Isytihar Harta Boleh Bikin Poli-Tikus Jadi Gila?
Pertama kali ahli politik Malaysia isytihar harta kepada umum, dibuat oleh MB dan Exco Selangor dalam tahun 2009 setelah berkuasa selama setahun. Walaupun tidak menyeluruh, tapi ini suatu tamparan hebat kepada poli-tikus yang suka bersembunyi. Berapa sebenarnya jumlah harta anda? Bekas MB Selangor yang jadi Ketua Pembangkang, mengkritik perisytiharan itu, tidak lengkap dan songsang, katanya. Dia dan rakan-rakannya telah lama isytihar kepada KSN semua harta mereka. Boleh kita lihat? Itulah persoalannya. Kalau tak boleh, mengapa? Biasanya jawapannya akan berbunyi: Melanggar Perlembagaan dan hak asasi manusia.
Jadi MB Selangor dan Exconya telah melanggar Perlembagaan Malaysia dan hak asasi manusia, oleh itu mereka boleh dilaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (nama lama lebih menarik dan tepat) kerana telah melakukan rasuah isytihar harta. Rupanya masalah isytihar harta ini boleh bikin orang politik yang bergelar poli-tikus yang suka bersembunyi jadi gila, atau sekurang-kurangnya sasau dan meracau. Dia mahu tunjuk berani, tapi tidak cerdik seperti Sang Kancil yang menipu harimau dengan memakan mata harimau (buah terung pipit yang kecil dan rangup).
Sudah gilakah harimau yang lari lintang pukang ketakutan itu? Ada ahli politik di Malaysia pantang ditegur, yang serta-merta membuatnya jadi gila atau sasau. Tidakkah aneh, orang yang ingin dan berani isytihar harta ditempelak begitu keras oleh Sang Poli-Tikus, disindir bertindak rasuah kerana tidak menyembunyikan perisytiharan hartanya? Apa yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor adalah satu ukuran (standard) baru yang mahu tidak mahu wajib diikuti oleh Kerajaan UMNO/BN yang telus itu. Tidak ada sebab untuk para pemimpin rakyat, yang cintakan rakyat, yang berbuat segala-galanya (termasuk merampas kuasa) kerana rakyat, tiba-tiba takut menghadapi rakyat untuk memberitahu mereka kami orang miskin, ini saja harta kami, tak cukup makan (kerana terlalu banyak disimpan).
Sekarang tidak saja pemimpin kerajaan yang perlu isytiharkan harta mereka, para pemimpin pembangkang pun wajib berbuat yang sama. Mengapa perlu pengecualian? Ada pun makna telus itu bererti tiada pengecualian, tidak ada percubaan sembunyi-sembunyi, beritahu sedikit simpan secara rahsia banyak. Apa jenis telus jika itulah yang hendak dibuat? Kepada rakyat Malaysia yang inginkan pemimpin mereka telus, jujur, tidak menipu, benar-benar bertanggungjawab, dan benar-benar bercakap benar bukan berbohong bercakap benar, maka mereka, rakyat tersebut, mulai sekarang mesti tegas memberitahu para pemimpin mereka bahawa mereka (para pemimpin itu) tidak boleh berdolak-dalik lagi.
Mereka mesti buktikan kejujuran mereka dengan mengisytiharkan harta benda mereka sebelum mereka memegang apa-apa jawatan politik di mana-mana pun juga dan dalam keadaan apa sekali pun, baik sebagai kerajaan mahu pun sebagai pembangkang. Kalau anda tidak berani berbuat demikian, sudah jelas anda seorang penipu. Anda tidak layak jadi pemimpin yang bercakap tentang kejujuran, ketelusan, tanggungjawab, amanah dan semua sekali kata-kata manis yang pernah anda sembur selama lebih 51 tahun ini. Anda faham? Jika rakyat perlu berarak di sana sini menentang Malayan Union, maka sekarang mereka juga perlu berarak di sana sini untuk memastikan mereka mendapat pemimpin yang benar-benar jujur, amanah dan bertanggungjawab. (15/3/2009)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment