’. Disebabkan Dato’ Seri Najib yang memulakan, lantas penyokong parti lawan itu menjelaskan kalau ayah dan datuknya ‘orang Utan’ sudah tentulah dia menyertai ‘orang UMNO’. “Jawapan ringkas tersebut memberi tamparan kepada Najib, jangan cuba menjolok sarang tabuan,” kata Haji Yahaya.


PERTIKAI PERMIT KDN YANG DIBERI
LAPORAN MEDIA MENJELANG PILIHANRAYA


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mempertikai kewibawaan Kementerian Dalam Negeri memberi permit KDN kepada media yang bertindak menjadi ‘terompet’ Barisan Nasional (BN), sedangkan ianya bukan ‘organ’ parti berkenaan. Malah kata Dato’ Kamal Amir, TV3 secara tak beretika terbabit berkempen dengan menyiarkan iklan memangkah lambang ‘dacing’. Serentak dengan itu Dato’ Kamal Amir menggesa rakyat Malaysia jangan menonton TV dalam tempoh sehingga 8 Mac 2008, sebagai ‘protes senyap’ kepada kerajaan yang menyalah gunakan kuasa memperalat media, sedangkan berdasarkan permit KDN ianya adalah untuk bacaan umum bukan menjadi ‘organ’ BN.


Mengulas mengenai laporan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebut peruntukan RM590 juta dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK9) bagi tujuan membasmi kemiskinan tegar, Dato’ Kamal Amir sudah menjadi amalan BN begitu ‘pemurah’ apabila menjelang pilihanraya. Sebaliknya banyak projek RMK8 pun masih belum dilaksanakan, apatah lagi dengan RMK9. Dato’ Kamal Amir yang juga bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO sekitar dekad 1980-an mengakui, sebagai ahli UMNO beliau tak bimbang akan diberi ‘surat tunjuk sebab’ apabila berakhir pilihanraya 8 Mac nanti. “Memang saya tak bimbang dengan ‘surat tunjuk sebab’, tetapi saya bimbang apa akan jadi kepada generasi Melayu akan datang,” beritahu Dato’ Kamal Amir.



INFO SASTERA & BUDAYA:


PERUNTUKAN DANA RM5 JUTA
PENULIS MASIH DISELUBUNG GELAP


Berikutan penjelasan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKWa) Dato’ Seri Dr Rais Yatim mengenai peruntukan dana RM5 juta kepada penulis yang disalur kepada Perpustakaan Negara, kalangan penulis-penulis masih diselubungi kegelapan kata novelis dan aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Ketika melancarkan Akademi Buku Malaysia hari ini (29 Februari 2008), Dato’ Seri Dr Rais mengulangi kenyataannya berhubung keprihatinan kerajaan membantu penulis-penulis dengan memberi terus karya-karya mereka dengan peruntukan RM25,000 bagi satu judul buku. Menurut Dato’ Seri Dr Rais berbeza di barat, penulis sperti J.K. Rawling yang menghasil buku-buku misteri siri ‘Harry Poter’ mampu menjadi jutawan, kerana ‘budaya membaca’ yang menjadi amalan masyarakat di barat.


“Kita bersetuju dengan Dato’ Seri Dr Rais mengenai ‘budaya membaca’ di barat, sebaliknya di Malaysia kita berhadapan dengan ‘budaya eksploitasi’,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor yang juga pakar kaunseling dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM. Katanya, RM25,000 yang diperuntukkan oleh KeKWa menerusi Perpustakaan Negara, memberi tiket kepada penerbit menetapkan 20% sahaja kepada penulis atau sejumlah RM5,000. Pihak penerbit menganggap kos cetak dan pra penerbitan perlu dilunaskan, sedangkan mereka sudah memasarkan karya terbabit sebelumnya dengan tak pernah membayar ‘pendahuluan’ kepada penulis, katanya lagi. “Pihak PRIMA menerima banyak rungutan daripada penulis-penulis muda yang karya mereka dipilih oleh pihak Perpustakaan Negara,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo.


BANYAK MASJID AKAN DIBINA
JOHOR BERI PERUNUTKAN RM45.3j.



Syahdan kata sahibul hikayat akan dibina 30 buah masjid baru, dan sebahagian lagi akan diubah suai dengan peruntukan RM45.3 juta di negeri Melayu yang dinamakan Johor itu. Maka diberitahu oleh Pengarah Majlis Agama Islam Johor (Maij), Dato’ Zalil Baron kepada sekalian hamba rakyat seperti disuratkan oleh para perawi hari ini jua (29 Februari 2008), adapun pembinaan masjid-masjid itu ialah berasaskan kepada empat sumber iaitu kerajaan Pusat, kerajaan negeri, Maij dan Tabung Pembangunan Masjid. Alhamdullillah! Sebermula akan negeri Johor itu dikatakan kepada fakir pernah jua dilanda banjir besar menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit apabila prasarana musnah semusnah-musnahnya yang ditakrif oleh orang-orang besar sebagai ‘bencana alam’.



Sekali persetua akan Sultan Mansor Syah itu tak berkenan lagi dengan istana lama tempat Hang Jebat dibunuh oleh Hang Tuah. Maka dititahlah Bendahara Paduka Raja Tun Perak membina istana baru yang lebih hebat bagi menjadi menjadi mercu tanda kebesaran kerajaan Melaka, adanya. Setelah mustaidlah segalanya maka anak tuan-tuan semuanya bekerjalah siang dan malam membina istana baru dengan empat sumber untuk mencari dana iaitu perbendaharaan, pembesar-pembesar, cukai dari pedagang-pedagang dan sumbangan hamba rakyat. Astaga! Beberapa lamanya siaplah istana baru itu, dengan menaranya berkilau-kilau seperti kaca bercahaya. Dengan takdir Allah pada suatu hari terbakarlah istana Sultan Mansor Syah berpunca daripada kilauan kaca di bumbung menara seperti yang disuratkan oleh:








HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: