Saturday, August 23, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PERIHAL BERDOA DI SISI BAITULLAH
MOHON HANCURKAN SEGALA KEMUNGKARAN

Assalamualaikum,

Tak diduga SMS pagi ini (23 Ogos 2008) dari Dr Harun Kidam dari Kelebang di Melaka, disebabkan lama juga tak mendengar khabar. Rupa-rupanya aktivis budaya dari Melaka ini baru balik dari Mekah al-Mukarramah menunaikan umrah sejak lebih seminggu lalu. Alhamdullillah! Dr Harun beritahu sempat juga berdoa di sisi Baitullah memohon Allah SWT memberi perlindungan kepada pejuang-pejuang yang menolak perhambaan minda, di samping kemenangan berpihak kepada penentang kemungkaran pada pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Insya Allah! Semalamnya (malam 22 Ogos 2008), Haji Yahaya Ismail menelefon beritahu buku barunya sudah terbit satu analitikal terhadap kebobrokan yang semakin bobrok dalam lanskap politik sekarang. Aduhai!

Tiba-tiba sahaja pihak media arus perdana berasa kecewa dengan kata dua yang diberi oleh Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin hari ini (23 Ogos 2008) kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pengamal media berikutan kes Exco Perak yang didakwa terbabit dengan rasuah menjelang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Tak perlulah BPR dan pengamal media berasa marah, berah dan gerah apabila Dato’ Seri Ir Mohd Nizar mahu gunakan haknya menyaman. Kalau pihak terbabit berasa ianya untuk menegakkan kebenaran bukan konspirasi atau provokasi, tak payahlah minta maaf apa-apa. Justeru tunggulah sahaja tindakan susulan kerajaan negeri Perak sama ada akan menghantar notis saman atau sebaliknya. Heh heh heh!

Mungkin sahaja usaha memang digerakkan di Perak bagi menumbangkan kerajaan negeri berikutan kedudukan 31-28 di DUN negeri Perak selepas PRU12. Tetapi dalam tempoh beberapa bulan tentulah sukar bagi Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali mahu kembali mengimpikan kerusi Menteri Besar yang terlucut akibat keberangan orang Melayu terhadap persepsi UMNO yang konon benteng mempertahan martabat Melayu. Pada dekad 1960-an dulu di Terengganu pun memakan masa hampir tiga tahun barulah UMNO berhasil menumbangkan kerajaan PAS menerusi pintu belakang (bukan menerusi pilihanraya), sekalipun UMNO + MCA sekadar memenangi 7 kerusi DUN sahaja.

Pada 1969 UMNO juga hampir kehilangan kerusi Menteri Besar di Perak apabila keputusan pilihanraya ialah 19-21. Bagaimanapun PPP yang mendominasi 12 kerusi DUN gagal memperoleh sokongan DAP + Gerakan + PAS yang menang 9 kerusi ketika itu. Justeru pimpinan generasi muda Melayu yang bimbang kehilangan UMNO, tak perlu bimbang dengan lanskap politik di Perak, kerana kerusi Menteri Besar bukanlah ‘fardu’ untuk dikembalikan kepada Dato’ Tajol Rosli. Begitu juga di Selangor bukanlah ‘fardu’ dikembalikan kepada Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo kerusi Menteri Besar, sekiranya generasi muda Melayu mahukan lanskap politik yang baru.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO PERLU TAMPIL KREATIF
BUKAN KOKOK BERDERAI-DERAI

Pemimpin UMNO sekarang perlu mencermin diri bagi menilai sumbangan kepada agama, bangsa dan tanahair dibandingkan dengan Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menurut aktivis masyarakat Yassinsalleh. Beliau yang juga penganalisis politik berada di Permatang Pauh sejak 16 Ogos 2008 lalu, bagi mengikuti perkembangan pilihanraya kecil sehingga 26 Ogos 2008 ini berkata, majoriti pemimpin UMNO sekarang bukan sahaja tak aktif, malah kurang kreatif dan tak mampu melahirkan idea proaktif. Menurut Yassinsalleh, apabila dibawa menyertai pimpinan kerajaan pada 1982, Dato’ Seri Anwar memberikan idea penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Takaful, urusniaga pajak gadai Islam, di samping penerapan nilai-nilai Islam. “Ketika di kementerian pertanian Dato’ Seri Anwar mempelopori ‘pasar tani’ bagi memasarkan produk pertanian di bandar,” Yassinsalleh menambah.

Seterusnya Yassinsalleh turut mengingatkan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan, kementerian tersebut dinamakan oleh Dato’ Seri Anwar yang sebelumnya dikenali ‘kementerian pelajaran’. Seklaipun idea Dato’ Seri Anwar dimansukan dengan mengembalikan semula namanya kepada ‘kementerian pelajaran’ tetapi banyak ideanya seperti wujudnya peperiksaan UPSR di peringkat rendah dan PMR di peringkat menengah digerakkan pada period Dato’ Seri Anwar. Kata Yassinsalleh lagi, apabila memegang jawatan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar mempelopori mata wang Malaysia daripada ($) kepada RM yang terus digunapakai oleh BN sekarang. “Justeru pemimpin UMNO sekarang perlulah tampil membawa idea yang kreatif bagi menghalang Dato’ Seri Anwar, bukan berkokok berderai-derai ekor bergelumang taik” jelasnya.

PEMIMPIN BUKAN MELAYU TAMPIL
PERTAHANKAN ISU TANAH PENDUDUK.

Penduduk-penduduk di Kampung Puah, Setapak kecewa dengan sikap pimpinan UMNO yang enggan mempertahankan tanah warisan mereka diambil oleh kerajaan atas alasan ‘pembangunan’. Beberapa orang penduduk mendakwa majoriti mereka yang terbabit dengan pengambilan tanah berkenaan ialah komuniti Melayu yang mendiami kawasan berkenaan sejak lebih 40 tahun. Menurut penduduk-penduduk terbabit, tanah mereka digunakan untuk membina landasan komuter yang menghubungkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Selayang Indah di Selayang. Bagaimanapun penduduk-penduduk terbabit mengakui Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tampil bersama komuniti Melayu di Kampung Puah mempertahankan hak mereka.

“Bagaimana Ahli Parlimen bukan Melayu tampil membela tanah warisan orang Melayu, sebaliknya pimpinan UMNO bersetuju menyerahkan tanah berkenaan atas alasan demi pembangunan,” beritahu penduduk terbabit kepada sekretariat PRIMA hari ini (23 Ogos 2008). Seterusnya mereka menganggap pimpinan UMNO tempatan mengambil sikap berdiam diri bagi melindungi kepentingan sendiri. Justeru kata mereka, sikap pimpinan UMNO seperti itulah mendorong kepada ‘keberangan rakyat’, malah bersedia untuk meletakkan parti itu sebagai bahan sejarah di muzium. “Kalau isu pengambilan tanah orang Melayu dipertahankan oleh pemimpin bukan Melayu, apalah gunanya lagi UMNO kepada orang Melayu,” menurut penduduk-penduduk yang berasa berang.

INFO SASTERA & BUDAYA

SAJAK

Ratapanku!

Terpekor, terkenang … daku,
Kerana mengenangkan zaman yang lalu,
Zaman yang lalu di waktu silam,
Di waktu Melayu berkuasa separuh alam.

Tetapi sekarang ke manakah hilang,
Hilang tak nampak walaupun bayang-bayang,
Kerana Melayu empunya hati,
Percayakan bangsa dagang membuat pekerti.

Oh! Zaman bilakah lagi,
Inikah ketika bersatu hati,
Bersatu untuk meninggikan mutu,
Kerana menebus hak Melayu,
Baharulah senyap segala RATAPANKU.

-Mohd Yusuf Harun
LEMBAGA MALAYA
13 September 1940.

INFO SUARA PROLITAR

SUMPAH NAJIB DI PERMATANG PAUH
MENCARI JALAN YANG SEMAKIN JAUH!

Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Razak) sumpah bagi (pihak) dia sendiri. D ppl demand he sud sworn on behalf of his wife as well. U remember Najib’s ‘supreme mistake’ I did mention sometime back? Najib has has now open up the first zip to expose himself. Bersumpah membuat dia makin gali lubang makin dalam. Apabila Najib bersumpah di Permatang Jaug, maknanya dia mencari jalan yang semakin jauh. Our observation on PRK Permatang Pauh: BN leaders cant hide their feeling of hopelessnes even when giving motivation talks to party workers. Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) is simply invincible, a super oscar winning actor! – (SMS, 22 Ogos 2008; 00:25:11 – YS, Permatang Pauh, Pulau Pinang).

KEJAHATAN DIBALAS KEJAHATAN
SIAPA LEBIH ANIAYA BERBUAT DUSTA?

Mafhom firman Allah: “(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah (ayat 123 surah al-Baqarah). Mafhom firman Allah: “Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang membuat-buat kedustaan terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang aniaya itu tidak mendapat keberuntungan (ayat 21 surah al-An’aam). – (SMS, 23 Ogos 2008; 10:54:02 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

CABARNYA SEGALA ORANG MUDA
APABILA BENDAHARA TAK BERDAYA.

Syahdan akan menantu Orangkaya Perdana Menteri itu, Orangkaya Khairy Jamaluddin memberitahu orang banyak, bahawa bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan membenarkan kerajaan atas angin (atau disebut orang kemudian hari, Amerika Syarikat) membina pengkalan tenteranya di negeri ini. Maka katanya ia penipuan besar kepada rakyat jelata sekaliannya yang hina dina. Arakian Orangkaya Khairy Jamaluddin itu mencabar bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar meletak jawatan sekiranya gagallah ia menubuhkan kerajaan. Syahdan fakir pun diberitahu oleh orang banyak, ketika negeri atas angin itu tak bina pangkalan di negeri Melayu pun, ia seolah-olah berkuasa juga. Setiap perintah negeri atas angin seolah-olah dipatuhi juga, adanya. Apabila negeri atas angin itu menuduh ‘paksi keganasan’, maka beberapa orang anak Melayu berserban ditahan, atau diburulah ia.

Arakian tersebutlah sekalian orang Melaka pun larilah. Sultan Mahmud pun berleps diri. Maka bendahara ditandu orang dibawa lari, Selamat Gagah nama orang menandu itu. Syahdan Feringgi pun datang berturut-turut. Maka kata bendahara pada Selamat Gagah, ‘Balik, balik; langgarkan aku pada Feringgi.’ Tiadalah diberi oleh anak cucunya. Maka kata bendahara, ‘Ceh, cabarnya segala orang muda-muda ini (mungkin seperti ia maksudkan kepada menantu Perdana Menteri itu). Apa dayaku telah tepok, jikalau aku lagi baik, matilah aku dengan Melaka ini.’ (atau diberitahu orang banyak bagaikan semangat Tengku Razaleigh Hamzah, adanya). Maka Sultan Mahmud pun undurlah ke Ulu Muar. Baginda diam di Pagoh, dan Sultan Mahmud diam di Batu Hampar, dengan berkota di Bentayan, seperti disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: