Masalah Melantik dan Mengangkat:
Pemimpin Melayu Yang Bermasalah
Selepas UMNO ditampar Pakatan Rakyat dalam PRU 12, pening lalat UMNO masih belum hilang. Dalam keadaan pening lalat dan masih terpinga-pinga hairan mengapa mereka menerima tamparan budak-budak muda dalam PRU 12 itu, maka para pemimpin UMNO terus sasau dalam mengenal masalah mereka dan cara menyelesaikannya. Kini mereka menghadapi perhimpunan agung paling penting dalam sejarah UMNO yang kini mengaku mereka terlibat dalam rasuah politik secara besar-besaran.


Yang sah ialah Mohd. Ali Rustam, yang diakui oleh para penyokongnya seorang yang baik dan bersih, yang bukan mengamalkan rasuah politik. Salahnya ialah beliau melanggar tata etika yang ditentukan oleh UMNO. Sekarang timbul masalah besar: menurut UMNO, melanggar tata etika bukan rasuah politik, dan tidak boleh disamakan dengan rasuah politik. Tapi kesalahan itu cukup besar sehingga Mohd. Ali Rustam yang bersih dari rasuah politik itu tidak dibenarkan bertanding. Sekiranya melanggar tata etika tidak termasuk dalam rasuah politik, mengapa hukumannya begitu keras sekali? Keadaan ini cukup membingungkan bagi orang-orang yang lurus dan tidak suka jadi bingung.
Kalau begitu, melanggar tata etika itu ternyata lebih besar daripada melakukan rasuah politik, kerana perbuatan itu berada di atas melampaui hakikat rasuah politik yang ternyata lebih rendah mutunya dalam menentukan hukuman yang akan dijatuhkan kepada yang bersalah. Tetapi ini lebih membingungkan kerana Mohd. Ali Rustam dibenarkan terus menjadi Ketua Menteri Melaka dan lain-lain jawatan politik, hanya tidak dibenarkan bertanding untuk merebut jawatan politik UMNO yang lebih tinggi. Apakah maknanya? Seorang ahli bahasa dari Medan, Prof Sutan Mohammad Zain penulis Kamus Moderen Bahasa Indonesia yang terkenal itu, membuat catatan (muka surat 117) mencatatkan peribahasa “berhakim kepada beruk”; yang diikuti dan dipakai oleh Kamus Dewan yang memberi catatan yang sama (lihat entri beruk).
Kedua-dua kamus terkenal ini mencatat satu peribahasa yang sangat indah, yang menempelak sesiapa juga yang suka membuang masa dengan memberi perhatian kepada sesuatu yang tidak berguna. Peribahasa itu berbunyi: “Mabuk kerana beruk berayun”. Pertanyaan: Adakah orang Melayu menjadi bingung dan sasau kerana terlalu asyik melihat beruk berayun? Menurut tokoh politik UMNO teragung nampaknya itulah yang berlaku, apabila ahli-ahli UMNO sendiri menerima tokoh-tokoh rasuah dalam UMNO untuk dipilih menjadi calon dalam pemilihan majlis tertinggi UMNO. Bagi Yahya Ismail pula, seorang sasterawan terkenal, di dalam UMNO terdapat seorang Maharaja Beruk, yang menjadi judul sebuah cerita pendeknya yang menggegar Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hakikat ini diakui oleh hampir semua pemimpin UMNO, termasuk yang korup. Hakikat ini ditangisi oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO, yang sangat jijik dengan perbuatan rasuah politik ini. Kalau inilah yang menjadi masalah orang Melayu dalam UMNO, maka apakah pendirian orang Melayu di luar UMNO? Jika kita menerima slogan seorang ulama yang meminta pengikutnya mengambil apa juga yang diberikan oleh UMNO dalam kempen pilihan raya, maka jelaslah pengaruh UMNO cukup kuat dalam kelangsungan rasuah politik dan lain-lain rasuah yang berlaku di Malaysia.
Ini bermaksud rasuah politik dan lain-lain jenis rasuah yang terdapat di Malaysia mendapat sokongan dan dukungan pengkritik UMNO yang berada di luar UMNO. Jika kita diizinkan menggunakan kias ibarat, kedua-dua kumpulan ini adalah dari jenis burung yang sama: satu dari jenis pipit tuli makan berhujan; satu kumpulan lagi dari jenis pipit uban. Kedua-dua jenis pipit ini kerjanya menunggu padi masak. Kedua-dua jenis pipit ini akan menerkam dengan geram apabila melihat padi masak.
Adakah ini bermaksud rasuah itu memang cara makan ahli politik, seperti orang Barat makan bersudu garpu? Itulah masalah pemimpin politik Melayu, yang mereka turunkan dan paksakan ke atas para pengikut mereka. Kerana itulah setelah lebih 51 tahun merdeka, kita masih mendengar kesusahan rakyat yang sepatutnya lebih baik kehidupannya. Mereka adalah korban para pemimpin yang korup dan mereka yang terdiri daripada rakyat yang disayangi oleh para pemimpin korup itu sendiri pun memang korup. Kerana itulah mereka terus susah, padahal para pemimpin mereka bertambah kaya dan bertambah senang. Padan muka!! (23/3/2009)
(*Mohd. Affandi Hassan bekas pegawai tinggi kementerian yang berpengalaman dalam pentadbiran negara, sekarang pesara PTD adalah sasterawan dan pengkritik sastera Melayu yang berwibawa, dianggap setanding dengan H B Jassin di Indonesia. Kritikannya dianggap keras, tetapi menampilkan perbahasan ilmu yang bermanfaat)

No comments:
Post a Comment