PENGABAIAN YANG DISENGAJAKAN!
Sikap lembab dan tidak tegas ini pula telah dipolitikkan oleh kaun-kaum lain walaupun awal-awal lagi sudah ditegaskan bahawa penubuhan kebudayaan tidak boleh ditiup dengan api semangat politik yang sensitif dan merbahaya. Ucapan perasmian mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir di dalam Pertemuan Dunia Merlayu 1982 di Melaka menjadi tanda tanya kepada semua -orang Melayu sendiri, apabila beliau berkata, “…persoalan konsep kebudayaan kebangsaan tidak timbul lagi. Sama seperti persoalan bahasa kebangsaan juga tidak timbul lagi. Yang menjadi persoalannya hanyalah usaha dan tanggungjawab untuk mengisi konsep ini, bagi kepentingan hidup bersama.
“Jika kita semua benar-benar inginkan sebuah negara yang aman makmur, dengan kehidupan rakyatnya yang damai serta bahagia, bahasa dan kebudayaan tidaklah seharusnya lagi dijadikan isu politik yang hanya akan menguntungkan golongan yang anti perpaduan, dan yang taat setianya boleh diragukan.” Kenyataan begini telah memberi ruang yang seluas-luasnya kepada kaum-kaum lain bagi mempertikaikan penubuhan Kebudayaan Nasional itu sendiri. Mereka mendakwa jika soal Kebudayaan Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan terus dibangkitkan juga, ini bererti sengaja mahu mempolitikkannya, dan perbuatan begini dianggap sensitif dan amat merbahaya untuk perpaduan.
Oleh kerana melihatkan pemimpin-pemimpin muda Melayu hanya berpeluk tubuh berdiam diri sahaja, maka kaum-kaum lain dari pihak parti lawan pun semakin berani mencabar soal-soal budaya dan bahasa Melayu sejak kebelakangan ini. Konsep bangsa Malaysia yang sepatutnya berpaksikan konsep negara bangsa, di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, tetapi mestilah tetap berindukkan dan berpaksikan kepada bangsa Melayu sebagai bangsa asal negara ini nampaknya sengaja diabaikan mereka. Malahan mereka semakin lantang dan berani mengungkit-ungkit soal ketuanan, bahasa, malah agama juga disentuh.
Penggunaan bahasa Melayu yang telah ditetapkan dalam perlembagaan sebagai bahasa
pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran juga dipertikaikan dengan beraninya oleh parti-parti pembangkang khususnya daripada kaum bukan Melayu sendiri. Peliknya, apabila sekumpulan orang-orang Melayu khususnya pendukung bahasa yang cuba untuk mempertahankan soal budaya, bangsa dan dan bahasa ini, terus dicap sebagai pencetus perbalahan dan dituduh di bawah Akta Hasutan, sedangkan mereka yang mempertikaikannya tidak pula diambil sebarang tindakan sehingga pemimpin-pemimpin muda Melayu yang punya sedikit semangat Melayu terkedu dan menikus untuk mempertahankan isu-isu bangsa, bahasa dan agamanya, kerana takut dikenakan tindakan.
Kalau suatu waktu dulu, pembaca berita di TV baik berbangsa Melayu, mahupun kaum lain, mereka menggunakan bahasa Melayu baku yang tepat sebutan bunyinya, tetapi sekarang sudah tidak kedengaran lagi, sebaliknya sudah banyak perkataan dalam bahasa asing itu pula yang digunakan. Penyakit ini semakin menular sekarang ini, sehinggakan drama-drama Melayu juga banyak sekali menyelitkan perbualan-perbualan dalam bahasa Inggeris yang kadang-kadang janggal dan salah nahunya, tapi masih dibiarkan. Akhirnya para menteri yang ditemubual oleh pemberita dalam majlis-majlis budaya Melayu pun tidak segan silu berbahasa Inggeris, walaupun kita secara hakikatnya mengenali dan tahu benar bahawa yang dia itu tidaklah faseh dengan bahasa tersebut.

Apakah warisan kepimpinannya kini, yang juga adalah darah dagingnya sendiri, sanggup dan tergamak hendak merosak dan memusnahkan segala-galanya yang sudah disusun atur dengan rapi dan terperinci sehingga layak menjadi bahasa ilmu tinggi yang setaraf dengan bahasa-bahasa dunia antarabangsa. Kita sepatutnya bermegah sebagaimana orang-orang Jepun, Korea, German dan Peranchis yang banggakan bahasa ibunda mereka. Justeru itu melalui kertas kerja ini bukanlah penulis mahu melahirkan rasa tidak puas hati sebenarnya, tapi sekadar ingin menyatakan rasa terkilan atas tindakan demi tindakan yang cuba memusnah dan membunuh pertumbuhan segar bahasa ibunda.
Sekali lagi, penulis dengan penuh harapan, terimalah kertas kerja ini sebagai rayuan tulus ikhlas penulis yang terdiri daripada anak-anak yang sebernar-benarnya cintakan bahasa ibundanya. Dan kamilah anak-anak yang dibendung oleh Allahyarham Tun Abdul Razak melalui Dasar Pelajarannya dahulu, kerana kami yang taat atas perjuangannya selama ini, tunduk patuh untuk menerima dan terus belajar dalam aliran Melayu yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini. Sekian, wassalam.
(Sedutan teks kertas kerja Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah, wakil Dewan Persuratan Melayu Pahang - DPMP dan bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM, yang akan dibentangkan dalam pertemuan GAPENA di DBP, 15 Mac 2009 ini)
1 comment:
Dato Mansor!
Macam mana pemimpin Melayu dari UMNO nak berani bersuara kerana mereka makan atas tapak tangan ahli-ahli kapitalis Cina dan India!
Post a Comment