Wednesday, August 20, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:


PERSAINGAN DI PERMATANG PAUH
UMNO TAK BERANI MENGAKU 50-50


Assalamualaikum,


Rupa-rupanya missed call daripada Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pahang, Syed Adnan Dato’ Syed Abdullah (Abang Engku), pagi jam 9.00 am hari ini, 19 Ogos 2008. Apabila dihubungi semula, beliau sudah meninggalkan pejabatnya jam 10.30 am, justeru saya hubungi beliau menerusi hanset. Beliau beritahu baru balik dari Permatang Pauh malam kelmarin (18 Ogos 2008), meninjau perkembangan pilihanraya kecil yang sedang hangat berkempen. Abang Engku mengakui persaingan sengit antara calon PKR (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dan calon UMNO (Dato’ Arif Shah Omar Shah) sahaja, kerana calon AKIM (Hanafi Hamat) tak menonjol sangat. Mungkin sahaja sama dengan fenomena dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS), November 2008 calon yang diberi perhatian hanya wakil Parti Demokrat (Barrack Obama) dan Parti Republikan (John McCaan), apabila beberapa calon yang lain kurang menonjol. Begitulah!


Apabila ke pejabat penerbitan majalah HIDAYAH di Taman Permata, Hulu Kelang jam 2.30 pm, saya menemui kawan lama cerpenis Ahmad Mahmud dan wartawan Suhaimi Hamid untuk teh tarik. Ahmad sudah menimang cucu sejak enam bulan lalu, tetapi Suhaimi sekadar membilang jari, disebabkan anak-anaknya belum berumahtangga lagi. Ketika menjangkau usia warga emas, perbualan biasanya tertumpu kepada cucu sahaja, apalagi saya juga sekadar menunggu kehadiran cucu kira-kira tiga bulan lagi. Insya Allah! Lainlah Haji Yahaya Ismail, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, Omar Sudi Abdul Manan atau Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mereka berkahwin lebih awal, justeru kadangkala ‘tunjuk eksyen’ juga apabila sebut fasal cucu.


Kebetulan pula Suhaimi Hamid baru balik dari Ipoh, menghadiri muktamar sebagai aktivis PAS di Selayang Baru. Ironinya, sebagai aktivis beliau pula bertanya saya fasal persaingan di Permatang Pauh. Apalagi Ahmad Mahmud langsung tak mahu sebut mengenai politik, yang sama seperti diluahnya menerusi cerpen ‘Samad Toja’ (pemenang anugerah Hadiah Sastera Nasional 1974). ‘Samad Toja’ yang diungkap oleh Ahmad Mahmud menerusi cerpennya, mengisahkan seorang lelaki tua yang mempertahankan suraunya di tebing sebatang sungai. Apabila berlaku banjir, Samad Toja enggan keluar dari bangunan surau berkenaan, akhirnya hanyut bersama limpahan air berkeladak dalam banjir tersebut.


Malamnya kira-kira 12.00 tengah malam, Yassinsalleh pula mengirim SMS dari Permatang Pauh sebut mengenai UMNO yakin menang menerusi calonnya Dato’ Arif Shah, sekalipun pimpinan parti komponennya MCA tak jamin sokongan pengundi-pengundi Cina. Apalagi selepas dua hari berkempen UMNO tak berani mengakui peluang mereka 50-50, sebaliknya sekadar beritahu sokongan meningkat 5%. Maknanya, kalau sebelum hari penamaan calon sokongan sekadar 40%, apabila meningkat 5% kedudukan UMNO yang diharapkan ialah 45-55. Ditambah lagi dengan media arus perdana yang menjadi ‘sokong membawa rebah’ kepada pimpinan UMNO, akan memberikan laporan yang molok-molok untuk menghiburkan hati. Tak tahulah kalau Dato’ Seri Abdullah tak faham-faham lagi. Alahai!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


PEGUAM PERLU MINTA MAAF
ISU ‘PARIA’ MENGHINA KAUM


Majoriti masyarakat India melahirkan kekecewaan dengan sikap seorang peguam terkenal menggunakan perkataan ‘paria’, kerana ianya bukan sahaja menghina kaum tertentu, sebaliknya memang isu sensitif. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, beliau dihubungi oleh sekumpulan rakan-rakan dari masyarakat India yang mendesak peguam terbabit memohon kepada komuniti India di negara ini. Dalam laporan akhbar semalam (18 Ogos 2008), peguam Muhamad Shafie Abdullah menyebut pengendali laman web ‘Malaysiakini’ Raja Petra Kamaruddin sebagai ‘paria’ apabila beliau secara berang mengkritik pengendali laman web berkenaan. “Muhammad Shafie seharusnya memohon maaf kepada komuniti India tanpa syarat kerana menggunakan perkataan yang menghina mereka,” beritahu Dato’ Kamal Amir.


Menurut Dato’ Kamal Amir isu menggunakan perkataan menghina kaum tertentu pernah berlaku pada dekad 1970-an, apabila seorang ADUN DAP di Perak (Haji Daeng Ibrahim Othman) menyebut ‘nang boh ti nang kui boh ti kui’ yang dikatakan menghina masyarakat Hakka daripada komuniti Cina. Justeru Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Kit Siang terpaksa memohon maaf bagi pihak DAP, seterusnya tak dibenarkan lagi ahli-ahli parti berkenaan mengulangi perbuatan tersebut. Justeru Muhamad Shafie perlu mencontohi langkah yang diambil oleh Lim Kit Siang dengan memohon maaf secara terbuka kepada komuniti India, jelas Dato’ Kamal Amir. “Bagi pihak masyarakat India di Malaysia, PRIMA mahukan Muhammad Shafie memohon maaf,” ujar beliau menambah.


INFO SASTERA & BUDAYA:


TAHNIAH PILIH DBP DIBUAT
PEMENANG ‘SEA WRITE’ MALAYSIA


Pemilihan Hatta Hazad Khan menerima anugerah SEA Write yang berprestij dikira mengangkat martabat seniman Melayu, sekalipun penilaian panel yang berpangkalan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memang sering dipertikaikan, kata aktivis budaya Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah. Beliau yang juga bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mengakui karya-karya seni teater Hatta Azad Khan memang berkualiti, sekalipun rakan sekuliahnya di USM sekitar 1976/77 seperti Zakaria Ariffin juga tak kurang hebatnya, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor. Kata Dato’ Dr Mohd Mansor lagi, sebelum ini aktivis teater Dato’ Noordin Hassan sudah dipilih, justeru wajarlah seorang lagi penggiat teater diberi penghormatan. “Kita juga perlu memartabatkan seniman teater ke pringkat Tenggara Asia,” beliau menambah.



Seterusnya Dato’ Dr Mohd Mansor juga menyarankan, penulisan tak semestinya terhad kepada naskhah skrip teater sahaja bagi dimartabatkan. DBP perlu melebarkan skop kepada skrip filem seperti karya-karya yang dihasilkan oleh Suhaimi Baba, Jasmin Ahmad atau Ahmad Idham yang wajar dinilai naskhah skrip filem mereka, beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor menambah. Di samping mengucapkan tahniah, Dato’ Dr Mohd Mansor mengakui bukan Dr Hatta Hazad Khan sahaja yang boleh dianggap mencapai tahap karya berkualiti dalam teater di Malaysia. Sekiranya panel penilai yang berpangkalan di DBP mampu bekerja keras karya-karya Zakaria Ariffin, Dr Nor Arai atau Rosminah Tahir juga boleh diberi penilaian. “Sebaliknya pemilihan tersebut seakdar untuk diberi anugerah sahaja, bukan satu penilaian yang mutlak,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.



INFO SUARA PROLITAR:


MAFHOM FIRMAN DARIPADA AL-QURAN
MEREKA SUKA DIPUJI DENGAN KERJANYA


Mafhom firman Allah: “Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang sengaja (untuk bersumpah) dalam hatimu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun”. (ayat 225; surah al-Baqarah). Mafhom firman Allah, “Janganlah sekali-kali kamu menyangka, bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan – janganlah kamu menyangka bahawa mereka terlepas dari seksa – dan bagi mereka seksa yang pedih”. (ayat 188’ surah Ali ‘Imran) – (SMS; 19 Ogos 2008; 7: 42: 17 – ALBA, Jelebu, Negeri Sembilan).




KOMENTAR
bersama Pak Parjo


AHLI KANUN TAK TAKUT RAJA
PERIHAL SURAT KEPADA BUBUNNYA.

Arakian terlalulah marahnya sekalian pembesar Melayu dengan surat yang ditulis oleh fakir Raja Petra Kamaruddin (disebut orang banyak di hari kemudian sebagai penulis blog). Syahdan tak semena-mena marahnya itu kedengaran dari mulut seorang ahli kanun bernama Muhamad Shafie Abdullah. Maka gemparlah sekalian orang banyak melihat akan ahli kanun itu menghempaskan barang-barang tata negara di kaki Raja Petra, adanya. Maka kedengaranlah sampai kepada fakir Muhammad Shafie memberitahu pada hari semalam (disebut orang banyak 18 Ogos 2008) menerusi penitir-penitir canang akan Raja Putra itu ‘bodoh’ dan ‘pariah’. Berkatalah ahli kanun itu, segala pembesar-pembesar Melayu takut kepada Raja Petra, tetapi sebagai ahli kanun tidaklah ia takut akan Raja Petra itu. Syahdan teringatlah fakir akan Maulana Ishak di Melaka dulu juga memberitahu Sultan Mahmud, dia hanya takut kepada Allah SWT jua. Wallahu’alam!


Kata sahibul hikayat maka titah Sultan Mansor Shah, ‘Hendaklah Bendahara Paduka Raja karang surat ke benua Siam. Kehendak kita, sembah pun jangan, salam pun tidak, surat kasih pun jangan’. Telah Bendahara menengar titah, maka kata Bendahar Paduka Raja kepada segala pegawai sekalian, ‘Hendaklah tuan-tuan karang surat yang seperti kehendak baginda itu.’ Maka seorang pun tiada bercakap. Maka sekalian orang ditanyai oleh Bendahara Paduka Raja, datang kepada orang membawa tepak kendi, seorang pun tiada tahu. Arakian Bendaharalah megarang surat itu, demikian bunyinya: ‘Surat ini hendak pun dilawani, takut mudarat ke atas nyawa; sungguh di dalam dilawani, terlalu takut akan Paduka Bubunnya. Daripada sangat harap akan ampun dan kurnia, maka menyuruhkan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera’, seperti disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU.


No comments: