Thursday, April 10, 2008

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)



DARI LAMAN BLOG:




TAK PRIHATIN KETUANAN MELAYU
GENERASI MUDA TAK FAHAM FUNGSI


Assalamualaikum,


Perjumpaan dengan YTM Undang Luak Rembau, Dato’ Lela Maharaja Haji Mohd Sharip Othman hari ini (9 April 2008) turut membangkitkan sejarah perjuangan melawan Inggeris tahun 1883 oleh Dato’ Lela Maharaja Haji Sahil (Undang Luak Rembau ketika itu). Berikutan generasi muda sekarang tak faham fungsi ketuanan Melayu, menyebabkan masyarakat tak prihatin dengan prinsip perluanya ia dipertahankan. Barangkali! Memang saya bersetuju dengan YTM Dato’ Haji Mohd Sharip apabila beliau merungut mengenai murid-murid sekolah di luak (daerah) Rembau tak mengenali dirinya, di samping tak faham institusi ‘Undang Yang Empat’. Apalagi pada period penjajahan Inggeris fungsi ‘Undang Yang Empat’ turut diperlekeh seperti insiden memecat Dato’ Haji Sahil (1883) dan Dato’ Bandar Tunggal di Sungai Ujong (1874).


Menerusi pengalaman saya selaku penyelidik bagi ‘Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan’ sejak 1989, secara historikal ‘Undang Yang Empat’ turut menanda tangan proklamir kemerdekaan bersama Yang Dipertuan Besar bagi pihak Negeri Sembilan. Malah mereka juga terbabit dipaksa oleh Harold Mac Michael ketika menerima ‘Malayan Union’ pada November 1945. Maknanya, pemerintahan Negeri Sembilan tak berfungsi sekiranya sebarang dokumen ditanda tangan oleh Yang Dipertuan Besar secara bersendirian, sebaliknya perlu disertai oleh ‘Undang Yang Empat’ termasuk Tunku Besar Tampin. Ironinya, sekarang di jabatan-jabatan kerajaan di daerah Rembau termasuk di sekolah-sekolah gambar YTM Undang Luak Rembau tak digantung sama seperti Yang Dipertuan Besar, Perdana Menteri dan Menteri Besar. Aduhai!

Apalagi bangsa Melayu terikut-ikut dengan orientalis barat dengan memanggil YTM Undang Yang Empat sebagai ‘Tok Rembau’, ‘Tok Sungai Ujong’, ‘Tok Jelebu’ dan ‘Tok Johol’. Sebelum penjajahan Inggeris, ‘Undang Yang Empat’ dipanggil ‘Orangkaya’ seperti legasi ketuanan Melayu sejak di Melaka. Misalnya, kalau Hang Tuah dipanggil ‘Orangkaya Laksamana’, justeru ‘Undang Yang Empat’ dipanggil sebagai ‘Orangkaya Rembau’, ‘Orangkaya Sungai Ujong’, ‘Orangkaya Jelebu’ dan ‘Orangkaya Johol’ iaitu sebagai panggilan hormat. Ketika istiadat mengadap di balai(rong) juga disebut ‘hamba datuk’ atau ‘ke bawah kaus’ bagi pembesar-pembesar adat membahasakan diri mereka, di samping ‘kami’ digunakan oleh ‘Undang Yang Empat’.


Bagaimanapun selepas ‘pemerintahan rakyat’ (sebenarnya hegemoni kuasa politik), fungsi ‘Undang Yang Empat’ seolah-olah diperlekeh, hingga dianggap pemerintahan ‘raja berperlembagaan’ di Negeri Sembilan diletakkan di tangan Yang Dipertuan Besar sahaja, sekalipun sebarang enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undang Negeri perlu ditandatangani oleh Yang Dipertuan Besar dan Undang Yang Empat (termasuk Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong). Tak hairanlah orang tua-tua juga menyebut: ‘Sekali air bah, sekali pasir berubah; sekali zaman beredar, sekali resam bertukar’. Gamaknya!

-Pak Dharma.



INFO HAK ASASI MANUSIA:


AKTIVIS UMNO SECARA TERBUKA
MAHUKAN PAK LAH SEGERA UNDUR!


Penyair Yassinsalleh dari Pahang sudah menduga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Ahmad Tajuddin Sulaiman meletakkan jawatan hari ini (9 April 2008) berikutan kenyataannya semalam (8 April 2008) mendesak semua MT UMNO meletakkan jawatan. Gesaan Dato’ Ahmad Tajuddin menurut Yassinsalleh adalah jelas membabitkan semua Pengerusi Perhubungan Negeri yang secara automatis termasuk Dato’ Seri Adnan Yaakob (Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang), kerana mereka dilantik oleh MT. “Tetapi berapa ramai aktivis UMNO yang bersedia menerima risiko seperti sikap ‘anak jantan’ yang ditunjukkan oleh Dato’ Ahmad Tajuddin,” ujar Yassinsalleh ketika menghubungi sekretariat PRIMA.




Menurut Yassinsalleh, gesaan yang dibuat oleh Dato’ Ahmad Tajuddin adalah manifestasi sebahagian besar aktivis UMNO yang mahukan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur. Justeru katanya, Dato’ Seri Abdullah sudah jelas menerima signal di peringkat akar umbi supaya berundur, kerana tak ada alasan baginya untuk memulihkan semula UMNO setelah ditolak oleh rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac lalu. Seterusnya Yassinsalleh turut mengakui menerima SMS daripada aktivis UMNO di Johor yang memberitahu 9 Bahagian dari 26 Bahagian UMNO turut mendesak Dato’ Seri Abdullah meletakkan jawatan. “Dato’ Seri Abdullah akan dikejutkan dengan keputusan tersebut apabila melawat Johor 11 April 2008 ini,” menurut Yassinsalleh.




INFO SASTERA & BUDAYA:


SANGGAR SAJAK.
Masih Adakah Lagi

Masih adakah lagi
pelacur di kalanganmu
bloggers?= = = = = = =
= = = = = = = = = = = =
= = = = = = = = = Masih
adakah lagi pelacur
di kalanganmu
wahai
bloggers?
Kiranya masih ada
katakanlah supaya senang
aku nak ……..
……..!

Boleh hutangkah?
setahu aku,
pondan kat belakang kowloon
boleh hutang,
tapi
jantan
tua mulut berpekung
tak taulah pula aku
boleh
hutang ke tidak.

Apapun jua
tolonglah beri aku tahu
duhai
para bloggers,
masih adakah lagi
jalang tersembunyi di kalangan
kalian?
aku nak jadi agen
komisyennya heh heh heh!

-yassinsalleh
jam 1551, April 09, 08.


Menafsir Naratif Tiong

Tinggikan vokalmu
lantang di padang lapang
menafsir keberanian sang dewata
di singgahsana warga margastua
di hujung pesisir waktu
angin belantara rindu
& biarkan kepongahan sang tiong
membentak di setiap penjuru
dengan omong yang semakin kosong.

Ah, aku semakin keliru
tak mengenali bayangku
yang retak di bucu batu-batu
mengilir luk pamung sari
mencari semilir angin lelah
di peseban, di balairong, di anjung istana
& kita memencak di sekeliling gelanggang
memerhatikan langkah sumbang.

Tiba-tiba vokalmu
jatuh di tepi jendela
sang tiong berligar mencari kata-kata
dengan lidah tersimpul
pitah berbicara -
& aku semakin pintar berdusta!

Dharmala N.S.
Kuala Lumpur, April 08.


KOMEN DARI UTARA
ASALBAYU CARI "MELAYU MUDAH LUPA"


MELAYU MUDAH LUPA - ANTOLOGI PUISI7 April 2008 - Penulis telah dihubungi oleh pihak akhbar Siasah bertanyakan di mana boleh dapat antologi MELAYU MUDAH LUPA seperti ulasan saya dalam akhbar Siasah 6 - 12 April, bilangan 0092. Khabarnya ada banyak orang bertanya di mana boleh dapat buku berkenaan. Penulis membelinya di sebuah kedai menjual akhbar di Alor Setar beberapa minggu sebelum tibanya tarikh Pilihanraya Umum Ke-12 lalu.Nombor telefonnya tidak terdapat pada naskhah kecuali alamat e-mail : pjbc_kj@yahoo.comAlamat penerbitnya : Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd, 210-Block D Aras 2, Kelana Business Centre, Jalan 7/26, Kelana Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Penulis pada hari yang sama juga menghubungi seorang sahabat yang ketika itu berada di Kuala Lumpur. Beliau memaklumkan bahawa Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI), Sdr. Shaidun Hj Shaari bermaksud meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan dengan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang kini dikuasai oleh PAS. Beliau khabarnya adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Setar. Penulis fikir-fikir tidak menjadi kesalahan jika beliau terus menerjui ASASI kerana organisasi penulis tersebut bukan diwujudkan oleh UMNO atau mana-mana organisasi politik yang sah.

Manakala ahli-ahlinya juga menganut ideologi politik yang berbagai. SN Shahnon Ahmad adalah Ketua Satu yang pertama dan pengasasnya itu pernah jadi Ahli Parlimen atas tiket PAS. Manakala novelis tersohor, Azizi Haji Abdullah pernah bertanding pilihanraya atas tiket PAS kemudian pernah jadi Penasihat ASASI. Entahlah. Malas penulis nak fikir panjang-panjang berkenaan perkara ini.Bagimanapun penulis berpendapat sangat elok jika ada pihak-pihak tertentu mengambil inisiatif mengadakan acara baca puisi MELAYU MUDAH LUPA yang bakal dipenuhi oleh penyampaian/deklamasi sajak-sajak yang termuat dalam antologi ini yang berjumlah 75 buah semuanya itu.



KOMENTAR
bersama Pak Parjo


TUKANG CANANG TERSALAH TITIR
HAMBA RAKYAT PULA TERSALAH FIKIR

Sebermula dipukul canang ke seluruh negeri fasal di Selangor dibenarkan membuka ladang babi di Sepang, Selangor seperti dititir orang hari ini (2 Rabiulakhir 1429 atau disebut anak cucu fakir 9 April 2008). Maka diberitahu kepada fakir oleh orang banyak melambak-lambaklah lembar surat yang disuratkan pemukul canang, oleh kerana meluat hamba rakyat dengan perangai yang tak berubah-ubah. Syahdan ramailah orang-orang besar memanda Perdana Menteri disingkir hamba rakyat kerana perbuatan penyurat-penyurat dan pemukul canang sebelum 30 Safar 1429 (atau 8 Mac 2008), yang menyebab hamba rakyat hina dina meluat-luat. Adapun ladang babi di negeri Selangor itu sudah bertahun rakyat jelata di Rawang menghidu bau busuk disebabkan ladang babi ketika ianya diperintah oleh orang-orang besar memanda Perdana Menteri.

Arakian tersebut akan Sultan Mansur Shah murka akan bendahara, tiga hari tak ditegurnya kerana tak mahu merajakan Sultan Zainal Abidin di Pasai. Maka disuruh panggil laksamana, telah laksamana datang, maka baginda bertanya perihal bendahara sewaktu di Pasai. Maka laksamana berdatang sembah, berjahat bendara. Bertambah murkalah sultan akan bendahara. Setelah esok harinya sultan keluar dihadap segala pegawai, semuanya ada mengadap, melainkan laksamana juga tiada. Maka Sultan Mansor Shah menyuruh memanggil bendahara, lalu bertanya akan kelakun laksamana semasa di Pasai. Bendahara berdatang sembah mengabar segala puji-pujian akan laksamana, maka baginda memberi persalin selengkapnya kepada Bendahara Paduka Raja seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:





HIDUP BAHASA MELAYU!

1 comment:

asalbayu said...

BN kalah kerana faktor Khairy? - EB

Akhbar tabloid Era Baru milik Dato Idris Tulis edisi 5 April 2008/28 Rabiulawal 1429 bil 261 memetik siaran televisyen Bernama seperti berikut:

Dalam satu temubual melalui televisyen Bernama tidak lama dulu, seorang pensyarah bernama Prof Tuan Syed Anuar telah ditanya apakah faktor-faktor penting yang menyumbang kepada kekalahan BN/UMNO dalam PRU 12 yang lalu.

Sebelum menjawab, beliau telah memohon maaf kepada penonton-penonton kerana katanya, jawapan beliau mungkin akan menyinggung perasaan orang-orang tertentu tetapi beliau terpaksa menjawab dengan benar dan telus.

Menurut beliau, faktor utama kekalahan BN/UMNO ialah faktor Khairy Jamaludin. Prof Anuar tidak mahu berselindung dengan jawapannya kerana katanya di mana-mana juga orang ramai berkata dan tahu bahawa faktor besar yang menyebabkan kekalahan teruk itu ialah di atas faktor Khairy.

Dalam akhbar harian arus perdana Utusan Malaysia 10 April 2008 pula menyiarkan berita seperti bewrikut:


Pemuda Perak cadang KJ

IPOH 9 April - Selepas Negeri Sembilan, hari ini giliran Pemuda UMNO Perak pula mencadangkan Naib Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengisi jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharudin berkata, Khairy menunjukkan ciri-ciri kepimpinan amat berkaliber dalam tempoh beliau memegang jawatan naib ketua dan menjadi pembantu serta timbalan yang setia kepada Hishammuddin.
Beliau berkata, mengikut hierarki, Khairy ialah calon paling sesuai dan tepat mengisi jawatan itu kerana beliau memahami dengan mendalam tentang arah tuju perjuangan Pemuda UMNO yang diperjuangkan Hishammuddin selama ini.
''Khairy berada pada posisi di mana beliau dapat meneruskan dan juga mengembangkan lagi intipati perjuangan Pemuda ke tahap lebih tinggi berdasarkan pengalaman beliau yang ditimba bersama-sama Hishammuddin.
''Perjuangan beliau bersama Pemuda UMNO selama ini menjadikan beliau seorang individu yang lebih matang, berkebolehan dan berkemampuan untuk memimpin pergerakan ini dalam kancah politik yang bergelora pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainol berkata, amat merugikan jika bakat Khairy yang dipupuk dan digilap selama ini tidak digunakan sepenuhnya oleh Pemuda UMNO.
Menurutnya, pada beberapa pilihan raya kecil, Khairy juga telah membuktikan kebolehan dan kepimpinannya mengetuai jentera pilihan raya Pemuda Barisan Nasional (BN), malah dilihat bijak menangani segala kritikan dan tekanan terhadap dirinya.
Khairy, kata beliau, berjaya membuktikan keupayaannya dalam pilihan raya lalu apabila memenangi kerusi Parlimen Rembau selepas dipilih oleh rakyat yang mempercayai kemampuannya sebagai pemimpin.
"Selain itu, beliau mempunyai hubungan baik dan erat dengan kepimpinan Pemuda UMNO bahagian-bahagian. Beliau telah membuktikan yang beliau mampu untuk terus menjalin hubungan yang lebih erat dan mesra hingga ke peringkat akar umbi parti.
"Khairy juga mempunyai kelayakan akademik tinggi dan sesuai sebagai pemimpin yang berilmu pada masa ini lantas kelayakannya menepati kehendak masyarakat umum," ujarnya.
Berbekalkan ilmu yang dimiliki, kata Zainol, Khairy mampu menangani dengan efektif, cabaran arus dunia moden yang wujud ketika ini.
Bukan itu sahaja, katanya, sebagai Naib Ketua Pemuda, Khairy membuktikan keberkesanan apabila dengan berani dan lantang mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ketuanan Melayu yang bertepatan dengan prinsip perjuangan Pemuda UMNO selama ini.

Fikir-fikirkanlah masa depan UMNO untuk bangkit semula atau merawat luka parah guna mengembalikan keyakinan terhadapnya

http://asalbayu.blogspot.com