Obama hubungi Najib
Isu tahanan di Guantanamo

Panggilan selama 20 minit itu bermula 9.10 malam, merupakan perbualan melalui telefon pertama antara Obama dengan Najib, sejak kedua-dua pemimpin itu memegang tampuk pemerintahan negara masing-masing. Bercakap kepada Bernama selepas menerima panggilan itu, Najib berkata, beliau telah menawarkan hasrat Malaysia untuk menerima kedua-dua tahanan itu bagi menjalani hukuman di negara ini. Katanya, Obama telah menyatakan akan merujuk permintaan Malaysia itu kepada pihak keselamatan Amerika yang berkaitan. “Saya telah nyatakan (bahawa) kita akan tahan (jalani hukuman di Malaysia) tapi (akan) melayan mengikut norma-norma antarabangsa dan (secara) perikemanusiaan.

Dalam perbualan telefon itu, Najib berkata, Obama dan beliau turut bertukar pendapat berkenaan situasi ekonomi semasa dunia di mana Obama telah bertanyakan mengenai keadaan ekonomi Malaysia yang mengalami kelembapan pada suku pertama tahun ini. Najib berkata, beliau telah menerangkan kepada pemimpin Amerika itu bahawa ekonomi Malaysia turut menghadapi masalah akibat krisis ekonomi dunia sekarang. Namun kata Perdana Menteri, beliau turut menyatakan bahawa ada kemungkinan ekonomi Malaysia akan menyaksikan tanda-tanda pemulihan lebih positif pada suku keempat tahun ini.
Najib berkata, isu Perjanjian FTA antara Malaysia dan Amerika Syarikat juga turut dibincangkan dengan pemimpin Amerika itu. Menurut Najib, beliau telah menyatakan bahawa perbincangan mengenainya perlu diteruskan dan sekarang bukan masanya untuk dimuktamadkan. “Saya kata mungkin bukan sekarang (masanya untuk dimuktamadkan), perbincangan masih boleh diteruskan,” katanya. Najib berkata, Obama turut memuji kerajaan Malaysia kerana kejayaannya menjadikan negara ini sebuah negara Islam yang moden, progresif dan maju.
Katanya, Malaysia turut dipuji kerana pada masa yang sama sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kerajaan berjaya memastikan rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai. Najib berkata, Obama turut menzahirkan hasrat untuk melawat Malaysia pada satu masa yang sesuai dan juga melahirkan harapan untuk berjumpa beliau di Washington mahupun di sini. Pada perbualan itu, Najib berkata, Obama turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.
“Beliau (Obama) berharap dapat bekerjasama dengan baik dengan saya dan dapat meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Amerika. Saya juga telah membalas balik dan menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat,” kata Najib. Obama telah menyatakan beliau yakin dengan latar belakang saya untuk menjalankan tugas Perdana Menteri dengan baik, kata Najib. – BERNAMA
(Najib hubungi Obama atau Obama hubungi Najib; atau kenalkah dia heh heh heh!)
No comments:
Post a Comment