Tuesday, March 18, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

GANGGUAN GUNA TALIAN MAXIS
SUKAR DIHUBUNGI SEPANJANG PETANG

Assalamualaikum,

Telefon bimbit gunakan talian Maxis menimbulkan masalah sepanjang petang hari ini (17 Mac 2008), menyebabkan rakan-rakan yang menghubungi saya mulai jam 6.00 pm hingga 9.00 malam terganggu. Aktivis PRIMA termasuk Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz tak dapat menghubungi saya setelah menunggu untuk ‘teh tarik’ bersama Haji Mohd Sayuti Omar, Zaharin Yassin (Sang Kelembai) dan rakan-rakan lain. Aktivis perfileman dan penyair Yassinsalleh juga sekadar mengirim SMS, tetapi tak sempat pula dibalas akibat gangguan talian Maxis. Aduhai! Bagaimanapun selepas 9.00 malam talian Maxis kembali pulih, justeru saya sekadar diberitahu oleh Dato’ Kamal Amir, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan salam untuk sekretariat PRIMA.

Memang krisis keyakinan perlu dipulihkan oleh pimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, bagi menangani banyak isu terutama yang membabitkan survival ketuanan Melayu. Misalnya, sebelum ini media dikuasai UMNO dan PAS saling tuduh menuduh apabila menyentuh kemiskinan Melayu, hingga rakyat Melayu di Kelantan ditarifkan sebagai mundur. Provokasi media dikuasai UMNO (media arus perdana) pula disambut oleh media dikuasai PAS (Harakah) dengan mendedahkan kemiskinan Melayu di Kedah, Pahang atau lain-lain. Justeru keputusan pilihanraya 8 Mac 2008, UMNO tak mungkin lagi mentakrifkan Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sebagai negara mundur seperti Kelantan; malah PAS juga tak wajar pula memburuk-burukkan kemiskinan Melayu di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Mudah-mudahan!

BLOG PRIMA DIBERI RESPONS
SYARIKAT BERMINAT BUAT DOKU

Pagi ini (17 Mac 2008) syarikat penerbitan untuk slot TV Astro Prima menemui saya bagi membuat dokumentari pembabitan pimpinan PRIMA dalam kesusasteraan Melayu. Sekalipun ianya dalam proses perbincangan, tetapi memperlihatkan blog PRIMA makin menerima respons dari pelbagai pihak. Bukan sahaja syarikat penerbitan untuk slot TV berkenaan, malah individu perseorangan juga turut menghantar emel serta komen kepada blog PRIMA. Sebelum ini pengendali blog waghih.blogspot.com dari Seremban Sdr Rozmal Malakan yang juga aktivis PAS menjalin kerjasama dengan blog PRIMA, diikuti rakan dari Petaling Jaya dan Kota Bharu. Mereka juga pengendali laman blog yang sebelumnya memang terbabit dalam profesion kewartawanan. Alhamdullillah!

PRIMA digerakkan bermula dengan pertemuan saya dengan bekas pensyarah USM Haji Yahaya Ismail di sebuah restoran di Diamond Square Commercial Centre, Setapak sekitar 2006 apabila beliau meminta saya mengedit bukunya yang pernah diterbitkan pada dekad 1970-an ‘Perkembangan dan Kejatuhan Lekra di Indonesia’ (dalam usaha untuk diterbitkan semula). Beliau bersetuju apabila saya mahu usahakan penerbitan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ dengan disertai pula oleh Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Berikutnya PRIMA sekadar membuat kajian sejarah nasionalisme dan kebudayaan Melayu, diluaskan skopnya kepada perjuangan bahasa berikutan keputusan kabinet yang menyebut bahasa rasmi ialah ‘Bahasa Malaysia’. PRIMA menolak bahasa rasmi negara ini ‘Bahasa Malaysia’ sebaliknya hanya menerima ‘Bahasa Melayu’.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA

PAK LAH TAK PERLU BERLENGAH
PULIHKAN SEMULA KRISIS KEYAKINAN

Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa tak perlu lagi berlengah memulihkan semula ‘krisis keyakinan’ dengan membentuk kabinet, bukan sahaja sekadar tenaga baru tetapi mampu menghadapi kemelut politik Melayu berikutan prestasi buruk BN dalam pilihanraya 8 Mac 2008 lalu. Bagi memulihkan ‘krisis keyakinan’, Tengku Razaleigh Hamzah yang mempunyai pakej pengalaman di samping karisma dan wibawa wajar difikirkan menyertai pimpinan kerajaan bagi berhadapan dengan cabaran berikut yang sukar ditolak, beritahu pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail pagi ini (17 Mac 2008) ketika menghubungi sekretariat PRIMA. “Kekurangan majoriti dua pertiga di Parlimen bukan perkara mudah untuk dihadapi!” katanya menambah.

Haji Yahaya yang terbabit dalam gerakan ‘Front Bertindak Bahasa Kebangsaan’ pada dekad 1960-an dan mencetuskan ‘Isu Melayu Pulau Pinang’ sekitar dekad 1970-an yakin pilihanraya kecil dijangka Mei 2008 nanti akan pasti memihak kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sekaligus akan menjadi Ketua Pembangkang. Menurut Haji Yahaya, pada period pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pun, bekas Perdana Menteri itu mengelak dari membiarkan Dato’ Seri Anwar bertindak sebagai pembangkang di Parlimen. Justeru kata Haji Yahaya, barisan kabinet Dato’ Seri Abdullah memang memerlukan benteng kukuh bagi berhadapan dengan asakan 82 ahli pembangkang yang dibarisi Dato’ Seri Anwar, Dato’ Seri Hadi Awang, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng, Dato’ Ibrahim Ali, Mahfuz Omar atau Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Pakej pengalaman Tengku Razaleigh dikira sebagai aset terpenting bagi menghadapi asakan barisan pimpinan pembangkang di Parlimen, di samping bagi memulihkan semula krisis keyakinan politik Melayu di luar Parlimen,” beritahu Haji Yahaya selanjutnya. Di samping itu beliau menolak andaian seolah-olah memperkecilkan kemampuan barisan kabinet yang bakal dibentuk, sebaliknya Haji Yahaya percaya kombinasi pimpinan baru dan tokoh berpengalaman seperti Tengku Razaleigh ianya memberi lebih manfaat. Haji Yahaya seterus menggesa Dato’ Seri Abdullah tak melengah-lengahkan penubuhan kabinet di samping mengukuhkan kombinasi pimpinan dalam usaha memulihkan ‘krisis keyakinan’ bagi kepentingan ketuanan Melayu.

UTAMAKAN ASPIRASI RAKYAT:
SHAHIDAN PERLU TERIMA HAKIKAT

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta bekas Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kassim mengutamakan aspirasi rakyat, apabila menolaknya menerusi kuatkuasa istana. Dato’ Kamal Amir berkata, sekalipun Dato’ Seri Shahidan mampu membawa kemenangan partinya mendominasi DUN Perlis, ianya tak bermakna rakyat negeri Perlis mahukan pimpinan beliau. Menurut Dato’ Kamal Amir, rakyat Perlis sekadar setia kepada UMNO bukan menerima pemimpinnya. Justeru mereka merayu kepada kuasa istana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi menolak Dato’ Seri Shahidan. “Kadangkala demokrasi juga dimanipulasi dengan kaedah yang sukar ditafsirkan,” beritahu Dato’ Kamal Amir.

Serentak dengan itu beliau juga turut meminta Dato’ Seri Idris Jusoh juga menerima hakikat, aspirasi rakyat di Terengganu perlu diutamakan. Justeru katanya, tak perlulah memanipulasi demokrasi dengan sokongan majoriti ADUN bagi menunjukkan menerima mandat parti. Institusi istana bukan mencampuri urusan politik, sebaliknya menerima kehendak rakyat yang mengharapkan baginda raja-raja Melayu menjadi payung dalam usaha melindungi dikri ‘Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri’ baginda masing-masing. Apabila orang politik mengeksploit pembahagian kuasa menerusi amalan sistem demokrasi, kadangkala ianya mengabaikan fakta sokongan akar umbi. “Kalau dulu meminta mereka yang tak terpilih menjadi calon menerima hakikat, sekarang masanya pula bagi pihak terbabit menerima hakikat,” kata Dato’ Kamal Amir.

INFO SASTERA & BUDAYA

ANAK MELAYU BUTA TULISAN JAWI
FENOMENA MENJELANG ALAF BARU 2000

Kemampuan PAS dan PKR mendominasi kerajaan negeri di pantai barat pada pilihanraya 8 Mac 2008 lalu, diminta tak mengabaikan usaha memperkasa semula tulisan jawi sebagai dikri memartabatkan Bahasa Melayu. Aktivis PRIMA Haji Mohd Sayuti Omar mengingatkan ‘tulisan jawi’ sekadar mampu bertahan hingga dekad 1970-an, akibat dasar pendidikan yang tak mementingkan tulisan jawi. Akibat dasar pendidikan yang kurang prihatin terhadap tulisan jawi, menyebabkan anak-anak Melayu yang bersekolah pada dekad 1970-an tak lagi mampu menguasai tulisan dan ejaan jawi. Justeru menjelang alaf baru 2000, majoriti anak-anak Melayu ‘buta tulisan jawi’. “Apalagi badan-badan budaya dan persuratan juga turut mandul pemikiran dalam memperkasakan semula tulisan jawi,” jelasnya menambah.

Di samping merujuk kepada kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengnambil insiatif mempekasakan tulisan dan ejaan jawi menerusi sekolah agama rakyat, Haji Mohd Sayuti yang juga pengarang akhbar tabloid ‘SIASAH’ mendesak kerajaan negeri di Perak, Selangor dan Kedah mengguna pakai kaedah di Kelantan dalam melestarikan tulisan dan ejaan jawi di negeri-negeri pantai barat. Menurutnya lagi, pada dekad 1930-an dan 1940-an novel-novel Melayu juga dicetak dalam tulisan jawi, sebaliknya menjelang dekad 1960-an tulisan rumi mendominasi budaya ilmu orang Melayu. “Jatidiri Melayu akan turut tergugat sekiranya tulisan dan ejaan jawi dikorbankan oleh fenomena politik,” katanya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MINTA MAAF BUKAN PENYELESAIAN:
SEKADAR UNTUK MENJAGA HATI SAHAJA

Kata sahibul hikayat tersebutlah kisah seorang pembesar negeri yang baru dipilih bernama Dato’ Mukhriz bin Tun Dr Mahathir diminta meminta maaf kerana mengutus surat kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memintanya segera meletakkan jawatan. Maka segala hulubalang dan pegawai-pegawai muda pun disuruh berlengkap dalam mesyuaratnya dengan mengingatkan Dato’ Mukhriz: ‘Mulut bacar emas banyak, hati berani senjata tajam’! Maka diberitahu kepada orang banyak oleh pemukul-pemukul canang hari ini (9 Rabiulawal 1429 seperti kata anak cucu fakir ialah 17 Mac 2008), Dato’ Mukhriz tak mengenang budi setelah dijadikanlah ia orang besar di Jerlun yang boleh duduk berhadap-hadapan di balairongseri.

Syahdan akan fakir berasalah macam ‘anak-anak kecil’ bergaduh yang mengungkit ianya memberi gula-gula, walhal mereka bertengkar sekadar berebut-rebut barang mainan sahaja, adanya. Adapun Dato’ Mukhriz itu sekiranya diusir ia, maka orang-orang besar yang duduk berhadap-hadapan di balairongseri itu tinggal 139 sahaja, kerana kata orang tua-tua fakir: ‘Ikut hati mati, ikut rasa binasa’. Entahlah! Sekali persetua maka datanglah Feringgi ke negeri Melaka diketua kapitannya Gonzalo Periera, lalu dibawa menemui akan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Maka disarungkan oleh Gonzalo Periera kalung ke leher Dato’ Bendahara dengan melepasi kepalanya, hingga marahlah anak-anak Melayu dengan menyuruhnya meminta maaf. Lalu kata Dato’ Bendahara, “Jangan kamu sekalian memandai-mandai, bukankah dia belum tahu adat resam Melayu,” seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ disuratkan:








HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: