Thursday, August 28, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG
:


HILANGNYA SEBUTIR PERMATA HATI
SEWAKTU MENUNGGU KEPUTUSAN P/RAYA


Assalamualaikum,


Sewaktu sibuk melayani SMS rakan-rakan termasuk Yassinsalleh, Salehuddin, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, John Pang dan Haji Abu Bakar Ninggal jam 7.00 pm (26 Ogos 2008) mengenai proses menunggu keputusan rasmi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, saya menerima panggilan dari polis Tanjung Karang. Anak saya Ikram Hafiz penuntut tahun 1, Diploma Sains Komputer Industri di Universiti Industri Selangor (Unisel) meninggal dunia akibat kemalangan motosikal. Justeru saya tak peduli lagi fasal laman blog PRIMA, kerana kehilangan sebutir permata berharga dalam keluarga lebih penting dari segala-galanya. Memang Ikram anak yang nakal, tetapi kejayaan membolos diri memasuki IPTS, Mei 2008 lalu terlalu menghiburkan.


Kami sekeluarga bergegas ke Hospital Tanjung Karang, di sebabkan lokasi kemalangan di persimpangan Ijok. Kawannya yang membonceng, Sam (Syamsul Nur Ariffin bin Nordin) dalam keadaan kritikal dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. Ketika sampai di bilik mayat Hospital Tanjung Karang, ramai rakan-rakannya dari Unisel termasuk mentor, pensyarah dan dekan fakultinya sudah menunggu. Kira-kira jam 10.00 malam semua urusan membawa balik jenazah selesai, dan sampai di rumah kira-kira jam 12.00 malam. Di pekarangan rumah berpuluh-puluh kawannya di sekolah terdahulu, jiran-jiran di samping rakan-rakannya melepak Zarul, Lantun, Shaggy, Rahman, Botak, Meon, Boy Komeng, Raja Zulkarnain, Shake dan Norman (Boy rakan melepaknya pula terkilan tak dapat datang di Kolej Lagenda) sudah menunggu dengan penuh setia.

Kawan-kawannnya di Greenwood memberitahu Ikram balik ke Gombak pada 25 Ogos 2008, sekadar bertemu kawan-kawan (dengan tak singgah balik ke rumah) termasuk rakan wanitanya sejak di sekolah menengah dikenali Fina. (Fina adalah rakan baiknya, tetapi bukanlah teman wanita, kerana setiap masalah peribadi sering diluahkan kepada rakannya itu). Menurut Fina, ketika balik menemui kawan-kawannya di Greenwood, Ikram secara bergurau memberitahu, “Aku rindu dengan korang semua, kalau aku mati nanti tak dapat lagi jumpa korang.” Bagi Fina, Ikram memang gemar bergurau dengan kawan-kawannya, justeru ungkapan berkenaan seolah-olah perkara biasa apabila bertemu sekali sekala dengan kawan-kawannya.

Sejak pagi 26 Ogos 2008, Ikram dikatakan sibuk mengemas bilik di asrama dengan tak hiraukan makan tengahari. Apabila diajak kawan-kawannya Mail, Jan, Hakim, Zaki dan beberapa lagi keluar makan, beliau memberikan pelbagai alasan. Dalam keadaan sehari suntuk tak menjamah makanan, beliau mengajak rakannya Sam menghantar balik ke Taman Seri Gombak. Di samping itu beliau menelefon kakaknya Nurul Salwa (graduan Unisel) memberitahu mahu balik ke rumah untuk mengambil buku, tetapi minta dirahsia daripada saya, kira-kira jam 3.30 petang. Ketika itu saya mengadakan pertemuan dengan aktivis PRIMA di Hulu Kelang.

Ketika dibawa balik ke rumah pihak hospital membekalkan kapas serta menyuruh beli lebih banyak, kerana bimbang pendarahan akan berterusan. Sebaliknya apabila sampai ke rumah, tak setitik pun darah mengalir dari luka-lukanya. Ketika dimandikan di masjid al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak jam 10 pagi (27 Ogos 2008), ternyata Ikram tak makan sehari suntuk kerana sewaktu disucikan, tak setitik pun najisnya keluar. Wajahnya tetap tenang (tak kelihatan seperti mengejut, disebabkan dia meninggal di tempat kejadian), malah bagaikan tidur nyenyak (bukan seperti menahan kesakitan). Seluruh pegawai masjid termasuk imam, imam 2, siak, bilal, malah disertai lebih 100 orang rakan-rakan turut melakukan solat jenazah. Begitulah.

Sekalipun Ikram dianggap nakal oleh guru-guru sekolah sejak di sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah teknik, tetapi ketika majlis korban di masjid, beliau tampil membantu kerja-kerja yang diberikan kepadanya. Apabila bulan puasa, dia tampil bersama aktiviti masjid, dengan perangai ‘gila-gilanya’. Sikap nakal Ikram, menyebabkan dia pernah dibuang sekolah pada 2002 menjelang tiga bulan untuk peperiksaan PMR, akibat merit yang tinggi dicampurkan oleh gurunya sejak di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Justeru beliau mengambil peperiksaan PMR dengan tak bersekolah dalam tempoh tiga bulan (bagaimanapun tetap lulus). Bagaimanapun beliau kembali bersekolah dengan sokongan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Dato’ Ahmad Bujang.

Dilahirkan pada 12 April 1988, Ikram memasuki sekolah rendah dengan pencapaian cemerlang ketika Darjah 1, 2 dan 3. Bagaimanapun selepas Darjah 4 pelajaran merosot, di samping banyak sangat tekanan daripada guru-guru, sekalipun beliau pernah terpilih sebagai perserta terbaik perkhemahan pasukan beruniform sekolah-sekolah rendah negeri Selangor ketika menuntut dalam Darjah 6. Pada 27 November 1999, Ikram turut bersama saya jam 3.00 pagi menemui Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (ketika itu Timbalan Perdana Menteri) di Seberang Jaya (Permatang Pauh), malah menyertai perjumpaan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri) pada jam 11.00 tengahari tarikh berkenaan ketika kempen pilihanraya 1999.

Dalam perjalanan membawa jenazah Ikram Hafiz untuk dikebumikan di kampung di Jelebu (disebelah kubur datuknya almarhum Dato’ Sati Haji Daud Sheikh Haji Ahmad), Setiausaha Politik Perdana Menteri yang juga bekas aktivis belia Dato’ Suhaimi Ibrahim menelefon. Di samping menyampaikan ucapan takziah, Dato’ Suhaimi juga turut terkedu dengan musibah yang menimpa keluarga saya. Rakan-rakan yang turut menyampaikan ucapan takziah termasuklah Dato’ Suhaimi, bekas pimpinan Pemuda PKR Mohd Ezam Mohd Noor, bekas Ahli Parlimen Seputeh Liew Ah Kim, bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM) Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, aktivis budaya Yassinsalleh, aktivis teater L Mankadir Shamsi, aktivis UMNO Perlis, Dr. Amar Hassan, aktivis PKR, Mazlan Musa, Haji Bakar Ninggal dan Speaker Dewan Undangan negeri Selangor Teng Chan Khim.

Sebaik sahaja jenazah dibawa balik ke rumah, Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz turut menziarah jam 2.00 pagi, diikuti oleh bekas editorial ‘Balai Muhibbah’ (di Jabatan Perdana Menteri) Zakaria Bidin. Adik angkat saya Ir Adnan Khalid dan Azwa yang juga aktivis Pekida, memang terus bertungkus lumus menguruskan jenazah dibawa balik dari Hospital Tanjung Karang ke rumah di Taman Seri Gombak. Haji Abdullah Yusuff pula menuruskan segala urusan di masjid, malah jam 11.00 malam pegawai masjid Haji Baharuddin sudah menelefon saya bagi membuat persiapan. Tak hairanlah semua berjalan lancar bagi urusan memandikan jenazah di masjid. Seawal 6.00 pagi (27 Ogos 2008) rakan-rakan dan jiran muka berduyun-duyun datang termasuk Cikgu Mariam (isteri bekas aktivis PKR Dr Wahid Suhaimi), pegawai DBP Suffian Abdul Rahman dan aktivis PRIMA Zainal Abidin Rasidin.

Penulis veteran S. A. Alattas (Pak Habib) menziarah di masjid, bersama editor Buletin Rakyat, Norzah Haji Kepol dan suaminya Nasiri Hamid (yang memanggil Ikram sebagai ‘Anakku Sazali’ kerana sifat manjanya), malah seorang yang saya tak kenali memeluk erat saya dengan tangisan hiba, di samping mengakui beliau juga pernah kehilangan ‘permata’ yang berharga tiga bulan lalu. Sebelum van jenazah bertolak balik ke Jelebu, sebuah bas dari Unisel sampai dengan rakan-rakannya, wakil VC, pensyarah, dekan dan bahagian hal ehwal murid bagi menziarah. Mereka dari Unisel terkejut menatap wajah Ikram bertukar seolah-olah tersenyum dengan kunjungan rakan-rakannya, kemudian kembali normal apabila ditutup semula.

Di kampung, berpuluh-puluh sanak saudara, sahabat handai dan jiran-jiran menunggu Ikram. Malah ketika diturunkan dari van jenazah mereka berebut-rebut untuk mengusung ke rumah peninggalan almarhum datuknya. Jenazahnya disembahyangkan buat kali kedua di rumah almarhum datuknya dengan diketuai oleh imam 2 masjid jamek daerah Jelebu, Haji Salleh Noordin. Sebelum zohor jenazah Ikram selamat dikebumikan, dengan talkin dibacakan oleh imam masjid Kampung Teriang, Haji Isa. Hampir 200 sanak saudara, jiran-jiran dan sahabat handai saya turut menghantar jenazah, sekalipun saya tak sempat untuk melayani mereka (disebabkan faktor saya kurang sihat).

Jam 3.00 petang (27 Ogos 2008), ayah Sam menelefon isteri saya, memberitahu Sam juga meninggal dunia di Hospital Sungai Buluh, di samping dikebumikan malam ini juga (27 Ogos 2008) iaitu dalam tempoh beberapa jam sahaja selepas Ikram disemadikan (sebagai rakan sekuliah yang hidup dan mati bersama sejak tiga bulan sahaja berkenalan). Malam ini (28 Ogos 2008) pelajar-pelajar Unisel bersama kalangan pensyarah dan dekan memberikan dua kumpulan bagi menghadiri tahlil di rumah saya (di Seri Gombak) dan di rumah ayah Sam (di Sungai Besi). Jam 3.30 petang (27 Ogos 2008) rakan sebilik Ikram di asrama, Zaki dalam sendu yang berterusan meminta isteri saya mengatakan ‘tidak’ berikutan berpulangnya Ikram ke rahmatullah.

Terpaksa pula isteri saya memujuk (menerusi telefon) Zaki supaya menerima realiti, Ikram sudah selamat disemadikan sebelum zohor. Memang bagi saya Ikram ‘permata hati’ yang hilang, kerana biasanya beliaulah memandu kereta sekiranya saya mahu balik ke kampung atau perjalanan jauh. Malah beliau cekap menukar tayar kereta sekiranya pamcit, di samping melakukan kerja-kerja lasak berbanding abangnya sendiri. Apalagi Norzah bersama suaminya Nasiri, lebih senang memanggilnya ‘Anakku Sazali’ kerana sikapnya yang nakal (kadangkala berasa marah), tetapi manja dan mesra (hingga terasa menghiburkan).

Hari ini (28 Ogos 2008) abang Ikram yang menghidap autisme, Syamsul Anwar mula merasakan kehilangan ‘permata hati’ keluarga kami, apabila memakai kot sepanjang hari. Syamsul yang tak mampu meluahkan isi hati secara normal, sekadar menunjukkan simbolik kepada rasa kehilangan itu. Malah ketika Ikram terbabit dalam kemalangan jalanraya pertama ketika di Tingkatan 3, Syamsul Anwar yang dipanggilnya ‘Caah’ mengusap-usap simen di kakinya. Di samping itu, kucing kesayangan Ikram juga, turut menghidu-hidu pakaiannya yang terbabit dalam kemalangan (masih berbungkus plastik) berkenaan.Bagi pihak keluarga saya, mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, pihak hospital, dan semua yang terbabit menguruskan jenazah hingga selamat disemadikan. Semoga Allah cucuri ke atas rohnya dan rakannya Sam yang sama terbabit dalam insiden langgar lari tersebut. (Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali).

-Pak Dharma.
UCAPAN TAKZIAH UNTUK
ALLAHYARHAM IKRAM HAFIZ
Takziah kepada Pak Dharma. Saya berada di Permatang Pauh. Bagaimanapun saya tumpang sedih dengan musibah ke ats keluarga Pak Dharma. Saya memahami Ikram Hafiz masih muda dan pelajar yang bakal menumbangkan sesuatu kepada negara. Harap Pak Dharma bersabar. Al-Fatihah, semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. - (Dato' Suhaimi Ibrahim - Setiausaha Politik Perdana Menteri - 27 Ogos 2008)
Salam takziah kepada Pak Dharma sekeluarga di atas berita yang amat memilukan. Semoga tabah hadapi ujian berat ini. Minta maaf saya tidak dapt ziarah kerana berada di Jakarta. Wassalam. - (Ezam Mohd Nor-Bekas Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri-28 Ogos 2008)
Wak ucapkan takziah. Semoga tabah dan banyak bersabar. - (Nahar Kamsani - 27 Ogos 2008)
Takziah. Kesedihan yang dalam dengan berita sedih. Semoga keluarga saudara bersabar dengan kejadian ini. Saya juga turut bersedih dan bersimpati. - (Liew Ah Kim - Bekas Ahli Parlimen Seputeh - 27 Ogos 2008)
Saya merasa sedih dan mengucapkan takziah dengan berita berpulangnya ke rahmatullah anak kesayangan Pak Dharma. Diharap Pak Dharma tabah menghadapi ujian ini. Al-Fatihah - (Abdul Rahman Othman - Bekas Timbalan Presiden PKR - 27 Ogos 2008)
Saya mengucapkan takziah ke atas kematian anak kesayangan saudara. Terimalah sebagai takdir dengan kesabaran. Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya. - (Teng Chang Khim - Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor - 28 Ogos 2008)
INFO HAK ASASI MANUSIA:

CORAT CORET PERMATANG PAUH
UMNO GANAS MACAM HARIMAU LUKA

Catatan: Yassinsalleh
Sejak pagi (26 Ogos 2008) provokasi UMNO sudah jelas membawa pendekatan ganas macam harimau terluka pda pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Di mana-mana sahaja unsur-unsur menakutkan para pengundi sudah digerakkan, termasuk oleh pasukan beruniform. Jam 10.00 pagi misalnya, di pekan Permatang Pauh sebuah helikopter turun rendah menyebabkan bumbung rumah seorang penduduk diterbangkan. Bagaimanapun pemilik rumah terbabit sudah pun membuat laporan polis. Berdekatan rumah terbabit juga berlaku insiden petugas PKR dibelasah oleh petugas UMNO, tetapi pasukan uniform yang berkawal di situ tak mengambil sebarang langkah positif. Kekecohan semakin memuncak pada 1.30 tengahari apabila pengundi hantu yang diimport mula dibawa dengan 20 buah bas di Mengkuang Titi.

Bukan sahaja bas, malah beberapa buah van juga terpaksa ditahan oleh petugas-petugas PKR kerana mengangkut pengundi hantu yang diimport. Mereka didapati ialah warga Indonesia yang diperalatkan untuk menjadi ‘pengundi hantu’. Kira-kira jam 1.30 tengahari Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dijangka memberi sokongan moral kepada calon BN Dato’ Arif Shah Omar Shah, bergegas-gegas menuju ke lapanganterbang, untuk balik ke Kuala Lumpur (mungkin kecewa dengan laporan terhadap peluang BN). Pimpinan Pemuda UMNO Dato’ Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin dilihat di Seberang Jaya. Secara angkuh mereka letakkan kereta menghalang lalu lintas tak jauh dari lokasi membuang undi.

Provokasi mereka terpaksa disambut oleh petugas-petugas PKR dengan mengejek-ejek kelakuan pimpinan Pemuda UMNO yang kononnya mahu membawa budaya dan teladan yang baik kepada generasi muda. Justeru barulah pasukan beruniform nasihatkan pemandu kenderaan terbabit mengalihkan kereta yang dinaiki oleh pimpinan Pemuda UMNO itu. Di sebelah petang pasukan beruniform menakut-nakutkan pengundi Cina di Kampung Tiong Wah di Seberang Jaya, dengan mengadakan kawat dalam tiga perbarisan seolah-olah akan berlaku kekacauan, kesasauan dan kegagauan!

3.00 pm kira-kira 3,000 FRU dihantar ke Pusar Perjumlahan Undi di dewan Tuanku Bainun, Institut Aminuddin Baki. Sebelumnya 2.30 pm Ahli Parlimen Padang Serai, Gubalakrishnan bersama dua orang anaknya dipukul anggota pasukan beruniform atas alasan melakukan keganasan menghalang bas-bas khas membawa ‘orang luar’. Pasukan beruniform seolah-olah menjadi hakim memastikan penumpang-penumpang bas terbabit ialah orang awam, bukannya pengundi hantu yang diimport untuk mencemarkan sistem demokrasi di Malaysia. Malah insiden berkenaan turut mendedahkan beberapa buah bas dari Melaka yang mengimport pengundi hantu ialah ‘warga Indon’.

Bagaimanapun dilaporkan petugas-petugas BN di beberapa pondok undi turut meninggalkan lokasi seawal jam 3.30 petang, malah terus balik ke negeri masing-masing. Maknanya petugas-petugas BN meninggalkan pos, setelah menyedari peluang untuk mencapai kemenangan adalah tipis, nipis dan kepis.Keputusan pilihanraya kecil itu calon PKR Dato’ Seri Anwar terus mendomonasi Parlimen Pauh dengan majoriti lebih 15,000 mengatasi calon BN Dato’ Arif Shah, di samping calon AKIM Hanafi Mamat hilang wang pertaruhan. Justeru agenda Dato’ Seri Mohd Najib selaku Pengarah Pilihanraya mahu menimbulkan provokasi ternyata kecundang, terkejang dan terkedang.

(Ketika menaip semula catatan ini dari SMS Yassinsalleh yang mengikuti pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, pihak polis Tanjung Karang menelefon jam 7.00 malam 26 Ogos 2008, memberitahu anak saya Ikram Hafiz meninggal dunia di Ijok, Selangor terbabit dalam nahas jalanraya, insiden langgar lari. Ikram Hafiz memang turut membantu membuat lay-out laman blog PRIMA selama ini).

INFO SASTERA & BUDAYA:

SEBUTIR BINTANG LAGI HILANG
KERDIPAN MENYILAU FILEM MELAYU.

Hari ini saya membaca laporan akhbar (28 Ogos 2008) seniman Dato’ Ahmad Mahmud meninggal dunia semalam (27 Ogos 2008), iaitu ketika saya juga dalam keadaan serba hiba, dengan berpulangnya ‘permata hati’ saya Ikram Hafiz ke rahmatullah. Ahmad Mahmud memang nama besar dalam industri perfileman Melayu, malah saya pernah mengenali beliau secara dekat ketika sama-sama menghadiri ‘Pekan Filem’ di kota Padang, Sumatera Barat pada 1990. Berpulangnya Ahmad Mahmud ke rahmatullah semalam, hilanglah sebutir lagi bintang mengerdip yang terus menyilau perfileman Melayu. Sekalipun usaha menjatuhkan nama Ahmad Mahmud dibuat oleh media kerana sikapnya yang berterus terang di masa lalu, tetapi bakatnya sukar ditolak dan status sebagai bintang besar juga tetap menyerlah.

Meletakkan Ahmad Mahmud popular sebagai Dr Ismadi dalam filem ‘Ibu Mentuaku’ juga seolah-olah mahu mengenepikan ketokohannya. Sebaliknya Ahmad Mahmud lebih dikenali sebagai Hang Jebat menerusi filem ‘Hang Tuah’, Koperal Ismail dalam filem ‘Matahari’, Adi dalam filem ‘Isi Neraka’ malah popular dengan wataknya menerusi ‘Adikku’ dan ‘Iman’. Malah Ahmad Mahmud digandingkan dengan semua primadona Melayu termasuk Rokiah, Saadiah, Hashimah Yon, Maria Menado, Latiffah Omar, Zaiton, Sarimah dan Noor Azizah. Ketika menghadiri ‘Pekan Filem’ di Sumatera Barat, Ahmad Mahmud diletakkan menginap bersebelahan bilik penginapan saya di Hotel Muara. Justeru apabia menunggu jadual yang diatur, kami akan berbual panjang di hadapan bilik penginapan berkenaan.

INFO SUARA PROLITAR:

BERSIAP UNTUK MUZIUMKAN UMNO
KALAU PEMIMPIN TERUS BERSIKAP PONGAH.


Tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Lebih 31,000 pengundi di Permatang Pauh dari sejumlah melebihi 58,000 pengundi berdaftar menyokong DSAI. Maknanya, semua kempen UMNO, eskploitasi media dan agenda jabatan-jabatan tertentu sia-sia belaka. Sebabnya, ialah keberangan orang Melayu. UMNO perlu sedar sekarang keberangan orang Melayu semakin sukar dibendung. Kalau UMNO masih juga mahu tunjuk pongah, bersiaplah untuk dimuziumkan. – (SMS; 27 Ogos 2008; 04: 21: 39 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PEMBESAR MELAYU SUDAH DIINGATKAN
SEDARLAH KEPUTUSAN DI PERMATANG PAUH

Sebermula akan Orangkaya Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam kecewa dengan keputusan pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Maka katanya, sukarlah untuk menarik hati mereka yang ‘di atas pagar’. Syahdan bukanlah Orangkaya Dato’ Seri Mohd Ali sahaja berasa kecewa, Orangkaya Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek bagi mengubati hatinya yang duka nestapa, meminta anak-anak buahnya jangan bersedih. Heh heh heh! Maka Orangkaya Jerlun, Dato’ Mukhriz Mahathir pula ingatkan pembesar-pembesar lain, perlulah dibuat perubahan berdasarkan keputusan di Permatang Pauh itu, adanya. Arakian Dato’ Arif Shah Omar Shah yang tewas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, memberitahu unsur-unsur perkauman kian menular menyebabkan sukar baginya bertahan.

Alkisah maka surat dari Melaka itu pun dibaca oranglah. Setelah diketahui ertinya, terlalu sukacita raja China menengar dia. Maka sagu itu pun dibawa orang ke hadapan raja China. Maka titah raja China pada Tun Perpatih Putih, ‘Bagaimana membuat dia ini?’. Maka sembah Tun Perpatih Putih, ‘Digelek tuanku, pada seorang sebiji, disuruh oleh raja kami menggelek dia, hingga sarat sebuah pilu; demikian peri banyaknya rakyat raja kami. Tiada seorang jua pun tahu bilangannya.’ Maka titah raja China, ‘Besar raja Melaka ini; banyak sungguh rakyatnya, tiada berapa bedanya dengan rakyat kita. Baiklah ia ku ambil akan menantuku’. Maka titah raja China pada Li Po, ‘Sedang raja Melaka lagi kuasa menyuruh rakyatnya menggelek sagu, istimewa aku pula; dan beras yang aku makan itu hendaklah dikupas olehmu, jangan lagi ditumbuk,’ tetapi bukanlah berunsur perkauman, kerana mahu bersaing kepandaian jua seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:









HIDUP BAHASA MELAYU.

Monday, August 25, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG

Assalamualaikum,

KEMENANGAN ANWAR DITUNGGU-TUNGGU
MANIFESTASI MELAWAN PERHAMBAAN MINDA

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh besok (26 Ogos 2008), majoriti rakyat tak peduli sama ada PKR bersaing sengit dengan BN atau AKIM, tetapi setiap warga yang normal menunggu-nunggu kemenangan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Misalnya, anak muda yang tak berparti, Nasiri Hamid, 35 tiba-tiba sahaja berasa berang apabila TV menyiarkan laporan Mohd Saiful Bukhari Azlan bersumpah laknat di masjid sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil berkenaan. Maknanya, anak muda Melayu tak akan berang sekiranya pilihanraya diselenggarakan secara bersih, sebaliknya taktik yang dibawa UMNO memang satu pendekatan yang pongah, bobrok dan congah menggunakan media kerajaan.

Apalagi sebelumnya Menteri Penerangan Dato’ Ahmad Shabery Cheek meminta media tak membawa pendekatan pongah, bobrok dan congah pada pilihanraya kecil itu, tetapi Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menampilkan diri lebih menonjol daripada calon UMNO sendiri, Dato’ Arif Shah Omar Shah. Justeru ianya dilihat seolah-olah Dato’ Seri Mohd Najib calon di Permatang Pauh, menyebabkan keberangan tersebut sukar dibendung. Langkah Dato’ Seri Mohd Najib menabur wang dengan menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau di seluruh Parlimen Permatang Pauh dengan peruntukan melebihi RM4 juta pada 24 Ogos 2008, menghina umat Islam di kawasan berkenaan seolah-olah mereka boleh dibeli dengan nilai wang ringgit.

Pagi ini (25 Ogos 2008) Haji Abu Bakar Ninggal menelefon jam 7.00 pagi, mahu tahu perkembangan di Permatang Pauh. Keberangan beliau juga turut diluah apabila Dato’ Seri Mohd Najib menjadikan ‘sumpah laknat’ sebagai senda gurau, di samping mencabar Dato’ Seri Anwar ‘bersumpah laknat’. Mereka yang tak sabar-sabar mahu azab Allah disegerakan banyak disebut di dalam al-Quran iaitu pada umat-umat terdahulu, kata seorang aktivis tabligh dari Jelebu, Abdul Latiff Sheikh Haji Ahmad, 68. Misalnya, umat Nuh Najiullah a.h. memperlekeh nabinya membina bahtera jauh dari laut dengan tak takut ancaman banjir yang dijanjikan kepada mereka yang kufur. Bagaimanapun memang rata-rata rakyat Malaysia di semua peringkat umur menunggu-nunggu Dato’ Seri Anwar menang di Permatang Pauh.

Ketika berkunjung ke rumah seorang kawan semalam (24 Ogos 2008), anak gadisnya yang masih menuntut di sekolah menengah, tiba-tiba menukar channel TV apabila berita Buletin Utama menampilkan gambar Dato’ Seri Mohd Najib. Keberangan anak gadis berkenaan seakan-akan sama seperti berlaku ketika insiden 1999, apabila gambar Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad diconteng anak-anak muda. Keberangan anak-anak muda terhadap penampilan Dato’ Seri Mohd Najib seolah-olah signal awal kepada UMNO heh heh heh menjelang Jun 2010! Justeru parti tak diperlukan lagi pada naratif pilihanraya, sebaliknya semua pihak menunggu-nunggu kemenangan Dato’ Seri Anwar sebagai manifestasi suara rakyat melawan perhambaan minda. Barangkali!

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


‘PENGUNDI HANTU’ MENYELINAP MASUK
PENGUNDI SUDAH BERSEDIA MENOLAK UMNO

Mesyuarat khas Angkatan Muda PKR di Permatang Pauh semalam (24 Ogos 2008) memberi fokus kepada strategi menangkap ‘pengundi hantu’ yang dikatakan sudah menyelinap masuk, beritahu pemerhati politik Yassinsalleh. Katanya, sentimen pengundi menjelang petang ini (25 Ogos 2008) rata-rata optimis Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi pilihan rakyat di Permatang Pauh. “Realitinya untuk memperoleh majoriti besar melebihi 20 ribu memang sukar berikutan kemasukan ‘pengundi hantu’, tetapi fakta ‘pengundi hantu’ memang sudah banyak pengalaman kepada PKR,” jelas Yassinsalleh selanjutnya. Beliau juga menambah, strategi untuk menangani ‘kepocongan’ pengundi hantu sudah disusun berikutan dengan msyuarat khas itu.

Sebelum itu beritahu Yassinsalleh lagi, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali ketika berucap dalam ceramah di Padang Ibu malam kelmarin (24 Ogos 2008) memberi jaminan akan membanteras ‘pengundi hantu’ hingga ke akar umbi. Kami cukup pengalaman tangkap hantu, kami ada formula baru nak tangkap hantu, tegas Azmin Ali dalam ceramah tersebut, kata Yassinsalleh. Di samping itu Yassinsalleh juga memberitahu, fakta calon UMNO fasih berbahasa Mandarin tak memberi sebarang kredit dalam masa keberangan rakyat terhadap UMNO melonjak. Menurutnya, Dato’ Ahmad Boestamam yang boleh berbahasa Mandarin juga sekadar menang sekali di Parlimen Setapak pada pilihanrayan 1959.

INFO SASTERA & BUDAYA

SAJAK

Pelita Yang Tak padam-Padam

Walau ribut taufan menderu
Halalintar membelah menggegar bumi,
Walau gelap lembab membeku
Di muka jalan medan bakti!

Namun pelita tetap bernyala
Berapi-api merah membara
Menjadi suluh hasrat bangsa
Tak padam sepanjang masa.

Kini engkau rebah ke bumi
Besok aku diikat paksa
Berganti-ganti kita pergi
Sampai akhir keturunan bangsa.

Namun pelita menyala juga
Di dalam dupa hati nubari
Bercahayanya hidup bagai geliga
Tak padam sampai abadi.

Walau jasad hidup merana
Walau dihimpit ditindas ganas
Pelita cinta kan hidup jua
Menyinar jiwa hasrat bebas.

-Keris Mas
(Mastika, Januari 1949)

INFO SUARA PROLITAR

NAJIB HIPOKRIT SECARA JELAS
MAHU PERJUANG HAK MELAYU?

Secara realiti siapa hipokrit dalam perjuangan bangsa Melayu? Ketika pimpin Pemuda UMNO, Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) yang desak tarik balik gelaran ‘Bapa Kemerdekaan’ kepada Tunku Abdul Rahman Putra. Najib juga mahu buang monomen Tunku di depan Parlimen. Inikah pejuang bangsa Melayu sejati? Kalau bukan bangsa Melayu yang pertahankan Tunku sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’, siapa lagi? Tunku juga pernah berkata, buat apa nak buang monomen tu. Kalau tak suka letakkan saja di depan kediaman beliau. Pernahkah Najib meminta maaf selepas melukakan hati Tunku dan bangsa Melayu? – (SMS; 25 Ogos 2008; 16:32: 09 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

SEMUA PEMBESAR JADI ‘PEMURAH’
SELEPAS ITU HILANG SEGALA BICARA
Arakian sekalian orang banyak di Permatang Pauh melihat ramailah orangkaya-orangkaya berkunjung ke kampung mereka. Sebermula akan Orangkaya Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein pun menungganglah ia (motosikal) seperti disuratkan orang hari ini 23 Syaaban 1429 (atau disebut orang banyak 25 Ogos 2008). Maka tercenganglah segala penduduk di Permatang Pauh, kerana orangkaya-orangkaya menteri terlalu ‘pemurah’ dan ‘baik-baik belaka’, selepas itu hilanglah segala bicara. Syahdan tahulah mereka selepas 24 Syaaban 1429 (atau 26 Ogos 2008), semua orangkaya-orangkaya menteri tak akan lagi berkunjung ke kampung mereka, adanya. Arakian akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri itu Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak pergilah ia menziarah jurugambar Mohd Sairien Nafis yang terlantar, kononnya dipukul oleh anak-anak buah bekas Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebermula maka titah Sultan Muhammad, ‘Apalah ditakutkan raja Melaka? Kerana aku patut kerajaan di Melaka itu, kerana aku tua, lagi aku sudah hendak dirajakan oleh paduka marhum di Melaka. Berlengkaplah orangkaya sekalian; aku hendak mengambil kerajaan Melaka.’ Maka tatkala itu Sultan Muhammad di atas gajah kenaikannya yang bernama Kepenyang. Maka titah baginda, ‘Lihatlah kelak jikalau tiada aku langgarkan gajahku (kalau di hari kemudian dipanggil kereta kebal, gamaknya) ini di balairong raja Melaka itu.’ Arakian dikuis baginda gajah itu, dilanggarkan di balairong baginda sendiri. Maka kata Sultan Muhammad, ‘Demikianlah kelak balairong Melaka’. Maka segala orang Pahang pun diam tiada berbunyi melihat kelakuan Sultan Muhammad (seakan-akan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib di Permatang Pauh jua, adanya) seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!
WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


DARI LAMAN BLOG:



KU LI SUDAH KE PERMATANG PAUH
PAK YA BERKEMPEN DI PENTAS PKR


Assalamualaikum,


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz menelefon malam ini 10.00 pm (24 Ogos 2008) meminta betulkan alamat rumahnya No 1 Jalan Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail bagi Majlis Deklamasi Puisi Merdeka PRIMA, 29 Ogos 2008 ini. Beliau baru sahaja balik dari Permatang Pauh mengiringi Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membuat kunjungan menemui penyokong-penyokong BN dalam siri membantu calon UMNO Dato’ Arif Shah Omar Shah (yang juga adik bekas ahli koporat Dato’ Amin Shah). Selepas kunjung ke Permatang Pauh menurut Dato’ Kamal Amir, Tengku Razaleigh menggesa diperkemaskan jentera BN lebih berlipat ganda, sekiranya mahu mencapai kemenangan. Malah Dato’ Kamal Amir sendiri mengakui Permatang Pauh bukanlah mudah kepada UMNO.



Berdasarkan laporan kawan-kawan, pengkritik sastera sekitar dekad 1960-an Haji Yahaya Ismail juga ke Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu. Berbeza dengan penyair Yassinsalleh ke Permatang Pauh sejak hari penamaan calon 16 Ogos 2008, Haji Yahaya pada peringkat awalnya sekadar memasarkan buku terbarunya ke utara. Tup tup beliau terbabit membantu kempen PKR, malah dikatakan turut tampil di pentas memberikan ceramah sebagai manifestasi keberangan rakyat terhadap kebobrokan UMNO. Memang Yassinsalleh banyak memberi info kepada sekretariat PRIMA mengenai perkembangan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Keberangan rakyat pula bukan sekadar kebobrokan UMNO, malah ditambah dengan laporan media yang menyebabkan orang Melayu menyampah, menyumpah dan menyeranah UMNO. Begitulah!


Misalnya, hari ini (24 Ogos 2008) laporan berita TV merasakan ianya maklumat sensasi apabila isu letupan menggegar pejabat Puteri UMNO seolah-olah mahu menonjol keganasan di pihak lawan. Justeru saya menghubungi kawan lama bekas Ahli Parlimen Seputeh, Liew Ah Kim yang pernah mengalami insiden digegar letupan ketika kempen pilihanraya 1974. Ah Kim yang bertanding bagi kerusi DUN Sungai Ujong di Negeri Sembilan, di cabar oleh parti komponen BN mengadakan rapat umum berdekatan kedai menjual keranda di Jalan Paul, Seremban. Beliau menyambut cabaran tersebut dengan membatalkan rapat umum (ketika itu rapat umum dibenarkan) yang sudah diatur di Lobak. Ketika berucap di pentas satu letupan (bom buatan sendiri) meledak hingga menyebabkan ramai yang cedera.


Berdasarkan laporan semasa ketika itu calon BN sudah mendahului Ah Kim mengikut peratusan, justeru peluang beliau untuk menang adalah sukar sama sekali. Sebaliknya provokasi BN memang memakan diri, apabila keberangan rakyat mengubah peratusan di saat akhir, menyebabkan Ah Kim menewaskan calon BN. Pengundi pada 1974 pun mampu menilai iaitu keganasan tak mungkin dilakukan oleh ‘kambing’ yang minum di hilir, kerana yang mengeruhkan air memang harimau disebabkan ia minum di hulu. Justeru apalagi pengundi yang hidup pada era IT yang memperoleh maklumat menerusi laman web dan laman blog. Keberangan rakyat bukan sekadar kepada UMNO, malah media juga sudah semakin dibenci, dicaci dan dikeji – gara-gara heh heh heh!

-Pak Dharma.


INFO HAK ASASI MANUSIA:


IMAM BERI PENJELASAN TERBUKA
‘SUMPAH LAKNAT’ DI MASJID WILAYAH



Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Ramlan dilaporkan akan mendedahkan isu ‘sumpah laknat’ yang dilafazkan oleh Muhd Saiful Bukhari yang mendakwa diliwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim di hadapan beliau sehari sebelum penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Dalam laporan yang disampaikan petang ini (24 Ogos 2008) ke sekretariat PRIMA, Tuan Haji Ramlan tampil di pentas PKR malam ini (24 Ogos 2008) bagi menjelaskan kekeliruan dalam isu yang membabitkan kemurnian agama Islam. Menurut laporan berkenaan, sebelum ini imam masjid berkenaan sudah membuat pengakuan kepada beberapa orang cendekiawan Islam berkaitan pembabitan beliau menerima ‘sumpah laknat’ pemuda terbabit. “Malam ini Tuan Haji Ramlan akan memberi penjelasan di pentas PKR,” beritahu sumber berkenaan.


INFO SASTERA & BUDAYA:


PENDEKLAMATOR & PENYAIR WANITA
MENYERIKAN MAJLIS BACA PUISI PRIMA



Beberapa penyair dan pendeklamator wanita akan memeriahkan ‘Majlis Deklamasi Puisi Merdeka’ PRIMA di kediaman jurucakapnya Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz di No 1 Jalan Dato’ Suleiman 8, Taman Tun Dr Ismail pada 29 Ogos 2008 ini mulai jam 8.30 malam, kata aktivis perfileman Yassinsalleh. Memberitahu sekretariat PRIMA, beliau yang terkenal dengan sajaknya ‘Ikan-Ikan Di Kaca’ sekitar dekad 1970-an antara penyair dan pendeklamator wanita yang akan hadir termasuklah Dr Seri Intan Mokhtar, Yasleh Rita Ayu, Nurul Salwa dan Rozzie Kamal. Katanya, beberapa orang penyair dari Perak dijangka hadir berikutan persetujuan pimpinan penulis di Perak, Malim Ghozali Pk memberi jaminan akan turut berpuisi bersama aktivis PRIMA. “Mungkin Perak juga akan menghantar pendeklamator dan penyair wanita mereka,” beritahu Yassinsalleh.


INFO SUARA PROLITAR:


SUMPAH MACAM JADI MAINAN
NAJIB, TAJOL SAMA DENGAN SAIFUL

Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) sudah bersumpah. Tajol Rosli (Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali) juga bersumpah. Siapa lagi gerangan mahu bersumpah? Sumpah sudah jadi macam mainan, tak fikir pula ianya mempersenda-senda. Tetapi secara tak sedar, tahap pemikiran Najib dan Tajol samalah dengan Mohd Saiful Bukhari apabila mahu bersumpah. Janganlah diminta-minta sangat disegerakan laknat, kerana Allah SWT Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi. – (SMS, 24 Ogos 2004; 16:23:05 – Man Cincai, Selayang, Selangor).

PEKASAM BIASA PADA ANWAR
MUNGKIN NAJIB MUNTAH BELILAH!

BN dah ketoyong. Road blokcs ada di mana-mana. Di Taiping pun (sepatutnya tak kena mengena langsung dengan pilihanraya kecil di Permatang Pauh) ada road block. Orang PKR tengah tunggu apa pulalah lagi pekasam UMNO yang BN nak limparkan pada Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim). Makin banyak pekasam dilimpar, bertambah selesa Anwar (kerana sudah lama dia makan ikan kering, sejak dipecat daripada jawatan TPM). Anwar tak hairan lagi dengan pekasam dan ikan kering, takut-takut Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Razak) yang muntah belilah kena pekasam. (SMS; 24 Ogos 2008; 18:04:22 – YS, Permatang Pauh, Pulau Pinang).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


ORANG KAYA MENJADI ‘PEMURAH’
‘SENJATA TERAKHIR’ DI PERMATANG PAUH.


Sebermula akan Orangkaya Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memberitahu orang banyak sumpah yang dilafzakannya itu adalah senjata terakhir. Arakian, adapun Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib itu bersumpahlah ia dalam masjid di Kampung Guar Perahu pada 21 Syaaban 1429 (atau disebut orang banyak 24 Ogos 2008). Maka berkatalah sahabat-sahabat fakir, masygollah segala anak-anak buahnya, kerana bimbang ‘senjata terakhir’ itu ‘senjata makan tuan’, adanya! Syahdan Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib juga memberitahu penyerahan bantuan untuk masjid dan surau di Permatang Pauh. Maka terlalu besarlah jumlahnya sumbangan wang itu menjelang pilihanraya kecil, tak terpemenai banyaknya. Arakian tertanya-tanyalah orang banyak kenapa Orangkaya Dato’ Seri Mohd Najib menjadi ‘pemurah’ ketika pilihanraya kecil ini, adanya!


Alkisah tersebutlah ceritera Dang Raya Rani dengan keempat perempuan sertanya itu pun lenyaplah. Ada kadar sesaat, maka kelihatan seorang perempuan tua, bongkok belakangnya, berlipat tiga. Maka ia berkata pada Tun Mamat, ‘Adapun segala kata-kata tuan hamba itu sudahlah dipersembahkan oleh Dang Raya Rani pada Puteri Gunung Ledang. Akan titah tuan puteri, “Jikalau raja Melaka hendakkan aku perbuatkan aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang ini. Akan peminangannya, hati nyamuk tujuh dulang, hati kuman tujuh dulang, air mata setempayan, air pinang muda setempayan, dan darah raja semangkuk, dan darah anak raja bernama Raja Ahmad itu semangkuk. Jikalau boleh demikian, kabullah tuan puteri akan kehendak raja Melaka itu, kerana raja Melaka itu tiba-tiba sahaja jadi pemurah”, seperti disurat orang dalam ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Saturday, August 23, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PERIHAL BERDOA DI SISI BAITULLAH
MOHON HANCURKAN SEGALA KEMUNGKARAN

Assalamualaikum,

Tak diduga SMS pagi ini (23 Ogos 2008) dari Dr Harun Kidam dari Kelebang di Melaka, disebabkan lama juga tak mendengar khabar. Rupa-rupanya aktivis budaya dari Melaka ini baru balik dari Mekah al-Mukarramah menunaikan umrah sejak lebih seminggu lalu. Alhamdullillah! Dr Harun beritahu sempat juga berdoa di sisi Baitullah memohon Allah SWT memberi perlindungan kepada pejuang-pejuang yang menolak perhambaan minda, di samping kemenangan berpihak kepada penentang kemungkaran pada pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Insya Allah! Semalamnya (malam 22 Ogos 2008), Haji Yahaya Ismail menelefon beritahu buku barunya sudah terbit satu analitikal terhadap kebobrokan yang semakin bobrok dalam lanskap politik sekarang. Aduhai!

Tiba-tiba sahaja pihak media arus perdana berasa kecewa dengan kata dua yang diberi oleh Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin hari ini (23 Ogos 2008) kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan pengamal media berikutan kes Exco Perak yang didakwa terbabit dengan rasuah menjelang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Tak perlulah BPR dan pengamal media berasa marah, berah dan gerah apabila Dato’ Seri Ir Mohd Nizar mahu gunakan haknya menyaman. Kalau pihak terbabit berasa ianya untuk menegakkan kebenaran bukan konspirasi atau provokasi, tak payahlah minta maaf apa-apa. Justeru tunggulah sahaja tindakan susulan kerajaan negeri Perak sama ada akan menghantar notis saman atau sebaliknya. Heh heh heh!

Mungkin sahaja usaha memang digerakkan di Perak bagi menumbangkan kerajaan negeri berikutan kedudukan 31-28 di DUN negeri Perak selepas PRU12. Tetapi dalam tempoh beberapa bulan tentulah sukar bagi Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali mahu kembali mengimpikan kerusi Menteri Besar yang terlucut akibat keberangan orang Melayu terhadap persepsi UMNO yang konon benteng mempertahan martabat Melayu. Pada dekad 1960-an dulu di Terengganu pun memakan masa hampir tiga tahun barulah UMNO berhasil menumbangkan kerajaan PAS menerusi pintu belakang (bukan menerusi pilihanraya), sekalipun UMNO + MCA sekadar memenangi 7 kerusi DUN sahaja.

Pada 1969 UMNO juga hampir kehilangan kerusi Menteri Besar di Perak apabila keputusan pilihanraya ialah 19-21. Bagaimanapun PPP yang mendominasi 12 kerusi DUN gagal memperoleh sokongan DAP + Gerakan + PAS yang menang 9 kerusi ketika itu. Justeru pimpinan generasi muda Melayu yang bimbang kehilangan UMNO, tak perlu bimbang dengan lanskap politik di Perak, kerana kerusi Menteri Besar bukanlah ‘fardu’ untuk dikembalikan kepada Dato’ Tajol Rosli. Begitu juga di Selangor bukanlah ‘fardu’ dikembalikan kepada Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo kerusi Menteri Besar, sekiranya generasi muda Melayu mahukan lanskap politik yang baru.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


UMNO PERLU TAMPIL KREATIF
BUKAN KOKOK BERDERAI-DERAI

Pemimpin UMNO sekarang perlu mencermin diri bagi menilai sumbangan kepada agama, bangsa dan tanahair dibandingkan dengan Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menurut aktivis masyarakat Yassinsalleh. Beliau yang juga penganalisis politik berada di Permatang Pauh sejak 16 Ogos 2008 lalu, bagi mengikuti perkembangan pilihanraya kecil sehingga 26 Ogos 2008 ini berkata, majoriti pemimpin UMNO sekarang bukan sahaja tak aktif, malah kurang kreatif dan tak mampu melahirkan idea proaktif. Menurut Yassinsalleh, apabila dibawa menyertai pimpinan kerajaan pada 1982, Dato’ Seri Anwar memberikan idea penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Takaful, urusniaga pajak gadai Islam, di samping penerapan nilai-nilai Islam. “Ketika di kementerian pertanian Dato’ Seri Anwar mempelopori ‘pasar tani’ bagi memasarkan produk pertanian di bandar,” Yassinsalleh menambah.

Seterusnya Yassinsalleh turut mengingatkan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan, kementerian tersebut dinamakan oleh Dato’ Seri Anwar yang sebelumnya dikenali ‘kementerian pelajaran’. Seklaipun idea Dato’ Seri Anwar dimansukan dengan mengembalikan semula namanya kepada ‘kementerian pelajaran’ tetapi banyak ideanya seperti wujudnya peperiksaan UPSR di peringkat rendah dan PMR di peringkat menengah digerakkan pada period Dato’ Seri Anwar. Kata Yassinsalleh lagi, apabila memegang jawatan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar mempelopori mata wang Malaysia daripada ($) kepada RM yang terus digunapakai oleh BN sekarang. “Justeru pemimpin UMNO sekarang perlulah tampil membawa idea yang kreatif bagi menghalang Dato’ Seri Anwar, bukan berkokok berderai-derai ekor bergelumang taik” jelasnya.

PEMIMPIN BUKAN MELAYU TAMPIL
PERTAHANKAN ISU TANAH PENDUDUK.

Penduduk-penduduk di Kampung Puah, Setapak kecewa dengan sikap pimpinan UMNO yang enggan mempertahankan tanah warisan mereka diambil oleh kerajaan atas alasan ‘pembangunan’. Beberapa orang penduduk mendakwa majoriti mereka yang terbabit dengan pengambilan tanah berkenaan ialah komuniti Melayu yang mendiami kawasan berkenaan sejak lebih 40 tahun. Menurut penduduk-penduduk terbabit, tanah mereka digunakan untuk membina landasan komuter yang menghubungkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Selayang Indah di Selayang. Bagaimanapun penduduk-penduduk terbabit mengakui Ahli Parlimen Batu, Tian Chua tampil bersama komuniti Melayu di Kampung Puah mempertahankan hak mereka.

“Bagaimana Ahli Parlimen bukan Melayu tampil membela tanah warisan orang Melayu, sebaliknya pimpinan UMNO bersetuju menyerahkan tanah berkenaan atas alasan demi pembangunan,” beritahu penduduk terbabit kepada sekretariat PRIMA hari ini (23 Ogos 2008). Seterusnya mereka menganggap pimpinan UMNO tempatan mengambil sikap berdiam diri bagi melindungi kepentingan sendiri. Justeru kata mereka, sikap pimpinan UMNO seperti itulah mendorong kepada ‘keberangan rakyat’, malah bersedia untuk meletakkan parti itu sebagai bahan sejarah di muzium. “Kalau isu pengambilan tanah orang Melayu dipertahankan oleh pemimpin bukan Melayu, apalah gunanya lagi UMNO kepada orang Melayu,” menurut penduduk-penduduk yang berasa berang.

INFO SASTERA & BUDAYA

SAJAK

Ratapanku!

Terpekor, terkenang … daku,
Kerana mengenangkan zaman yang lalu,
Zaman yang lalu di waktu silam,
Di waktu Melayu berkuasa separuh alam.

Tetapi sekarang ke manakah hilang,
Hilang tak nampak walaupun bayang-bayang,
Kerana Melayu empunya hati,
Percayakan bangsa dagang membuat pekerti.

Oh! Zaman bilakah lagi,
Inikah ketika bersatu hati,
Bersatu untuk meninggikan mutu,
Kerana menebus hak Melayu,
Baharulah senyap segala RATAPANKU.

-Mohd Yusuf Harun
LEMBAGA MALAYA
13 September 1940.

INFO SUARA PROLITAR

SUMPAH NAJIB DI PERMATANG PAUH
MENCARI JALAN YANG SEMAKIN JAUH!

Najib (Dato’ Seri Mohd Najib Razak) sumpah bagi (pihak) dia sendiri. D ppl demand he sud sworn on behalf of his wife as well. U remember Najib’s ‘supreme mistake’ I did mention sometime back? Najib has has now open up the first zip to expose himself. Bersumpah membuat dia makin gali lubang makin dalam. Apabila Najib bersumpah di Permatang Jaug, maknanya dia mencari jalan yang semakin jauh. Our observation on PRK Permatang Pauh: BN leaders cant hide their feeling of hopelessnes even when giving motivation talks to party workers. Anwar (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) is simply invincible, a super oscar winning actor! – (SMS, 22 Ogos 2008; 00:25:11 – YS, Permatang Pauh, Pulau Pinang).

KEJAHATAN DIBALAS KEJAHATAN
SIAPA LEBIH ANIAYA BERBUAT DUSTA?

Mafhom firman Allah: “(Pahala dari Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah (ayat 123 surah al-Baqarah). Mafhom firman Allah: “Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang membuat-buat kedustaan terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang aniaya itu tidak mendapat keberuntungan (ayat 21 surah al-An’aam). – (SMS, 23 Ogos 2008; 10:54:02 – Alba, Jelebu, Negeri Sembilan).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

CABARNYA SEGALA ORANG MUDA
APABILA BENDAHARA TAK BERDAYA.

Syahdan akan menantu Orangkaya Perdana Menteri itu, Orangkaya Khairy Jamaluddin memberitahu orang banyak, bahawa bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan membenarkan kerajaan atas angin (atau disebut orang kemudian hari, Amerika Syarikat) membina pengkalan tenteranya di negeri ini. Maka katanya ia penipuan besar kepada rakyat jelata sekaliannya yang hina dina. Arakian Orangkaya Khairy Jamaluddin itu mencabar bekas Orangkaya Dato’ Seri Anwar meletak jawatan sekiranya gagallah ia menubuhkan kerajaan. Syahdan fakir pun diberitahu oleh orang banyak, ketika negeri atas angin itu tak bina pangkalan di negeri Melayu pun, ia seolah-olah berkuasa juga. Setiap perintah negeri atas angin seolah-olah dipatuhi juga, adanya. Apabila negeri atas angin itu menuduh ‘paksi keganasan’, maka beberapa orang anak Melayu berserban ditahan, atau diburulah ia.

Arakian tersebutlah sekalian orang Melaka pun larilah. Sultan Mahmud pun berleps diri. Maka bendahara ditandu orang dibawa lari, Selamat Gagah nama orang menandu itu. Syahdan Feringgi pun datang berturut-turut. Maka kata bendahara pada Selamat Gagah, ‘Balik, balik; langgarkan aku pada Feringgi.’ Tiadalah diberi oleh anak cucunya. Maka kata bendahara, ‘Ceh, cabarnya segala orang muda-muda ini (mungkin seperti ia maksudkan kepada menantu Perdana Menteri itu). Apa dayaku telah tepok, jikalau aku lagi baik, matilah aku dengan Melaka ini.’ (atau diberitahu orang banyak bagaikan semangat Tengku Razaleigh Hamzah, adanya). Maka Sultan Mahmud pun undurlah ke Ulu Muar. Baginda diam di Pagoh, dan Sultan Mahmud diam di Batu Hampar, dengan berkota di Bentayan, seperti disurat oleh ‘Kitab Melayu’ daripada:


HIDUP BAHASA MELAYU!

Friday, August 22, 2008

WARGA PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
S U A R A < < < > > > P R I M A

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG


PM UMUM HARGA PETROL TURUN
RM2.40 SATU LITER BERMULA BESOK

Assalamualaikum,

Ketika berbalas-balas SMS dengan bapa saudara saya Yassinsalleh petang ini (22 Ogos 2008), warta berita TV1 jam 6.00 petang melaporkan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penurunan 30 sen satu liter harga petrol bermula besok (23 Ogos 2008) atau bermakna harga bagi minyak petrol ialah RM2.70 sekarang kepada RM2.40. Alhamdullillah! Penurunan harga petrol pula kebetulan menjelang tiga hari sebelum pengundian dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 ini, justeru ianya sebagai usaha memikat pengundi-pengundi. Entahlah! Apalagi laporan kajian ‘Merdeka Centre’ sebuah badan bebas yang membuat tinjauan secara ilmiah menyebut, sokongan pengundi-pengundi di Permatang Pauh kepada BN (bukannya UMNO) dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hingga semalam (21 Ogos 2008) ialah sekadar 20% sahaja.

Mungkin sahaja penurunan harga petrol mampu meningkatkan sokongan, tetapi sukar menolak keberangan rakyat apabila Exco Kerajaan Negeri Perak diganggu dengan penangkapan BPR menjelang pilihanraya kecil itu. Sekalipun bos besar BPR Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan memberi alasan tak kena mengena dengan pilihanraya kecil, tetapi ‘terkilat ikan di air, orang Melayu sudah tahu jantan betinanya’. Maknanya, keberangan orang Melayu apabila sampai kepada peringkat ‘terasak perahu ke tebing’, kurnia jawatan tinggi selaku ‘Laksamana’ kepada Hang Jebat pun tak diendahkannya lagi. Malah Dato’ Seri Ahmad Said Hamdan sekadar bersuara mahu menyiasat jalan LRT2, tiba-tiba sahaja mengaku ianya selamat digunakan oleh pengguna jalanraya.

Hari ini khutbah Jumaat (22 Ogos 2008) di Masjid al-Khairiyyah Taman Seri Gombak khatib mengimbau kembali tarikh 21 Ogos (1969) sebagai insiden getir Masjidil Aqsa di Palestin dibom oleh regim Zionis di Israel. Terkedulah khatibnya Tuan Haji Abdullah apabila kenang Masjid al-Aqsa kiblat pertama umat Islam diceroboh oleh golongan kafir yang dipenghulukan oleh Amerika Syarikat (disebalik topeng Israel). Justeru dimintalah umat Islam bersatu, bersatu dan bersatu. Aduhai! Bagaimanalah mahu bersatu, kalau Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Syed Hamid Albar pun mengeluh, pertandingan bagi merebut jawatan dalam pimpinan UMNO Bahagian seolah-olah berperang dengan musuh yang mesti ditentang habis-habisan.

Apalagi di kalangan umat Islam yang kononnya tersibar ke seantero dunia, amalan ibadat pun berbeza-beza di kalangan mazhab, di samping di luar mazhab. Misalnya di Mekah al-Mukarramah sendiri solat subuhnya tak berdoa qunut, berbanding dengan mazhab Shafie. Tak hairanlah ketika solat Jumaat hari ini (22 Ogos 2008), makmum di sebelah saya tegak berdiri ketika jemaah lain ruku’, kemudiannya ruku’ apabila jemaah tegak untuk bersujud. Sewaktu jemaah sujud, makmum terbabit duduk terlebih dahulu, hanya sujud ketika semua jemaah duduk antara dua sujud. Begitulah! Justeru apabila khatib menyeru bersatulah umat Islam bagi menentang penghinaan Yahudi ke atas Masjidil Aqsa (lokasi Rasullullah mikraj ke langit dalam peristiwa isra’ mikraj), masih juga terdapat perbezaan dalam ibadatnya.

-Pak Dharma.

INFO HAK ASASI MANUSIA


ISU PELAJAR BUKAN MELAYU KE UiTM
TAK SAMA DATO’ ONN BUKA PINTU UMNO

Menteri Pelajaran Dato’ Seri Hishamuddin Hussein diminta memantapkan pimpinan sendiri sebelum membuat tanggapan orang lain ‘tak layak menjadi pemimpin’ menurut aktivis masyarakat dari Pahang L Mankadir Shamsi. Katanya, Dato’ Seri Hishamuddin dalam pimpinan Pemuda UMNO sendiri pun kurang popular, malah kadangkala seolah-olah dibayangi oleh naibnya Kahiry Jamaluddin. L Mankadir mengulas kenyataan Dato’ Seri Hishamuddin yang dilaporkan media hari ini (22 Ogos 2008) yang menganggap Dato’ Seri Anwar Ibrahim tak layak menjadi pemimpin kerana pendirian yang tak konsisten dalam isu membenarkan bukan Melayu memasuki UiTM. “Kemasukan pelajar bukan Melayu disyorkan ke UiTM tak sama dengan Dato’ Onn Jaafar membukakan pintu keahlian UMNO kepada bukan Melayu,” beritahu L Mankadir.

Seterusnya L Mankadir menambah, perjuangan mempertingkat pendidikan Melayu banyak diperjuangkan di luar UMNO. Katanya, kalau Dato’ Seri Hishamuddin merasa dirinya ‘layak digelar pemimpin’ melebihi Dato’ Seri Anwar, apakah penghargaan kementeriannya terhadap pejuang pendidikan Melayu termasuk pimpinan guru-guru seperti Cikgu Mohd Noor Ahmad, Cikgu Mohd Noor Hamid dan Cikgu Ahmad Abdul Rahman. Serentak dengan itu L Mankadir mencabar menteri itu menafikan pembabitan Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali dalam gerakan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). L Mankadir kemudiannya memetik laporan sejarah penubuhan UKM berdasarkan ‘Sambutan Ke 25 UKM’ pada 1995:

“Akhirnya, apabila Universiti Malaya gagal mengubahkan dirinya menjadi ‘universiti kebangsaan’ pada tahun 1967, sepertimana yang diharapkan oleh pada pejuang bahasa dan pelajaran Melayu, maka kampus universiti tersebut telah menjadi medan perjuangan untuk memaksa pihak kerajaan menubuhkan sebuah universiti kebangsaan yang baru yang berasingan daripada Universiti Malaya. Kali ini, perjuangan tersebut telah dipelopori oleh para pensyarah Universiti Malaya sendiri, yang terdiri daripada Zainal Abidin Wahid, Abu Bakar Hamid, Tunku Shamsul Bahrin, Zain Abdul Majid, Dr Ghazali Abdul Rahman dan Syed Husin Ali.”

INFO SASTERA & BUDAYA

SAJAK

Masa Yang Telah Silam

Di suatu masa yang telah silam
Masa yang tak dapat diambil kembali
Melayu masyhur ke serata alam
Hidup mewah gagah sekali.
Pahlawan Melayu nama terbilang
Ditakuti oleh lain-lain perwira
Melawan musuh tidak membilang
Remuk mati kerana negara.
Tetapi sekarang jauh bezanya
Kemasyhuran yang demikian tidak ada lagi
Nasib Melayu tak tentu halanya
Penganjurnya mabukkan pangkat yang tinggi.
Sungguh sedih sungguh kasihan
Melayu sekarang lemah dan layu
Nasib diserahkan kepada Tuhan
Sedikit ikhtiar pun tak dibuat lalu.
Dengan demikian bagaimanakah daya
Umat Melayu nak mengecap kemajuan?
Manakala pemimpinnya tiada berupaya
Memimpin bangsanya mengikut haluan.
Sekarang jalan tinggal suatu
Untuk membangunkan Melayu yang ada
Bangsa Melayu metilah bersatu
Bergerak berdasarkan semangat muda.

-BAYU
Majlis, 15 Mac 1940


(BAYU ialah nama pena Abdullah Sani bin Raja Kecil atau lebih dikenali Dato’ Ahmad Boestamam, dilahirkan pada 30 November 1920 di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Sekitar dekad 1960-an, beliau menggunakan nama penanya RUHI HAYAT dengan menghasilkan 17 buah novel, antaranya termasuklah ‘Gelap Menjelang Terang’ (1956), ‘Tujuh Tahun Malam Memanjang’ dan ‘Rumah Kaca Digegar Gempa’. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen bagi penggal 1959-1964 mewakili Front Sosialis bagi kawasan Setapak).

INFO SUARA PROLITAR

ASINGKAN ANTAH DAN BERAS:
TUNGGU LUMAT DI PERMATANG PAUH

Latest P. Pauh (Permatang Pauh) by-election. BN bertambah; tapi tambah FRU dan anggota keselamatan. Permatang Pauh underdogs themes – bawah aak etc cannot be separated from national issues. Starting with Anwar as a wounded bull in d ring. Pak Lah/Najib/UMNO chainlinks of heh heh heh will snap soon after this. Phasa pilih mengasingkan antah dan beras untuk dilumatkan terjadi ‘u just cant believe’ akan berjadi-jadian. Inevitable! D writings r all on d wall! Anwar riding on it ‘gleefully’! (SMS; 22 Ogos 2008; 01:03:07 – Yassinsalleh, Permatang Pauh, Pulau Pinang).

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

DIBERI MALU SEMASA BERJAWATAN
PINTU DIKOTA UNTUK MUSUH BERPELUANG!

Hatta akan bekas Orangkaya Menteri Luar Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail ditugaskan mengetuai Lembaga Tata Tertib harakah Melayu (atau disebut orang banyak kemudian hari UMNO). Arakian berkatalah bekas orangkaya menteri itu akan lembaga yang diketuainya menerima 226 aduan rasuah sejak harakah Melayu(UMNO) itu bermesyuarat. Maka masyghollah bekas Orangkaya Tengku Ahmad Rithauddeen kerana banyaknya berlaku rasuah pemilihan ketua-ketua Melayu, adanya. Syahdan akan Tengku Rithauddeen itu barulah sahaja balik ke rumah, kerana beberapa lamanya dirawat tabib. Maka tiadalah ia mengelak daripada tugasnya itu, kerana bekas orangkaya menteri itu terlalu sayang kepada harakah Melayu. Maka ditelitilah segala aduan yang diterima, sekalipun bekas orangkaya menteri baru sahaja sembuh daripada sakitnya.

Syahdan akan Sang Rajuna Tapa pun berkirim surat ke Jawa, kerana berasa malu anak perempuannya difitnah berbuat jahat, lalu disula di hujung pasar. Surat Sang Rajuna Tapa itu berbunyi, ‘Jikalau Betara Majapahit hendak menyerang Singapura, hendaklah segera datang, kerana hamba ada belot dari dalam kota’. Arakian Sang Rajuna Tapa bukanlah ia rasuah, tetapi belot kerana dirinya diberi malu. Setelah Betara Majapahit menengar bunyi surat bendahari raja Singapura itu, maka baginda pun segera menyuruh berlengkap tiga ratus jong, lain daripada itu kelulus, pelang, jongkong, tiada terbilang lagi; ada dua keti rakyat Jawa yang pergi itu. Maka sekaliannya pun belayarlah. Telah datang ke Singapura, maka peranglah dengan orang Singapura. Telah dinihari, maka Sang Rajuna Tapa pun membukakan pintu kota, kerana semasa berjawatan tinggi ia diberi malu oleh rajanya seperti disurat dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:


HIDUP BAHASA MELAYU!