
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
LEGASI KETUANAN MELAYU
BERPAKSI KEPADA INSTITUSI ISTANA
Assalamualaikum,
Pagi ini (15 Mac 2008), aktivis belia Sdr Sobri Ahmad menelefon beritahu mahu bercuti hujung minggu ke pantai Port Dickson bagi mencari ketenangan selepas berlaku keserabutan, kekalabutan dan kekemelutan politik berikutan keputusan pilihanraya ke 12, 8 Mac 2008 lalu. Bagaimanapun malam tadi (14 Mac 2008), Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak Sdr Omar Sudi Abdul Manan menelefon beritahu mengenai keputusan mesyuarat khas Bahagiannya menyokong penuh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Alam Shah mempertahankan ‘Bab 3 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959’ iaitu Menteri Besar mestilah seorang Melayu yang beragama Islam.


Memang saya ‘berpengalaman’ dalam isu ‘kekebalan’ institusi istana ketika dekad 1990-an, iaitu selepas pindaan ‘perlembagaan’ diluluskan. Atas kapisiti ‘Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan’ apabila berkunjung ke ‘Balai Undang Yang Empat’ bagi membuat penyelidikan ‘adat’ (yang tak berkaitan dengan isu pindaan perlembagaan), tiba-tiba dikejutkan oleh keberangan salah seorang Undang Yang Empat (iaitu kuasa pentadbiran sistem beraja di Negeri Sembilan). Allahyarham Dato’ Abdul Ali (Undang Luak Johol ketika itu) menghunus parang, lantas menetak tangannya sendiri sambil berteriak: “Nak tahu kebal atau tidak raja Melayu, nah cubalah!”
Pengalaman saya ini disusuli dengan insiden pertemuan dengan salah seorang pemuka adat di Sungai Ujong (Seremban), apabila saya memberi pandangan peribadi bersama Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris meminta krisis adat diselesaikan bagi mengelakkan kerajaan memansuhkan sistem berkenaan. Dalam serba keberangan beliau merujuk kepada ‘pindaan perlembagaan’ sambil secara sinikal menegaskan, “Eloklah hapuskan semua adat dan budaya Melayu, biar hidup kita semua menjadi kera dan lotong di hutan!”. Maknanya, pengalaman yang saya lalui itu memang berkaitan dengan isu yang dipertahan oleh Baginda Sultan Selangor dan Pemangku Raja Perak iaitu Menteri Besar mestilah orang Melayu yang beragama Islam.
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
PAK LAH PERLU DIBERI PELUANG
PERKUKUH SEMULA KOMUNITI MELAYU


“Dato’ Seri Abdullah belum hilang sebelah tangan dan sebelah mata seperti dialami Laksamana Nelson ketika kembali memimpin amarda British dalam pertemporan di Trafalgar,” beritahu Dato’ Kamal Amir selanjutnya. Menurutnya lagi, sekalipun Nelson terbunuh di Trafalgar, tetapi amarda British mencapai kemenangan gemilang ke atas kepongahan angkatan perang Napoleon yang disokong amarda Sepanyol. Dari segi politik pun jelas Dato’ Kamal Amir, Dato’ Seri Abdullah masih memiliki tangan kanan (Dato’ Seri Najib) dan mata (tokoh berpengalaman iaitu Tengku Razaleigh Hamzah) yang tak tewas dalam pilihanraya yang lalu.

4 DEKAD SUDAH DIBANGKITKAN

Pencetus idea dalam isu ‘Melayu Pulau Pinang’, Haji Yahaya Ismail menyifatkan kebangkitan pimpinan UMNO negeri menggerakkan ‘demonstarsi jalanan’ semalam (14 Mac 2008) bagi membantah penghapusan ‘Dasar Ekonomi Baru’ (DEB) oleh kerajaan negeri, sebagai ‘sudah terantuk baru mahu tengadah’. Haji Yahaya yang menggerakkan isu ‘Melayu Pulau Pinang’ ketika menjadi pensyarah di USM pada dekad 1970-an berkata, pada waktu itu banyak pihak melabelkan beliau sebagai mempunyai agenda tertentu, disebabkan beliau bukan anak jati Pulau Pinang (sebaliknya berasal dari Parit Buntar, Perak). Sebaliknya apabila beliau meninggalkan USM pada 1977, isu Melayu Pulau Pinang tenggelam begitu sahaja, beritahu Haji Yahaya.

INFO SASTERA & BUDAYA:
GERAKAN BAHASA DAN SASTERA
WAJAR MENGENALI JATIDIRI BANGSA

Timbalan Ketua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah meminta pimpinan dalam gerakan bahasa dan sastera mengenali jatidiri bangsa bagi melestarikan kebangkitan organisasi massa (ormas) itu dengan lebih bermakna. Memberitahu sekretariat PRIMA hari ini (15 Mac 2008) beliau mengingtkan, anjakan paradigma rakyat pada pilihanraya umum ke 12, 8 Mac 2008 lalu memberi pengajaran kepada pimpinan ormas putaran jarum arloji berbentuk bulat dan bukanlah empat persegi. Dato’ Dr Mohd Mansur yang juga pakar kanuseling dan bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM percaya ‘politik sastera’ dan ‘politik di institusi pengajian tinggi’ perlu dihapuskan bagi menolak ‘perhambaan minda’di kalangan penggerak ormas.
Sebelum ini katanya, hegemoni ‘politik sastera’ dan ‘politik institusi pengajian tinggi’ menyebabkan karyawan tersohor dan pemikir budaya dipinggirkan, dengan menggilap kalangan yang rapat dengan pimpinan ormas. Apalagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula menjadi ‘tapak’ pimpinan ormas menguasai secara terancang ‘politik sastera’ dan ‘politik institusi pengajian tinggi’ ini, beliau menambah. Dato’ Dr Mohd Mansor turut menyentuh tata cara mengisi ‘Karyawan Tamu’, “Kursi Tokoh’ di institusi pengajian tinggi mahupun penampilan anugerah sasterawan anjuran ormas peringkat negeri tak menepati sasaran, “Tak hairanlah kolumnis sastera di Berita Harian (Salbiah Ani) pernah menyebut penulis yang sudah meninggal dunia diberi anugerah di negeri terbabit, ketika sasterawan terpenting yang masih hidup dipinggirkan,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansur.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
APABILA SESAT DI HUJUNG JALAN
BALIK SEMULA KE PANGKAL JALAN

Terlalulah marahnya Paduka Tuan kerana dilantik menjadi bendahara, kerana ia sudah terlalu tua lagi tepok. Maka dipanggil oleh sekalian anak-anak buahnya akan Paduka Tuan itu ‘Bendahara Tepok’ atau ‘Bendahara Lubuk Batu’ kerana pegangannya ialah Lubuk Batu. Syahdan datanglah Feringgi menyerang Melaka yang diketuai oleh wazirnya di Goa bernama Alfonso d’Albuqarqie. Maka alahlah Melaka, dengan segala anak tuan-tuan yang muda lagi gagah perkasa bertempiaran lari menyelamatkan diri, Tun Hamzah pula membawa Sultan Mahmud berundur ke Penagoh. Arakian Bendahara Tepok itu lagi diusung oleh anak-anak buahnya mahu dibawa berundur, tetapi marahlah dia sambil menangkis, “Cis, anak Melayu sayangnya aku tepok, langgarkan usunganku ini kepada Feringgi, biar aku mati bersama bangsaku!” seperti dinukil dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:

HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment