Wednesday, May 13, 2009

YASSINSALLEH BERPUISI...

Selamat Hari Jadi Adik

Pada ulangtahun kelahiranmu ini
maafkan daddy tidak dapat bersama
adik tiup lilin potong cake
terimalah hadiah hari jadi
untuk adik dari daddy:

-i-

Adab datang memberi salam
hemah menanti salam bersambut
tepak dihulur pembawa maksud
sirih dikapur air diteguk
hemah berbahasa sopan berkata.

Adat meminta bermohon muafakat
tertib berpakat mencari bulatnya
berjunjung naik berjinjang turun
datang pandang depan
pergi nampak belakang.

Itulah landas tamadun
turunan nenek moyang
warisan pesaka zaman bezaman
nilam geliga baiduri cendekia
khazanah megah bangsa berdarjat
berpualam berbahara bertahta berdaulat
bersemai di hati terukir di kalbu
terpahat di jiwa terhampar di sanubari
gemilangnya Melayu terbilang
bangsaku bertuah
bumiku petanya iman
jalannya syariah pelitanya adat
obornya kitab Allah.

-ii-

Hari ini warisan pesaka
dan segalanya yang keramat
atas nama kuasa seghairahnya
sedang dihumban ke dalam
unggun besar serakus-rakusnya
dan layulah engkau Melayu
kerana nama bangsamu itu sendiri
membawa erti tukang layu
bertaraf tukang sapu
tukang merapu, tukang ampu
tukang tipu yang tak tau malu

-Yassinsalleh
jam 1413
Mei 13, 2009
di bawah pohon
pokok si balai-balai
Ipoh, Perak DR
aku menyambut
Hari Jadi Puteri
kesayanganku
Yasleh Hani Wati.

No comments: