bersama Pak Parjo...
Orangkaya pun ke pasar pesara
Diiringi segala juak-juak hulubalang
Kata sahibul hikayat tersebutlah ceritera Orangkaya Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pergilah ia ke pekan pesara semalam (25 April 2009) di tengah kota. Banyaklah segala hulubalang, juak-juak dan pengawal santeri mengiringi orangkaya itu. Arakian segala penitir-penitir canang pun memberitahu semuanya baik-baik belaka. Adapun kunjungan ke pasara pesara itu sudah menjadi adat turun temurun, kerana bekas Orangkaya Tun (Tabib) Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turun juga mereka ke pasar pesara selepas memegang jawatan, adanya.
Sebermula akan Tun (Tabib) Mahathir itu apabila bulan Ramadhan turunlah ia ke Kampung Baru membeli juadah. Bahawasanya diketahui oleh orang banyak juadah kegemaran ia adalah pulut panggang. Maka akan Tun Abdullah turun juga ia ke pasar pesara asal sahaja bulan Ramadhan, kerana sudah menjadi adat istiadat orangkaya Melayu, gerangannya. Adapun jika mereka tak turun ke pasar pesara, akan diketahui oleh orang banyak mereka tak membuat kerja, adanya. Syahdan, fakir juga ketahui akan Orangkaya Dato' Najib itu akan turun juga ke pasar pesara bila bulan Ramadhan nanti, kerana ianya mengikut adat turun temurun sahaja.
Maka pada sekali persetua pencuri terlalu buas di dalam negeri Melaka (tetapi tak sama dengan pencuri di kemudian hari yang disebut orang banyak ialah rasuah itu), orang kehilangan pun tiada berhenti lagi senantiasa malam. Telah Sultan Alauddin mendengar pencuri terlalu ganas, maka baginda pun terlalu masyghul. Telah hari malam, maka baginda pun memakai cara pakain si pencuri. Maka baginda menyamar, pergi ke pasar pesara tiada membawa teman, hanya Hang Isap dan Hang Siak juga dibawa baginda. Tatkala bertemu lima orang pencuri lalu diusir baginda,ditinggalkan oleh pencuri peti itu. Hang Siak disuruh baginda tunggui peti, manakala baginda bersama Hang Isap mengekori hingga ke Bukit Cina (mastghul juga fakir, kenapa ke Bukit Cina). Maka dibuat orang nyanyian:
Sultan Alauddin berlari-lari
Hang Isap dan Hang Siak ke mana
Maka raja menangkap pencuri
Pencuri lari ke Bukit Cina
Syahdan setakat itulah sahaja yang fakir suratkan seperti disebut dalam 'Kitab Melayu' daripada:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment