Tuesday, May 19, 2009

DARI LAMAN BLOG...

Tak takut lakukan kemungkaran
Maknanya tak takut kepada Tuhan
Assalamualaikum,

Komunisme memang menolak kewujudan Tuhan, tetapi pimpinan gerakan radikal dalam perjuangan nasionalisme tak menerima idealisme berkenaan, menurut bekas aktivis tentera rakyat yang bergerak di hutan Perak sekitar dekad 1950-an dikenali Pak Chad. Kesempatan pertemuan saya dengan beliau semalam (18 Mei 2008) di sebuah perkampungan pedalaman di Jelebu banyak menelusuri nostalgia perjuangan bangsa. Pak Chad tak terkejut apabila diberitahu mengenai rakan-rakannya yang menetap di perkampunagn perdamaian Sukhirin di selatan Thailand.


Beliau tak terkejut apabila diberitahu mengenai warga penduduk perkampungan perdamaian Sukhirin mengadakan kenduri tahlil 40 hari selepas kematian Abu Samah Kassim dari Regimen Ke 10 di bawah pimpinan Rashid Maidin. Abu Samah (gambar ketika dirawat di hopital di selatan Thailand) berasal dari Lancang, Pahang merupakan cicit Dato' Setia Pahlawan Orangkaya Semantan, Dato' Bahaman menyertai gerakan militan apabila rumahnya diserbu oleh kolonial British. Beliau meninggalkan seorang balu Siti Nurkiah Mahmud Baginda dikenali Tun Aminah iaitu adik Zainab Mahmud Baginda (isteri Musa Ahmad) yang dibenarkan pulang ke tanah air sekitar dekad 1980-an.

Mereka berdua adalah kakak kepada bekas Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Osman Abadi (gambar,Tun Aminah). Kronologi ini bagi menilai sumbangan mereka dalam gerakan nasionalisme apabila dilabel sebagai komunisme. Malah Pak Chad mengakui, kalangan pejuang radikal Melayu mengakui apabila komunisme menolak kewujudan Tuhan, maknanya manusia sanggup melakukan rasuah, kepongahan, keerongosan dan kejahatan seolah-olah membelakangkan kewujudan Tuhan. Katanya 'Tuan Rashid' (panggilan kepada pimpinan Rashid Maidin) pernah menemuinya di Jelebu, sebelum bertolak menunaikan fardu haji adalah hafiz al-Quran.

"Tuan Rashid ke Mekah adalah atas sumbangan Tun Dr Mahathir di bawah urusan Tabung Haji," kata Pak Chad. Panggilan 'komrad' tak wujud dalam pejuang radikal Melayu, tetapi penghormatan kepada pimpinan dengan memanggil mereka tuan. Pak Chad juga mengenali 'Tuan Abdullah' (Abdullah CD), 'Tuan Musa' (Musa Ahmad) dan Kaklong Shamsiah (Shamsiah Fakeh) antara pimpinan radikal Melayu. Memang beliau menghormati keberanian mereka meneruskan perjuangan, sekalipun beliau menyerah diri selepas kemerdekaan Tanah Melayu. (gambar-gambar dengan ihsan laman blog http://www.matamin.blogspot.com/)
Pak Chad berasal dari Seri Menanti, Kuala Pilah menyertai gerakan militan ketika berusia 16 tahun sekitar awal dekad 1950-an. Beliau terbabit dalam gerakan Pemuda API, di samping pimpinan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) ialah Shamsiah Fakeh dari Ampang Tinggi berdekatan dengan kampungnya. Begitulah!

-Pak Dharma.

MOHD AFFANDI HASSAN MENULIS...

Angkuh dan kepongahan UMNO:
Kerana dapat kerbau ditanjul hidung

(Pandangan Mohd Affandi Hassan, sasterawan dan pengkritik sastera Melayu tersohor. Pesara PTD dan bekas peawai tinggi kementerian, beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Pernah beberapa kali memenangi hadiah karya sastera, tetapi beliau menolaknya sebagai protes kepada kebobrokan dalam pimpinan budaya dan persuratan yang dianggap dipengaruhi kuasa pemerintah)

Majlis Tertinggi BN pada 18/5/2009 mengambil masa lima jam untuk membuat keputusan “penting” tidak bertanding di DUN Penanti dan tidak mahu campur tangan dalam politik Perak. Kedua-dua keputusan ini membuktikan keangkuhan UMNO/BN (gambar hiasan) dalam menghadapi masalah rakyat. Alasan untuk tidak bertanding ialah kerana tidak mahu membazir wang rakyat (sungguh lemak manis ucapan palsu ini!) kerana kos pilihan raya sangat mahal; tetapi yang lebih penting tidak mahu ikut gendang PKR dan Pakatan Rakyat yang mempermainkan demokrasi sesuka hati mereka walaupun perbuatan itu bertentangan dengan Perlembagaan.

UMNO/BN ada maruah, tidak bertindak macam budak-budak seperti yang dilakukan oleh PKR. Jika itulah alasannya, maka benarlah sangkaan orang/rakyat selama ini UMNO/BN itu sangat angkuh, kasar dan biadab, menghina rakyat, berbohong kepada rakyat tanpa segan silu, dan segala macam kata-kata kesat lain-lain yang dilemparkan oleh rakyat pada waktu ini. Rakyat ingin tahu apakah agenda pemimpin baru, Majlis Tertinggi UMNO yang baru dipilih, Kabinet Baru (yang dicanang berjiwa rakyat) dan yang paling utama apakah sikap UMNO/BN terhadap desakan rakyat supaya rakyat Perak diberi hak mereka untuk menentukan kerajaan mereka dalam pilihan raya baru.

Dengan keputusan yang dicapai oleh MT BN itu jelaslah bahawa desakan rakyat itu diketepikan dan tidak mahu didengar pun. Rakyat kini diberitahu, UMNO tidak mahu melepaskan Perak dalam keadaan apa sekali pun, hatta jika perlu dengan mendaruratkan politik Perak; ambillah Penanti yang tidak bermakna sedikit pun bagi UMNO/BN. Kata para pemimpin UMNO, kami dapat kerbau besar yang boleh disuruh-suruh dan dilapah-lapah; kamu (PKR) hanya dapat puyuh tua yang tak ada bulu lagi, sudah berhenti bertelur pun.

Kami kenduri kerbau; kamu sapu tahi puyuh! Itulah makna keputusan MT BN tidak bertanding di DUN Penanti. Jelas sekali keangkuhan UMNO/BN menghina rakyat. Rakyat dijeritkan bahawa pemimpin “baru” adalah tawaduk, rendah diri, mengutamakan rakyat, menghormati rakyat dan segala ucapan kosong tidak bermakna yang dilandaskan atas nama rakyat. Jika benarlah mereka tawaduk, rendah diri dan lain-lainnya itu, mengapa mereka tidak mahu menghadapi rakyat? Menjelaskan kepada mereka (rakyat) program istimewa yang dirancang untuk rakyat; menerangkan masalah negara sekarang dari segi politik dan ekonomi.

Kerana keangkuhan UMNO/BN (gambar hiasan), rakyat tidak langsung diberi peluang untuk mendengar penjelasan dan penghujahan para pemimpin UMNO/BN. Sudah jelas pula betapa UMNO/BN tidak dapat menerima kekalahan; padahal ada perkara lebih penting daripada kemenangan, iaitu penjelasan setulus-tulusnya kepada rakyat tentang masalah negara dan bagaimana rakyat akan dilindungi dalam program khusus untuk mereka. Inilah peluang untuk UMNO/BN menjadi wira rakyat yang sebenarnya.

Tetapi dengan melarikan diri, maka rakyat sudah dapat lihat dengan jelas bahawa mereka hanya didekati jika sokongan mereka diyakini akan membawa kemenangan kepada UMNO/BN. Tidakkah itu muslihat politik yang sangat jahat dan tidak jujur? Dengan memperlekeh rakyat, mempersendakan demokrasi (demokrasi digunakan jika kemenangan dikira pasti), dan mengelirukan rakyat tentang hak-hak rakyat dalam Perlembagaan (sekiranya UMNO kalah maka pembangkang melanggar Perlembagaan), maka semua retorik UMNO yang dijeritkan selama ini tidak bermakna, palsu, dan tidak boleh dipercayai sama sekali.

Sungguh sayang, peluang untuk mendekati rakyat sebagai wira mereka yang jujur dan benar-benar prihatin dilepaskan begitu saja semata-mata kerana perasaan sombong dan angkuh, dan tabiat buruk tidak boleh menerima kekalahan. Memang betul UMNO sudah tua, tidak berdaya lagi memanjat bukit kecil sekali pun, tetapi kelemahan itu boleh dijadikan kekuatan sekiranya para pemimpin UMNO/BN tidak berbohong dengan mengaku berterus-terang akan kelemahan mereka, tidak cuba menipu dengan berkata benar bahawa selagi mereka berkuasa mereka akan memberi layanan sama rata kepada semua rakyat dengan berani pula menghadapi rakyat dalam pertandingan merebut kepercayaan rakyat itu.
Dalam konteks inilah slogan Satu Malaysia ternyata palsunya, dihancurkan oleh UMNO/BN sendiri yang tidak berani menghadapi cabaran (mereka sudah lupa pemimpin mereka dulu pernah menulis buku berjudul “Menghadapi Cabaran”!) untuk bertemu rakyat secara kontan dengan memberitahu mereka bahawa pelindung mereka yang sangat lemah ini masih kuat mempertahankan hak mereka untuk membuat pilihan.

Itulah baru pemimpin namanya, bukan hanya penjual ubat politik yang cakapnya berdegar-degar, tetapi penuh tahi di gelegar! Penanti akan tercatat dalam sejarah politik Malaysia sebagai bukti keangkuhan UMNO/BN dan sikap mereka yang anti-rakyat. Imej buruk ini hanya dapat dihapuskan sedikit sebanyak dengan melepaskan Perak untuk diadili rakyat dalam pilihan raya baru. Hanya itulah satu-satunya pilihan UMNO/BN untuk membuktikan kejujuran mereka. [18/5/2009]

SUARA DARI LANCANG...

UMNO umum tak letak calon:
Hilang 'kejantanan' di Penanti

Keputusan UMNO/BN tak meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti, dianggap tak memiliki 'kejantanan', menurut aktivis teater di Pahang L.Mankadir Shamsi. Katanya menerusi laman blog http://www.tokperan.blogspot.com/, kejantanan UMNO layu di Penanti kerana lawan kalah, tak lawan salah. Presiden UMNO Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan malam ini (18 Mei 2009) selepas mempengerusikan mesyuarat MT di PWTC, UMNO tak meletakkan calon disebabkan ianya tak berkaitan dengan perlembagaan. "Kalau tak berkaitan dengan perlembagaan, SPR umumkan kekosongan kerusi DUN Penanti berkaitan dengan apa?" jelas L.Mankadir seterusnya.

Kata L. Makadir lagi, mungkin itu salah satu konsep slogan 1 Malaysia dalam menghadapi pilihanraya kecil era kepimpinan Najib sebagai Presiden Umno/Bn.Pasti memeningkan kepala Najib. Entah berapa ramaikan para pemimpin Umno/Bn yang akan mempersoalkan tindakannya itu. Mereka mungkin menyalahkan beliau jika kejantanan Umno selama ini tiba-tiba terkulai layu begitu saja tidak sempat masuk gelanggang, beritahu L. Mankadir. "Najib tak mahu imejnya selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri tercemar apabila kalah dalam PRK, tetapi perkiraan beliau silap kerana rakyat dapat menilai kewibawaan seorang pemimpin yang satu ketika beriya-iya menggunakan tekanan beberapa sudut untuk segera mendapatkan kerusi Presiden Umno seterus PM dari Pak Lah," katanya menambah.

PUISI

Sezaman Segemilang Ayutthaya

Dari jendela kamar hotel
aku berdiri sepi memerhati
degup jantung kota Bangkok
menginsutkan selirat kesesakan
kenderaan tunda menunda
merentas sempadan hari
dan senja inipun
melabuhkan gerimis
dan asap setanggi biara
keramat Erawan
bagaikan memberi tahu
sebentar lagi
kenderaan diraja akan lalu.

Tiba-tiba sahut bersahutan
bunyi wasit polis
memberhentikan pejalan kaki
yang bergerak di atas
jambatan langit
dan di bawahnya berlalulah
kenderaan diraja
membawa baginda beriring
lembayung langit kota Bangkok
dan rakyat di atas jambatan langit
tidak ketulahan!

Aduhai Tanah Semenanjungku
terasa amat rindunya aku
pada kedaulatan semalammu
sezaman gemilangnya Ayutthaya
pulang nanti terasa ingin aku
mengunjungi Tuan Gabenor
di Melaka.

-Yassinsalleh
jam 2213
Mei 18, 09
Grand Hyatt Hotel
Erawan, Bangkok.

Monday, May 18, 2009

DARI KANTOR PEGUAM


Saman Anwar sudah difailkan:
Anifah dituntut bayar RM100 juta
Tempoh 24 jam yang diberikan Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri Luar Dato' Anifah Aman bagi menarik balik dakwaannya berakahir hari ini (18 Mei 2009). Berikutan kegagalan Anifah, justeru Anwar mengemukakan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi dan teladan RM100 juta menerusi peguamnya Sankara Nair. Anifah dilaporkan mengeluarkan kenyataan memfitnah Anwar dalam sesi sidang media di Washington sebelum ini. Anwar memberi tempoh kepada Anifah 24 jam bagi menarik semula dakwaannya bagi mengelakkan tindakan selanjutnya.
Peguam Sankara (gambar) yang mewakili Anwar sudah memfailkan saman hari ini, dengan memberi lapan sebab terhadap dakwaan Anifah yang ditafsirkan berunsur fitnah. Berdasarkan fakta perundangan menurut beberapa orang peguam, sekiranya Anifah didapati oleh mahkamah perlu melunaskan tuntutan Anwar beliau akan berhadapan pengisytiharan muflis apabila gagal mematuhi keputusan. Dalam tuntutan Anwar berdasarkan saman yang difailkan Sankara adalah mempunyai asas-asas berikut:

i) our Client is a dishonest person both in his private and official capacity;
ii) our Client is a liar;
iii) our Client is an untrustworthy person as well as an unfit politician;
iv) our Client is unfit to hold public office;
v) our Client is unprincipled and corrupt;
vi) our Client has committed a criminal offence punishable with imprisonment;
vii) our Client is unethical; and
viii)our Client wantonly abuses his position in public and private office.

KENAIKAN TAMBANG BAKAL HAJI...


Kalau Tabung Haji terseksa:
Hapuskan saja sistem monopoli

Ura-ura Tabung Haji (TH) di bawah menteri yang baru kabinet Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menaikkan tambang 11 peratus mulai tahun ini mengecewakan banyak pihak, beritahu bekas Timbalan Naib Canselor HEP UTM Profesor Dato' Dr Mohamad Mansor Abdullah. Dalam kenyataannya semalam pihak TH mengumumkan kadar bayaran tambang tahun ini akan dinaikkan sebanyak 11 pratus berikutan peningkatan kos yang tidak dapat dielakkan.

"TH perlu kemukakan secara detail mengenai kos yang berkaitan dengan tambang jemaah haji, kerana kos makan selama 42 hari di Mekah berasingan dari kos tambang," menurut Profesor Dato' Dr Mansor. Kenaikan kadar kos berkenaan kata Profesor Dato' Dr Mansor bermakna bakal jemaah akan dikenakan bayaran sebanyak RM9,980 seorang berbanding RM8,973 ketika ini. Apalagi dalam masa kedudukan eonomi global dikatakan terjejas, TH seharusnya memikirkan kebajikan jemaah haji terbabit. "Kalau TH berasa terseksa, bukakan peluang pihak lain uruskan jemaah dengan tak berlaku sistem monopoli seperti sekarang" beliau mejelaskan

LAPORAN DARI HARAKAHDAILY...


Hairan kenapa Najib tak saman:
11 akhbar luar negeri isu Altantuya

Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bachok Ustaz Nasharuddin Mat Isa melahirkan rasa hairan apabila Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak tak melakukan lawatan ke luar negeri setelah dua bulan menduduki jawatan berkenaan, kecuali Manado, Sulawesi dan Thailand. Katanya, sudah menjadi amalan Perdana Menteri sebelum ini selepas mengambil alih pentadbiran langkah pertama dilakukan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat di luar negara.

Bagaimana pun menurut laporan blog Harakahdaily, perkara itu tidak berlaku terhadap Najib kerana beliau berasa takut denan isu berkaitan dengan dirinya (kes pembunuhan Altantuya) sudah didedahkan dalam 11 akhbar antarabangsa. Ustaz Nasharuddin dalam ceramah perdana meraikan petugas negeri Selangor di Stadium Melawati, Shah Alam memberitahu, Najib boleh menaman akhbar-akhbar terbabit sekiranya beliau merasa benar, seperti dilakukan oleh Presiden Pas Tuan Guru Dato' Seri Hadi Awang kepada akhbar Daily Mirror di London.Turut berceramah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali.

Katanya, akhbar tersebut secara terang-terangan mengaitkan Hadi Awang sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.
Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al- Qaeda, dan sedang di tahan di Guantanamo Bay. Menurut Ustaz Nasharuddin, Daily Mirror telah mengakui kesilapan di atas laporan palsu tersebut dan telah menyiarkan permohonan maaf tersebut di akhbar dan web mereka.

"Tetapi perkara ini tidak dilakukan oleh Najib, kenapa Najib tidak saman akhbar tersebut. Kalau Presiden PAS boleh saman satu akhbar, Najib ada 11 akhbar kalau menang banyak dapat...," katanya disambut sorakan hadirin. Justeru, menurut Ustaz Nasharuddin lagi, Najib bukan sahaja tak menyaman akhbar-akhbar berkenaan, sebaliknya tak ke luar negara termasuk juga ke Washington, tetapi sekadar menghantar Menteri Luar, Dato' Anifah Aman membuat kenyataan yang mengelirukan.