S U A R A P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
PERJALANAN MALAM DI GENTING PERAS
MENELUSURI NOSTALGIA MASYARAKAT LAMPAU
Assalamualaikum,
Rakan-rakan terkilan apabila laman blog PRIMA bagaikan terhenti seketika ketika lanskap politik semakin berombak-ombak, berolak-olak dan bergolak-golak. Penyair Yassinsalleh tak henti-henti mengirim SMS meminta memberi sebab musabab; apalagi Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz beberapa kali menelefon sekretariat PRIMA. Haji Yahaya Ismail juga beberapa kali menelefon, di samping Sdr Asalbayu dan Sdr Suhaimi Said terus mengirimkan tulisan mereka. Syabas! Malam 5 Jun 2008, saya melalui jalan di Genting Peras (sempadan Selangor-Negeri Sembilan, di kaki Gunung Payung) bersama pengamal rawatan tradisional, Sdr Roseli Deraus dengan persekitarannya perkampungan Orang Asli, kabus tebal dan kegelapan hutan tropika di pergunungan.
Ketika melalui jalan aspal di Genting Peras, memang saya tak peduli sangat kekalutan di ibu kota, malah tak tahu mengenai isu-isu semasa di TV. Berulang alik melalui jalan aspal di Genting Peras, sekadar mengimbau nostalgia perjalanan nenek moyang di zaman lampau yang meneroka penempatan berdasarkan ‘teromba Jelebu’ (sirah pembesar adat di Jelebu). Memang Sdr Roseli tak memahami ‘teromba Jelebu’ secara kajian ilmiah, tetapi beliau mampu menyoroti menerusi amalan rawatan tradisional. (Sdr Roseli juga membantu saya ketika kumpulan Dr Abdul Wahid Suhaimi meminta memberi kerjasama pada period Dato’ Seri Anwar Ibrahim meringkuk di sel Sungai Buloh, sehingga episod pembebasannya pada 2003).
Memang jam 2.00 pagi pun kami akan melalui jalan aspal berkenaan sekitar 2003 di samping Dr Wahid memandu kereta bergilir-gilir dengan Haji Abu Bakar Ninggal apabila menjemput Sdr Roseli dan Malik Long (Allahyarham) berkumpul di rumah saya. (Kadangkala Dato’ Seri Anwar akan menelefon Dr Wahid dari sel Sungai Buloh jam 2.00 pagi itu, ketika kami masih melalui jalan aspal di Genting Peras. Begitulah!). Perjalanan malam di Genting Peras memang menyeronokkan, kerana laluan berkenaan digunakan Batin Bercanggai Besi dari Hulu Langat meneroka penempatan di Jelebu, sebelum anaknya Jelondong menjadi Penghulu Jelebu pada period ‘empat negeri Sakai’ (mengikut tulisan J.M. Gullick dalam jurnal ‘Papers on Malay Subject’).
Kesibukan dengan tugas bersama Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Lembaga Muzium Negeri Sembilan sejak Oktober 2007 lalu membataskan aktiviti saya mengendali laman blog PRIMA. Apalagi sekitar Januari 2008 perlu menyiapkan buku ‘Luak Johol’ atas permintaan YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Haji Mohd Jan Abdul Ghani, Undang Luak Johol, kemudian diikuti dengan buku ‘Luak Rembau’ yang perlu disiapkan sebelum Ogos 2008 dengan persetujuan YTM Dato’ Lela Maharaja, Dato’ Haji Mohd Sharip Othman, Undang Luak Rembau. Ditambah lagi membantu Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) Hajjah Fauziah Raof mahu menyiapkan skrip drama TV sebelum menjalani pembedahan lutut 22 Jun 2008 nanti di luar negeri. Aduhai!
Perjalanan balik dari Genting Peras melalui Jalan Ampang malam 5 Jun 2008 itu dikejutkan pula dengan insiden kesesakan jalanraya, asal sahaja melalui stesen minyak. Beberapa buah stesen minyak sepanjang Jalan Ampang, hingga melalui Hulu Kelang ke Taman Seri Gombak memang diganggu kesesakan jalanraya hingga jam 12.00 malam. Apabila menelefon isteri saya, Adiah Mat Lana di rumah, barulah saya menyedari jam 8.00 malam Buletin Utama di TV3 sudah menyiarkan laporan kenaikan harga petrol yang drastik hingga 80 sen satu liter. Apabila sampai di rumah jam 12.00 malam, Dato’ Kamal Amir menelefon beritahu fasal mala petaka yang menimpa negara, diikuti dengan SMS Sdr Yassinsalleh, Sdr L Mankadri Shamsi, Haji Yahaya Ismail, Sdr Zakaria Bidin dan Dato’ Dr Mohd Mansor. Astaga!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
KENAIKAN HARGA PETROL:
MALA PETAKA KEPADA NEGARA
(Kenyataan media pimpinan PRIMA, berikutan kenaikan harga petrol dan disel, pada 6 Jun 2008 di Kuala Lumpur)
Kenaikan harga petrol dan desel yang drastik adalah mala petaka kepada negara, kerana bahan bakar berkenaan turut menjejaskan sektor lain. Pimpinan PRIMA kecewa langkah kerajaan menaikkan harga petrol dalam masa masalah gaji kakitangan kerajaan dan pekerja-pekerja swasta belum ditangani dengan saksama. Katanya, kenaikan harga petrol hingga 80 sen satu liter mulai 12 malam, 5 Jun 2008 bukan sahaja membebankan rakyat prolitar, malah memberi impak maksimum kepada negara. Memang negara kita berhadapan mala petaka secara fizikal dan spritual akibat kebobrokan pentadbiran dalam pimpinan kerajaan. Petrol sebagai guna tenaga utama akan membabitkan juga sektor perkilangan, elektrik, pengangkutan awam dan pertanian.
Apabila cuti penggal persekolahan berakhir pada Isnin, 9 Jun 2008 ibu bapa akan berhadapan dengan kenaikan tambang bas sekolah, ketika masyarakat Malaysia bimbang dengan isu keselamatan anak-anak. Insiden pelajar yang dibunuh ketika balik dari tuisyen di Kelantan, kes kehilangan Sharlinie dan beberapa lagi menambahkan lagi kerunsingan ibu bapa dengan kenaikan tambang bas sekolah. Kita tak boleh menyalahkan pengusaha bas sekolah sekiranya mereka mendesak kenaikan tambang. Pengilang-pengilang padi menaikkan harga beras, sekalipun pesawah-pesawah tak menikmati kenaikan harga padi juga adalah disebabkan kenaikan harga petrol. Malah pengguna-pengguna bekalan api elektrik juga tak mampu mengelak sekiranya berlaku kenaikan tarif bil elektrik. Justeru mala petaka yang menimpa negara dengan kenaikan harga petrol dan desel ini sebenarnya lebih dahsyat daripada gelombang tsunami 2004 yang lalu.
INFO SASTERA & BUDAYA:
PERTEMUAN EKSKLUSIF 40 PENULIS
BINCANG SENI DAN BUDAYA REFORMASI.
Salam Sdr Dharmala,
Saya Dinsman dan kawan-kawan dari PIKIR menganjurkan satu pertemuan eksklusif 40 penulis/budayawan yang terlibat reformasi, pada 6-7 Jun 2008 ini, dengan kerjasama kerajaan Negeri Selangor. Tempat di Carlton Hotel, Shah Alam. Saya harap saudara sudi bersama kami dalam pertemuan ini. Bincang-bincang hal seni dan budaya. Pendaftaran mulai 2 petang, 6 Jun. Diskusi mulai 4 petang. Acara akhir: Dinner di Dewan Jubli SUK dan ucapan budaya oleh Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), 8 – 11 malam, 7 Jun. Sila sahkan kehadiran saudara – (SMS; 4 Jun 2008 – Dinsman, Kuala Lumpur).
YPBN GANDING BAHU DENGAN PRIMA
DIALOG BERSAMA KARYAWAN UTARA
Perbincangan awal sudah dipersetujui bagi menganjurkan dialog bersama karyawan utara di Perlis pada Ogos atau Oktober 2008 ini, kata mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UPM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Dialog anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan kerjasama PRIMA akan membawa dimensi baru kepada karyawan dalam usaha berdikari bagi menerbit dan memasarkan karya sendiri. Dalam pertemuan Dato’ Dr Mohd Mansor mewakili PRIMA dengan Sdr A. Rahim Abdullah bagi pihak karyawan utara semalam (5 Jun 2008), persefahaman sudah dicapai untuk memberi kerjasama kepada YPBN. Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor menambah, “Dialog bersama karyawan utara bagi mencapai matlamat penerbitan dan pemasaran karya-karya penulis Melayu.”
Sebelum ini pihak YPBN Haji Hassan Hamzah sudah berbincang dengan PRIMA bagi menganjurkan majlis ‘Anugerah Buku Negara’ sebagai penghargaan kepada para karyawan di seluruh negara yang menyumbang kepada pembangunan sastera dan gerakan kempen membaca. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Haji Hassan mengakui akan pentingnya pembangunan industri buku dalam kempen membaca, sekalipun teknologi maklumat (IT) digerakkan melalui dunia siber. Sistem IT tak akan mencapai sasaran sekiranya kempen membaca tak digalakkan menerusi indsutri buku, menurut Haji Hassan yang memberi jaminan YPBN akan membantu para karyawan dalam penerbitan dan pemasaran karya para penulis. “Kita tak mahu penulis-penulis Melayu terus dieksploit oleh penerbit-penerbit,” beritahu Haji Hassan selanjutnya.
INFO SUARA PROLITAR:
PUAK-PUAK TANYA SOALAN
RAKYAT SELANGOR DICEMARI BABI!
It must b appreciated that. D ‘ladang babi’ is t best device for a legal & non disputable to BIG move to close down hundreds existing ‘kandang’ babis scattered through out Selangor n confine then into one single high tech enclosure. Rakyat Selangor all over are saved from menghirup udara aroma babi dan menyentuh air sungai yang dicemari aliran kumbahan babi. Bodoh punya heh heh heh! Tu le puak-puak ni dok tanya soalan yang jawapannya ialah depa le yang BABI! But how do one tell a babi themselve think we are great ‘kah kah kah kah’, the great Malay savior? – (SMS; 3 Jun 2008 – Yassinsalleh, Kajang, Selangor).
TAK PERLU IKUT CAKAP SI BANGANG
SETIAP WARGA DENGAN TANGGUNGJAWAB
Seorang sahabat berilmu yang bertaraf Phd. Wow! Depa came hard on PAS. He says, ‘Dulu kata Badwi in Malaysia jaga babi because of JE, now PAS sokong PKR in Selangor to have the biggest ladang babi, siapa sebenarnya BABI?’. Heh heh heh! Do not enjoy their stupidity. Just tell them d actual fact as is per se. We have a responsiblitiy to cut them to size & pin down those BANGANGS from insulting our intelegent further. Wahai Allah berilah perlindungan kepada kami. (SMS; 3 Jun 2008 – Anak Tok Apoi, Kuala Lumpur).
‘BISO MACAM MATO PODANG’
SOKONG PRIMA MAKIN GARANG
Tahniah PRIMA. Memang senjata PRIMA tajam. Biso macam mato podang Saidina Abu Bakar. Bolangir air lior kolombai (bukan Sangkolombai budak Senanti tu!). Tengok: Ezam (Mohd Noor) kek luar negori pun SMS Pak Dharma. Pak Ya pun SMS. Harap PRIMA toros garang & kobal. Kita sokong, kok PRIMA mau atikel, kita boleh organize, dapekkan tulisan kawan-kawan yang ado namo utk blog PRIMA. Risau juga apabila PRIMA tak beroperasi seminggu. Terus berjuang! - (SMS; 5 Jun 2008 – Mat Lebai, Senawang, Negeri Sembilan).
PENGENDALI LAMAN BLOG:
KENYATAAN MEDIA SANUSI JUNID
Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid calling for media conference at 5.00 pm, Sanusi Family Boutiqe Retreat, 102-104, Jalan Maarof, Bukit Bandaraya. – (SMS; 5 Jun 2008 – Sallehuddin, Kuala Lumpur)
ORANG ASLI MASIH TERBIAR
SEMANGAT LUBUK KAWAH MELUAP
Oleh: Suhaimi Said
(Bekas Calon PKR DUN Jenderak, Pahang)
Minggu demi minggu saya menunggu sesuatu petunjuk bahawa Kerajaan Negeri dibawah Pakatan Rakyat perihatin diatas tuntutan Orang Aslidiatas pemilikan tanah mereka yang tidak mempunyai geran tanah (suratan hakmilik).Saya telah memperjuangkan hak Orang Asli keatas tanah mereka, dan jikasekiranya apa yang saya perjuangkan ini hanya untuk memberi faedah kepada seorang berdua sahaja, mungkin sudah lama saya memberhentikan tindakan dan perjuangan itu.Saya tidak putus asa; setiap minggu saya tetap mengadakan perjumpaan mengikut jadual yang telah saya aturkan untuk kampong-kampong Orang Asli dikawasan DUN Jenderak ditempat saya bertanding didalamPilihanraya Umum yang lalu.
Saya telah mengundang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Majlis ceramah dan suaikenal dengan Orang Asli di Kampong Pasu, Kuala Krau; dan kehadiran Datuk Seri Anwar sebelum PRU-12 dulu telah mendapat sambutan luar biasa dari kalangan Orang Asli sekitar Kg Pasu. Saya juga telah mengundang YB Fuziah Saleh didalam satu majlis suaikenal yang ringkas dengan penduduk Orang Asli sekitar Kg Penderas, dan Orang Asli berterima kasih dengan kesudian kehadiran Fuziah. Saya terus mengadakan perjumpaan-perjumpaan dengan masyarakat Orang Asli, minggu lepas di Kg Penderas, diikuti dengan perjumpaan di Kg Pasu dan pada 8hb Jun ini pula akan diadakan Majlis Dialog dengan penduduk Orang Asli di sekitar Kg Pian, Kg Lubok Wong, Kg Penderas, Kg Pasu, Kg Paya Rekoh, Kg Bukit Beredut, Kg Pelong, Kg Sg Mai, Kg Galung/Terboi diadakan di Kg Pian. Sebulan lalu saya telah adakan satu Majlis Bacaan Puisi di Kg Pian dimana puisi-puisi Orang Asli yang menuntut akan hak mereka didengarkan dimalam itu; saya tidak berhenti dari memperjuangkan nasib Orang Asli diatas keyakinan saya bahawa Orang Asli benar-benar mahukan seorang pembela yang tekun. Mereka yakin kepada saya dan saya yakinkepada mereka.
Dua minggu lepas saya melontarkan keluhan saya didalam blog saya --http://lubokkawah.blogspot.com/ -- kerana isu tuntutan Orang Asli initidak kedengaran samada Di Dewan Undangan Negeri mahupun di Dewan Parlimen. Saya mengeluh kerana tuntutan Orang Asli tidak diambil perduli oleh wakil-wakil rakyat samada disebelah BN mahupun disebelah Pakatan Rakyat. Tok Batin atau Ketua Kampong Penderas seolah-olah telah menyindir saya bahawa Pakatan Rakyat juga tidak begitu mahu ambil tahu tentang nasib Orang Asli.Orang Asli sudah ketinggalan jauh, mereka telah terpinggir dan terkebelakang lebih 50 tahun dari kaum-kaum lain, serba-serbi ketinggalan. Tanah mereka tidak mempunyai geran, sistem pengeluaran pertanian mereka menggunakan kekuatan fizikal, menggunakan cangkul, dan menyiram tanaman secara tradisional, pengeluaran mereka kecil dan pendapatan mereka kecil. Tidak ada badan yang khas bagi memasarkan hasil pertanian mereka kecuali pembeli-pembeli runcit yang mengambil keluaran mereka dengan harga yang tidak sepadan.
Rumah-rumah mereka usang kecuali rumah-rumah PPRT yang mempunyai sebuah bilik tidur yang menyukarkan keluarga yang besar, dan rumah-rumah PPRT itu hanyalah sedikit sahaja didirikan di perkampongan mereka.Mereka menghadapi masalah pendidikan untuk anak-anak mereka, dan mereka berhadapan juga dengan masalah khidmat kesihatan dan masalah sosial; dan yang paling getir sekali, mereka berhadapan dengan masalah kemiskinan.
Kemiskinan mereka ini sentiasa diambil "advantage" oleh UMNO semasa menghadapi Pilihanraya; Orang Asli diumpan dengan pemberian habuan untuk mengundi calon Barisan Nasional; dan diwaktu lain pula mereka digunakan secara rakus oleh kaum-kaum lain untuk kerja-kerja mengambil upah seperti, menebas dan menebang dan membuat pagar dengan upahan kecil yang tidak sepadan.Ada waktunya saya bermalam di Kampong Orang Asli, berbincang dengan penduduk kampong dan mendengar keluh resah mereka terhadap masalah kehidupan dan sosial yang mereka hadapi. Tidak cukup dengan simpati,saya tetap bersama mereka untuk memperjuangkan tuntutan mereka sehingga berjaya.Tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak dan pengumuman oleh YAB Menteri Besar Perak bersetuju mengeluarkan geran tanah untuk tanah adat kepada 48,000 Orang Asli di Perak adalah satu hadiah yang paling berguna untuk Orang Asli.
Walaupun, pengumuman ini hanya untuk Orang Asli Negeri Perak, tetapi kesannya amatlah meluas. Tok Batin Kg Penderas akan mengambil iktibar dari pengumuman ini. Semua Orang Asli di DUN Jenderak, Kuala Krau, Temerloh akan merasakan bahawa pengumuman ini adalah suatu kemenanganbagi mereka semua disemua Negeri. Terima kasih YAB Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaluddin. Puak-puak yang mengatakan bahawa Orang Asli tidak akan diberikan geran tanah diatas alasan bahawa Orang Asli sudah ada tanah rezab dan Orang Asli tidak akan mampu membayar cukai tanah akan melihat pengumuman Menteri Besar Perak itu sebagai tanda kecundang mereka.Tidak ada lagi sebab kenapa Kerajaan Negeri Pahang tidak boleh mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Perak. Dan saya akan berbincang dengan semua Ketua-Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat di Negeri Pahang dan pemimpin parti-parti didalam Pakatan Rakyat di Negeri Pahang ini untuk mempertingkat daya juang untuk mendesak Kerajaan Negeri Pahang mengeluarkan geran tanah untuk Orang Asli di seluruh Pahang. Perjuangan Orang Asli di Perak dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat telah berjaya, dan perjuangan Orang Asli di Pahang dibawah gagasan.Pakatan Rakyat Pahang pasti pula akan berjaya! REFORMASI!
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
GEMPARLAH SEKALIAN RAKYAT JELATA
NAIKNYA HARGA MINYAK DI SELURUH NEGERI
Syahdan gemparlah sekalian hamba rakyat Melayu apabila dititir canang ke seluruh negara akan minyak (disebut orang banyak sebagai petrol) naiklah harganya hingga RM2.70 satu liter (mengikut sukatan orang-orang terkemudian hari). Maka fakir pun diberitahu oleh sekalian hamba rakyat akan Orangkaya Dato’ Shahrir Abdul Samad yang baru sahaja dibawa semula duduk tara menteri-menteri dan pembesar-pembesar di balairong, semakin bingung memikirkan harga barang-barang bertambah naik. Adapun beras juga semakin berkurangan di dalam negeri. Maka Orangkaya Dato’ Shahrir pada suatu ketika dahulu meminta Orangkaya Dato’ Seri Samy Vellu meletakkan jawatan kerana kemelut lebuhraya lingkaran tengah, terasa juga akan kekemelutan kenaikan harga minyak. Tentu orang banyak akan lalu lalang juga di lebuhraya lingkaran tengah itu, memang mereka memerlukan minyak jua, adanya.
Arakian, turun sebuah kapal dari Judah datang ke Melaka, tak menggunakan minyak kerana ketika itu mereka hanya tahu gunakan layar mengikut mata angin sahaja. Di dalam kapal itu ada seorang pendeta Maulana Sadar Jahan namanya. Telah sampai ke Melaka, bergurulah Sultan Mahmud kepada Maulana Sadar Jahan itu. Maka pada suatu malam Bendahara Seri Maharaja duduk dengan Makhdum Sadar Jahan berkata-kata akan ilmu. Maka Seri Rama datang menghadap sultan dengan mabuknya, lalu dibawa oranglah pada batil perak, disampaikan tetampan, diberikan kepada Seri Rama. Setelah dilihat oleh Makhdum Sadar Jahan, maka berkata ia, “Yang arak itu ibu segala najis”. Jawab Seri Rama, “Yang ahmak itu ibu segala najis”. Syahdan akan maksud Seri Rama itu mencari harta itu adalah ahmak jua seperti disebut ‘Kitab Melayu’ dari:
HIDUP BAHASA MELAYU!
1 comment:
IMBASAN MUTAKHIR.
Oleh: Asalbayu.
KONVOKESYEN Univertsiti Teknologi MARA (UiTM) ke-68 yang berlangsung dari 22 – 31 Mei 2008 melibatkatn anak kedua saya, Mawardi Hidayat setelah menamatkan pengajian Diploma Pengajian Perniagaan di Kampus UiTM Cawangan Sungai Petani, Kedah. Dia besama sejumlah 666 orang mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti bidang pengajian yang sama menerima pemberian sijil diploma yang disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Haji Arshad Ayob di Dewan Sri Budiman, Kampus Induk UiTM, Shah Alam pada Sidang Ke-12 (31.5.2008).
Bagi meraikannya, saya bersama isteri pergi ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dari Alor Setar lalu menginap di rumah anak sulung, Asmarani Hidayah yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, Saiful Akmal dan bertugas di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kuala Lumpur. Dia bersama suaminya, Yuzil Rizal yang bekerja dengan Ramly Burger serta anak tunggalnya itu tinggal di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Itulah kali pertama saya pergi ke Kuala Lumpur selepas diserang angin ahmar pada 17.9.1999.
Ketika berada di Kampus Induk UiTM Shah Alam itu, tiba-tiba jiwa dan perasaan saya rasa begitu tersentuh kerana ketika berada di sekolah rendah dahulu, impian saya untuk menjejakkan kaki ke IPT begitu berkobar-kobar. Kalangan guru-guru serta seluruh masyarakat desa kelahiran saya juga berpendapat begitu berdasarkan pencapaian akademik saya boleh dikatakan setiap tahun amat memberangsangkan. Namun semuanya tidak menjadi kenyataan disebabkan terdapat halangan yang tidak wajar diungkit semula. Biarlah hal itu berlalu serta menjadi sejarah lampau yang tidak mungkin kembali. Kini ia telah direalisasikan oleh anak-anak saya di mana sebelum ini anak sulung telah menerima Diploma Teknologi Makmal Perubatan daripada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Sewaktu menghadiri majlis konvokesyen anak sulung saya di USM, Pulau Pinang dulu perasaan berkenaan tidaklah begitu hebat. Begitu juga ketika anak ketiga, Mustaza Hidayat menerima Sijil Automotif Kolej Komuniti yang berlangsung pada 29.3.2008 di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah.
Ketika majlis sedang berlangsung, fikiran saya menerawang jauh. Termasuk yang kali ini, UiTM telah 68 kali mengadakan konvokesyen. Tanpa merujuk kepada buku cenderamata yang setebal 212 itu, saya mencongak-congak sendiri.
Jika purata setiap konvokesyen ia melahirkan 2,000 orang graduan, bererti hingga kini sejumlah 136,000 telah dilahirkan. Manakala dalam setahun majlis konvokesyen berlangsung dengan kekerpan sebanyak dua kali. Ini secara kasar bererti UiTM telah melahirkan sejumlah 4,000 orang graduan setahun. Itu baru sebuah IPT. Sedangkan di Malaysia terdapat tidak kurang dari 6 buah IPT termasuk swasta, bererti setiap tahun sejumlah hampir atau lebih 30,000 graduan berjaya dilahirkan. Persoalannya di sini, adakah pasaran kerja atau peluang-peluang meneroka bidang keusahawanan untuk para graduan yang telah dilahirkan itu?
Jauh di kalbu saya dicengkam pilu mengenangkan beberapa orang individu warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antara bangsa. Mereka adalah di antara mangsa yang bernasib malang apabila ditahan di beberapa negara antaranya China, Jepun, Australia, Spanyol, Venezuela dan Pakistan. Agenda dunia tanpa sempadan dan langit terbuka, telah mengakibatkan mangsa-mangsa terbabit teengaruh dengan iklan di internet yang menawarkan pendapatan lumayan andai menerimanya. Peluang melancong ke beberapa buah negara dengan diberi sejumlah wang saku yang agak lumayan adalah di antara pakej tawaran yang menarik minat mangsa. Kalangan graduan yang berstatus sebagai ‘penganggur’ tidak terkecuali daripada menjadi mangsanya. Apa lagi bila ditawarkan pekerjaan dengan jaminan pendapatan lumayan yang tidak termimpi itu. Dalam hati saya berdoa agar hal itu tidak berlaku ke atas anak saya itu.
Andai ada pihak-pihak tertentu menawarkan peluang pendapatan siapa yang mahu menolaknya? Apa lagi bila pihak yang memberi pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mengeluarkan perintah membayar ansurannya. Sedangkan pada waktu itu dia masih belum bekerja, masih belum ada pendapatan yang menjamin pendapatan bagi melunaskan bayaran tersebut.
Demikian fikiran saya menerawang jauh memikirkan nasib para graduan yang lahir dari dari IPT dan kemudian menggalas gelaran graduan menganggur termasuk anak saya juga.
Ketika berada di Kuala Lumpur saya sempat bertemu dan berbual dengan Zulkifli Ismail, pelakon siri Gerak Khas terbitan Skop Production (Dato Yusof Haslam) yang memegang watak Pegawai Polis bernama Tuan Razlan.
Beliau berasal dari Alor Setar dan sedikit masa lalu giat mengadakan majlis baca puisi dan turut menulis puisi dengan memakai nama Zul Isma. Kebolehan dan kesugguhannya di bidang penulisan tiba di kemuncak bila beliau di tawarkan untuk menjadi wartawan di Syarikat Utusan Melayu, Kuala Lumpur. Masih segar di ingatan saya ketika beliau menerima tawaran itu, sayalah orang yang ditemuinya semata-mata bagi meninjau pendapat.
“Patutkah saya terima tawaran itu dan pergi ke Kuala Lumpur?” tanya beliau.
“Pergilah,” kata saya. “Umur Zul masih muda. Masih belum ada pekerjaan tetap. Kalau tidak menerima tawaran ini bererti menolak tuah, kerana bidang tugas ini kita minat.”
Namun beberapa bulan berikutnya dalam satu majlis Temu Sastera ASASI yang dikendalikan oleh Puzi Hadi (seorang penyair) saya bersua dengannya. Jika saya tidak silap, SN Dato Dr A Samad Said juga turut hadir di majlis yang berlangsung di Balai Seni, Medan Bandar Alor Setar berhampiran Balai Besar dan Masjid Zahir itu.
“Bila balik? Cuti?” tanya saya.
“Baru sehari dua ni. Bukan cuti. Tapi dah berhenti,” balas beliau.
“Dah berhenti?” aju saya sedikit terperanjat.
Kepada saya beliau memberitahu bahawa gaya penulisannya yang seperti cerpen atau sastera kreatif kurang disenangi oleh Zam (Datuk Seri Zainuddin Maidin) yang ketika itu adalah Ketua Pengarang di Syarikat Utusan Melayu.
Ada teman yang memaklumkan bahawa Zulkifli sebenarnya dipanggil pulang ke Alor Setar oleh ayahnya bagi menguruskan perniagaan mereka. Selang beberapa bulan kemudian saya terbaca sebuah rencana bahawa Zulkifli Ismail telah berlakon sebuah drama kalau tak silap judulnya ialah Basikalku.
Juga ada teman memaklumkan bahawa jiwanya terlalu menyenangi bidang seni yang ditekuninya sejak meninggalkan alam persekolahan. Saya dapat merasakannya tatkala beliau mengundang saya bersama Affrini Adham bagi menjayakan satu majlis baca puisi dalam dekad 80-an dahulu. Pada majlis tersebut saya tidak membaca puisi, sebaliknya membaca sebuah cerpen karya SN Dato Shahnon Ahmad berjudul Salam Sekeluarga yang tersiar dalam majalah Dewan Masyarakat sekitar awal dekad 70-an.
Dalam cerpen berkenaan diceritakan sedikit bagaimana sifat tulisan Jawi yang kini dilihat semakin pupus dan gambaran kebodohan orang Melayu mengundi. Kebodohan itu diteruskan oleh tindakan kalangan pemimpin yang memperbodohkan rakyat (pengundi) dengan beberapa siri pembohongan seperti yang akan saya ceritakan nanti.
Selang tidak berapa lama kemudian, saya melihat wajah Zulkifli di kaca televisyen ketika mengacarakan salah satu program terbitan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Sewaktu ditukarkan untuk bertugas di Ibu Pejabat BSN Kuala Lumpur, secara kebetulan saya bertemu beliau bersama Ku Seman Ku Husin yang berasal dari Perlis dan bertugas di Utusan Melayu Kuala Lumpur, lalu kami berbual sehingga lewat malam sambil minum teh tarik.
“Saya bergilir dengan Ahmad Tarmimi Serigar sebagai pengacaranya. Minggu ini saya dan minggu depan dia pula. Kalau saya jadi pengacara, dia buat skrip dan kalau dia pula jadi pengacara, saya buat skrip. Begitulah seterusnya,” tegas Zulkifli.
Di sepanjang bertugas di Kuala Lumpur dahulu itu juga saya berkesempatan bertemu dengan beberapa orang personaliti antaranya penyair A Ghafar Ibrahim (AGI), Datuk Dr Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Abdul Halim Nasir (N A Halim), Ahmad Busu, Wan Hanafi Su dan Ahmad Yatim; ketiga-tiga mereka adalah pelakon drama televisyen dan teater.
AGI pernah mengunjungi rumah sewa saya bersama Puzi Hadi di Alor Setar lalu menghadiahkan sebuah buku berjudul Dialog Dengan Seniman suatu ketika dahulu itu telah menghantar saya pulang ke kediaman di Rumah Pangsa Pasar Minggu, Kampung Baru. N A Halim juga pernah menumpangkan saya pulang pada suatu malam dan bermaksud mencadangkan saya sebagai kolumnis di sebuah majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tetapi saya tidak sanggup.
Pernah saya berbual dengan Wan Hanfi Su di Benteng, Kuala Lumpur berkenaan topik lagu rock dan ghazal sehingga dinihari. Selepas bertugas semula di Alor Setar, beberapa kali saya menemuinya termasuk ketika penggambaran drama Hajat terbitan RTM yang ditangani oleh Zainal Abidin Asri. Dalam drama yang naskhahnya ditulis oleh Zarihah Hassan dan berjaya meraih 7 anugerah itu saya turut mengambil peranan kecil dan beliau adalah pelakon utama di samping Tamam Idris dan Asmahani Hussain. Selepas itu saya bertemu beliau sebagai pengadil di beberapa acara Pekan Teater Negeri Kedah dan Perlis (sekarang dikenali sebagai Festival Teater).
Aktivis teater, Ahmad Yatim pula saya temui dan berbincang dengan beliau sewaktu berlangsung pementasan teater Imam (adaptasi novel karya SN Dato Abdullah Hussain oleh Zakaria Ariffin) di Auditorium Wisma Darul Aman lebih 10 tahun lalu. Manakala Ahmad Busu saya temui sewaktu prebiu teater Bahtera Emas Lapis Suasa (adaptasi Hikayat Terung Pipit karya dan arahan Haji Morad Ibrahim) di Auditorium Taman Budaya Negeri, Pumpong, Alor Setar pada 28.4.2008.
Dalam pertemuan singkat dengan Zulkifli beberapa perkara diperbualkan. Antaranya ialah beliau menggambarkan keinginan untuk balik ke Kedah untuk bergiat di bidang seni. Tetapi katanya anak-anak beliau tidak bersetuju kerana mereka adalah anak kelahiran Kuala Lumpur. Lalu saya menasihatkan agar beliau hanya balik ke Kedah sekali sekala cuma bila ada kegiatan.
“Buat macam Ani Mayuni, Serena Chef Wan dan Zamri yang terlibat dengan produksi bangsawan Pak Morad tu,” cadang saya. “Berlatih sendiri di sini, bila ada persembahan balik.”
Dengan serta merta saya teringat bahawa Allahyarham Ismail Din dan Ainina Ahmad B pernah buat begitu sedikit masa dahulu bila Haji Morad Ibrahim mementaskan teater berjudul Di Puncak Kesepian karya Motinggo Boesje.
Di samping itu beliau juga ingin tahu perkembangan aktiviti seni di Kedah semenjak diterajui oleh kerajaan baru PAS. Lalu saya memaklumkan bahawa aktiviti berkenaan berterusan seperti biasa dan segala aktiviti kesenian di Alor Setar dikehendaki berlangsung di Taman Budaya Negeri, Pumpong kerana jika diadakan di luar di khuatiri kehadiran khalayak akan dianggap sebagai perhimpunan tanpa permit.
“Baru-baru ini Ahli Exco Kerajaan Negeri, YB Dr Hamdan telah mengadakan pertemuan dengan NGO di Auditorium Taman Budaya,” beritahu saya. Laporan akhbar berhubung dengan perkara itu ada saya laporkan dalam akhbar Siasah bertarikh 11 – 17 Mei, 2008 (Bilangan 0097).
Ada beberapa perkara yang dibangkitkan berkaitan dengan produksi drama yang sebilangannya ditangani oleh penggiat berketurunan Melayu dan menganut agama Islam.
“Ada di antaranya yang langsung tidak menghormati waktu sembahyang. Ketika azan berkumandang para crew dan sutradaranya sibuk meneruskan penggambaran. Jika mereka tak mahu bersolat pun sekurang-kurangnya hormatilah laungan azan itu. Bukannya lama sangat. Dalam bulan Ramadan pula ramai yang tidak mematuhi ibadat puasa dan makan di khalayak tanpa merasa segan silu,” ulas beliau.
Berkaitan dengan soal-soal keselamatan juga turut disentuh.
“Pernah dalam satu penggambaran, hampir terjadi kemalangan bila jurukamera sedang merakamkan pergerakan pelakon yang sedang memandu kenderaan. Sepatutnya sutradara atau pembantunya meminta supaya tiada sesiapa berada di laluan kenderaan terlibat. Tetapi beberapa orang masih berada di situ dan nyaris terjadi kemalangan,” ujar Zulkifli.
Ada beberapa perkara lagi yang disentuhnya dan kebanyakan sutradara tidak memahami hubungan kostum dengan watak yang hendak digambarkan. Di samping itu ada juga mereka yang tidak dapat menerima pandangan yang dilontarkan oleh pelakon demi untuk meningkatkan mutu persembahan. Beliau juga merungut tentang homework yang sepatutnya menjadi amalan pelakon atau sutradara. Sekadar contoh ialah persoalan naskhah.
“Besok saya ada sesi penggambaran jam 1.00 tengah hari. Tapi sekarang dah jam 11.15 khabarnya skrip tak siap lagi. Entah-entah jadual penggambaran besok ditangguhkan,” ujarnya.
“Itu sebabnya drama buatan Malaysia kurang menarik jika dibandingkan dengan yang diimport,” ulas saya.
Barangkali ada produser yang kurang senang terhadap ulasan saya itu. Namun mereka harus berfikiran rasional. Biarpun tidak arif langsung berhubung dengan produksi drama, namun sebagai pengamat atau peminat saya juga ada hak bersuara. Kalangan produser sewajarnya memikirkan hal ini jika ingin melihat khalayak menikmati hidangan yang mereka sediakan itu.
Sebelum berpisah sekitar jam 12.00 tengah malam Zulkifli memaklumkan bahawa sebuah akhbar yang begitu laris jualannya kerana setakat ini dilihat tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
“Menurut tinjauan saya secara rambang, edarannya kini mengatasi akhbar arus perdana,” katanya.
“Akhbar apa?” tanya saya.
“Sinar Harian, cuba beli esok,” balasnya pendek.
Sewaktu akan bertolak balik ke Alor Setar pada 3.6.2008 saya telah membeli senaskhah akhbar Sinar Harian di sebuah kedai runcit untuk dibaca dalam bas nanti. Pada sebelah atas di kanan muka depannya terpampang tajuk Harga minyak mungkin naik Ogos: Sharir di samping foto Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Kenyataannya pada 2.6.2008 yang juga dipetik oleh akhbar arus perdana itu Shahrir membayangkan ‘kemungkinan harga petrol dan disel akan naik mulai Ogos depan’.
Bagaimanapun ketika saya dan isteri berada di tempat biotrapi Alor Setar kami dimaklumkan oleh Encik Lim, Pengurus Jualan Sukamichi Alor Setar bahawa terdapat motokar berbaris panjang untuk masuk ke stesen pam minyak. Sejurus kemudian saya menerima pesanan ringkas (sms) daripada anak yang berada di Kuala Lumpur supaya mengisi petrol dalam ketiga-tiga tangki motokar yang dimiliki sebelum jam 12.00 kerana harga minyak akan dinaikkan pada 5.6.2008.
Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah telah mengumumkan kenaikan harga bahan bakar (petrol dan disel) tanpa menunggu bulan Ogos seperti yang dibayangkan oleh Shahrir. Tanpa membuang masa saya merujuk Kamus Dewan mencari makna istilah ‘mungkin’ seperti yang diungkapkan oleh Shahrir itu. Maksud istilah itu ialah tidak mustahil, boleh jadi dan harus. Setelah meneliti ungkapan berkenaan saya cuba menganalisa perkara tersebut secara umum.
Barangkali Shahrir tidak faham maksud istilah ‘mungkin’ kerana ia adalah istilah bahasa Melayu yang kini kian terpinggir setelah subjek Matematik dan Sains diputuskan pengajarannya dengan pengantar bahasa Inggeris. Barangkali juga Perdana Menteri (Pak Lah) tidak sabar menunggu bulan Ogos atau pengurusan masa kini bukan suatu hal yang penting lagi.
Berikutan dengan kenaikan harga minyak, ada cadangan agar anggota masyarakat menggunakan motosikal atau basikal untuk bergerak ke mana-mana. Bagi kebanyakan orang hal itu boleh memang boleh dilaksanakan. Namun saya tidak, kerana untuk pergi ke sana sini motokar adalah perlu. Sekalipun memiliki lesen menonggang motosikal, saya tidak berupaya menonggang motosikal atau basikal melainkan memandu motokar.
Sekitar jam 2.45 petang hari Jumaat 6.6.2008 saya menghubungi Haji Zulkifli yang ada pertalian keluarga dengan saya dan berkhidmat sebagai anggota polis di Sungai Petani. Dia memaklumkan ada demonstrasi sedang berlangsung di sana sejak lepas selesai solat fardu Jumaat bermaksud membantah kenaikan harga minyak.
Di saat itu juga saya teringat slogan manifesto Barisan Nasional (BN) ketika menghadapi Pilihan Raya Umum 12 (PRU12) pada 8.3.2008; Selamat, Aman, Makmur. Jelas hal itu terus menjadi impian yang tidak dapat direalisasikan. Jika kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janji, kini janji tidak boleh dipegang lagi. Tindakan memungkiri janji serta pembohongan telah menjadi perkara lumrah.
Ketika akan menghadapi PRU12 dulu sehari dan beberapa ketika sebelum parlimen dibubarkan, Pak Lah menafikan ia akan menjadi kenyataan ketika ada wartawan bertanya mengenainya. Menjelang PRU12 budaya samseng turut diaplikasi dalam kempen oleh beberapa orang calon BN dan situasi sebegini berterusan ketika berlangsung sidang parlimen yang dapat disaksikan secara langsung menerusi radio dan televisyen.
Saya lantas teringat kempen agar khalayak jangan dengar khabar angin tidak lama selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kini rasanya tiada siapa yang akan mematuhi kempen sedemikian jika dilaksanakan kerana khabar angin akan jadi berita benar tidak lama kemudian.
Post a Comment