PAS YANG MASIH MENCARI PARTNER

PAS jelas sekali sangat kecewa dengan kejadian itu. Keraguan PAS terhadap kepemimpinan Anwar Ibrahim tidak dapat disembunyikan lagi, apabila Presiden PAS mula “menggoda” Najib Tun Razak, Presiden UMNO dan Perdana Menteri, untuk menubuhkan apa yang dipanggil “kerajaan perpaduan”. PAS tidak berasa tersinggung untuk dituduh berusaha memecahkan Pakatan Rakyat yang diraguinya itu, dengan secara berani menggoda UMNO untuk sama-sama memerintah Malaysia.
Walaupun semua alasan yang dikemukakan oleh Presiden PAS tidak boleh dipakai dan tidak boleh dipercayai, kerana gelagat politik PAS sendiri sejak menjadi pertubuhan politik menyerlahkan sejenis tabiat politik yang unik (sama uniknya dengan tabiat politik UMNO) dan meragukan, namun cadangan “kerajaan perpaduan” itu penting dalam konteks kegagalan “kepemimpinan Islam” Malaysia memberi corak yang tegas dan jelas dari segi mencapai matlamat politik Islam. Bagi Presiden PAS, cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan itu adalah “cadangan saya sendiri yang dipersetujui oleh DAP dan PKR”.

Mengapa cadangan kerajaan perpaduan itu tidak baik bagi PAS dan Pakatan Rakyat? Juga tidak berguna untuk rakyat Malaysia? PAS tentu sudah faham dengan jelas tabiat politik UMNO yang pandai menggunakan kekuatan musuh politiknya untuk memacu kekuatannya sendiri dengan menggunakan perasaan tamak dan gelojoh kuasa di kalangan musuh politiknya. UMNO tahu perasaan tamak dan gelojoh kuasa boleh diumpan dengan istilah-istilah besar yang tidak bererti bagi UMNO sendiri. Misalnya istilah perpaduan. Bagi UMNO, perpaduan itu diperlihatkan seolah-olah diperlukan oleh rakyat, dan barang siapa yang memperlekeh perpaduan adalah anti-rakyat.

Kini kerajaan perpaduan dijadikan satu projek propaganda untuk mengelirukan penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya. Dengan nada mengejek yang tajam sindirannya, sambil tersenyum Timbalan Perdana Menteri berkata dia sendiri dan UMNO tidak tahu bagaimana bentuk kerajaan perpaduan itu kerana tidak dijelaskan oleh Presiden PAS yang baginya juga tidak jelas tentang cadangannya sendiri. Dengan itu Presiden PAS diberi imej sebagai orang yang suka bermain-main dengan politik untuk mendapat publisiti, bukan mengemukakan cadangan konkrit yang sudah difikirkan dengan mendalam dan masak-masak.
Pakatan Rakyat sendiri diletak dalam keadaan serba salah kerana tidak tahu hujung pangkal. Dalam politik Islam, peranan syura dijadikan asas untuk membuat keputusan. Bagaimana pula seorang tokoh politik Islam mengetepikan para pemimpin dalam Pakatan Rakyat untuk membuat keputusan sendiri atas nama Pakatan Rakyat? Ahli politik ini kelihatan begitu gelojoh hendak mendapat kredit dan publisiti murahan dengan menonjolkan projek kerajaan perpaduannya yang dia sendiri masih kabur.
Retorik murahan begini tidak sesuai untuk dijadikan permainan politik jika sekadar untuk mengelirukan dan menimbulkan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat sendiri. Hanya kelemahan berfikir dan bertindak sahaja yang diperlihatkan, bukan ketajaman akal dan kebijaksanaan bermain politik yang benar-benar menguntungkan rakyat. UMNO dan PAS nampaknya, seperti biasa, terus bermain sunglap atas nama rakyat- [10/6/2009] Mohd. Affandi Hassan
No comments:
Post a Comment