
Unjuran pertumbuhan ekonomi yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tahun hadapan (2009) iaitu 3.5%, disifatkan sebagai lagu rakyat yang dipopularkan pada period penjajah Inggeris ‘buai laju-laju’. Retorik unjuran pertumbuhan ekonomi disebut oleh Dato’ Seri Mohd Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri sekadar untuk mereka yang ‘buta pendidikan ekonomi’ menurut penganalisis politik Dr Seri Intan Mokhtar. Dengan kadar inflasi sekarang melonjak kepada 8% kata Dr Seri Intan menambah, secara perkiraan mudah pertumbuhan ekonomi pada 2009 adalah (-) 4.5%, atau jauh tersasar daripada unjuran pertumbuhan ekonomi yang disebut oleh Dato’ Seri Mohd Najib. “Kalau inflasi turun kepada 4% pun, kadar pertumbuhan ekonomi masih pada (-) 0.5%,” beritahu Dr Seri Intan menambah.

Legasi ‘buai laju-laju’ seharusnya tak dijadikan alat melinakan rakyat hingga digula-gulakan dengan impian kosong, menurut Dr Sri Intan selanjutnya. Di masa lalu katanya, ‘buai laju-laju’ dilagukan dengan ungkapan ‘sampai ke pucuk sena’; di samping disebut ‘beli baju baru, dari kedai Cina’. Justeru Dr Seri Intan memberitahu, hanya politik angka yang dipopularkan oleh Dato’ Seri Mohd Najib sahaja berpaksi kepada retorik ‘buai laju-laju’, kerana rakyat perlu diubah persepsi ‘buai laju-laju, sampai ke pucuk kayu’, dengan disudahi kepada ‘beli baju baru, pergi ke kedai Melayu’. Fakta yang perlu diberikan ialah inflasi 8% sekarang, perlu membawa unjuran pertumbuhan ekonomi melebihi 8% bagi mengimbangi kadar defisit sebenar, jelas beliau menegaskan.
Seterusnya Dr Seri Intan menasihatkan Dato’ Seri Mohd Najib supaya realistik dengan fakta angka sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar 1% yang diumumkan oleh Bank Dunia semalam (12 November 2008). Dr Seri Intan mengulas pengmuman Dato’ Seri Mohd Najib mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka melonjak 3.5% pada tahun hadapan (2009). Bagaimanapun menurut Dr Seri Intan, pencapaian yang disebut oleh Dato’ Seri Mohd Najib sekadar mengurangkan kadar inflasi sahaja yang melonjak ke paras 8% sekarang, sebaliknya bukanlah menepati sasaran mengatasi defisit yang dihadapi oleh negara. “Angka yang lebih realistik sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 1% yang diumumkan oleh Bank Dunia 12 November 2008, perlu dirujuk oleh Najib,” kata Dr Seri Intan.
SENATOR MEWAKILI PENULIS BLOG
WADAH PERJUANGAN SECARA KESINAMBUNGAN
(Sebelum memasuki Unisel pada Mei 2008, Allahyarham Ikram Hafiz bukan sahaja berbakat dalam kraftangan dan elektrikal ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik Gombak, malah terbabit dalam karya kreatif. Ikram Hafiz pernah menghasilkan novel sains fiksyen pada 2007, ketika membuat kerja sambilan menjual burger. Hanya sebuah sahaja novel yang dihasilkannya, dan diterbitkan oleh Mulya Utama Enterprises, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor. Mulai sekarang, novel karya Ikram Hafiz dimuatkan dalam laman blog ini).
(sambungan kelmarin…)
(33)
11
LANGKAH TERUS DIATURDRAMA KEJAR MENGEJAR TENGAH OMBAK:
LAUNGAN MINTA JAUH DARI OBJEK BERBAHAYA
SEMAKIN rapat ke tanah daratan jelas kelihatan ramai penduduk-penduduk kampung menunggu di Bagan Sungai Belukang. Di tengah orang ramai berkumpul menunggu di bagan, memang emak dan abah turut sama di situ. Opah dan atuk juga berdiri cemas bersama Abang Khairil, Abang Caah, Adang, Kak Wa dan adik Mi. Emak pula merungut-rungut sebaik sahaja Abang Din rapat ke pangkalan.
Bot laju polis marin yang mengiringi kami, tak terus mendekati pangkalan. Mereka sekadar berlabuh tak jauh dari muara di bagan berkenaan. Dari rumah-rumah papan di bagan memang kami nampak drama kejar mengejar bot marin polis dengan bot laju Si Tongkol masih berterusan. Bagaimanapun tak berlaku tembak menambak apabila kami berlima naik ke bagan.
“Bukankah aku dah ingatkan, jangan bawa bot tu ke laut!” tak bertangguh Alang Seman memarahi Abang Din sebaik sahaja terserempak.
“Cukup Seman! Biar budak-budak tu balik ke rumah dulu,” ujar atuk ingatkan Alang Seman supaya bersabar. “Kamu pun nampak polis marin sedang mengejar bot lanun di tengah laut,” katanya memuncungkan bibir ke arah laut bergelombang.
“Budak-budak ni dah selamat pun, syukurlah Seman,” opah pula mencelah lantas memeluk saya erat-erat. Air mata opah juga terasa membasahi pipi sewaktu dia mencium saya berulang kali.
“Dia memang begitu Ngah, nak ikutkan marah hati aje!” segera isteri Alang Seman mendengus. Marah juga dia dengan sikap Alang Seman terus sahaja memberang ketika anak mereka naik ke bagan.
“Kita di sini tak senang duduk, apalagi ombak tsunami di sebelah utara,” tutur Alang Seman pertahankan diri.
“Bot kehabisan petrol, mujurlah dicolek lanun ke tempat persembunyian mereka, kalau tidak tentu kami turut menjadi mangsa tsunami,” beritahu Abang Din memujuk kedua-dua ibu bapanya.
“Mereka juga yang hantar kami balik ke bagan,” sahut saya berpaling ke laut yang terbentang luas. Drama kejar mengejar masih mendebarkan. Penduduk-penduduk kampung melihat dengan jelas beberapa buah bot polis marin menghambat bot laju Si Tongkol.
Ternyata Si Tongkol tak mahu menyerah. Dia tetap membelah ombak sekalipun laluan ke perairan antarabangsa dikawal ketat. Saya tahu dia memang berani. Langkahnya tak sama macam tentera-tentera boneka yang dipantau Bapak Profesor menerusi alat kawalan jauh. Si Tongkol mahu buktikan dirinya seorang wira bukannya tentera boneka sekadar dipantau dengan punat butang di tangan Bapak Profesor.
Perlahan saya menghela nafas memerhati bot kejar mengejar di tengah ombak. Ketika itu Sahak Salai menuding ke arah objek yang muncul di permukaan laut bagaikan tong gas terapung-apung. Memang kami semua cam objek seperti tong gas itu klon wira pulau yang sudah diubahsuai. Cepat-cepat saya melaung meminta mereka di tengah ombak jauhkan diri daripada objek berkenaan.
Sekalipun sistem berkomputer yang dicipta Bapak Profesor sudah musnah di pulau terumbu karang, tetapi tentera boneka berkenaan masih mempunyai tenaga nuklear yang aktif. Logam padu tungsten bercampur bahan letupan boleh meledak asal sahaja tergesel kuat. Sebab itu saya melaung kuat supaya mereka tak merempuh objek tersebut.
(* Kreativiti Ikram Hafiz menggambarkan keadaan di lokap polis Selayang, ketika dia bersama kawan-kawannya ditahan berikutan kes pergaduhan apabila bertindak balas selepas wang jualan burgernya disamun, tetapi dituduh merusuh. Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Teng Chang Khim – sekarang Speaker DUN Selangor, dan Wee Choo Keong – sekarang Ahli Parlimen Wangsa Maju, turut campur tangan bagi membebaskan Ikram Hafiz dan rakan-rakannya yang ditahan selama lima hari).
(bersambung)
PUISI LAMASembah Adat Bersembah
Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di buku buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah bersusun jari nan sepuluh.
Keduduk letak di dalam dulang
Urat berjalur kita kelarkan
Duduk kita duduk berbilang
Adat yang mana kita keluarkan.
Teluk tanjung berbelah-belah
Dibelah atas kayu belantan
Telunjuk memang kurnia Allah
Buat pencolek kapur jintan
Keduduk buat pengilat tembikar
Uratnya semua dikerat belaka
Duduk kita beralas tikar
Hendak membilang adat pesaka.
Pinang sahaya pinang jujutan
Patah tampuk di tepi telaga
Ilmu sahaya ilmu tuntutan
Awan bertepuk, gunung berlaga.
Kata raja kata bertitah
Kata ulama kata hakikat
Janji UMNO janji bertatah
Janji heh heh heh janji terikat
Kata adat fahamnya beriman
Pelengkap rukun dengan syarat
Kalau elok buat pedoman
Sentosa dunia serta akhirat.
-Alba
Jelebu, N.S.
13 November 2008.INFO SUARA PROLITAR
PEMBINAAN PPRT LAMBAT SIAP
KAMPIT SIMEN DIKEBAS PENYANGAK.
Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) memang dialu-alukan. Sebuah rumah untuk dianggarkan RM25-RM30, bolehlah kontraktor bernafas. Tetapi ada pula PPRT di Kampung Seperi, Jelebu, Negeri Sembilan dah lebih sebulan tak siap. Kontraktor entah ke mana. Kampit simen pun dikebas penyangak. Apa akan jadi kalau kayu-kayu, batu blok dan simen dicuri hingga tak tinggal apa-apa. Lainlah, ada penyokong UMNO yang dapat PPRT, rumah terbabit disewakan. Pejabat Daerah, penghulu dan pemimpin UMNO di Jelebu, silalah turun padang.
(SMS; 13 November 2008; 14:27:51 – Awang Litak, Jelebu, Negeri Sembilan).
BAHAN BESI DI KEDAI HARDWARE
MAKIN KURANG, KURANG DAN KURANG!
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato’ Shahrir Abdul Samad bercakap di TV (Selamat Pagi Malaysia) pagi ini (13 November 2008) mengenai harga barang. Memang wajar barang keperluan harian diturunkan apabila harga minyak sudah turun, turun dan akan turun lagi. Kononnya! Bagaimanapun harga bahan-bahan binaan juga perlu diberi perhatian. Bukan sahaja besi sudah berkurangan, paku dan bahan-bahan dari besi di kedai hardware juga semakin kurang, kurang dan kurang lagi. Mungkinkah berlaku aktiviti ‘sorok’ kepada bahan binaan?
(SMS; 13 November 2008; 16: 43:09 – Man Cincai; Selayang, Selangor).
KOMENTARbersama
Pak Parjo
BEKAS ORANGKAYA MASYGHOL:
SUKAR HALANG HULUR MENGHULUR

Sebermula tersebutlah ceritera bekas Orangkaya Perdana Menteri Tun (Tabib) Mahathir Mohamad berasa masyghol kerana harakah Melayu (UMNO) itu berlakulah hulur menghulur seperti keperihalan anak-anak buah Tun Hassan Temenggung pada masa kerajaan Melayu Melaka dahulukala, adanya. Arakian semasa menyampaikan ucaptamanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam (12 November 2008), bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir percaya berlakunya hulur menghulur itu. Maka kata Tun (Tabib) Mahathir, apabila seseorang yang sudah diketahui kelakuannya tak baik yang menerima sokongan selepas ketinggalan, tentulah berlaku perkara yang buruk itu. (Apabila anda tahu seseorang mempunyai rekod buruk mendapat sokongan penuh mungkin sesuatu perkara tidak betul sedang berlaku).
Hatta maka oleh Hang Nadim si pelulut itu diberinya emas dan kain baju terlalu banyak. Telah ia memandang harta banyak itu maka tertawanlah hatinya oleh harta dunia. Maka si pelulut itu pun mengakulah menanggung rahsia Hang Nadim. Syahdan kata Hang Nadim, ‘Jikalau dapat, hendaklah dengan barang daya upaya manda, Tun Teja itu bawa kepada aku supaya ku persembahkan kepada raja Melaka.’ Maka oleh Hang Nadim diberinya si pelulut itu ubat guna-guna. Arakian si pelulut itu masuk ke dalam pagar bendahara. Maka ia berseru-seru katanya, ‘Siapa hendak berlulut, marilah beta lulut’. Makat kata Tun Teja pada dayang-dayang, ‘Panggil si pelulut itu, aku hendak berlulut.’ Maka si pelulut itu pun masuklah ke rumah bendahara berlulut Tun Teja, seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh: