Wednesday, January 21, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:

Assalamualaikum,

LANGKAH GENCATAN SENJATA ISRAEL:
BUSH TAK BERKUASA DI RUMAH PUTIH

Kepongahan Ehud Olmert melancarkan serangan ke atas Gaza sejak 27 Disember 2008, adalah mencari kesempatan dengan tempoh kekuasaan George W Bush di Rumah Putih sehingga hari ini (20 Januari 2009). Justeru apabila ‘keldai peliharaan’nya Bush tak berkuasa lagi di Rumah Putih, regim Zionis pun mengambil langkah mengadakan ‘gencatan senjata’. Dengan langkah menguatkuasakan gencatan senjata selepas kejayaan membunuh orang awam Palestin ‘beramai-ramai’, sekalipun tewas kepada serang balas Hamas, regim Zionis sengaja mendabik dada menerusi propaganda terancang bagi memelihara moral negaranya

Bilangan besar kemusnahan pihak Israel yang disokong Amerika Syarikat, bukan sahaja tak menjejaskan Hamas, malah kedua-dua ‘bangsat’ itu dikutuk oleh masyarakat antarabangsa. Hari ini (20 januari 2009) Israel terpaksa menguatkuasakan gencatan senjata berikutan tamat tempoh penggal perkhidmatan Bush di Rumah Putih, kerana perjuangan panjang akan melebarkan lagi kemusnahan bagi pihak Tel Aviv. Kejayaan Israel hanya memusnahkan prasarana dan pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam, tetapi adalah mustahil 13 orang sahaja pihak Yahudi terkorban termasuk tiga orang awam dalam tempoh 22 hari bertempur. Propaganda Yahudi dan AS menunjukkan mereka menang, tetapi hakikatnya mereka mengalami kekalahan fizikal dan mental.

Laporan akhbar ‘The Observer’ di London semalam (19 Januari 2009) juga mengakui rejim Zinois berkenaan gagal membebaskan tenteranya, Gilad Shalit yang ditawan oleh Hamas yang menjadi punca serangan dilancarkan. Apalagi pimpinan Hamas, Ismail Haniyeh turut mengakui pihaknya sebagai ‘kemenangan hebat’, sekalipun agensi berita Yahudi melaporkan 1,300 rakyat Palestin terbunuh di Gaza. Sebaliknya seorang Ahli Parlimen Israel, Yisrael Katz secara terbuka semalam (19 Januari 2009) mengakui beratus-ratus tentera Yahudi terbunuh dan tercedera dalam pertempuran 22 hari itu. Logiknya, Yahudi tak akan menghentikan serangan kalau sekadar ‘keldainya’ Si Bush tamat tempoh perkhidmatan, tetapi kemusnahan tenteranya mendorong mereka segera menghentikan serangan.

“Israel tak mencapai matlamatnya dalam pertempuran yang mengakibatkan ratusan askar Israel cedera,” beritahu Katz kepada agensi berita AFP. Kehancuran moral regim Zionis di Israel menambahkan lagi kebangsatan George Bush yang meninggalkan Rumah Putih sebagai ‘kutu belahak’ yang tak berguna. George Bush tak akan dikenang seperti keperihalan George Washington, Abraham Lincoln atau John F Kennedy, tetapi diingat dengan insiden ‘kasut terbang’ di Iraq. Pemulauan barang-barang keluaran AS mungkin sahaja tak membawa banyak implikasi kepada pembangunan ekonomi negara berkenaan, tetapi pemindahan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari New York ke negara lain lebih bermakna kepada keamanan dunia. Apalagi AS tak layak menjadi lokasi ibu pejabat PBB dengan rekod jenayah perangnya lebih dahsyat daripada Jerman mahupun Jepun pada dekad 1940-an.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

TREND PEMIKIRAN PENGUNDI MUDA:
TAK MENYUMBANG KEKALAHAN UMNO

Kekalahan UMNO dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari 2009, bukan disumbangkan oleh trend pemikiran pengundi muda, sebaliknya kebobrokan UMNO yang sukar dibendung, menurut bekas Exco Pemuda UMNO Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, adalah tak munasabah dalam tempoh tak sampai setahun daripada tarikh PRU12 (8 Mac 2008), trend pemikiran tersebut mampu mengubah senario politik sekarang. Kalau pada PRU12 UMNO menang di Kuala Terengganu menerusi pengundi yang sama, justeru tak perlu menyalahkan pengundi muda dengan kekalahan yang dialami akibat kebobrokan UMNO yang teruk. “UMNO menyangka propaganda media arus perdana dan mencurahkan peruntukan berjuta-juta ke Terengganu mampu dilestarikan, tetapi taktik berkenaan sudah ketinggalan masa,” jelas Dato’ Kamal Amir.

Seterusnya beritahu Dato’ Kamal Amir, UMNO perlu membawa pendekatan baru menerusi propaganda berhemah, menghapuskan ‘politik wang’ dengan pemborosan ketara dan tak membodohkan orang Melayu, kalau mahu terus dihormati. Calon UMNO Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh juga bukanlah menyumbangkan kepada kekalahan tersebut, sebaliknya UMNO dikalahkan oleh bayang-bayangnya sendiri menerusi siri propaganda melaga-lagakan komponen pihak lawan. Kata Dato’ Kamal Amir lagi, mesej amat jelas ditujukan kepada pimpinan UMNO sekarang sama ada mahu berundur secara terhormat atau di’sejarah’kan oleh bangsa Melayu. “Perubahan politik sekarang semakin ketara iaitu calon menjadi pilihan bukannya parti, kerana yang melakukan kesalahan ialah ‘orang’ bukannya ‘parti’,” kata Dato’ Kamal Amir menambah.

PENAMPILAN ‘MAT REMPIT’ KAMPUNG:
‘ANAK MUDA’ BUAT WARGA EMAS BENGANG

Lumba haram yang dipopularkan ‘Mat Rempit’ bukan sahaja membingungkan pasukan polis di kota, malah membengangkan warga emas di desa, beritahu Pakcu Roseli Deraus, 60 dari Jelebu, Negeri Sembilan. Memberitahu sekretariat PRIMA, Pakcu Roseli kecewa dengan gelagat anak-anak muda terbabit dengan lumba haram di daerah ini. Katanya, ‘Mat Rempit’ terbabit memilih malam Ahad iaitu melewati jam 12 malam, bagi setiap perlumbaan haram bermula di Bukit Tangga hingga ke Kampung Chennah melalui pekan dan balai polis Kuala Kelawang. “Bagaimanapun tak diketahui sama ada mempunyai pertaruhan atau tidak, tetapi memang merunsingkan warga emas dengan gelagat anak muda Melayu sekarang,” beritahu Pakcu Roseli.

Sementara di Batang Berjuntai, Selangor dilaporkan ‘Mat Rempit’ mengadakan lumba haram di kawasan estet kelapa sawit yang turut membabitkan pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi swasta berdekatan. Menurut sumber penduduk di sini, lumba haram terbabit memang mempunyai pertaruhan termasuk juga wang dan ganja setiap kali ‘Mat Rempit’ itu mengadakan perlumbaan. Kata mereka, lumba haram tersebut dijalankan pada waktu malam dengan lokasinya di jalan tak berturap minyak tar di tengah kawasan estet kelapa sawit. Pembabitan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi swasta dalam aktiviti ‘Mat Rempit’ mudah dikesan, apabila dilaporkan beberapa insiden kemalangan jalanraya dilaporkan berlaku berhampiran estet terbabit. “Anak-anak muda ‘Mat Rempit’ merasakan nyawa sudah tak berharga lagi,” menurut seorang penduduk tempatan.

INFO SASTERA & BUDAYA

BACA PUISI PASIR SALAK DITUNDA:
PROTES PPSMI TETAP AKAN DITERUSKAN

Majlis deklamasi puisi di Pasir Salak yang dijangka 24 & 25 Januari 2009 ditunda tarikhnya ke satu masa yang belum ditetapkan, berikutan masalah teknikal beritahu penyelarasnya Haji Yahaya Ismail (Pak Ya) semalam (19 Januari 2009). Bagaimanapun Pak Ya tak memberitahu masalah tenikal berkenaan, sebaliknya pihak penganjur sendiri meminta ianya ditangguhkan. Sebelum ini deklamasi puisi berkenaan yang dinamakan penganjurnya ‘SimfoniPUISI Pasir Salak’ dengan kerjasama PRIMA sudah menghubungi rakan-rakan penyair bagi menjayakannya. Majlis berkenaan yang disasarkan sebagai mesej dalam menentang PPSMI sudah menerima respons rakan-rakan penyair yang peka dengan isu yang menjejaskan kedaulatan Bahasa Melayu.

Justeru hari ini (20 Januari 2009) pihak sekretariat penyelenggara majlis deklamasi berkenaan, Yassinsalleh menghubungi PRIMA menyampaikan keputusan tersebut bagi pihak penganjur. Yassinsalleh dalam SMS kepada sekretariat PRIMA menjelaskan, “SimfoniPUISI Pasir Salak ditunda ke tarikh lain. Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa pihak penganjur majlis tersebut di atas telah memutuskan menunda majlis itu ke tarikh lain yang belum ditentukan. Oleh yang demikian majlis yang asalnya dijadualkan pada 24 & 25 Januari 2009 telah dibatalkan. Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Bagi pihak penganjur kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan kesediaan saudara untuk bersama menjayakan majlis itu. Kami juga memohon maaf di atas sebarangn kesulitan yang timbul kerananya.”

Sementara itu aktivis budaya di Pahang L Mankadir Shamsi memberi jaminan protes terhadap pelaksanaan PPMSI tetap akan diteruskan, sekalipun Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein memberitahu ianya akan ditangguhkan kepada tahun depan. Kata Mankadir, penangguhan baca puisi di Pasir Salak tak bermakna segalanya sudah berakhir, kerana di Semantan suara rakyat tetap bergema. Beliau seterusnya menambah, penangguhan di Pasir Salak akan menjadi simbolik dengan kebangkitan di Semantan apabila Dato’ Maharajalela gugur pada 1876 ianya disambut oleh penampilan Dato’ Bahaman pula pada 1891. “Kita akan membawa majlis baca puisi ke Semantan sebagai manifestasi rakyat yang terus berkesinambungan meneruskan perjuangan,” Mankadir menjelaskan seterusnya.

INFO SUARA PROLITAR

ANAK BEKAS WARTAWAN DI IJN:
SIMPATI RAKAN PENULIS & BLOGGER

Anak bekas wartawan Hussein Yaakob yang juga pengendali laman blog Hashim Hussein Yaakob http://www.bigdog.blogspot.com/ dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 17 Januari 2009, kata aktivis masyarakat Sallehuddin Hashim. Ketika menghubungi sekretariat PRIMA, Sallehuddin memberitahu Hashim selamat menjalani pembedahan tetapi dimasukkan ke ICU pada 17 Januari 2009, berikutan tekanan darahnya (H/P) turun. Bagaimanapun menurut Sallehuddin, pengendali laman blog itu tetap ceria malah bersemangat untuk menulis di samping melestarikan laman blognya. “Namun dia kelihatan agak bertenaga dan tetap bersemangat, dan petang dipindahkan ke HDU bagi rawatan rapi,” kata Sallehuddin menambah selanjutnya.

Hashim yang lebih dikenali dengan ‘Prof’ turut meminta rakan-rakan pengendali blog mendoakan beliau semoga segera sembuh. Bagaimanapun Sallehuddin bagi pihak keluarga Hashim menggesa rakan-rakan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarganya. Sallehuddin juga berharap rakan-rakan blogger dapat meluangkan masa untuk menziarahinya di wad IJN, bagi memberi semangat kepadanya ketika berhadapan cabaran getir sekarang. “Saya menyeru rakan-rakan sudi menghulurkan bantuan kepada Hashim, di samping mohon doa rakan-rakan penulis dan blogger,” jelas Sallehuddin yang sempat menziarahi Hashim di IJN pada 18 Januari 2008. Mereka yang ingin memberi sumbangan kepada Hashim bolehlah menghubungi blog ‘bigdog’ atau terus menelefon Sallehuddin di talian 013-3022 627.

PERSAINGAN GOLONGAN MUDA & TUA:
TANAH PERKUBURAN YANG JADI MANGSA

Trend pemikiran yang membawa persaingan antara golongan muda dan tua, bukan sahaja membabitkan senario politik apabila pengundi-pengundi muda menolak gerakan politik konvensional, malah terikut-ikut di kalangan masyarakat. Di daerah Jelebu, Negeri Sembilan misalnya pengurusan tanah perkuburan Islam di Kampung Bacang Manting turut menjadi mangsa persaingan trend pemikiran ini, apabila golongan muda yang menguasai pengurusan memutuskan arah kiblat sebelum ini tak menepati kompas yang ditetapkan oleh pejabat agama. Berikutan keputusan tersebut berlaku insiden penggali kubur enggan meneruskan kerja-kerjanya pada Ogos 2007 lalu, kerana dianggap berlawanan dengan arah kiblat yang diguna pakai di tanah perkuburan yang sudah diasas pada 1820-an. Arah kiblat yang ditetapkan oleh golongan muda menyerong 15 darjah dari petunjuk arah kiblat sebelum ini.

Sepuluh tahun sebelum ini berlaku juga kekecohan mengenai arah kiblat bagi Masjid ar-Rahimah di Taman Greenwood, Gombak apabila golongan muda mempertikai arah kiblat masjid yang sudah dibina lebih 10 tahun sebelum berdasarkan petunjuk arah kiblat yang diluluskan oleh Majlis Agama Islam Selangor. Justeru berdasarkan permuafakatan golongan muda, arah kiblat Masjid ar-Rahimah diserongkan 9 darjah ke kiri apabila ianya digunakan kompas yang lebih tepat. Kononnya! Bagaimanapun pakar meteorologi juga mengakui peredaran cakerewala akan berubah, tetapi tak bermakna arah kiblat turut berubah. Dengan peredaran cakerewala berubah tak semestinya petunjuk arah kiblat berasaskan kepada kedudukan matahari seperti keperihalan tanah perkuburan Islam di Kampung Bacang Manting di Jelebu, diserongkan ke kanan hingga 15 darjah.

Peredaran cakerawala boleh dikesan kepada kedudukan matahari di lokasi Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor apabila bayang rumah di Jalan SG 9/1 akan memanjang menutupi jalan dalam tempoh tiga bulan iaitu Oktober membawa kepada Disember setiap tahun. Bayang berkenaan akan memendek pada Januari hingga April menyebabkan jalan berkenaan terdedah kepada cahaya matahari, tetapi akan kembali sederhana pada Mei membawa kepada September iaitu sebahagian sahaja jalan tersebut ditutupi bayang rumah. Fenomena berkenaan mungkin kurang diselusuri oleh golongan muda terbabit sekalipun mereka memang peka dengan kepentingan agama. Sebaliknya apabila berlaku perpecahan di kalangan masyarakat dengan trend pemikiran yang terlalu ekstrim, ianya memerlukan pendekatan yang lebih rasional. Barangkali!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MASALAH IKTISAD & PERALIHAN KUASA:
PERGILAH ORANGKAYA KE NEGERI ARAB

Sebermula pergilah Orangkaya Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke negeri Arab iaitu Baharin kerana mahu mempertingkatkan perdagangan. Bertemulah Orangkaya Dato’ Seri Abdullah dengan Putera Mahkota negeri itu, Sheikh Salman Hamad Isa al-Khalifa kerana urusan perdagangan, ketika masalah iktisad di dunia kian sukar, khabarnya! Syahdan kelihatan juga Orangkaya Menteri Luar Dato’ Seri Rais Yatim ikut sama dalam rombongan perdagangan; apalagi tersebutlah Orangkaya Menteri Perdagangan Antarabangsa Tan Sri Muhyiddin Yassin khabarnya ke negeri Arab itu. Arakian tinggallah Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meratapi kekalahan harakah Melayu (UMNO) dalam pilihanraya di Kuala Terengganu 21 Muharam 1430 (17 Januari 2009) yang lalu.

Syahdan maka Raja Muhammad diserahkan baginda pada Seri Bija Diraja, disuruh rajakan di Pahang. Maka Tun Hamzah menantu Seri Amar Diraja, digelar baginda Seri Amar Diraja, maka dijadikan bendahara Pahang dan diberi yang layak jadi penghulu bendahari, dan yang patut jadi temenggung, maka itulah yang dinamakan peralihan kuasa pada masa itu, adanya. Telah itu maka Seri Bija Diraja kembali ke Melaka. Maka negeri Melaka makin makmurlah, masyhorlah peri kebesaran Melaka itu dari atas angin datang ke bawah angin. Sebermula oleh segala Arab dinamainya Malakat, tempat perhimpunan segala dagang. Adapun zaman itu sebuah negeri pun tiada menyamai Melaka, melainkan Pasai dan Haru, tiga buah negeri itu juga sama besarnya. Oleh itu tiadalah ia berlaku peralihan kuasa, kerana ia berdagang dengan negeri Arab seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:











HIDUP BAHASA MELAYU!

3 comments:

Anonymous said...

Salam...
Sebelum ini PBB yang berpusat di New York hanyalah sebuah pertubuhan dunia yang menjadi 'hiasan' yang seolah-olah tidak membuat apa-apa tindakan ke atas perlakuan dunia. Ia seperti tempat rundingan yang tiada kesudahan. Maka wajarlah jika ia dipindahkan ke negara lain kerana sebelum ini ia hanya menjadi kuda tunggangan US yang kononnya 'sheriff' dunia...

Anonymous said...

Hanya satu perkara yang boleh menyelamatkan UMNO dari kekalahan iaitu hapuskan politik wang secara total dengan buka siasatan ke atas pemimpin UMNO...

Anonymous said...

Agaknya apalah lagi cara untuk membanteras gejala mat rempit yang tak pernah sunyi dari menghiasi kesunyian malam-malam kita? Kemalangan yang melibatkan mereka rupa-rupanya tidak memberi apa-apa kesan mendalam dalam 'jiwa' rempit mereka sehingga nyawa dah tak penting bagi mereka. Sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa pun masih ada yang bolos. Apakah kesudahannya mat rempit di negara kita?