Friday, February 13, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
SUARA <<< >>> PRIMA
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

KERENAH BIROKRASI DALAM TAKAFUL:
HAL EHWAL PELAJAR MAHU PERJUANGKAN

Assalamualaikum,

Hampir enam bulan berlalu permata hati keluarga saya, Allahyarham Ikram Hafiz berpulang ke rahmatullah pada 26 Ogos 2008, tapi hingga sekarang rakan-rakannya di kampus masih mengingati beliau. Petang ini 13 Februari 2009, bahagian hal ehwal pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) di Bestari Jaya menghubungi saya, bagi menyampaikan kutipan derma dari fakultinya. Maknanya, selepas enam bulan berlalu rakan-rakannya masih terus membuat kutipan derma kepada Allahyarham yang menemui khaliqnya, ketika rakan-rakan terlalu menyayangi beliau. Allahyarham Ikram Hafiz meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalanraya di Ijok, sewaktu perjalanan balik ke rumah dari kampus untuk mengambil buku-buku pengajiannya.

Bagaimanapun pihak hal ehwal pelajar tak berputus asa apabila pihak insuran Takaful masih belum memberikan imbuhan kepada Allahyarham. Sekalipun dokumen sudah diserahkan kepada pihak Takaful, tetapi masih tak diselesaikan atas alasan ‘surat kebenaran pengkebumian’ tak dikepilkan bersama. Ironinya, pihak Takaful macam tak mahu melayani ‘sijil kematian’ sebagai dokumen terpenting. Justeru pihak keluarga saya tak berminat lagi mahu melayani kerenah Takaful (yang janjinya molok-molok belaka), tetapi pihak hal ehwal pelajar masih mahu meneruskan usaha membuat tuntutan insuran. Alhamdullillah. Sepatutnya ‘sijil kematian’ (yang dikeluarkan oleh jabatan pendaftaran negara) itu lebih bermakna daripada ‘surat kebenaran pengkebumian’ (yang dikeluarkan oleh hospital); apalagi surat berkenaan diambil oleh JPN. Tapi, begitulah kerenah birokrasi dalam Takaful. Aduhai!

SUMBANGAN DANA RM5 RIBU:
SOKONGAN MORAL KEPADA PRIMA

YTM Dato’ Lela Maharaja, Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman, Undang Luak Rembau berkenan menyumbangkan dana sebanyak RM5 ribu ringgit untuk aktiviti PRIMA dalam pertemuan di kediaman rasminya di pecan Rembau pada 10 Februari 2009 lalu. PRIMA diwakili Pak Dharma, Haji Yahaya Ismail, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, Yassinsalleh dan Mohd Najib diterima mengadap oleh YTM Dato’ Undang Luak Rembau bagi menerima memorandum perjuangan mempertahankan ‘ketuanan Melayu’ dan menentang PPSMI. “Sumbangan yang disampaikan oleh YTM Dato’ Undang Luak Rembau, seolah-olah mengimbau kembali bagaimana raja-raja Melayu menyumbangkan dana RM15 ribu kepada Kongres Melayu Pertama pada 1946 bagi menubuhkan UMNO,” kata Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir.

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

KETUANAN MELAYU CIPTAAN UMNO:
SUDAH DIPINDA RAJA ADIL RAJA DISEMBAH

Oleh: Mohd Affandi Hassan
Petaling Jaya, Selangor

Dalam perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan perlente Keling yang diangkat menjadi raja mereka oleh rakyat Palembang, termaktub persetujuan bahawa raja tidak boleh memalukan rakyat, manakala rakyat pula tidak dibenarkan menderhaka kepada raja. Tidak disebut raja tidak boleh dihina jika melakukan kezaliman; oleh itu orang tua-tua telah meminda persetujuan itu melalui peribahasa mereka yang terkenal, Raja adil raja disembah; raja zalim raja disangggah. Tetapi peribahasa ini tidak boleh dipakai lagi, seperti banyak lagi peribahasa lain yang diharamkan selepas merdeka. Antaranya peribahasa berkaitan dengan gelaran “Keling” dan ular siapa dulu yang harus dibunuh, atau yang perahunya karam.

Kini semuanya ditafsir dan dihukum mengikut istilah “ketuanan Melayu” yang dicipta oleh UMNO untuk mengabui mata orang Melayu sambil menakutkan orang bukan Melayu. UMNO mendakwa mereka telah diberi hak istimewa untuk mempertahankan “ketuanan Melayu” itu, oleh itu mereka boleh berbuat apa saja dalam konteks itu, termasuk menolak demokrasi jika didapati tidak memihak kepada mereka. Peristiwa di Perak adalah contoh paling baik membenarkan kesimpulan ini. Dalam politik Malaysia moden, raja-raja Melayu telah mengkhianati rakyatnya dengan menyebelah kepada penjajah untuk menerima Malayan Union; tetapi raja-raja ini telah diselamatkan oleh para pembesar Melayu, golongan bangsawan Melayu, yang kehilangan kuasa dan kedudukan jika Malayan Union itu dilaksanakan.

Golongan bangsawan dan para pembesar ini digunakan oleh Inggeris untuk melaksanakan projek kemerdekaan tajaan mereka, sebagai hadiah mereka kepada orang bukan Melayu yang telah menyokong mereka ketika perang. Orang Melayu menyokong Jepun dengan harapan akan diberi kemerdekaan selepas Jepun berundur. Dengan kemenangan Inggeris dalam Perang Dunia II, maka Inggeris meletakkan syarat yang ketat kepada pembesar Melayu jika mereka ingin merdeka mengikut tajaan Inggeris. Paling berat ialah persetujuan mereka untuk memberi kerakyatan kepada kaum pendatang secara total melalui jus soli. UMNO menerimanya sebagai hadiah kepada kebaikan Inggeris yang berjanji akan memerdekakan Tanah Melayu. Inggeris pun tunaikan janjinya, dan orang Melayu pun hilang Tanah Melayu; tetapi UMNO sangat gembira serta megah kerana raja-raja mereka telah diberi kedudukan tinggi oleh Inggeris dengan menyerahkan hal ehwal adat dan agama Islam kepada raja, sambil merampas semua kuasa lain yang seharusnya ada pada seorang raja tulen.

Walau bagaimanapun sejarah Tanah Melayu dan raja-rajanya ditulis, hakikat ini tidak dapat ditolak. Penenggekan raja-raja Melayu di atas takhta adalah bukti kegagalan perjuangan orang Melayu untuk medapat kemerdekaan sebenar. Oleh itu mereka akan menghadapi masalah politik seperti di Perak sepanjang hayat dan sepajang sejarah mereka. Demikianlah celakanya orang Melayu yang menerima perjanjian Demang Lebar Daun dengan perlente Keling yang dilantik orang Melayu menjadi raja mereka di Palembang, yang kemudiannya diturunkan di Tanah Melayu. Yang pertama harus berani menerima hakikat ini ialah ahli sejarah sendiri, yang telah mengkhianati sejarah bangsanya.

INFO SASTERA & BUDAYA:

DESAK TARIK KERAKYATAN SASTERAWAN:
GEROMBOLAN MELAYU LATAH KERANA UMNO

Oleh: Mohd Affandi Hassan
(Tokoh Pengkritik Sastera Melayu Moden)

Dalam tahun 1972, ketika Hadiah Sastera mula-mula diperkenalkan oleh Tun Razak atas nasihat para sasterawan sendiri, sebuah cerita pendek saya berjudul “Biarlah Orang Tahu” terpilih; tetapi kerana beberapa sebab saya menolaknya. Rupanya keputusan saya itu menimbulkan kemarahan ahli politik UMNO, khususnya seorang yang sangat dekat dengan Tun Razak. Katanya: “Berani ini Affandi lawan Tun Razak. Kita patut cabut kerakyatannya …” Yang menyampaikan cerita itu seorang wartawan, sahabat saya. Episod ini saya abadikan dalam judul buku kumpulan cerita pendek terbitan DBP, Biarlah Orang Tahu (2005).

Sekarang seorang bernama Karpal Singh sedang riuh dijeritkan oleh sekumpulan gerombolan Melayu yang latah supaya kerakyatannya dilucut, diharamkan menjejakkan kaki di Perak, dan lain-lain usul yang mencerminkan kebodohan Melayu, bukan kebijaksanaan yang kita harapkan. Mengapa orang Melayu sangat bangga memperagakan kebodohan mereka, terjerit-jerit di tepi jalan meminta kerajaan bertindak zalim terhadap sesiapa juga yang mereka tidak suka? Ini terjadi kerana UMNO dan polis sendiri memberi sokongan dan menggalakkannya. Mereka tidak dikenakan sekatan berhimpun secara haram kerana mereka memihak kepada kezaliman ketua-ketua yang mereka sanjung.

Walaupun mereka sangat bangga mendesak supaya undang-undang dilaksanakan sekeras-kerasnya, tetapi undang-undang tidak boleh digunakan untuk menentang kezaliman. Mereka berkata kerajaan baru yang dirampas oleh UMNO di Perak dilakukan berasaskan undang-undang dan perlembagaan; tetapi mereka marah jika orang lain menggunakan undang-undang untuk mencabar perbuatan haram mereka. Bilakah orang Melayu akan cerdik dan menunjukkan kecerdikan bila berguam dan berhujah? Sudah 50 tahun lebih mereka diajar menjadi bodoh dan Pak Turut. Adakah mereka akan meneruskannya? Keputusan ini telah ditentukan oleh ketua-ketua UMNO supaya diteruskan, kerana itulah intipati makna ketuanan Melayu yang taat kepada raja dan pemimpin. Malah ulama sendiri memberi nasihat supaya orang Islam jangan jadi cerdik, sebaliknya terus taat kepada kezaliman kerana itulah kadak dan kadar, sudah ditakdirkan sejak azali.

Jika ulama sendiri demikian keliru dan cetek, maka siapa lagi yang boleh diharapkan oleh orang Melayu? Raja-raja mereka telah mengkhianati mereka zaman Malayan Union dulu; dan warisan Malayan Union itu masih diteruskan dalam sistem politik yang berteraskan dua mitos agung, Mitos Sejarah Melayu dan Mitos Malayan Union. Bangsa Melayu hanya akan menjadi cerdik dan merdeka jika mereka faham bagaimana dua mitos agung ini telah mencengkam pemikiran dan tindakan mereka. Mereka akan terus menjadi bodoh dan bangga menjadi bodoh jika mereka tidak memahami dua mitos agung politik ini. Inilah cabaran orang Melayu dalam Abad 21 ini.

PUISI

Imbauan Ikan-Ikan Dikaca

-buat saudaraku
Dato’ Yazid Othman

Ikan-ikan di kaca indah alamnya
indah alamnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca gemulai lenggangnya
gemulai lenggangnya ikan-ikan di kaca.

Ikan-ikan di kaca manja hidupnya
manja hidupnya ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca, ikan-ikan di kaca
ikan-ikan di kaca terpenjara sebenarnya.

Terpenjara sebenarnya ikan-ikan di kaca
demikian aku terilham dari wajah bangsaku
dari jiwa orang Melayu dalam segala kealpaannya
Iya, ikan-ikan di kaca kau lahir sebagai perbantahan
hati seorang remaja yang cuba belajar
menjadi dewasa ketika bangsanya
terlonta-lonta mencari pengertian
apa dan siapakah mereka di bumi keramat
tanah airnya sendiri.

Dan kini bukan lagi
kau keli dan puyu
tapi kelisa dan flowerhorns
aduhai ikan-ikan di kaca?

-Yassinsalleh
Kuala Lumpur
12 Februari 2009
jam 1604


INFO SUARA PROLITAR

JADIKAN PRIMA NGO YANG KUAT:
PERLU BAHAGIAN PENYELIDIKAN CEKAP

Untuk PRIMA menjadi NGO yang kuat, perlu ada bahagian penyelidikan yang cekap. Baik jika sdr. atau sesiapa dari PRIMA boleh bekerjasama dengan Dr. Abu Hassan Hasbullah dari UM yang banyak menjalankan penyelidikan politik, sosiologi dan lain2. Dikemukakan komen saya seterusnya tentang situasi politik Malaysia sekarang. - (Emel; 13 Februari 2009 - MAH, Petaling Jaya, Selangor)

PR MENANG KENA SANTAU:
BN MENANG RAKYAT TERBUNGKANG

Bukit Selambau Bukit Gantang, banyak ampu banyak limau, UMNO & BN akan terpukang, macam kerbau dibaham limau. Beras secupak jadi segantang, tanak nasi gulai kelayau, BN menang rakyat terbungkang, PR menang kena santau. Mujur juga Bukit Selambau dan Bukit Gantang, kalau Behrang, Jelapang dan Cangkit Jering, tak ke haru biru? Macam mana pula Pensiangan di Sabah. Masya Allah. Takut-takut UMNO kena sembelit, atau buasir tak mahu sembuh. Apalagi buasir, kalau dah kena tak senang duduk. Kabarnya ramai sangat ahli UMNO dah kena buasir. - (SMS; 12 Feberuari 2009; 22:19:24 - YS, Puchong Perdana, Selangor)

HIDUP BAHASA MELAYU!

No comments: