Wednesday, September 3, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


MAJLIS BADAN PELAJAR UNISEL
BACA YASIN DAN TAHLIL UNTUK IKRAM

Assalamualaikum,

Panggilan telefon wakil badan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) pagi ini (3 September 2008) jam 9.30 am, tak memeranjatkan lagi kerana segalanya sudah dianggap selesai, berikutan berpulangnya ke rahmatullah ‘permata hati’ keluarga saya, Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 lalu. Tarikh kembalinya Ikram Hafiz ke rahmatullah tetap menjadi kenangan, disebabkan bersamaan dengan hari pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi Penasihat PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Wakil badan pelajar Unisel sekadar memberitahu akan mengadakan tahlil, baca Yasin dan berbuka puasa di rumah saya No 24 Jalan SG 9/1, Taman Seri Gombak, Batu Caves, 6 September 2008 ini (Sabtu). Bagi meraikan kunjungan badan pelajar Unisel, saya menjemput rakan-rakan dari PRIMA turut menyertai majlis tersebut. Insya Allah!

Jam 10.00 am hari ini (3 September 2008), Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menelefon, beritahu sudah menelefon ke balai polis Dangwangi, berikutan kes pergaduhan remaja di KLCC malam 30 Ogos 2008 (count down malam Kemerdekaan 31 Ogos 2008). Seorang remaja dari Cheras dikatakan ditikam, dengan saksi di kalangan rakan-rakan mangsa cam, remaja terbabit berbaju merah dan berambut punk. Mungkin sahaja berlaku kekeliruan seorang pelajar dari Batu Caves, Mohd Haziq Dinie bin Mohd Rafiq, 16 ditahan dan dibelasah di khalayak ramai. Mohd Haziq Dinie yang sepatutnya bersekolah semalam (2 September 2008) dalam Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Selayang Baru, terpaksa menanggung risiko akibat kekeliruan pihak polis.

Isteri saya Adiah Mat Lana, bersama anak-anak Cikgu Idham Khalil (abang Ikram Hafiz), Nurul Salwa (kakak Ikram Hafiz) dan Ir Adnan Haji Khalid (abang angkat Ikram Hafiz) ke balai polis Tanjung Karang hari ini (3 September 2008) jam 12.00 tengahari bagi membuat laporan kemalangan jalanraya yang menimpa Ikram Hafiz 26 Ogos 2008 lalu, mengikut prosedur pentadbiran jabatan polis. Mereka kemudian terus ke Unisel membuat urusan bagi membawa balik barang-barang milik Allahyarham di asrama, di samping prosedur lain yang perlu diselesaikan. Kakaknya, Nurul Salwa yang sudah menamatkan praktikal sebulan lalu, turut menyerahkan laporan akademik kepada dekan menjelang konvo dijangka Disember 2008 nanti. Begitulah!

Selepas asar kira-kira jam 5.00 pm (3 September 2008), ketika membaca Yasin dan tahlil untuk Allahyarham, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Suhaimi Ibrahim menelefon. Beliau memberitahu sesuatu yang menggembirakan kepada PRIMA dalam usaha memberikan perkhidmatan sosial kepada setiap warga yang memerlukan. Justeru kepiluan dengan kehilangan ‘permata hati’ keluarga terubat juga dengan aktiviti yang sentiasa dipenuhi sepanjang hari. Apalagi rakan-rakan juga terus memberikan semangat sama ada dalam aktiviti PRIMA mahupun penulisan. Berikutan insiden kehilangan Ikram Hafiz, seolah-olah bertambah ramai pula sanak saudara, sahabat handai dan rakan taulan dalam hidup keluarga saya. Alhamdullillah!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

TERHUTANG BUDI ATAS KEPRIHATINAN PIHAK BERWAJIB
MENCARI JALAN DALAM KES PERGADUHAN DAN PERTIKAMAN

Penjaja kecil di pasar Selayang, Mohd Rafiq Haji Khalid melahirkan rasa terhutang budi dengan keprihatinan Setiausaha Politik Perdana Menteri (Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi), Dato’ Suhaimi Ibrahim membantu kes anaknya seorang pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Selayang Baru, Mohd Haziq Dinie yang ditahan polis ketika meraikan sambutan ‘Hari Kebangsaan’ malam 30 Ogos 2008 lalu. Mohd Haziq Dinie dikatakan terbabit dalam pergaduhan remaja, menyebabkan seorang remaja dari Cheras cedera parah ditikam. Mohd Haziq Dinie dilaporkan dilihat oleh polis melakukan perbuatan berkenaan, sebaliknya berlaku kekeliruan apabila pelajar berkenaan sekadar memakai baju warna ‘pink’, seakan-akan remaja yang memakai baju merah dan berambut punk melakukan keganasan tersebut.

Sementara itu adik Mohd Rafiq, Ir Adnan Haji Khalid turut mengucapkan terima kasih kepada PRIMA, Dato’ Suhaimi dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong yang prihatin dengan masalah dihadapi keluarga abangnya. Menurut Ir Adnan, pihak keluarga tak dibenarkan menermui Mohd Haziq Dinie yang ditahan di Balai Polis Dangwangi sejak malam 30 Ogos 2008, menyebabkan mereka meminta bantuan PRIMA pada 31 Ogos 2008. Sekalipun menunggu hingga habis tempoh cuti ‘Hari Kebangsaan’ pada 2 September 2008, Mohd Haziq Dinie yang sepatutnya bersekolah masih tak dibenarkan ditemui oleh keluarga. Justeru pihak PRIMA meminta bantuan YB Wee Choo Keong yang juga seorang peguam, sebaliknya diberitahu anak kecil terbabit ditahan di bawah Kanun Keseksaan Syeksen 148.

“Justeru kami terpaksa membawa perkara ini kepada pejabat Perdana Menteri, kerana anak kecil yang bersekolah itu mungkin di aniaya,” beritahu Ir Adnan yang mengakui menghubungi Dato’ Suhaimi jam 2.00 petang ini (3 Disember 2008). Berikutan dengan keprihatinan semua pihak, adik Mohd Haziq Dinie dibebaskan dengan jaminan polis petang ini (selepas berbuka puasa). Bagi pihak keluarga abangnya, Ir Adnan berterima kasih kepada Dato’ Suhaimi, YB Wee Choo Keong dan PRIMA. Bagaimanapun ketika menghubungi sekretariat PRIMA petang ini 5.00 pm (3 September 2008), Dato’ Suhaimi meminta semua pihak mengambil langkah yang bijaksana dalam menangani masalah berkaitan dengan kepentingan masyarakat.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

1

HANYUT TAK BERHALUAN

DI DEPAN semuanya ombak bergulung. Tak nampak tanah daratan lagi setelah bagan ditinggalkan. Enjin bot masih tak boleh dihidupkan. Memang Abang Din sendiri berasa mati akal apabila enjin bot mati di tengah laut. Kami berempat di dalam bot harapkan Abang Din sahaja kendalikan bot berkenaan.

Apalagi Abang Din yang lebih tua di kalangan kami, kerana dia sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Di kalangan kami berempat hanya saya dalam Tingkatan Lima, sementara tiga lagi rakan saya masih di Tingkatan Empat.

Sebab itulah kami semua harapkan Abang Din. Lagipun bot tersebut milik ayahnya Alang Seman. Sudah kerapkali Abang Din ke laut membantu ayahnya menjadi nelayan. Malah dialah yang kendalikan bot berkenaan ketika ayahnya menurunkan jaring. Tetapi mereka berdua tak pernah membawa bot jauh ke tengah, disebabkan Alang Seman hanya dikenali nelayan pantai sahaja.

“Macam mana ni, Abang Din?” soal saya cemas dengan keadaan ombak hingga bot teroleng-oleng di permukaan laut.

“Kau takut ke, Hafiz?” Abang Din mengusik. “Sekali sekala balik ke kampung, kamu mesti berani dengan ombak,” ujarnya macam mengejek saya.

“Lagipun kamu yang bersungguh-sungguh nak ke laut,” Usin Sodok mencelah sengaja mahu sembunyikan rasa cemasnya.

Sekalipun memang mereka sudah biasa dengan ombak laut, tetapi saya melihat muka masing-masing pucat apabila bot mati enjin. Abang Din sendiri mengaku tak pernah mengalami kejadian begitu. Apatah lagi ayahnya Alang Seman hanya menangkap ikan di pesisir pantai sahaja.

Lainlah saya tak pernah turun ke laut. Sekali sekala balik ke Bagan Datoh menemui opah, memang abah tak benarkan ikut atuk menaiki sampan menangkap ikan. Tetapi abah tak melarang sekiranya saya menemani opah ‘mengaut’ kerang atau ‘mencangkuk’ ketam di lumpur hutan bakau.

Kadangkala emak juga ikut sama menemani opah. Sejak emak masih kecil, dia sudah biasa dengan kehidupan nelayan. Emak sering temankan opah ‘mengaut’ kerang dan ‘mencangkuk’ ketam ketika itu. Bapa-bapa saudara saya Andak Rahman, Anjang Sam dan Acik Zahar pula ikut atuk ke laut sebagai nelayan pantai.

Setelah dewasa mereka tak ikut lagi atuk ke laut. Andak Rahman memasuki tentera selepas tamat SPM, sementara Anjang Sam pula menternak lembu. Acik Zahar bekerja dengan taukeh Cina di Hutan Melintang menjadi nelayan laut dalam. Sebab itu orang tua-tua macam atuk dan kawan-kawannya sahaja terus menjadi nelayan pantai.

Sekalipun keluarga emak saya menjalani kehidupan sebagai nelayan, tetapi saya tak pernah turun ke laut. Apalagi dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur kerana abah menetap di pinggir Lembah Kelang iaitu Gombak, menjadikan saya bertambah jauh daripada kehidupan nelayan.

Ketika balik ke kampung teringin juga mahu ke laut. Tetapi bukan abah sahaja tak benarkan, malah atuk juga melarang saya. Justeru apabila Abang Din mengajak turun ke laut, sengaja saya rahsiakan daripada keluarga. Abang Din pula memang berpengalaman kendalikan bot enjin sangkut ayahnya.

(bersambung…)

SAJAK

Tinggi Gunung Seribu Janji

Tinggi gunung seribu janji
Si Luncai pun menghampar mimpi
Biarkan! Biarkan!
Bacul dituding Queen Control
Biarkan! Biarkan!
Si Bodo melelong negeri
Biarkan! Biarkan!
Boring! Aku nak tidurlah
Biarkan! Biarkan!
He he he! Kah kah kah!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor.
2 September 2008.

INFO SUARA PROLITAR

‘HARI KEBANGSAAN’ PUPUK PATRIOTISME
TETAPI BERLAKU KEGANASAN REMAJA PULA

Sambutan ‘Hari Kebangsaan’ untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan remaja. Tetapi kalau remaja sekadar mahu berpeleseran ketika sambutan ‘kemerdekaan’, lebih baik tak perlu diadakan sambutan. Kita tak mahu setiap kali didakan sambutan ‘Hari Kebangsaan’, berlakunya keganasan remaja. Semua pihak susah, sama ada ibu bapa mahupun orang ramai, apatah lagi penjaga keselamatan. Cukuplah sambutan dibuat di dalam dewan sahaja – (SMS; 3 September 2008; 14:35:09 – Selly, Batu Caves, Selangor)

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

ORANGKAYA MENTERI MEMINTA MAAF
APABILA ANAK BUAH TERLEPAS CAKAP

Kata sahibul hikayat tersebutlah akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta maaflah ia kepada rakyat jelata bukan Melayu. Adapun Orangkaya itu meminta maaf kerana anak buah harakah Melayu (UMNO) di Bukit Bendera, Dato’ Ahmad Ismail memberitahu yang orang bukan Melayu bukanlah asalnya dari negeri ini. Syahdan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib mengakui, ia hanya bercakap bagi pihak dirinya sahaja, bukanlah mewakili harakah Melayu, adanya. Arakian disebut orang banyak, akan perihal meminta maaf memang dituntut di dalam Islam. Maka akan Dato’ Ahmad Ismail itu bercakap benarlah ia, yakni perkara orang bukan Melayu sah bukan asalnya dari negeri ini.

Sebermula disuruhlah orang keluari pula orang Melaka sekali lagi. Maka orang Haru pun keluar; maka orang Melaka telah sampai ke pengkalan Dungun, berhenti di sana, naik ke darat hendak buang air. Maka ada seorang Keling, Miarazul namanya, Keling Melaka, mengikut pergi. Maka Miarazul naik, ia bertemu dengan seekor kambing randuk. Arakian pada pemandangannya seperti orang tua. Maka Miarazul pun terkejut lalu lari tunggang-langgang, maka ia berbangkit lari pula ternganga-nganga mengusir orang banyak. Maka sekalian orang pun terkejut, gempar melihat Miarazul berlari-lari itu katanya, ‘Kita bertemu Haru tua, kita hudap ia zughul, kita zughul ia hudap’. Syahdan mengakulah mereka akan Miarazul bukanlah asalnya dari negeri Melayu, tak perlulah meminta maaf kerana kekeliruan itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: