Saturday, July 19, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


SUKAR AMBIL ALIH KERAJAAN
KALAU UMNO ‘KONG KALIKONG’

Assalamualaikum,

Pagi lagi 8.30 am semalam (18 Julai 2008), Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku) menelefon, kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor tak akan bertahan lama sekiranya UMNO bersungguh-sungguh mahu pulihkan perpaduan. Kalau berkecamuk, berkeromok dan berkelomok janganlah harapkan bulan jatuh ke riba; apalagi kalangan UMNO di negeri Selangor sendiri kong kalikong dan tak sehaluan. Kelmarin (17 Julai 2008) saya bersama Abang Engku turun ke Kelang bersama Dato’ dari MCA Pahang, tiba-tiba media (18 Julai 2008) melaporkan bekas Ahli Parlimen Kelang, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew keluar MCA, di samping khabarnya akan menyertai PKR. Aduhai!

Memang Pakatan Rakyat mengambil pendekatan ‘berfikiran terbuka’ apabila bersedia menerima pimpinan parti komponen BN menyertai parti mereka, berbeza dengan UMNO yang serba pongah, tegar dan begar. Apabila Ezam Mohd Noor menyertai UMNO semula menerusi ihsan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, tak semena-mena ‘rumah siap pahat berbunyi; berkokok di luar pagar, memahat di luar barisan’! Penyertaan Ezam pula tak diberi peluang menyumbang kepada pembangunan negara, sebaliknya bergerak membuat serangan ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mungkin sahaja Dato’ Seri Abdullah tak menelusuri insiden 1999, apabila semua pimpinan kanan DAP mengalami pengajaran pahit dalam pilihanraya, bukan dengan melancar serangan bertubi-tubi. Sebaliknya sikap berdiam diri aktivis yang disingkirkan oleh pemimpin DAP, menyebabkan orang ramai bersimpati, dan mereka menolak semua pimpinan kanan DAP. Isy isy isy!

Pendekatan melancarkan serangan berterusan, akan mengubah persepsi rakyat dengan memberi simpati kepada mereka. Serangan keterlaluan ke atas Dato’ Seri Anwar akan menambahkan simpati orang ramai terhadapnya. Tak hairanlah Dr Tan Yee Kew keluar MCA, ketika isu Dato’ Seri Anwar diganyang berterusan oleh media (yang menyangka akan memberi advantage kepada BN). Apalagi tak disangka-sangka tampil pula kalangan ahli akademik menjaja status intelektualisme dengan menyifatkan penulis-penulis laman blog atau laman web sebagai penyibar fitnah, disebabkan secara telus ianya mendedahkan kebobrokan BN yang sukar disembunyikan seperti keperihalan ‘bangkai gajah mahu disorok di sebalik daun lalang sehelai’.

Takrif ‘fitnah’ kepada individu terbabit ialah ‘mendedahkan kebobrokan pimpinan UMNO’, sedangkan ‘fitnah’ ialah mereka-reka sesuatu fakta untuk ‘menegakkan benang basah’. Bukan pula bermakna pimpinan di luar UMNO tak terbabit dengan kebobrokan, kekemarukan dan keburukan, tetapi mereka tak memiliki ‘kekebalan’ status. Misalnya, isu rasuah bukanlah perkara ‘fitnah’ apabila ianya dinafikan oleh pihak yang melakukan dengan berlindung di sebalik kekebalan status mereka. ‘Rasuah’ juga bukan sekadar menerima wang sogokan, malah ditakrifkan juga ‘menyalah gunakan kuasa’ dengan memanipulasi undang-undang mengikut tafsiran yang boleh menyelamat diri sendiri.

- Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


RAMAI LAGI AKAN SERTA PKR
AURA ANWAR SEMAKIN DITERIMA

Ramai lagi aktivis parti komponen BN akan menyertai PKR apabila penasihat parti itu Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihanraya kecil, menurut sumber kalangan penganalisis politik. Berdasarkan lanskap politik sekarang kata sumber itu, kes liwat yang dihadapi Dato’ Seri Anwar memberi advantage kepadanya. Kalangan masyarakat bukan Melayu menganggap isu berkenaan sebagai taktik bagi menghalang Dato’ Seri Anwar bertanding dalam pilihanraya kecil. Seterusnya sumber berkenaan memberitahu, pihak kerajaan sukar berhadapan secara terbuka dengan Dato’ Seri Anwar sekiranya beliau menang dalam pilihanraya menjadi Ahli Parlimen. “Pemimpin BN cuba mengelak untuk tak berbahas di Parlimen dengan Dato’ Seri Anwar,” kata sumber itu selanjutnya.

Mengulas ura-ura bekas Naib Ketua Wanita MCA Datin Paduka Dr Tan Yee Kew akan menyertai PKR selepas keluar parti komponen BN itu, sumber tersebut mengakui aura Dato’ Seri Anwar semakin diterima oleh aktivis politik bukan Melayu. Sekalipun Setiausaha Agung MCA Dato’ Ong Ka Chuan memberitahu tindakan Datin Paduka Dr Tan tak menjejaskan MCA, tetapi sebenarnya MCA sudah terjejas teruk pada PRU12 yang lalu. Kalau pemimpin kanan Parti Gerakan seperti Dato’ Seri Chia Kuang Chye dan Dr Tan Kee Kwong boleh meninggalkan partinya, tak mustahil lebih ramai lagi aktivis parti itu keluar bagi menyertai PKR sebaik sahaja Dato’ Seri Anwar bertandiang dalam pilihanraya kecil, jelas sumber berkenaan.

“Aktivis politik bukan Melayu tak yakin dengan pimpinan UMNO sekarang, kerana kelembapan ekonomi menyulitkan mereka berhadapan dengan majoriti masyarakat Cina yang terbabit dalam perniagaan,” beritahu sumber tersebut. Sekalipun kerajaan memberi alasan kelembapan ekonomi berkaitan dengan masalah global, tetapi masyarakat bukan Melayu yang menguasai sebahagian besar ekonomi Malaysia tahu jawapan sebenarnya. Berdasarkan fakta ‘angka’ parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN seperti MCA, MIC, Parti Gerakan, PPP sudah boleh menilai kedudukan 78 kerusi UMNO di Parlimen termasuk di Sabah daripada jumlah 140 kerusi yang dimenangi, bukanlah pertaruhan terbaik bagi mereka terus bertahan, sumber tersebut menambah.

USAHA SEKAT CALON BERTANDING
DISIFATKAN SEBAGAI AMALAN ‘JAHILIYAH’

Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz
mengalu-alukan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Dato’ Seri Shahrir Abdul Samad yang pertandingan bagi merebut jawatan dalam pimpinan UMNO dibenarkan secara terbuka. Dato’ Kamal Ami menyifatkan usaha menyekat calon lain bertanding dalam mana-mana jawatan tertinggi pada Perhimpunan Agung, Disember 2008 nanti termasuk Presiden dan Timbalan Presiden sebagai amalan jahiliyah moden. “Kalau kita merasakan sudah cukup menjalankan tugas dengan cemerlang, kenapa bimbang menghadapi tentangan secara demokratik,” kata Dato’ Kamal Amir mengulas pandangan Dato’ Seri Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Baru-baru ini Dato’ Seri Shahrir mahukan jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden bagi memberi peluang kepada setiap ahli parti memilih pemimpin. Ketika mengalu-alukan kenyataan Dato’ Seri Shahrir, Dato’ Kamal Amir mendesak pencalonan secara blok dengan mengarahkan Perhubungan Negeri hanya membuat pencalonan mengikut manuskrip yang dikehendaki oleh Presiden UMNO perlu dihapuskan. “Pencalonan bagi merebut jawatan dalam pimpinan tertinggi parti perlu bebas daripada sebarang anasir yang berunsur ugutan, malah boleh ditafsirkan sebagai politik wang juga,” beritahu Dato’ Kamal Amir. Katanya, kalau Tengku Razaleigh mahu menawarkan diri bagi jawatan Presiden atau Dato’ Seri Shahrir untuk Timbalan Presiden berilah peluang mereka berbuat demikian.

INFO SASTERA & BUDAYA

KARYAWAN BERSIKAP ‘TAK APA’:
NILAINYA SAMA MACAM BAKUL SAMPAH
Aktivis sastera Yassinsalleh mengakui meletakkan ganjaran RM35 ribu bagi kerja-kerja terjemahan bagi sebuah buku setebal 200 halaman sebagai pendekatan profesional yang perlu dilestarikan oleh semua karyawan Melayu. Menurutnya, beliau pernah diminta membuat terjemahan buku daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris setebal 200 halaman secara pokal iaitu RM35 ribu. Kata Yassinsalleh, karyawan Melayu tak boleh dipengaruhi sikap ‘tak apa’, tetapi perlu melestarikan pendekatan profesionalisme bagi meletakkan nilai kerjaya karyawan. “Apabila karyawan sendiri bersikap ‘tak apa’, pihak pengusaha akan mencari kesempatan dengan meletakkan nilai karya seni seperti barang terbuang di bakul sampah,” beritahu Yassinsalleh seterusnya.

Memberitahu sekretariat PRIMA hari ini (19 Julai 2008), Yassinsalleh mengakui anak saudaranya yang bersikap ‘low profile’ pernah dibayar RM1,000 sahaja membuat kerja-kerja terjemahan buku daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu setebal 150 halaman. Pihak pengusaha kata Yassinsalleh lagi, tak boleh menilai ‘untung rugi’ yang dihadapi apabila meminta lakukan kerja secara profesionalisme. Apabila pengusaha merasa rugi dengan nilai ganjaran seseorang karyawan, jalan yang sebaik-baiknya tak payahlah untuk meneruskan perniagaan. Justeru menurut Yassinsalleh, setiap karyawan Melayu perlu memelihara nilai profesionalisme bagi mengangkat martabat kerjaya seni. “Bersatulah semua karyawan Melayu bagi menjaga martabat kerjaya seni bangsa,” ujar Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

JANGAN BIAR SAMPAI BERLAKU
PISANG AKAN BERBUAH DUA KALI

Apa dah jadi Jabatan Pelajaran Daerah Gombak? 2 Julai 2008 lalu, murid-murid di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak 1, keracunan makanan. Ibu bapa cemas dan orang jabatan pelajaran daerah pun turun menyiasat. Pengusaha kantin sekadar diminta bayar denda saja. Kabarnya, pengusaha kantin terbabit akan sambung semula kontrak, dengan janji tak buat lagi. Mudahnya! Janganlah pisang berbuah dua kali. Apa sebabnya Guru Besar nak pertahankan sangat pengusaha kantin? Pengusaha kantin itu adalah dari sekolah yang pernah Guru Besar itu berkhidmat dulu. Jabatan pelajaran daerah kena telus sikit – (SMS; 19 September 2008; 17: 36:09 – Pakcik Li, Gombak, Selangor).
JAWAPAN MODERATOR SMS MENGECEWAKAN
SATU PENIPUAN TERHADAP PENGGUNA

Sudah hantar jawapan melalui sms ke satu stesen tv berbayar,tetapi sms balas yg diterima amat mengecewakan.Sms tu berbunyi “Jwpn yg diberikan bukan utk minggu ini.Tonton
siaran ulangan utk episod minggu ini & perbaiki jumlah markah terkumpul!” padahal semasa tayangan siaran itu sudah keluar isyarat untuk menghantar jawapan.Kenapa perlu tipu pengguna???-(SMS; 19 September 2008; 21:15:54-Kak Jah, Batu Caves, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

NEGERI ATAS ANGIN MASUK CAMPUR
URUSAN PEMERINTAHAN NEGERI MELAYU

Sebermula tersebutlah Menteri Luar Orangkaya Dato’ Seri Rais Yatim mengingatkan negeri di atas angin bernama Amerika Syarikat jangan campur tangan urusan dalam hal-hal pemerintahan negeri Melayu itu. Maka terlalulah marah Orangkaya Dato’ Seri Rais (tak tahulah fakir sama ada merah padam mukanya bagai bunga raya atau tidak seperti perihal Sultan Melaka apabila murka) dengan berkata, kenyataan jurucakap Jabatan Luar Amerika Syarikat, Sean McCormack mempertikai siasatan ke atas bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu tidaklah layak. Syahdan akan negeri atas angin apabila campur tangan pemerintahan negeri-negeri Melayu itu disebabkan kanun di istana berat sebelah: ‘Kena ke perut dikempiskan, kena ke mata dipejamkan’. Maka akan Orangkaya Laksamana itu dituduh bermukah ia dengan dayang istana, dihukumlah dengan tak usul periksa, adanya.

Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan Alfonso d’Albuquerque. Setelah ia turun daripada wazirnya maka Alfonso d’Albuquerque naik ke Portugal menghadap raja Portugal minta wardi. Maka diberi raja Portugal empat buah kapal kerakah yang besar, lima buah ghali panjang. Maka Alfonos d’Albuquerque pun turun ke Goa, berlengkap pula di Goa tiga buah kapal, delapan buah ghalias, empat buah ghali panjang, enam belas buah fusta; menjadi empat puluh tiga buah semuanya. Maka pergilah ia ke Melaka. Maka gemparlah orang Melaka. Maka dipersembahkan orang kepada Sultan Ahmad, bahawa Feringgi datang menyerang Melaka dengan tak menghiraukan kanun (atau disebut orang kemudian hari iaitu undang-undang) negeri Melayu seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: