Wednesday, March 4, 2009

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

SYED HAMID MALU SIDANG DUN:
BAWAH POKOK MACAM MENTERI PASOLA

Assalamualaikum,

Kalaulah Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee masih hidup, mungkin sahaja beliau tersenyum sinis dengan insiden yang berlaku di Ipoh, Selasa lalu (3 Mac 2009), apabila Dewan Undangan Negeri Perak bersidang di bawah pokok. Setidak-tidaknya Speaker DUN Perak V. Sivakumar merealisasikan kerajaan ‘Pasir Dua Butir’ dalam filem ‘Laksamana Do Re Mi’ yang bersidang di bawah pokok. Apalagi menteri-menterinya memakai topi ‘fire briged’, yang menjadi lambang sekumpulan skuad pemadam api, angkara ‘rampasan kuasa’ yang digerakkan oleh Menteri Pasola.

Jam 5.00 petang di TV1 (4 Mac 2009), Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar turut melahirkan rasa malu dengan insiden DUN Perak bersidang di bawah pokok, berikutan FRU digerakkan menghalang ADUN masuk ke Dewan. Bagaimanapun Dato’ Seri Syed Hamid tak menyalahkan Menteri Pasola yang merampas kuasa, sebaliknya menganggap Sivakumar memalukan negara kepada pandangan masyarakat antarabangsa. Dato’ Seri Syed Hamid tak berasa malu, Menteri Pasola menyebabkan sistem perundangan di Malaysia dipertikai oleh masyarakat antarabangsa kerana amalan ‘Musang Berjanggut’ : ITU UNDANG-UNDANG DATO’ YANG BIKIN!

Apalagi Menteri Luar Dato’ Seri Dr Rais Yatim yang turut bertandiang untuk jawatan Naib Presiden UMNO 24 Mac 2009 ini, turut memberitahu pelantikan Menteri Pasola itu harus mengikut titah perintah Sultan. Maknanya, dalam isu pelantikan Perdana Menteri juga Yang Dipertuan Agong berhak menolak ketua parti, justeru Dato’ Seri Dr Rais Yatim juga hendaklah mematuhi titah perintah DYMM Yang Dipertuan Agong sekiranya baginda menolak Presiden UMNO (selepas Perhimpunan Agung UMNO nanti) untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.. Pimpinan UMNO tak seharusnya mempertikai kuasa DYMM Yang Dipertuan Agong sekiranya perkara tersebut berlaku!

Musang Berjanggut yang berbangga memberitahu ‘Itu Undang-Undang Dato’ Yang Bikin’ juga menerima padah apabila terkurung di dalam peti besi, di samping dipersembahkan kepada Sultan Alam Shahbana yang diperkuda oleh Puspawangi. Kritikan yang dibuat Tan Sri P Ramlee menerusi filem-filemnya pada dekad 1950-an dan 1960-an, sekarang menjadi amalan UMNO/BN apabila pimpinannya tak menyedari: Pelanduk lupakan jerat; tapi jerat tak pernah lupakan pelanduk. Tak hairanlah Melayu Abdul Wahab dan Melayu Abdul Wahib terus ‘kena jual’ apabila amalkan undang-undang Siddiq Sigaraga dengan Tuan Penasihat yang menunggu 25%. Aduhai!

-Pak Dharma

INFO HAK ASASI MANUSIA

BELASUNGKAWA KEPADA KELUARGA:
BAPA DATIN ROZIE MENINGGAL DUNIA

Ayah pendeklamator puisi PRIMA Datin Rozie, Haji Abdul Rahman meninggal dunia jam 2.00 pagi (4 Mac 2009), selepas mengalami penakit kronik sejak beberapa bulan lalu. Beliau yang sering berulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Laksamana, Batu Caves. Haji Abdul Rahman yang juga bapa mentua Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, pernah dimasukkan ke hospital pada 7 Februari 2009 lalu dalam keadaan kritikal, tetapi tak menghalang kehadiran Dato’ Kamal Amir dan Datin Rozie menyertai deklamasi puisi memprotes PPSMI di Felda Jenderak Utara, Pahang.

Allahyarham Haji Abdul Rahman dikenali sebagai aktivis masyarakat di sini selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Laksamana hari ini (4 Mac 2009). Dato’ Kamal Amir bagi pihak keluarga isterinya mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat handai, jiran-jiran dan masyarakat persekitaran yang menziarah serta membantu urusan pengkebumian bapa mentuanya. PRIMA bersama rakan-rakan aktivis turut mengucapkan takziah kepada Datin Rozie, semoga roh Allahyarham Haji Abdul Rahman dicucuri rahmat Allah. Al-Fatihah.

FORUM MENGENAI ISU SEMASA:
LANSKAP POLITIK PERAK & SELANGOR

Perbincangan isu semasa berkaitan lanskap politik di Perak dan di Selangor akan digerakkan 6 Mac 2009 ini mulai jam 8.00 malam di Bilik Andalas, Tingkat 15 Menara PKNS, Petaling Jaya. Perbincangan yang dikenali ‘Forlit – Perkembangan Terkini Krisis Politik Perak & Selangor dan Masa Depannya’ menampilkan tiga ahli penal termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor), Profesor Abdul Aziz Bari (dari Universiti Islam Antarabangsa) dan Ibrahim Suffian (dari Merdeka Centre). Moderator yang akan memimpin forum ialah Hafez Sabri (dari Bersatu Perak), akan membawa pendekatan intelektualisme dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai mengenai salah laku UMNO/BN yang keterlaluan.

Forum yang dianjurkan oleh ‘Merdeka Centre’ ini terbuka kepada orang ramai, beritahu jurucakapnya Saifullah Zulkifli. Beliau menyeru orang ramai dan rakyat Malaysia yang insaf dengan masa depan Negara dating beramai-ramai menghadiri forum ini sebagai manifestasi rakyat menghalang kebobrokan UMNO/BN ‘merampas kuasa’ dengan mengheret institusi istana. Saifullah dalam kenyataannya menyebut, mereka yang menerima info mengenai forum berkenaan diharap menyampaikan kepada rakan-rakan serta jiran-jiran. Mereka yang mahukan keterangan lanjut bolehlah menghubungi Saifullah menerusi telefon: 013 – 3005461.

SUMBANGAN POLITIK DI MEDIA:
INSTITUSI ISTANA DIPANDANG SEPI

Pelbagai pihak melahirkan rasa kecewa apabila sumbangan pimpinan politik diberi liputan media sebagai publisiti tak terbatas, berbanding dengan bantuan institusi istana yang menemui rakyat. Peranan media juga berkait rapat dengan dominasi kuasa politik hingga isntitusi istana seolah-olah renggang dengan permasalahan rakyat, menurut kalangan penduduk di Negeri Sembilan. Beberapa penduduk di Lubuk Cina dan Kundur yang mengalami ‘kecelakaan’ bencana alam dilanda rebut baru-baru ini mengakui dkunjungi oleh Undang Luak Rembau, YTM Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman. “Ke bawah kaus YTM turut menyampaikan bantuan kepada mangsa rebut terbabit,” beritahu penduduk-penduduk di Kundur.

Pemuka-pemuka adat di Negeri Sembilan mengakui secara perlembagaan YTM Undang Luak Rembau termaktub sebagai institusi istana, yang seharusnya diberi liputan oleh pihak media. Sekalipun akhbar tempatan ‘Sinar Harian’ memberikan liputan, tetapi akhbar arus perdana yang didominasi oleh golongan politik menganggap lawatan serta penyampaian sumbangan kepada mangsa dari YTM Undang Luak Rembau dianggap bukan ‘news value’. Malah mereka juga turut mengakui kunjungan raja-raja Melayu menemui rakyat jelata, tak pernah dianggap penting oleh media seolah-olah memberi gambaran hubungan institusi istana dan rakyat mempunyai jurang pemisah, kata sumber berkenaan menambah.

PEMUDA UMNO DI KATA ‘CELAKA’
NS DILANDA BAHANA ‘KECELAKAAN’

Ketika Pemuda UMNO melatah apabila dicelakakan oleh seorang Ahli Parlimen, tiba-tiba negeri Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin iaitu Negeri Sembilan dilanda bahana ‘kecelakaan’ Apalagi yang melatah pun Khairy Jamaluddin, berikutan beliau menjadi calon Pemuda UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 24-28 Mac 2009 ini. Pesaingnya Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo melatah di Selangor, sebaliknya Dato’ Mukhriz Tun Mahathir pula mengambil pendekatan sederhana. Dalam masa Kahiry terus melatah, Dato’ Mukhriz menyusup ke Lubuk Cina dan Kundor (kawasan pilihanraya Khairy) bagi melawat mangsa ‘kecelakaan’ bencana alam iaitu rebut.

Khairy bersama Dr Khir mahu menjadi hero ‘Melayu’ melawan ‘celaka’, Dato’ Mukhriz menemui rakyat Melayu yang ditimpa ‘kecelakaan’. Begitulah! Kecelakaan menimpa jalan Seremban-Kuala Pilah berikutan tanah runtuh di Bukit Putus, hingga 14 lokasi mengalami ‘kecelakaan’ teruk. Bukan sahaja kecelakaan rebut di Lubuk Cina dan Kundor di kawasan Parlimen Rembau, kecelakaan tanah runtuh di Bukit Putus, malah di Negeri Sembilan terus dilanda kecelakaan apabila tanah runtuh di jalan Seremban-Kajang iaitu berhampiran Mantin. Pemuda UMNO melatah apabila di’celaka’ oleh Ahli Parlimen tak beradab, Negeri Sembilan pula tak mampu menolak ‘kecelakaan’ dari Allah SWT. Heh heh heh!

KOMENTAR:
Bersama Pak Parjo

SEMBAH HAMBA DI BAWAH POKOK:
AKAN DIBAWA SAMPAILAH KE MUAR.

Arakian tersebutlah ceritera akan penghulu harakah Melayu (UMNO) di Bandar Muar itu, Dato’ Kadar Tun Sulaiman Ninam Shah mahu menghalang persidangan anak-anak Melayu itu tak sampai sepurnama laagi. Adapun Dato’ Kadar bersama sahabatnya bekas Orangkaya Dato’ Mazlan Harun berasa kecewa kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu sama juga dengan jawatankuasa tata tertib harakah Melayu tak selesaikan masalah yang berserabut, berkelabut dan berkemelut. Syahdan akan Dato’ Kadar itu tiadalah ia takut dituduh menderhaka, kerana mahu menegakkan perjuangan Hang Jebat yang mengamuk di istana Melaka itu, adanya.

Syahdan berapa lama bendahara di Pasai memerintahkan kerajaan Sultan Zainul-Abidin maka bendahara pun bermohonlah pada Sultan Zainul-Abidin, katanya, “Tuanku, diperhamba hendak kembali, apa pesan Tuanku pada paduka ayahnada?” Maka kata Sultan Zainul-Abidin, “Yang sembah hamba di Melaka, tinggallah di Melaka.” (Samalah seperti kejadian di Perak itu apabila peguam Menteri Pasola memberitahu yang siding di bawah pokok itu, tinggallah di bawah pokok, kerana menyangka ‘akulah aku’). Maka Bendahara Paduka Raja pun marah lalu jawabnya, “Yang sembah hamba di Pasai itu pun tinggallah di Pasai”. Arakian yang sembaha di bawah pokok itu tak mungkin tinggal di bawah pokok seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:













HIDUP BAHASA MELAYU.

No comments: