Saturday, November 22, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


MESEJ DISAMPAIKAN TUN DR M:
MEMANG MENJADI MOTTO PRIMA

Assalamualaikum,

Perbincangan singkat dengan pimpinan Gerakan Menentang Rasuah (GERAK) Mohd Ezam Mohd Noor yang disertai oleh Ghani di samping bersama beberapa pimpinan Kelab Penyokong Kerajaan Pahang (KPKP) diketuai Syed Adanan Dato’ Syed Abdullah di KL Central semalam (21 November 2008) rasanya memang mencapai persepakatan yang positif. Malah Mohd Ezam kini yang berkhidmat bersama aktivis NGO Asian di bawah seorang menteri kabinet Thailand yang berpangkalan di Jakarta mengakui, bagi memulihkan UMNO ianya memerlukan pimpinan muda yang ‘fresh’. Maknanya, aktivis yang belum menyertai parti politik tetapi berketerampilan dalam profesionnya, malah tak rakus memastikan diri sentiasa mendahului orang lain. Bagaimanapun bagi pihak Warga Prihatin Malaysia (PRIMA), saya lebih cenderung kepada perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu; yakni menolak Bahasa Malaysia sebagai mauduk kepada perpaduan rakyat di negara ini. Begitulah!

PRIMA akan menyokong gerakan politik yang prihatin dengan keagungan Bahasa Melayu (maksudnya di negara ini), sekalipun tak terbabit sebagai aktivis kepada gerakan kepartian politik berkenaan. Mohd Ezam dan Syed Adanan (Abang Engku) menyambut baik pendirian PRIMA, di samping memberi jaminan mereka yang tak berparti akan diminta bersama dalam usaha mengagungkan Bahasa Melayu. Abang Engku yang turut ditemani rakan-rakannya dari komuniti Cina dan India mengakui pengundi generasi muda adalah penentu kepada keputusan pilihanraya ke 13 akan datang. Justeru sesiapa sahaja yang memimpin negara selepas Mac 2009 perlu akur dengan paradigma masyarakat ini, apabila generasi muda akan menguasai sepenuhnya keputusan pilihanraya berkenaan. Bagi Mohd Ezam sekalipun beliau dianggap pimpinan generasi muda, tetapi penampilan beliau mungkin dianggap mengalami ‘damage’ berikutan latar belakang politiknya.

Sebaliknya Mohd Ezam tetap percaya, pimpinan muda tak akan bersikap ‘yes man’ kerana mereka mahukan keterbukaan memberi pandangan di samping bebas membuat kritikan secara menolak ‘perhambaan minda’. Memang saya menghormati pandangan Mohd Ezam mahupun Abang Engku keperkasaan badan-badan NGO juga memerlukan suntikan dana. Mungkin sahaja badan-badan terbabit boleh menerima sokongan sumber dana untuk menggerakkan aktiviti secara bermusim, sebalik pengaruh pimpinan politik juga tak boleh dinafikan. Secara realiti kami juga merasakan pengundi wanita memang turut menguasai keputusan pilihanraya akan datang, berdasarkan fakta keprihatinan mereka dalam isu politik. Misalnya, Mohd Ezam mengakui apabila dijemput memberi ceramah dianjurkan UMNO, 75% yang hadir ialah aktivis wanita. Aduhai!

Sekalipun Abang Engku memimpin KPKP, sebaliknya aktivis yang terbabit bukan ahli-ahli parti komponen BN. Mereka dari kalangan yang tak berparti atau dilabel ‘atas pagar’ yang juga mampu membuat keputusan dalam pilihanraya. Bagi saya PRIMA masih berpegang kepada pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicapai pada pertemuan di pejabatnya 15 Ogos 2007 yang lalu iaitu ‘parti tak salah, yang salah ialah orangnya’. Malah mesej yang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir memang menjadi motto kepada PRIMA sama ada berhadapan dengan UMNO, parti-parti komponen BN, PAS, PKR, DAP mahupun mana-mana gerakan politik di Sabah dan Sarawak. Mesej Tun Dr Mahathir selaras dengan pendirian PRIMA, di samping ianya sesuai di semua peringkat zaman. Barangkali!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

SEKADAR BATU LONCATAN:
ANWAR TAK BERJIWA UMNO

Pimpinan UMNO sebelum ini melakukan kesilapan membawa Ketua Pembangkang sekarang Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyertai parti itu, kerana beliau bukanlah ‘berjiwa’ UMNO, menurut pimpinan GERAK, Mohd Ezam Mohd Noor. Beliau memberitahu, Dato’ Seri Anwar memperbodohkan UMNO sejak 1982 hingga diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri pada dekad 1990-an, malah dianggap sebagai ‘jalan pintas’ untuknya mencapai impian politik. Mohd Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Dato’ Seri Anwar ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri mengakui, pemimpin itu tak pernah ‘berjiwa UMNO’, sebaliknya menggunakan UMNO bagi memenuhi cita-citanya. “UMNO mempunyai struktor yang kuat, mekanisme yang tersusun bukan seperti ABIM atau PAS yang bergantung kepada isu, sebab itu Anwar menggunakan UMNO sebagai batu loncatan,” beritahu Mohd Ezam.

MENANG JADI ARANG, KALAH JADI ABU:
RAFIDAH MAHU PERTAHAN KEDUDUKAN

Kemelut Wanita UMNO dianggap ancaman Tan Sri Rafidah Aziz kepada pimpinan UMNO menjelang pelan peralihan kuasa Mac 2009 ini, berdasarkan pergerakan itu mampu memberi impak kepada kejatuhan parti berkenaan, kata penganalisis politik Dr Seri Intan Mokhtar. Katanya, Tan Sri Rafidah boleh mengeksploit isu perpecahan Wanita akan membawa kepada kehancuran UMNO bagi meyakinkan pimpinan selepas pelan peralihan kuasa membawa semula beliau ke dalam kabinet. Justeru menurut Dr Seri Intan apabila pimpinan UMNO merasakan Wanita sebagai tunggak utama dalam kempen pada pilihanraya bagi memenangi hati undi wanita sebagai majoriti pengundi di Malaysia, pimpinan terbabit terpaksa mempertahankan beliau. “Justeru Tan Sri Rafidah menyedari kalau beliau berundur ianya memberi advantage kepada Dato’ Seri Shahrizat (Abdul Jalil),” jelas Dr Seri Intan seterusnya.

Sebaliknya kata Dr Seri Intan lagi, Tan Sri Rafidah tak menyedari apabila pimpinan Wanita dan Pemuda kucar kacir, pihak mana yang akan memperoleh advantage dengan keserabutan yang ditinggalkan kepada pimpinan pasca pelan peralihan itu. Beliau juga turut mendedahkan Tan Sri Rafidah dilaporkan terbabit membuat serangan menerusi SMS kepada beberapa pimpinan Wanita temasuk bekas Naib Ketua Tan Sri Nafsiah Omar meluahkan keberangan apabila tak menyokongnya. Langkah Tan Sri Rafidah mahu meneruskan hasratnya bertanding memang jelas mahu melihat Wanita UMNO dalam keadaan ‘memang jadi arang, kalah jadi abu’, beritahu Dr Seri Intan menambah. “Tan Sri Rafidah sepatutnya memahami apabila Wanita Perak sendiri mengakui pencalonan 117 yang diterimanya bukanlah sokongan mutlak,” beliau menambah.

INFO SASTERA & BUDAYA

BUDAYA SUSUKAN KERA DI HUTAN
HALANG MENGANGKAT JATIDIRI MELAYU

Beberapa pihak mempertikai penonjolan ramai artis diberi penghargaan oleh kerajaan berbanding dengan wartawan hiburan yang terbabit menaikkan nama-nama artis malah turut membantu negara dalam pembangunan industri hiburan, menurut aktivis budaya Yassinsalleh. Katanya, bukan sahaja artis tempatan malah Shah Rukh Khan dari luar negeri juga diberi penghormatan dengan menerima anugerah kebesaran yang membawa gelaran Dato’. Seterusnya Yassinsallleh memberitahu Presiden Wartawan Hiburan (WHAM) sendiri Hajjah Fauziah Raof misalnya, yang beberapa kali membawa artis-artis tempatan ke luar negeri bagi mempromosi kerjaya seni mereka tak diberi penghargaan seperti Shah Rukh Khan. “Menerusi WHAM Dato’ Siti Nurhaliza juga pernah dibawa beliau ke pertandingan suara Asia di Uzbekisten di samping artis-artis lain juga,” beritahu Yassinalleh menambah.

Yassinsalleh yang pernah dinobat sebagai pengarah terbaik Festival Filem Malaysia sekitar dekad 1980-an menerusi filem ‘Dia Ibuku’ juga menyebut mengenai beberapa orang wartawan veteran yang berketerampilan seperti Hajjah Bahyah Mahmood (BAM), Haji Ahmad Idris (ABI), A. Jalil Ali, Adibah Amin, Jalil Salleh (Mama Juwie) termasuk juga DJ radio Zainaldin Zainal atau aktivis penerbitan drama TV di peringkat awal Aziz Abbas, Abdullah Zainol, Osman Hafsham dan beberapa lagi (sekadar menyebut beberapa nama) belum diberi penghormatan seperti Shah Rukh Khan. Katanya lagi, jangan biarkan bangsa Melayu meneruskan legasi ‘kera di hutan di susukan, anak di pangku diletakkan’ yang merosakkan jatidiri keturunan. “Budaya menyusukan kera di hutan sepatutnya sudah dihapuskan selepas penjajah, kerana kita mahu memacu budaya Melayu merentas langit terbuka,” kata Yassinsalleh.

INFO SUARA PROLITAR

TAHAN SELAMA 22 BULAN:
RAZAK BAGINDA PERLU SAMAN

Pengakuan Abdul Razak Abdullah Baginda (Razak Baginda) yang dibebaskan selepas merengkok 22 bulan dalam penjara, berikutan kes Altantoya Shaariibu memang menarik perhatian. Secara tak langsung, penahanan Razak Baginda mempertikai kredibilit pihak polis (PDRM), seolah-olah menahan orang tak bersalah selama 22 bulan. Justeru bagi membersihkan imejnya, Razak Baginda perlu menyaman PDRM dan kerajaan Malaysia kerana melakukan penahanan tersebut. Rakyat Malaysia menunggu kebenaran itu bukan secara lisan, tetapi Razak Baginda wajar membuktikan. – (SMS; 22 November 2008; 10: 33: 09 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

DBP & JKKN ANJURKAN
MAJLIS MALAM JUARA PUISI 2008

OLEH : Asalbayu
Majlis Malam Juara Puisi 2008 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kedah berlangsung di Taman Budaya Negeri, Pumpong, Alor Setar pada 19.11.2008 mulai jam 8.30 malam. Antara yang menjayakannya ialah Puzi Hadi, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan Pringkat Negeri Kedah dan Kebangsaan 1987 (Juara Pertama Kali), Ahmad Shukri Abdullah dan Rejab F I yang masing-masing mendeklamasikan sajak dengan isu Bahasa Melayu.
Memang Bahasa Jiwa Bangsa adalah slogan/tema yang dipakai sempena Bulan Bahasa dan Sastera 2008 dan telah berterusan sejak dulu lagi. Khabarnya ia asalnya adalah slogan Lembaga Persuratan dan Sastera Perak (LEPAS).Setelah selesai seperti biasa kalangan penggiat esastera; Brirasa, Zaidin Abadi, Anjanglie dan Ahkarim mengajak saya bersantai di Restoran Ahmediah (Restoran Pokok Ceri – RPC).
Turut serta ialah Puzi Hadi dan Ahmad Shukri serta dua orang pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta juga Dato Abdul Halim R yang pulang awal.Antara topik yang turut terheret dalam perbualan kami sehingga lewat malam itu ialah berkaitan dengan Bahasa Melayu yang kian terabai berikutan dengan pendirian Kementerian Pelajaran untuk meneruskan pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Saya memberikan pendapat bahawa bukan sahaja kerajaan yang patut dipersalahkan dalam hal ini bila Puzi bertanyakan antara Perkeso (singkatan dari Bahasa Melayu) dengan Socso (singkatan dari Bahasa Inggeris) mana yang lebih popular.“Masyarakat juga harus dipertanggungjawabkan bila mereka melazimkan diri antaranya menyebut EPF daripada KWSP, RIMV daripada JPJ dan Incometax daripada Jabatan Hasil Dalam Negeri. Cuma PWD saja yang disebut sebagai JKR,” kata saya.

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

JASA YANG DISAYANG RAJA
TAK JADI MENTERI PUN, TAK APA!

Arakian akan Orangkaya Jerlun Dato’ Mukhriz Tun Dr Mahathir memberitahu orang banyak, tak mahu ia memegang jawatan menteri sekiranya dipilih menjadi ketua segala anak-anak muda harakah Melayu (UMNO) itu. Adapun tugas menjadi menteri kata Dato’ Mukhriz akan mengganggu usahanya memulihkan masalah dalam harakan itu, adanya. Syahdan sekalian anak-anak muda itu berbelah bahagilah mereka, kerana Orangkaya Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir Toyo juga tak akan menjadi menteri sekiranya menang akan jawatan ketua segala anak-anak muda berkenaan. Akan Orangkaya Dato’ Seri (Tabib) Mohd Khir itu belumlah lagi dibawa masuk ke balairongseri, tetapi sekadar duduk bersama segala anak tuan-tuan di balai luar sahaja. Syahdan Orangkaya Rembau Khairy Jamaluddin belumlah ia bersuara, sama ada mahu menjadi menteri ataupun tidak.

Sebermula maka Hang Berkat pun pergi. Telah segala hamba raja berkampung, dan segala orang besar pun semuanya datang, maka Sultan Mahmud pun pergilah ia dapatkan mayat Raja Zainal, hari pun siang. Tahulah baginda akan perintahnya sudah dijalankan oleh Hang Berkat. Maka mayat Raja Zainal pun ditanamkan orang seperti anak raja-raja mati. Telah sudah, maka Sultan Mahmud pun berangkat kembali ke istana. Ada selang berapa lamanya, maka Hang Berkat digelar oleh Sultan, Sang Sura; terlalu sangat dikasihi baginda, diaku saudara. Setelah beberapa lamanya, maka isteri Sang Sura pun bermukah dengan Sang Guna. Adapun Sang Guna itu baik sikapnya, tegap sasa tubuhnya, akan Sang Sura kecil tubuhnya, rincing mersik. Setelah didengar oleh Sultan Mahmud disuruh Sang Guna berlepas ke luar negeri, kerana sayang baginda kepada Sang Guna bukan barang-barang, apalagi dialah yang membuat keris tempa Melaka itu seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: