Monday, March 16, 2009

CORAT CORET PARLIMEN:

Budaya 'gempak' mahu dilestarikan


Keputusan merujuk seorang Ahli Parlimen kepada jawatankuasa khas, kemudian dibawa usul bagi menggantungnya sudah dijangkakan. Tetapi keputusan menggantung Ahli Parlimen bagi tempoh 12 bulan berkuatkuasa hari ini (16 Mac 2009) memang sukar dipercayai, apabila beliau membangkitkan satu isu yang 'tak mungkin' boleh disembunyikan selama-lamanya. Ketika ramai orang Melayu berasa meluat dengan gelagat Ahli Parlimen terbabit, tiba-tiba langkah menggunakan 'budaya gempak' seperti sebelum 2003, menjadikan orang yang meluat dengan gelagat Ahli Parlimen terbabit boleh menyampah, menyumpah dan menyeranah tindak tanduk menteri UMNO sendiri.

Mungkin sahaja Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz sekadar melestarikan usul menggantung Ahli Parlimen terbabit, tetapi ada tangan ajaib di belakang tabir yang mahukan ianya dilaksanakan. 'Budaya gempak' mendedahkan lagi kepongahan UMNO macam kerbau terluka apabila orang Melayu sendiri menolaknya pada PRU12. Apalagi calon UMNO berstatus timbalan menteri pun boleh tewas di tangan calon bukan Melayu di kawasan yang majoritinya Melayu. Tak malukah? Mohd Nazri yang sekadar menjalankan tugas itu memang nampak 'leweh' (kena tanya Dato' Seri Dr Rais Yatim maknanya) saja ketika beliau membentangkan usul tersebut. (Mungkin juga disebabkan terpaksa).

'Budaya gempak' yang diamalkan UMNO sebelumnya sudah mengalami keberantakan pada 1987; malah ianya bertambah parah pada 1998. Sekiranya UMNO mahu terus melestarikan 'budaya gempak' ini, barangkali selepas 28 Mac 2009 ini akan berakhirlah segala glori yang menjadi pemangkin UMNO selama ini. Menggantung Ahli Parlimen dalam tempoh 12 bulan, bermakna 'menghina' pengundi-pengundi yang memilihnya. UMNO menganggap Parlimen adalah pesaka yang diwarisi partinya, sehingga membenarkan 'Musang Berjanggut' menuturkan: "SALAH TU MEMANG SALAH, TAPI ITU UNDANG-UNDANG DATO' YANG BIKIN".

Pada 1970 juga Tun Abdul Razak pernah tampil membuat usul menggantung seorang Ahli Parlimen yang melanggar undang-undang pilihanraya, iaitu lewat menghantar penyata perbelanjaan pada pilihanraya kecil ketika beliau menjadi 'wakil calon'. Bagaimanapun Ahli Parlimen terbabit diarah meminta ampun kepada Yang Dipertuan Agong, tup tup kesalahan itu di heh heh heh-kan. Anehnya! Keputusan menggantung 12 bulan Ahli Parlimen berkenaan pada 16 Mac 2009 (maknanya hingga 16 Mac 2010), kerajaan UMN/BN tak perlu membayar elaons dan kemudahan-kemudahan. Insya Allah, sama-samalah kita lihat hukuman berkenaan akan menimpa pihak 'orang yang menggali kubur, akan masuk ke kuburnya sendiri', menurut pedoman orang tua-tua dahulukala.

1 comment:

Seladang said...

Kita akan kuburkan ego Umno di Bukit Selambau dan Bukit Gantang! InsyaAllah.