Tuesday, September 9, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


BELASUNGKAWA KEPADA KELUARGA
UJIAN RAMADAN DAN MENJELANG RAYA

Assalamualaikum,


Bahan untuk akhbar tabloid ‘Buletin Rakyat’ memang sudah disiapkan sejak semalam (8 September 2008), disebabkan menjelang Hari Raya Aidilfitri perlu disediakan semua sekali. Justeru apabila Nasiri Hamid datang ke rumah untuk mengambil bahan-bahan artikel pagi ini (9 September 2008), terus sahaja diserahkan kepadanya. Kebetulan pula editor Buletin Rakyat (isteri Nasiri), Norzah Haji Kepol ikut sama di samping beritahu mahu segera ke Kajang berikutan seorang ahli keluarganya meninggal dunia. Al-Fatihah! Di samping mengucapkan takziah kepada keluarga Norzah Haji Kepol di atas musibah yang menimpa, setidak-tidaknya semangat saya semakin tabah dengan kehilangan anak permata hati, Ikram Hafiz pada 26 Ogos 2008 lalu. (Maknanya bukan saya sahaja diuji Allah SWT dengan musibah menjelang Hari Raya tahun ini, malah keluarga Dato’ Ahmad Mahmud, Tan Sri A Samad Ismail, Shamsul Noor Ariffin bin Noordin, Profesor Nurhalim Ibrahim, begitu juga ahli keluarga Norzah turut menerima ujian).

Menjelang tengahari 9 September 2008, aktivis budaya di Melaka Dr Harun Kidam mengirim SMS berkaitan spekulasi ‘kerajaan baru’ 16 September 2008. Memang sukar mahu memberikan jawapan, kerana agenda politik bukanlah ilmu metametik yang boleh diselesaikan menerusi kaedah objektif. Apabila dua ditambah tiga, penyelesainnya sudah diduga iaitu lima; atau lima dikali lima jumlahnya pasti duapuluh lima. Memang rakyat Malaysia sentiasa mengikuti perkembangan lanskap politik negara, berikutan keputusan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos 2008 (kebetulan tarikh berpulangnya ke rahmatullah anak saya pelajar Universiti Industri Selangor Allahyarham Ikram Hafiz) membawa kemenangan moral dan material kepada Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Apalagi senario politik di Malaysia hampir seimbang dengan pergolakan di Thailand, Pakistan dan Amerika Syarikat (AS) dalam proses memilih pimpinan negara masing-masing. Di Thailand misalnya, Perdana Menteri Samak Sundaravej berhadapan tindakan Mahkamah Perlembagaan apabila tampil menjadi hos program memasak TV swasta yang ditakrif melanggar perlembagaan. Aduhai! Berbeza dengan Asif Ali Zardari (duda kepada Benazir Bhutto) di Pakistan yang sudah mengesahkan kedudukannya selaku Presiden Pakistan. Sebaliknya calon Presiden AS John McCain (Republikan) semakin melonjak popular sekalipun gandingannya selaku calon Naib Presiden, Sarah Palin berhadapan dengan skandal moral yang teruk, buruk dan korok. Apalagi AS juga terlalu terhimpit dengan mala petaka apabila taufan Ike memusnahkan struktor prasarana di pesisir pantai Carribean.

Ketika Ahli-Ahli Parlimen BN meredakan tekanan dengan melancong ke Taiwan sekalipun tak kena mengena dengan Taufan Ike di AS yang menuju ke Cuba, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Joseph Kurup turut diganggu ‘taufan berkala’ apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membatalkan kemenangannya pada PRU12 yang lalu. Petisyen bekas calon PKR di Parlimen Pensiangan, Danny Anthony Andipai berjaya dalam penghakiman yang dikendalikan oleh Hakim David Wong Dak Wah. Tan Sri Joseph Kurup mungkin kehilangan kerusi Parlimen Pensiangan, tetapi boleh mengekalkan jawatan timbalan menteri asal sahaja dilantik menjadi senator. Bagaimanapun secara moraliti, kemenangan Tan Sri Joseph Kurup tak bertanding dulu mula dipersoal ketelusannya. Heh heh heh!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA


PAHLAWAN YANG TERUS DILUPAKAN
SARAWAK DAN SELANGOR PERLU PROKLAMIR

Kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan negeri Selangor diminta memproklamir secara rasmi makam Syed Masahor di Kerling, Hulu Selangor sebagai ‘Makam Pahlawan’ sama seperti dilakukan oleh kerajaan Indonesia terhadap ‘Tuanku Tambusai’ yang meninggal dunia di Rasah, Seremban, Negeri Sembilan. Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah mengakui, berdasarkan kajian tak rasmi yang dibuat oleh PRIMA Syed Masahor adalah orang yang sama dengan Shariff Masahor pahlawan terbilang Sarawak yang melawan Inggeris pada dekad 1860-an. Kata Dato’ Dr Mohd Mansor, kebangkitan masyarakat Malanau dipimpin Shariff Masahor pada 1855 di Mukah, sama hebatnya dengan gerakan militan Rentap di Bukit Sadok. “Rakyat Sarawak ditipu oleh Inggeris hingga percaya Shariff Masahor meninggal dunia di Singapura,” beritahu Dato’ Dr Mohd Mansor.


Berdasarkan fakta sejarah di Sarawak Shariff Masahor ditahan oleh Inggeris pada 1861, sebelum dibuang negeri ke Singapura. Inggeris juga meyakinkan rakyat Sarawak, Shariff Masahor meninggal dunia di Singapura pada 1890 ketika berusia 80 tahun. Sebaliknya, menurut Dato’ Dr Mansor pada 1872 Shariff Masahor dikenali di Selangor sebagai Syed Masahor membantu Raja Mahadi melawan Inggeris di Kuala Lumpur. Malah insiden kepala ketua pasukan askar Sepahi dipenggal juga mirip kepada tradisi pahawan Sarawak. Van Hagen dan Cavaliero yang memimpin askar Inggeris di Kuala Lumpur, dipenggal kepalanya pada Ogos 1872 selepas ditawan oleh Syed Masahor bersama sekutunya Raja Mahadi, Sutan Puasa, Raja Laut, Raja Asal dan Raja Berkat.

Syed Masahor berdasarkan sejarah Selangor dikatakan berasal dari Pontianak di Kalimantan (mungkin bagi mengelirukan Inggeris), terbabit dalam gerakan melawan penjajah di Kuala Lumpur. Beliau kemudian berundur ke Hulu Selangor apabila Raja Mahadi ditewaskan Inggeris setelah menerima sokongan dari Pahang (yang menghantar pahlawan-pahlawannya Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman) pada 1872. Syed Masahor meninggal dunia di Hulu Selangor, dan dikebumikan di Kerling. Justeru kata Dato’ Dr Mohd Mansor, kerajaan negeri Sarawak di bawah Tan Sri Taib Mahmud dan kerajaan negeri Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim perlu prihatin dengan sumbangan pahlawan berkenaan melawan penjajah. “Kerajaan negeri perlu abadikan sumbangan Syed Masahor melawan penjajah di Sarawak dan di Selangor,” menurut Dato’ Dr Mohd Mansor.

INFO SASTERA & BUDAYA

NOVEL ‘SAINS FIKSYEN’
JAUH DI PULAU RAHSIA
Oleh: Ikram Hafiz

(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).

(sambungan kelmarin…)

(4)

MELAWAN KALAU DITINDAS:
TAPI DILABEL TAK BERDISIPLIN

“TAK payah ustaz suruh, surah as-Sajadah dan surah Yasin pun saya hafal. Ayah saya didik agama sejak kecil, malah ketika umur lima tahun saya sudah khatam al-Quran,” jawab saya lantas menolak meja menyebabkan Ustaz Zin hampir tersepit.

Akibat melawan guru saya sentiasa diberi merit asal sahaja membuat kesilapan kecil. Tak sempat solat asar akan dikenakan merit, sekalipun ramai murid-murid menunggu giliran kerana surau sempit. Lewat solat juga menjadi kesalahan, apalagi tak sempat menutup suiz kipas angin dan lampu surau.

Disebabkan markah merit melebihi had maksimum, Cikgu Normah rekmen supaya saya dibuang sekolah. Pengetua sekadar turun tandatangan pada surat berkenaan sahaja. Dia tak fikir fasal kesan negatif anak-anak bangsa dibuang sekolah, tetapi mahu tunjuk sebagai guru yang berjaya mengawal disiplin.

Memang emak juga bimbang dengan kenakalan saya. Sebab itu dia melarang turun ke laut apabila balik ke kampung.

“Hanyut tak berhaluan ni, sama macam pelajar yang nakal,” tersengih-sengih saya memerhati kawan-kawan semakin cemas. “Di sekolah cikgu-cikgu juga labelkan saya sebagai hanyut tak berhaluan,” ujar saya selanjutnya.

“Kamu pelajar nakal di sekolah ke, Hafiz?” Mail Kengkang cuba menyembunyikan rasa cemas di hatinya.

“Saya akan melawan guru kalau ditindas, tapi dianggap tak berdisiplin,” jelas saya kerana kecewa dengan disiplin di sekolah. Kalau tak kenang guru kelas kemahiran hidup Cikgu Azam selalu beri perangsang, memang saya tak peduli fasal disiplin.

Tetapi Cikgu Azam beri galakan mengenai kebolehan saya dalam pendidikan kejuruteraan mekanikal di sekolah teknik. Semenjak memasuki sekolah teknik, terasa semangat mahu belajar kembali mendalam di jiwa. Saya melihat guru benar-benar bertindak sebagai pendidik, bukan lagi pengawas seperti di sekolah menengah sebelumnya.

“Sekarang kita benar-benar hanyut tak berhaluan, bukan lagi macam bahasa kiasan di sekolah,” ujar Abang Din kecewa. Dia tak dapat mencari punca menyebabkan enjin bot tak berfungsi. “Sebab itu kita mesti jadi Hang Tuah lima bersahabat, bak telur sesangkar pecah sebiji pecah semua,” katanya menggertap bibir.

“Kamu belajar kejuruteraan mekanikal, takkan tak tahu wayar pada enjin bot,” Usin Sodok tersengh-sengih mengerling saya.

“Habis, kamu tahu fasal penyodok kelapa, tak boleh fikir sama?” celah Mail Kengkang sinis.

“Sudahlah, jangan kita banyak bercakap!” tutur saya berasa rimas apabila masing-masing tak melakukan sebarang usaha. “Abang Din naikkan dulu enjin ke dalam bot,” saya memberi isyarat supaya dicari punca sebenarnya.

Memang enjin bot juga tak banyak berbeza daripada enjin motorsikal mahupun kereta. Setidak-tidaknya perlu diperiksa plug atau contact point di dalam enjin. Manalah tahu komponen berkenaan terbakar hingga tak dapat alirkan kuasa api! Ketika saya memeriksa enjin bot, Abang Din sempat juga hulurkan tali pancing ke dasar. Merungut pula dia apabila umpan sotong yang dihulurkan habis dimakan ikan kerong-kerong.

Sewaktu saya membelek-belek enjin bot, Sahak Salai menjerit kesukaan sebaik sahaja ternampak bot laju menyongsong ombak. Sekligus pula saya menduga tentu bot laju polis merin meronda di perairan. Memang Abang Din juga bimbang sekiranya hanyut hingga masuk ke kawasan perairan antarabangsa. Bot kami boleh terbalik sekiranya terkena ombak akibat kapal kontena melintas.

(bersambung…)

SAJAK

Nasyid Enjit Semut

Enjit-enjit semut
Pak Lah sakit naik atas
enjit-enjit semut
Najib sakit naik atas
enjit-senjit semut
siapa sakit naik atas
enjit-enjit semua
Rosmah sakit naik atas!

Sorong papan tarik papan
buah keranji dalam perahu
suruh ke depan engkau ke depan
suruh berjanji memang kau tahu.

Kalau roboh kota Melaka
papan di Jawa saya dirikan
kalau bodoh mereka-reka
jangan ketawa sendiri-sendirikan!

Enjit-enjit semut
Pak Lah sakit naik atas
enjit-enjit semut
Najib sakit naik atas
enjit-enjit semut
Rosmah sakit naik atas
enjit-enjit semut
siapa boleh naik atas!

-Yassinsalleh
Kajang, Selangor
09-09-08


INFO SUARA PROLITAR

ROMBONGAN KE LUAR NEGERI
NOSTALGIA POLITIK TUN MUSTAPHA

Ramai ahli kelab penyokong kerajaan di Parlimen ke Taiwan. Balik ke tanah air pada 18 September 2008. Tak payah nafi, semua orang tahu fasal nak elak 16 September 2008. Apa salahnya, kerana mesti buat strategi sebelum Dato’ Seri Anwar Ibrahim isytihar kerajaan baru. Duit siapa diperguna soal lain. Tapi macam nostalgia dengan taktik politik Tun Datu Mustapha Datu Harun di Sabah ketika USNO berkuasa. Apabila hari penamaan calon pilihanraya, calon-calon yang nak lawan, semua dibawa ke Taiwan. Semua calon USNO menang tak bertanding. Selepas selesai penamaan calon, lawan-lawan itu baliklah ke Sabah. Tapi tahun 1976, Tun Datu Mustapha hilang juga kuasa kepada Dato’ Harris Salleh. (SMS; 9 September 2008; 18:43:17 – Wak Soro, Kapar, Selangor).

PERNAH MENJADI PELAKON EKSTRA
SEBELUM DISERANG ANGIN AHMAR

OLEH : Asalbayu

PADA 28.8.2008 sekitar jam 3.00 petang, Ruhie Isma sms minta hadhir di Auditorium Taman Budaya, Alor Setar untuk jadi extra sebuah drama terbitan RTM. Lebih kurang jam 5.30 petang Ruhie telefon maklumkan ada perubahan tempat iaitu di Auditorium RTM, Kompleks Mu’adzam Shah, Jalan Kuala Kedah. Manakala masa tidak berubah iaitu pada jam 8.30 malam. Juga dimaklumkan supaya dibawa bersama salinan kad pengenalan depan dan belakang atas kertas bersaiz A4 tanpa dipotong kerana pihak produksi akan menyimpannya sebagai dokumen.




Untuk masuk ke kompleks tersebut sebenarnya kena ambil pas atau lapor diri di pondok pengawal terlebih dahulu. Sebelum ini telah beberapa kali saya ke sana sama ada untuk menandatangani kontrak penerbitan drama apabila naskhah yang dikemukakan hendak dirakam di studio. Ruhie memaklumkan bahawa Ida (Setiausaha Kreatif Utama Budaya Anak Seni – KUBAS) akan berada di sana bagi menyelesaikan masalah tersebut jika berlaku sebarang kesulitan. Dalam hati saya berkata, ‘KUBAS yang dihubungi oleh pihak produksi rupanya’.Lebih 10 tahun lalu iaitu sebelum diserang strok (angin ahmar) pada 17.9.1999 saya pernah beberapa kali terlibat dengan produksi drama sebagai extra juga selain ikut terlibat dengan teater. Aktiviti seumpama itu terhenti berikutan dengan kemelesetan ekonomi yang turut dirasa tempiasnya oleh kalangan syarikat penerbitan drama.
Serangan strok yang saya alami juga telah membataskan penglibatan saya dengan bidang berkenaan. Lepas menunaikan solat fardu Maghrib, saya bergegas ke destinasi seperti yang dimaklumkan. Suasana lengang sahaja dan pondok pengawal tiada sesiapa sewaktu saya tiba. Seketika kemudian, Ruhie tiba bersama anaknya, Andi yang memandu motokar. Kami terus ke bangunan kompleks yang juga lengang. Lalu saya menelefon Saiful Azwan (Pon) iaitu suami Ida untuk mendapatkan sedikit maklumat dan dimaklumkan bahawa para anggota KUBAS sudah ada di auditorium. Lalu Ruhie ajak saya terus ke sana.Sewaktu tiba di luar auditorium didapati beberapa orang sudah berada di situ. Antaranya termasuklah Abu Bakar Ahmad, seorang yang telah beberapa kali terlibat dengan produksi drama tv dan teater. Saya lantas berbual dengannya. Antaranya ialah mengenai DJ RTM Kedah, Allahyarham Azarudin Othman (Pak Din) kerana bila berada di situ saya lantas teringat kepadanya.
Mana tidaknya? Dialah yang telah menerbitkan drama berdasarkan naskhah drama radio sulung saya untuk slot Sandiwara Radiao berjudul ‘Sekali Bara Kugenggam’ lebih 10 tahun lalu. Sebak juga saya ketika itu. Hampir jam 10.00 malam barulah kelihatan para pelakon dan crew tiba dan kami diminta masuk ke auditorium untuk diberi taklimat. Saya disuruh menukar pakaian dengan memakai sut Melayu lengkap dengan sampin dan bersongkok.Setelah meneliti rupanya drama yang hendak dilakukan penggambaran itu diadaptasi daripada novel Sangeetha karya Azizi Haji Abdullah dan naskhahnya ditulis oleh Zakaria Ariffin (Zek). Saya diminta naik dan duduk di pentas mengambil peranan sebagai orang kenamaan bagi menjayakan anugerah kepada Sangeetha selaku Tokoh Warga Tua 2007.
Sementara menunggu giliran beraksi saya menyuarakan teguran berhubung dengan pemakaian ungkapan Warga Tua yang kurang tepat. Ungkapan yang tepat ialah WARGA EMAS. Menurut pihak produksi ungkapan itu adalah berdasarkan naskhah yang sudah tentu bersandarkan sumber asal iaitu novel karya Azizi itu. Barangkali Azizi juga tidak menydari hal itu.Pada 7.9.2008 saya menonton sebuah drama di RTM berjudul RINDU BERLALU dan para pelakon antaranya Abu Bakar Omar, Badrul Munir, Rosnah Johari dan Abu Bakar Juah yang melakukan penggambaran di Pusat Jagaan Warga Emas Cheras lantas ingatan saya tersorot kepada produksi drama Sangeetha dan berharap tidak ada kritikan berhubung dengan penggunaan ungkapan Warga Tua itu bila ia ditayangkan kepada khalayak kelak.
Saya juga dimaklumkan bahawa mengikut perancangan awal, penggambaran hendak dilakukan di Auditorium Taman Budaya, tetapi oleh sebab ia melibatkan kos terpaksalah dibuat di Auditorium RTM itu. Sebelumnya dirancang akan diadakan di Dewan Wawasan Jitra, juga tidak sesuai kerana ia terlalu luas. Melihat kepada kaedah penggambaran yang menggunakan landasan (dolly) saya nyatakan bahawa jika ia dibuat di Auditorium Taman Budaya tentulah timbul kesulitan yang agak serius. Di sana kata saya ruang di hadapan pentas yang sempit menyulitkan kerja-kerja penggambaran selain terdapat keadaan ‘cerun’ dari pintu ke pentas. Dengan keadaan sedemikian, kerja-kerja penggambaran bukan tamat menjelang jam 12.00 malam malah mungkin hingga dinihari. Pada kesempatan ini juga saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail. Semoga ruhnya dicucuri rahmat serta dihimpunkan bersama mereka yang soleh. Alfatihah.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo
BERANGKAT KE NEGARA CHINA KECIL
BIMBANG PENUBUHAN KERAJAAN BARU
Kata sahibul hikayat tersebutlah pada suatu hari 8 Ramadan 1429 (atau disebut orang banyak 8 September 2008) berangkatlah 49 Orangkaya-Orangkaya ke negeri China kecil (iaitu kata anak cucu fakir ialah Taiwan). Adapun Orangkaya berkenaan ke negeri China selama 10 hari, bukanlah disebabkan Orangkaya Permatang Pauh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disebut-sebut orang banyak akan menubuhkan kerajaan baru pada 16 Ramadan 1429 ini, adanya. Syahdan Orangkaya Maran, Dato’ Ismail Abdul Muttalib tak semena-mena pula berkata, adapun semua Orangkaya yang berangkat ke negeri China kecil itu tak akan berpaling tadah (terlalulah hairan fakir, kalau tak kena mengena dengan 16 Ramadan, kenapa pula disebut-sebut fasal ‘tak berpalin tadah’).

Arakian kata yang empunya ceritera, di masa lalu akan orang atas angin apabila anak Melayu bernama Haji Abdul Rahman Limbong melawan mereka di Terengganu, maka dihantarlah ia ke Mekah. Syahdan tak berupayalah anak Melayu melawan orang atas angin yang memerintahnya. Maka tersebutlah sekali persetua, akan Dato’ Bandar Tunggal di Sening Ujong (disebut orang kemudian hari Sungai Ujong) melawan orang atas angin yang memerintah negerinya. Sebermula dihantarlah akan Dato’ Bandar Tunggal itu ke Temasik, beberapa lamanya ia di negeri itu, matilah ia. Ditanam orang akan Dato’ Bandar Tunggal itu di makam Habib Nuh. Maka tiadalah upaya anak-anak Melayu di Sening Ujong mahu melawan akan orang atas angin itu, adanya.

Syahdan Sultan Mansor Shah pindahlah, tiada mau diam di istana tempat Hang Kasturi mati itu. Maka baginda memberi titah pada Bendahara menyuruh membuat istana. Maka Bendahara sendiri menghadapi dia, kerana adat Bendahara itu pegangannya Bentan. Adapun besarnya istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga depa luasnya, besar tiangnya sepemeluk; tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya bertingkap, pada antara tingkap itu diberinya berbumbungan melintang dan bergajah menyusu, sekaliannya bersayap layang-layang berukir dan bersengkuap, pada antara sengkuap itu diperbuatnya belalang bersagi, sekaliannya bergunung-gunungan dan berjurai-jurai belaka. Arakian akan pembinaan ‘istana baru’ itu seakan-akan penubuhan ‘kerajaan baru’ jua seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh :






HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: