Soalan Cepu Emas:
Berapa Lama Najib Boleh Kekal?
Satu perkara aneh telah terjadi: beberapa orang pemuda yang didengar bercakap tentang perhimpunan agung UMNO, telah mengemukakan satu pertanyaan yang sangat pelik dan sungguh menghairankan: Berapa lama Najib boleh kekal? Jika pertanyaan itu datang daripada golongan tua (dipanggil veteran) dalam UMNO, kita boleh faham kerana mereka orang bijaksana, pandai melihat rahsia tersembunyi jauh ke depan. Ini orang muda yang bertanya seperti itu. Mengapa? Nampaknya mereka bingung dengan segala macam kontroversi yang tidak berjawab mengenai Presiden UMNO yang baru ini, yang juga Perdana Menteri baru.
Kata budak-budak muda itu, ahli MT tidak boleh lari dari bertanya tentang perkara-perkara yang boleh menyulitkan Najib Tun Razak, bertanya bukan berdepan dengan PM baru, tetapi bertanya sesama sendiri. Mereka akan dapati diri mereka (yakni ahli MT) berada dalam keadaan serba salah, kerana sudah jelas dari percakapan mereka bahawa mereka mahu berlaku jujur, berterus terang, ikhlas, tidak bermuka-muka dan seterusnya. Akan tiba masanya mereka akan meminta PM baru itu mencintai UMNO dan bangsa Melayu lebih daripada kedudukan peribadi, dengan melepaskan jawatan untuk diserahkan kepada tokoh yang lebih berwibawa.
Hanya dengan berbuat begitu saja UMNO akan dapat menghadapi pilihan raya ke-13 sebagai parti yang betul-betul mempunyai integriti. Nampaknya PRU 13 tidak akan dikendalikan oleh Najib Tun Razak, yang mungkin berada di suatu tempat yang mengejutkan, oleh itu menghalangnya daripada menghadapi pilihan raya itu. Dalam keadaan UMNO yang begitu kelam-kabut, UMNO perlukan seorang diktator yang bengis untuk menghadapi kekalutan dalam parti dan kebencian rakyat kepada UMNO. Jika Najib Tun Razak sanggup memainkan peranan itu, UMNO dan dirinya sendiri mungkin boleh diselamatkan buat sementara. Tetapi selepas itu UMNO akan hancur, melontarkan serpihannya ke pelosok negara.
Mungkin ada di antara mereka yang akan masuk penjara kerana desakan sesama sendiri. Inilah yang terjadi apabila Tun Razak meninggal di London. Kalau kita boleh percaya kepada pandangan ahli sejarah, memang hakikat sejarah untuk mengulang balik kejadian yang telah terjadi. Sejarah memang selalu berulang kembali. Berapa orang tokoh penting UMNO dipenjarakan semasa pemerintahan Tun Hussein Onn? Yang paling terkenal ialah Dato’ Harun Idris, Bapa Pembangunan Selangor yang mengasaskan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Dato’ Harun Idris menjadi saingan sengit seorang ahli politik dari Pahang. Adakah ahli politik itu yang telah membawa Dato’ Harun ke Penjara Pudu? Semua boleh berlaku dalam UMNO, oleh itu pertanyaan anak muda tadi memang berasas. (28/3/2009)
-Mohd. Affandi Hassan
-Mohd. Affandi Hassan
1 comment:
Najib boleh selamat selagi kumpulan Mahkamah Lingam bebas!
Post a Comment