Marah Politik Atau Marah Betul-betul?
Nik Aziz, MB Kelantan, telah beri kata dua dan amaran kepada Timbalan Presiden PAS supaya melucutkan jawatannya yang dimenanginya dengan mengalahkan Husam dan Mat Sabu. Lucut jawatan jika masih mahu bercakap atau bermimpi tentang kerajaan perpaduan. Masuk UMNO, jangan jadi sampah dalam PAS. Adakah ini marah politik atau marah betul-betul? Mustafa Ali sudah awal-awal lagi beroleh marah politik daripada MB yang masin mulutnya itu, apabila dia pandai-pandai membuat ramalan Anwar Ibrahim akan gagal merebut kuasa bulan September lepas.
Ramalan itu memang tidak perlu pun, kerana bagi Anwar jika dia betul-betul dapat kuasa memang bagus, tetapi jika tidak dapat pun sudah sangat baik kerana gertaknya itu membuat anak-anak ayam didiknya lari bertempiaran ketakutan seperti anak ayam sedang dikejar helang. Yang penting di sini ialah idea itu telah ditanam di hati rakyat, supaya mereka betul-betul bersedia untuk melakukan perubahan. Jadi Mustafa Ali diberi marah politik kerana memandai-mandai membuat ramalan yang tidak perlu itu.
Kini Nasharuddin pula kena, adakah kena marah politik atau kena marah betul-betul? Nampaknya dia kena marah betul-betul, bukan marah politik lagi. Sampai Nik Aziz beri kata dua supaya lepaskan Ahli Dewan Rakyat Bachok, kalau tidak mahu lagi berada dalam PAS. Tapi kali ini lebih menarik, kerana Mustafa Ali yang kini S/U Agung PAS, kasi amaran bahawa tidak ada rundingan antara UMNO dan PAS mengenai kerajaan perpaduan. Kalau mahu berunding, mesti dengan Pakatan Rakyat. Kenyataan Mustafa Ali penting kerana dia membawa kembali keadaan siuman dalam politik tarik tali budak-budak kampung.
Bagus sekali jika kini PAS sudah sedar bahawa dia harus bersama dengan Pakatan Rakyat, bukan tersorong-sorong mencari partner dengan UMNO yang sedang lemas. Jika pendirian Mustafa Ali adalah pendirian PAS, maka PAS berada di atas landasan yang betul. Yang penting sekarang ialah memperkuat barisan alternatif, bukan mengelirukan rakyat dan para pengikut dengan cadangan karut yang boleh memecahbelahkan muafakat yang baru hendak menjadi kuat.
Jika ini diteruskan, maka PRU 13 nanti akan memberi rakyat peluang terbaik untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN yang telah gagal membela rakyat selama lebih dari 50 tahun. Sungguh sayang jika PAS yang sudah berumur 50 tahun lebih masih berperangai budak-budak, selalu berubah tempat seperti budak-budak bermain coh. Lebih sayang seribu kali sayang kerana lagak tidak berpendirian tetap itu datangnya daripada kumpulan yang disebut golongan ulama.
Kalau mereka tidak pandai berpolitik, duduk saja di surau-surau dan lecturelah penduduk kampung yang bodoh-bodoh tentang khayalan mereka yang muluk-muluk, sambil memarahi orang lain yang bertungkus-lumus bekerja keras (walau apa pun tujuan kerja keras itu!). Huru-hara politik Melayu menjadi bertambah keliru dan kusut apabila seorang mufti memberi amaran bahawa perpecahan Melayu sangat teruk, oleh itu UMNO mesti disokong untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan PAS.
Nampaknya mufti yang seorang ini cukup seronok menjadi alat politik UMNO/BN, sehingga sanggup memberi fatwa tidak rasmi bahawa keselamatan Melayu dan Islam berada dalam tangan UMNO, oleh itu UMNO mesti diperkuatkan lagi dengan bantuan PAS yang tidak keberatan menerima politik UMNO yang menegaskan PAS tidak layak memerintah negara, oleh itu hanya mempunyai satu pilihan saja, iaitu bekerjasama dengan UMNO untuk membela Melayu dan Islam. Konon. Tukar konon itu menjadi “kunun”, seperti yang disebut oleh para pemimpin UMNO, yang akhirnya menjadi kuno.
Selagi Melayu sanggup “diperkununkan” oleh UMNO untuk percaya UMNO penyelamat Melayu dan Islam, maka selama itulah Melayu akan terus bodoh, tidak boleh berfikir dengan bebas, tidak mahu melepaskan diri daripada belenggu feudalisme UMNO yang ternyata merugikan Melayu dan Islam itu. Orang Melayu akan jadi cerdik dan berani sekali lagi jika mereka menolak UMNO dan menolak sebarang kerjasama antara UMNO dan PAS. Orang Melayu harus sedar, harus celik mata melihat bagaimana UMNO membentuk dan mewariskan kepemimpinan di kalangan mereka.
Perhatikan dengan teliti dan kritis, nescaya anda akan melihat bagaimana kepemimpinan dalam UMNO semakin lama semakin lemah, semakin tidak boleh diterima kerana terlibat dalam segala macam skandal yang tidak dapat dijelaskan dan dilepaskan dari sebarang keraguan. Perhatikan bagaimana para pemimpin UMNO mengelak daripada bercakap benar dan secara kontan berdepan dengan kebenaran. Yang diberikan mereka setiap masa bukan penjelasan, tetapi alasan yang dicari-cari apabila berdepan dengan kebenaran.
Biarlah maksud kebenaran itu tidak dijelaskan di sini kerana terlalu banyak perkara yang tidak benar itu dilemparkan kepada orang Melayu untuk diterima. Yang penting untuk difikirkan dengan kritis dan tuntas ialah kerajaan perpaduan tidak dapat menyelesaikan apa-apa masalah jika para pemimpin yang akan menerajuinya masih UMNO dan serpihan PAS yang selalu berubah pendiriannya.Bukan kerajaan perpaduan yang diperlukan oleh rakyat pada waktu ini, tetapi penyingkiran para pemimpin yang korup, tidak bermoral, pembohong dan penindas kebenaran. Itulah yang diperlukan rakyat sebenarnya.
Siapa mereka telah dikenali rakyat, oleh itu penyingkiran itu tidak menjadi masalah lagi. Jangan kusutkan perkara yang jelas ini dengan huru-hara politik yang ditimbulkan oleh para pemimpin yang korup, yang kaya wang dan kaya skandal, atau yang ditimbulkan oleh tokoh agama yang pentingkan kedudukan dan gelaran daripada bercakap benar. Kesimpulan moral yang penting ialah: UMNO tidak diperlukan lagi dalam bentuk apa sekali pun. Titik. - [18/6/2009] Mohd. Affandi Hassan
No comments:
Post a Comment