Monday, July 30, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYASIA (PRIMA)
(menentang perhambaan manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA
(dari meja pimpinan)

PM SIBUK DENGAN KORIDOR
TPM PULA FASAL DERITA SUDAN



Ketika Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu fasal ‘Wilayah Ekonomi Koridor Utara’ dengan memerlukan pembiyaan RM177 bilion, bagi membantu petani-petani di utara, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pula sibuk dengan derma untuk rakyat Sudan yang menderita. Kutipan dana diperlukan untuk dihantarkan ke Dahfor. Laporan berita radio hari ini (30 Julai 2007), macam serba tak kena pula, kerana PM sibuk nak bantu rakyat di utara, TPM pula dengan dana untuk dihantar ke luar negara. Kenek-kenek la ude, lembu patoh le tanduk ke? (apologi kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee).
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Muhammad Haji Hassan pula serba salah fasal Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Dr. Rais Yatim enggan dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung Komanwel. Justeru Dato’ Muhammad meminta Dr. Rais menimbang semula. Istilah sekarang, Dato’ Muhmamad bukan lagi meminta Dr. Rais menimbang semula, tetapi lebih kepada mendesaknya. Satu ketika di Dewan Rakyat sekitar 1990, yang sering sangat sebut ‘kerajaan akan timbang’ ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan ketika itu, Dato’ K. Kumaran menyebabkan Speaker pun turut mencelah: Berapa kati mahu timbang?. Aduhai!

UNDANGAN KEPADA PENULIS BLOGGER

Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) menganjurkan ‘Sepetang Bersama Raja Petra’, 5 Ogos 2007 ini di Serambi Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa jam 4.00 petang. Penulis-penulis blogger dijemput hadir bagi memberi sokongan moral kepada Raja Petra Kamaruddin yang berhadapan dengan ancaman pihak yang berkuasa, lagi berkuasa dan mahu terus berkuasa. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, sokongan moral kepada Raja Petra bukan bermakna mencabar kepimpinan negara, tetapi mempertahankan ‘kebebasan intelektual’ bagi menentang ‘perhambaan minda manusia kepada manusia’ bagi menjana masyarakat yang tak menerima ‘robot bernyawa’.



Dato’ Kamal, menambah inisiatif yang digerakkan oleh PRIMA sekadar memberi sokongan moral, justeru ianya tak dibiyai oleh mana-mana pihak. Malah kemungkinan pula, mereka yang hadir dalam majlis tersebut boleh menghulur derma seberapa yang reda, bagi mengongkosi perbelanjaan ‘minum petang’ itu. Mereka yang berminat menyertai majlis ini, di samping sesi berdialog dengan Raja Petra, bolehlah mendapat keterangan lanjut dengan menghubungi emel PRIMA: muluk47@gmail.com. atau hubungi Dato’ Kamal sendiri h/p 012-3975055 atau Mohd Sayuti Omar h/p 019-2336996, emel MSOmelayu@gmail.com.

PENGANGGURAN DAN PEKERJA ASING


Aktivis PRIMA Haji Abu Bakar Ninggal kesal dengan kemasukan ramai pendatang asing bagi mengisi kekosongan pekerjaan di sektor pasaraya mahupun perniagaan lain. Katanya, majoriti pengangguran di kalangan lulusan SPM apalagi yang gagal selepas menduduki PMR, disebabkan mereka tak mempunyai peluang pekerjaan. Pasaraya yang dibangunkan di bandar-bandar termasuk Kuala Lumpur, lebih berminat dengan pekerja asing dengan gaji yang murah berbanding dengan pekerja-pekerja tempatan. Justeru pemilik-pemilik pasaraya mahu mengaut keuntungan besar, di samping memunggah kekayaah dengan mengeksploitasi ‘sumber manusia’ yang boleh diperolehi lebih murah.

“Kebanyakan pekerja-pekerja pasaraya terdiri dari pekerja asing, yang tak tahu Bahasa Melayu menyebabkan sukar berkumunikasi,” kata Haji Bakar memberitahu laman blog PRIMA. Pekerja-pekerja asing dari Thailand, Mynmar atau Bangladesh dibayar dengan gaji murah, menyebabkan pemilik pasaraya besar lebih selesa dengan fenomena begitu, beliau menjelaskan. Menurut Haji Bakar lagi, pasaraya-pasaraya kecil di kawasan perumahan juga memilih pekerja-pekerja asing dengan menempatkan mereka di rumah-rumah khas yang disewa sebagai asrama. Beliau percaya, pekerja-pekerja tempatan tak menolak untuk bekerja di pasaraya-pasaraya bagi menyelesaikan isu pengangguran.

INFO SASTERA & BUDAYA

MAJLIS KEBUDAYAAN TERUS DIPINGGIR
APALAGI MEMARTABAT JATIDIRI MELAYU



Memang acara kebudayaan dianggap tak menjana longgokan ekonomi, justeru ianya dipinggirkan, apalagi ianya mempunyai kaitan memartabat jatidiri Melayu. Bukan sahaja ‘Seminar Persuratan dan Sastera’ dalam ‘Dialog Utara’ di Alor Setar bermula 26 Julai lalu, tak diberi liputan meluas oleh media, malah beberapa aktiviti yang lain turut tak diberi perhatian. Misalnya, pesta budaya di Tampin, Negeri Sembilan hari ini (30 Julai 2007) sekadar kenyataan Dato’ Seri Dr Rais Yatim sahaja disiarkan oleh berita radio. Negeri Sembilan yang berbangga dengan keunikan seni budayanya, tetapi sekadar untuk dihebatkan di kampung halaman sendiri sahaja.


Sekalipun menteri kebudayaan dari Negeri Sembilan, lagu rakyatnya ‘ghontak kudo’ tenggelam oleh ‘dikir barat’ di Kelantan dan ‘boria’ di Pulau Pinang. Begitulah pameran lukisan ‘Payung Terkembang’ di Seremban pada 25 Mei 2007, seolah-olah tak diketahui umum, kecuali segelintir penduduk-penduduk di Negeri Sembilan sahaja. Dalam majlis syarahan ‘Adat Perpatih Menungkah Zaman’ di Kuala Pilah pada 6 Julai 2007 juga tak diketahui sangat oleh orang ramai, mungkin sahaja segelintir penduduk di Kuala Pilah. Memang sukar sangat mahu mengajak bersama-sama memartabat jatidiri Melayu, apabila ringgit dan sen menjadi idola!


Mungkin sahaja Dato’ Dr. Rais, tak peduli sangat fasal pegawai-pegawai yang lebih berminat jadi ‘akulah aku’, daripada meminati budaya bangsanya. Kabarnya, pengalaman seseorang yang sering ‘menebeng’ bersama Tan Sri Abdul Samad Idris ketika mesyuarat di Muzium Negeri Sembilan, mereka yang hadir (jawatankuasa penyelidikan budaya Muzium Negeri Sembilan), lebih gemar bermesyuarat daripada ‘laksana’ kerja. Kalau sering mesyuarat, bolehlah ehem ehem sikit, agaknya! Memang elaons mesyuarat tak banyak mana, tapi kena fikir juga kata orang tua-tua ‘orang disuruh diberi upah, lembu di padang di beri makan’. Begitulah!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MANTAN MB VS RAJA PETRA
RM 100 RIBU UNTUK TAJA BLOGGER



Tentu pengendali laman blog hidup mewah dengan pendapatan RM100 ribu sebulan ditaja oleh organisasi luar, seperti disebut mantan Menteri Besar Selangor, Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib. Gaji menteri dan menteri besar pun tak sampai mencecah angka berkenaan. Tolol sangat organisasi luar yang mahu menaja pengendali laman blog sekalipun mereka tak menerima input apa-apa. Kalau mereka mahu melabur pun tentulah cari mereka yang berkuasa, bagi menerima tender, projek atau komisen seperti isu yang masih ehem ehem. Apalagi seperti kata Zaharin Mohd Yassin, yang lebih tolol ialah mereka yang tak tahu membezakan yang mana laman blog, yang mana laman web!

Raja Petra bukan pengendali laman blog, tetapi laman web kerana beliau perlu membeli ‘tapak’ bagi operasinya. Pengendali laman blog pula ‘menumpang’ pada tapak orang lain. Begitulah! Justeru kata Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan kepada media: “Bagi sebarang tindakan, mahkamah perlu menentukan di mana kesalahan jenayah itu (hasutan) dilakukan dan sekiranya di luar bidang kuasa maksudnya selain di Malaysia, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa. Undang-undang berkaitan jenayah tidak jelas dan boleh menimbulkan pertikaian dan dalam perkara ini sekiranya dibawa ke mahkamah, mereka (mahkamah) perlu membuat keputusan.”

Isu blogger nampaknya menampilkan kegarangan Dato’ Muhammad yang lama tenggelam berikutan kes di Australia tak lama dulu. Apabila desas desus pilihanraya semakin hampir, tiba-tiba sahaja Dato’ Muhammad meledak dengan isu blogger. Kalau Raja Petra tak kendalikan laman web, mungkinlah gerangannya Dato’ Muhammad
makin dilupakan oleh rakyat Selangor yang tercari-cari namanya dalam senarai calon pilihanraya 2004 lalu. Sepertilah penjelasan Ambiga mengenai undang-undang cyber, memang sukar difahami kerana yang tahu fasal kanun tanah dalam kanuncara di masa lampau sahaja ialah:

Sunday, July 29, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang penindasan minda manusia kepada manusia)

INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)

PAK LAH INGATKAN BLOGGERS:
ISU YANG KABUR SEMAKIN KABUR


Semua pihak menghormati amaran Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai isu pengendali lama blog yang menulis sesuka hati, tak berhati dan tak berhati-hati. Pak Lah dikatakan memberitahu media di Hotel Hyatt Regency di Kuantan, Pahang sebelum menghadiri majlis perkahwinan kakitangan Seri Perdana di Kampung Balok, Beserah. Pak Lah juga meminta tak dibincangkan lagi isu Tan Sri Musa Hassan dan Dato’ Seri Zulkifli Mat Noor. Mudah-mudahan isu yang kabur semakin kabur, kalaupun tak bertambah kabur lagi dikaburkan.


Fenomena yang berlaku dalam isu-isu seperti kes Tan Sri Musa dan Dato’ Seri Zulkifli tak boleh dipersoal, seolah-olah mirip kepada filem ‘Musang Berjanggut’ yang diarahkan oleh Tan Sri P. Ramlee pada dekad 1950-an dulu. Dalam filem tersebut P. Ramlee secara sinikal mengolah watak Sultan Alam Syahbana (Ahmad Nesfu) memberi perintah, isu ‘Musang Berjanggut’ ditutup, malah jangan diungkit-ungkit. Sebabnya Dato’ Nikah Kahwin atau ‘Musang Berjanggut’ itu ketika ‘mengurat’ isteri Nila Utama berkata: Salah tu memang salah (iaitu mengurat perempuan ketika suaminya tiada di rumah), tapi itu undang-undang Dato’ yang bikin!

Bukan semua pula ahli UMNO marahkan laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin. Kalaulah Raja Petra menghina DYMM Yang Dipertuan Agong, samalah pula kesalahannya seperti Kumpulan Ma’aunah yang ‘menderhaka’, jutseru perlulah dibicarakan mengikut perundangan negara kita. Di zaman kesultanan Melayu Melaka, ‘penderhaka’ seperti Hang Jebat digantung kaki ke atas kepala ke bawah, keluarganya dibunuh, dan rumahnya dibongkar serta dibuang ke laut (mengikut kontrak sosial di Bukit Seguntang). Ironinya, kubur Hang Jebat ditemui pula di Melaka, kubur Sultan Mansor Syah entah ke manalah pula!

DI MANA KEBAL YANG DIKEBALKAN?

Perihal pengendali laman blog yang tak kebal, seperti disebut oleh Pak Lah, semua pihak sudah maklum. Kalau raja-raja Melayu (selepas pindaan perlembagaan dekad 1990-an) pun tak kebal, takkan Raja Petra Kamaruddin boleh dikebalkan. Zaharin Mohd Yassin juga tak dikebalkan, malah dipecat dari parti yang didukungnya kerana sudah tersebati alam dirinya ‘Melayu itu UMNO’ dan ‘UMNO itu Melayu’. Begitulah. Makanya elok juga renungkan fasal ‘kekebalan’ yang pernah diberikan kepada raja-raja Melayu sebelum ianya dipinda.
Ketika isu pindaan perlembagaan tengah hebat, termasuklah isu kereta ‘Lamborgini’ DYMM Sultan Kelantan, Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan membuat kujungan ke Balai Undang Luak Johol. Maka tergamamlah ahli jawatankuasa yang membuat kunjungan apabila Undang Luak Johol (Allahyarham) Dato’ Abdul bin Ali keluar dengan parang di tangan. Rupa-rupanya beliau menetak tangannya sendiri dengan parang, sambil bertanya kepada ahli jawatankuasa terbabit: Kalau nak tahu kebal atau tak kebalnya institusi istana, begitulah!

Tak masuk lagi dengan insiden mengenai individu yang merampas ‘Istana Lama’ di Seri Menanti di Kuala Pilah pada dekad 1990an. Penyelesaiannya, tak perlulah bawa FRU, tetapi pihak muzium pujuk saja dengan berpura-pura menyembah individu terbabit seolah-olah menjunjung duli iaitu: Ampun tuanku beribu-ribu ampun, patik memohon limpah kurnia tuanku, eloklah tuanku berangkat turun dari istananya, supaya patik sekalian dapat mengadakan upacara menjunjung duli! Individu terbabit turun dari istana dengan tak menimbulkan sebarang kekecohan.

CORAT CORET PRIMA

Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz terbang ke London 30 Julai 2007 bagi menghadiri konvokesyen anaknya yang menuntut di sana. Tahniah kepada Kamal yang memanfaatkan peluang ke arah menampilkan anak Melayu dalam polisi ‘modal insan’ Pak Lah.

PRIMA juga mengucapkan tahniah kepada penyair Ahmad Sarju dari Kelang, Selangor yang meraikan majlis perkahwinan anaknya hari ini (29 Julai 2007). Moga-moga jodoh mereka berkekalan, di samping meneruskan budaya dan adat resam Melayu yang kita waris sejak turun temurun.




INFO SASTERA & BUDAYA :

MEDIA YANG TAK PRIHATIN
DENGAN ISU BAHASA DAN PERSURATAN

Lebih 200 peserta menghadiri ‘Pertemuan Dialog Utara’ di Alor Setar, Kedah iaitu siri seminar bahasa dan persuratan yang digerakkan oleh GAPENA dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah. Sejak seminar tersebut digerakkan Jumaat lalu (27 Julai 2007), media kurang memberi liputan mengenai perkembangan dan perjalanan seminar berkenaan. Tak tahulah di mana silapnya, tetapi lapor mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr Mohd Mansor Abdullah, sambutan menggalakkan dengan sesi perbincangan kertas kerja berjalan dalam suasana hangat.

Bagusnya, pertandingan lagu-lagu asli untuk remaja disiarkan terus menerus ke TV1, di samping Menteri Penerangan Dato’ Seri Zainuddin Maidin beriring-iringan dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyamapikan hadiah kepada pemenang. Pertandingan bolasepak Asia di Jakarta antara Arab Saudi dan Iraq juga disiarkan terus menerus oleh TV1, disebabkan ada sponsor yang membuat tajaan. Isu bahasa dan persuratan Melayu, memang tak siapa pun mahu membuat penajaan kerana ehem ehem! Tak apalah Pak Ismail Hussein atau Dr Mansor, cukuplah semarakkan di hati – BAHASA MELAYU BAHASA BANGSA MELAYU!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

MAJLIS ULANG TAHUN PPP
KEYVEAS MAHU KELUAR BN

Memang sah pilihanraya ‘around the corner’, hingga demamnya sudah menular menjadi virus yang lebih berat. Ketika menyambut ulangtahun Parti Progresif Penduduk (PPP), Presidennya Dato’ M. Keyveas membuat ultimatum mahu membawa partinya keluar BN, kalau tak dipenuhi tuntutannya memperoleh 4 kerusi Parlimen, 12 kerusi DUN, 79 kerusi majlis tempatan dan jawatan ‘Datuk Bandar Ipoh’. Tak hairanlah dengan tuntutan PPP, kerana mungkin sahaja pihaknya sudah mengenal pasti iaitu UMNO macam batang padi rebah, hingga tekukur pun berani meniti. Gamaknya!

Hebat juga Keyveas. Apalagi ungkit mengenai perjanjian Tun Abdul Razak dengan Dr Seenivasagam pengasas PPP (sebelum itu dikenali Parti Progresif Rakyat). Tak tahulah pengasas PPP yang mana berunding dengan Tun Abdul Razak, kerana ketika parti itu menyertai BN – D.R. Seenivasagam (bukan Dr. atau nama sebenarnya Dharma Raja Seenivasagam) sudahpun meninggal dunia. Kedudukan abangnya Sri Padhmaraja Seenivasagam (S.P. Seenivasagam) yang memimpin PPP pada pilihanraya 1969 juga tergugat selaku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ipoh. Apalagi pada pilihanraya 1974, S.P. Seenivasagam sendiri bertanding atas tiket BN tewas di Parlimen Mengelembu.

Seenivasagam pula pernah dipujuk menjadi Ketua Pembangkang Parlimen (sekalipun mempunyai 4 kerusi Parlimen sahaja), kononnya pimpinan DAP menemui pemimpin PPP itu di Hotel Federal selepas pindaan perlembagaan dibuat bagi memulihkan Parlimen yang digantung berikutan tragedi 13 Mei. Mereka berbuat demikian setelah Tan Sri Mohd Asri Haji Muda meninggalkan kerusi Ketua Pembangkang untuk menyertai kerajaan campuran (belum lagi dibentuk BN ketika itu). Apalagi banyak perkara yang tersirat dan tersurat pada dekad 1960-an dan 1970-an itu masih lagi dalam ingatan:

Saturday, July 28, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


PERSEPSI PRIMA DITERIMA MENTERI
SEGELINTIR PEMIMPIN UMNO TAK RASIONAL


Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Radzi Sheikh Ahmad secara tak langsung bersetuju dengan persepsi PRIMA mengenai isu pengendali blog tak menjejaskan UMNO, tetapi UMNO boleh dijatuhkan oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Radzi dilaporkan oleh media mengenai kekuatan UMNO tak terjejas berikutan diserang hebat pengendali laman blog ketika menyampaikan kad pemastautin tetap (MyPR) jurulatih badminton negara Rexy Mainaky di Putrajaya. Sebelum ini laman blog PRIMA pada 25 Julai menyebut jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan tak dipengaruhi segelintir ahli UMNO yang kurang rasional kerana mempunyai agenda.


Radzi mengakui desakan segelintir ahli-ahli UMNO menyebut: “Mereka kata…apa ni Datuk, teruk sangat… perlu ada had, takkan sampai caci agama dan mengata Agong macam-macam!”. Sudah tentu perkara yang mustahil orang Melayu caci agama atau mempertikaikan Yang Dipertuan Agong. Seperti keperihalan PRIMA yang meminta (bukan menuntut) kerajaan yang dipimpin UMNO prihatin dengan Bahasa Melayu dan bangsa Melayu. Kalau tak ada ‘Bahasa Melayu’ bagaimana boleh wujud ‘bangsa Melayu’, justeru tiada ‘bangsa Melayu’ maknanya hilanglah ‘raja-raja Melayu’. Inilah isu yang terkandung dalam 13 Perkara ‘Malayan Union’ dulu, kalau ahali-ahli UMNO terbabit sentiasa rasional!


MODAL INSAN DI UNISEL, BISTARI JAYA

Matlamat kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo mahukan Universiti Industri Selangor (UNISEL) menjadi fokus ‘modal insan’ sepatutnya sejajar dengan sasarannya. Kalau menjadi ‘ketam yang berjalan mengereng, mahu anak-anak berjalan betul’, susahlah gamaknya! Hari ini (28 Julai 2007) pendaftaran masuk pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar yang meneruskan pengajian semestar di kampus Bistari Jaya (Batang Berjuntai), bukan sahaja kelam kabut, malah berserabut, berkelabut dan bersemabut. Bukan sahaja insiden di kampus Shah Alam berulang dengan masalah ‘asrama’, tetapi pendaftaran tak berjalan lancar.


Ibu bapa yang menghantar pelajar-pelajar baru diingatkan, mereka yang lewat mendaftar akan didenda RM25.00, tetapi pelajar-pelajar menunggu jam 8.30 pagi, pejabat belum pun dibuka. Mereka terpaksa menunggu angka giliran sebaik sahaja pejabat dibuka, hingga angka giliran atas 1700 belum selesai hingga jam 3.00 petang. Ketika itu baru sahaja angka giliran ke 1200 ke atas. Apalagi pelajar-pelajar yang mendaftar (bagi menyambung pengajian semester) masih belum menerima PTPTN untuk membayar sewa rumah di luar kampus, dan lain-lain yang menteri terbabit pun faham, fahamlah!

SEPETANG BERSAMA RAJA PETRA


Isu penahanan pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin tak berakhir selepas dibebaskan daripada soal siasat polis. PRIMA akan menganjurkan ‘Sepetang Bersama Raja Petra Kamaruddin’ 5 Ogos 2007 nanti, di Taman Tasik Titiwangsa bagi memberi sokongan moral kepada beliau dan Nathaniel Tan. Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berkata, kita memberi sokongan moral kepada Raja Petra kerana beliau warga prihatin yang mampu mempersoal isu-isu yang mempunyai kepnetingan rakyat, apabila disembunyi oleh pihak berkuasa.


Misalnya, rakyat mahu tahu butir-butir siasatan terhadap Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) dan bekas Ketua Pengarah BPR (Dato’ Seri Zulkifli Mat Noor) ditutup oleh Peguam Negara atas sebab-sebab ‘tiada kes’. Kalau butir-butir siasatan tak diberitahu kepada umum kewibawaan Peguam Negara akan dipersoal. Tujuannya, bukan mahu menjatuhkan kerajaan tetapi mahu ‘membetulkan’ supaya negara ditadbir di bawah kerajaan yang berwibawa, kata Kamal.


Sementara pengendali blog, Zaharin Mohd Yassin pula mengingatkan segelintir ahli-ahli UMNO yang beragenda tetapi tak rasional, supaya memahami perbezaan antara laman web dan laman blog. Menurutnya, mereka yang mempertikai pengendali laman blog, tak memahami perbezaan tersebut menyebabkan ianya menjadi seperti pepatah orang Negeri Sembilan ‘rebung tak miang, bemban pula yang miang’. Justeru katanya, kerajaan jangan dikelirukan oleh ‘bemban’ yang mendakwa mereka ‘rebung’, hingga tak tahu membezakan laman web dan laman blog.

INFO SASTERA & BUDAYA :

SEMINAR PERTEMUAN AKTIVIS BAHASA
PERBINCANGAN TAK MELEPASI SEMPADAN


Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah menganjurkan seminar bahasa dan persuratan dalam ‘Pertemuan Penulis Utara’ di Hotel Holliday Villa, Alor Setar sejak semalam (27 Julai 2007). Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM, Dato’ Dr. Mohd Mansur Abdullah turut serta mewakili Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), di samping mewakili PRIMA secara tidak rasmi. Mansor memberitahu, sekalipun beliau tak berpeluang menyampaikan pandangan, tetapi seminar berkenaan merumuskan Bahasa Melayu tetap dipertahankan.



Bagaimanapun PRIMA berpendapat seminar sahaja belum mencapai sasaran, kerana perjuangan Bahasa Melayu perlukan juga di peringkat akar umbi. Kalau mahu ianya merakyatkan GAPENA, seminar tak perlu diletakkan di bawah kolong hotel lima bintang atau gerbang istana dan seumpamanya. Bawalah budaya kita ke hati dan jantung rakyat iaitu di peringkat akar umbi. Mari kita kembali kepada saranan Allahyarham Dato’ Dr. Ishak Haji Muhammad, duduk bersila di atas tikar mengkuang, makan rebus ubi dan rebus pisang bersama rakyat. Apabila dibawa ke hotel besar kita sekadar menikmati budaya luaran, bukan jiwa dan raga bangsa Melayu sebenarnya. Begitulah!


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KRITERIA MENJADI CALON PILIHANRAYA
MOHD RASHID SUDAH MACAM KETUA PARTI


Tiba-tiba sahaja Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Mohd Rashid Abdul Rahman, bercakap macam ketua parti apabila menyarankan calon-calon pilihanraya perlu dinilai pencapaian akademiknya. Biasanya ketua parti politik yang membuat kenyataan mengenai kriteria calon-calon yang akan bertanding. Kalau Pengerusi SPR, sewajarnya bercakap fasal pencapaian akademik kakitangan dalam agensi di bawahnya. Apalagi Pengerusi SPR berkenaan bercakap seolah-olah beliau sudah tahu tarikh pilihanraya, sebelum Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat ilham.


Elok juga Mohd Rashid belajar sikit daripada pengalaman Lim Kit Siang yang pernah menjadi ketua parti politik iaitu DAP pada pilihanraya 1999. Kononnya, ketika itu beliau menetapkan kriteria calon-calon partinya, perlu tahu mengenai IT dan mengendalinya, di samping menyarankan ‘satu keluarga satu homepage’. Keputusan pilihanraya 1999 parti itu Mohd Rashid pun tahu iaitu ’10 budak hitam’, malah ketua parti itu juga ‘gendang gendut tali kecapi’ juga akhirnya. Kalau sekadar tahu SPR sahaja, Mohd Rashid eloklah bertanya Pak Lah sudah mendapat ilham atau belum, kerana yang tahu sikit-sikit fasal ilham nak mengarang, mengerang dan memberang ialah:

Friday, July 27, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


KALANGAN AKADEMIK SOKONG KU LI
BAHASA MELAYU BUKAN MELAMPAU

Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah menyambut baik ucapan mantan Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika menyampaikan ‘Syarahan Zaaba’ di Universiti Malaya semalam (26 Julai 2007). Dalam ‘Syarahan Zaaba’ itu Tengku Razaleigh menegaskan, orang Melayu hanya meminta perkara yang sederhana sahaja iaitu mahukan bahasa dan kebudayaan Melayu tidak dipersoal. Kata Mansor, kalau komuniti Cina masih berbangga dengan ‘bahasa Cina’ (atau Mandarin), orang India dengan ‘bahasa India’ (atau (Tamil), orang Melayu juga perlu mendaulatkan ‘bahasa Melayu’.


Menurut Mansor, pada peringkat awal digerakkan sekolah-sekolah menengah Melayu, pemimpin-pemimpin negara tidak berasa malu menyebut ‘sekolah menengah Melayu’, kenapa sekarang disebut ‘sekolah menengah kebangsaan’. Mansor, antara pelajar awal yang dieksprimen bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ pada 1958 di Tanah Melayu ketika menghubungi laman blog PRIMA hari ini (27 Julai 2007) berkata, “Setelah kita habiskan masa untuk memartabat bahasa Melayu, kenapa sekarang mengalah tak bersebab?”


Beliau mengakui, rakan-rakannya yang pernah menjadi murid sekolah menengah Melayu sama ada di Alor Setar, Kedah mahupun di Kota Bharu, Kelantan sekitar dekad 1950-an dulu melahirkan rasa kecewa dengan fenomena pendidikan. Jelas mereka, ujar Mansor, setelah dijadikan ‘mangsa’ sebagai bahan eksprimen ‘orang-orang politik’ ketika itu, mengapa pengorbanan mereka disia-siakan dengan Bahasa Melayu di ubah kepada status ‘Bahasa Malaysia’. Secara tidak langsung ‘orang Melayu’ bukan sahaja kehilangan bahasa, malah akan kehilangan ‘bangsa’ apabila diwujudkan ‘bangsa Malaysia’, katanya.


MANGSA SEKOLAH MENENGAH MELAYU


Bekas pelajar-pelajar sekolah menengah Melayu yang dijadikan eksprimen oleh pejuang-pejuang politik bagi mewujudkan ‘sekolah menengah Melayu’ adalah ‘mangsa’ kesilapan dasar pendidikan yang sukar dimaafkan, kalau Bahasa Melayu diubah status kepada ‘Bahasa Malaysia’. Sebagai pelajar yang dieksprimen di Negeri Sembilan pada 1959, sasterawan Dharmala N.S. memberitahu ketika Sekolah Menengah Melayu Seremban digerakkan, pelajar yang dipilih seramai 80 orang dengan tiga orang guru sahaja. Guru-guru yang mengajar tidak dilengkapkan dengan buku teks, justeru terpaksa menterjemah sendiri buku-buku Bahasa Inggeris sewaktu mengajar. Jangan haraplah pada DBP!


Apabila pelajar-pelajar terbabit lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diiktiraf setanding dengan Malayan Certificate of Education (MCE) di sekolah menengah aliran Inggeris pada 1963, mereka berhadapan dengan isu pengangguran. Di sekolah menengah Melayu belum mempunyai persediaan bagi Higher School Certificate (HSC) untuk mereka meneruskan pengajian ke Universiti Malaya. Mereka yang menamatkan SPM pada 1963, sekadar mampu menjadi guru sandaran/sementara (sebelum diterima masuk ke DTC atau maktab perguruan), kerani, posmen, pembantu pertanian dan yang setaraf.


Mereka terpaksa menunggu sehingga 1971 apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwujudkan, di samping peperiksaan untuk Sijil Tinggi Persekolahan (STP) disediakan iaitu sebelum ditukar kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Memang sebelum itu peperiksaan di peringkat menengah dikendalikan oleh Oxford Universiti di London (maknanya dasar pendidikan kita masih dijajah). Begitulah pengorbanan pelajar-pelajar di sekolah menengah aliran Melayu yang dieksprimen pada 1958 dulu. Justeru apakah pengorbanan mereka disia-siakan dengan menukar status Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia?.


MEMBACA MENINGKATKAN ILMU

Banyak pihak bersetuju ‘membaca adalah jambatan ilmu’, bagi membolehkan setiap individu ‘celik minda’. Kempen membaca yang digerakkan oleh kerajaan negeri Selangor di Shah Alam bermula 27 Julai hingga 3 Ogos 2007 akan datang, menerusi pameran buku adalah dialu-alukan oleh PRIMA. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz percaya kerajaan negeri Selangor mengambil pendekatan bijak apabila menggerakkan kempen membaca. Apalagi khutbah Jumaat di masjid-masjid (misalnya di Masjidi Al-Khiriyyah, Taman Seri Gombak hari ini 27 Julai 2007) juga turut menyeru jemaah prihatin dengan isu membaca, kerana ummah yang rajin membaca mampu meningkatkan ilmu bagi bersaing dengan kaum lain.


Ironinya, kata Kamal ketika kempen membaca digalakkan, Ketua Penerangan UMNO Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib tak mahu rakyat membaca. Mereka yang mahu mengikuti laman blog dimomok-momokkan; apalagi membeli buku-buku yang menjurus kepada ‘celik minda’. Mungkin sahaja Tan Sri Muhammad menggalakkan rakyat sekadar membaca buku-buku propaganda, bagi membolehkan 50 tahun akan datang generasi Melayu akan menjadi ‘robot bernyawa’. Ketika komuniti Cina dan India di Malaysia membaca bahan-bahan yang ‘celik minda’, komuniti Melayu disogokkan dengan bahan-bahan bacaan propoganda yang bobrok, katanya. Misalnya laman blog Malaysia Today yang dikendali Raja Petra Kamaruddin digantung operasi adalah contoh menggagalkan kempen membaca di kalangan masyarakat Melayu.


INFO SASTERA & BUDAYA :

KEGILAAN AURA HARRY POTTER
BUDAYA MELAYU TERIKUT-IKUT


Buku siri ‘Harry Poter’ karya J.K. Rowlings penulis wanita yang mampu memikat ramai pembaca di seluruh dunia hingga mencecah 3 – 4 juta naskhah, bukanlah hebat kalau ikut nisbah penduduk dunia. Tak berapa persen sahaja daripada sejumlah penduduk dunia yang beli buku berkenaan. Tetapi disebabkan propaganda berkesan penerbit buku, malah penerbit filem yang mengadaptasi karya tersebut, makanya J.K. Rowling pun mampu tersenyum lebar. Kalau novel Melayu mampu disibar ke seluruh dunia nisbah 3-4 juta itu memang boleh dicapai juga, sayangnya apakan daya novel-novel yang ditulis dalam Bahasa Melayu tak melepasi ‘dunia tanpa sempadan’.


Bahkan novel-novel Melayu tak mampu masuk ke Indonesia, ketika novel-novel dari Indonesia bebas mencari pasaran di negara ini. Karyawan Indonesia yang melabel diri mereka sebagai ‘abang’ seolah-olah jijik melihat karya-karya dari Malaysia yang dianggap ‘adik’ itu. Belajarlah dari pengalaman sasterawan Dharmala N.S. ke Sumatera Barat bagi menghasilkan skrip filem ‘Raja Melewar’, apabila mereka beranggap segala-gala terletak di tangan mereka. Malah ada individu yang mengaku berketurunan waris ‘Raja Melewar’ justeru perlu dibayar imbuhan bagi menulis skrip berkenaan.



Sebaliknya apabila disoal oleh Dharmala, ketika ‘Raja Melewar’ berhijrah ke Tanah Melayu untuk menaiki takhta, sama ada sudah berkahwin atau belum, individu tersebut secara pongah menyatakan raja itu masih muda berusia dalam lingkungan 20-an sahaja dan belum berkahwin. Justeru soal Dharmala, kalau ‘Raja Melewar’ belum berkahwin ketika itu, bagaimana beliau boleh meninggalkan waris atau zuriatnya. Makanya terloponglah individu tersebut, walaupun kononnya mempunyai degri ‘Drs.’, dan pada rundingan kali kedua saya diberitahu oleh (Allahyarham) Tan Sri Abdul Samad Idris, individu terbabit tak hadir. Begitulah!

ISU KOMENTAR
bersama Pak Parjo


PRIHAL MENTERI DENGAN ISTILAH
MENJAGA MUZIUM ATAU DIMUZIUMKAN!


Siapalah Dato’ Seri Syed Abdul Hamid Albar mahu buat kenyataan, tak ada alternatif lain dari Malaysia untuk jawatan Setiausaha Agung Komanwel, selain daripada Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Kalau atas kapisiti menteri luar pun, bukan selayaknya Syed Hamid Albar bersuara, seperti laporan akhbar BERITA HARIAN hari ini (27 Julai 2007). Label mereka sama sahaja iaitu ‘menteri kabinet’, malah Dr. Rais dikira lebih senior lagi daripada Syed Hamid (bukan dikira daripada insiden 1987). Justeru, Syed Hamid tak akan bersuara, kalau tak disuruh bersuara, apalagi kalau bukan bos sendiri mahukan beliau bersuara.


Bukanlah mudah bagi seseorang menteri yang sudah meninggalkan jawatannya pada 1987 (kerana dicantas), mahu kembali mencapai kedudukannya kalau tak cukup prasyarat orang tua-tua Melayu dulu: Hati berani senjata tajam; mulut bacar emas banyak! (Kalau Syed Hamid tak faham maknanya, kenalah tanya Dr. Rais sendiri). Begitulah apabila membaca epik ‘Sejarah Melayu’ mengenai insiden selepas pembunuhan Tun Mutahir bin Seri Nara Diraja Tun Ali bin Mani Purindam di Melaka pada 1509. Apabila Raja Zainal dikatakan ‘mengurat’ Tun Fatimah maka ‘hulubalang’ Sultan Mahmud membunuhnya. ‘Hulubalang’ Sultan Mahmud tak akan berani membunuh ‘adik sultan’, kalau ianya tak menerima ‘lampu hijau’ dari sultan. Sama seperti Dr. Rais yang suka belajar pepatah petitih orang tua-tua dulu seperti terkilat ikan di air ialah:

Thursday, July 26, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

INFO HAK ASASI MANUSIA:
(dari meja pimpinan)


SYARAHAN ZAABA DI PENGAJIAN MELAYU
KU LI IMBAU PEMBANGUNAN DAN EKONOMI



Kuala Lumpur - Kontrak sosial yang dipersetujui bersama ketika mencapai kemerdekaan, bukan bermakna orang Melayu mengemis dalam negaranya sendiri. Bagi mencapai sasaran peradaban Melayu, mereka wajar menjadi ‘bangsa yang memberi’ dan bukan sebagai ‘bangsa yang meminta-minta’, beritahu mantan Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ketika menyampaikan syarahan Zaaba di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya hari ini (26 Julai 2007).




Syarahan Zaaba ‘Pembangunan dan Ekonomi Kemelayuan’ yang dipengerusikan oleh Ketua Satu Gapena, Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein, mengimbau kembali pembabitan Ku Li mengerakkan ekonomi negara pada dekad 1970-an, sekalipun status beliau ketika itu ialah ADUN di Kelantan. Ku Li menerima tepukan gemuruh daripada pelajar-pelajar di Akademi Pengajian Melayu apabila menyebut ‘orang Melayu’ hanya membuat permintaan yang sederhana iaitu bahasa dan kebudayaan Melayu dijadikan teras kepada bangsa Malaysia.

Katanya, kalau di Amerika dan Australia menerima pertembungan budaya Anglo-Saxon dengan bahasa Inggeris yang digunakan di England iaitu sebahagian daripada United Kingdom menjadi bahasa di Amerika dan Australia, kenapa di Malaysia dipersoal perkara yang sewajarnya diterima pakai. Majlis syarahan Zaaba anjuran Akademi Pengajian Melayu itu ditaja oleh Dr Alias Muhammad tokoh keusahawanan Melayu turut dihadiri Pengerusi Lembaga UM, Tan Sri Arshad Ayub, Naib Canselor UM dan Ketua Akademi Pengajian Melayu, Profesor Madya Zainal Abidin Borhan.

Di samping jemputan khas yang hadir termasuk Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Dato’ Dr. Nordin Selat, Dato’ Ibrahim Ali, Dato’ Yusuff Latiff, Ezam Mohd Noor dan Tan Sri Dr. Ainuddin Wahid, pimpinan PRIMA juga turut ke majlis tersebut diketuai Sdr. Dharmala N.S. ialah Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz (juracakap PRIMA), Sdr. Mohd Radzi (Peguam), Haji Bakar Ninggal (Penerbit buku) dan Sdr. Mohd Sayuti Omar (Pengarang SIASAH). Bagaimanapun dalam majlis keilmuan berkenaan majoriti yang hadir ialah pelajar-pelajar wanita, seolah-olah pelajar-pelajar lelaki kurang peka dengan isu pembangunan dan ekonomi kemelayuan.


PAK LAH TOLAK RESOLUSI KONGRES BAHASA


Penampilan Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein (Bapak Ismail Hussein) selaku Pengerusi Syarahan Zaaba dengan tetamunya mantan Menteri Kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari ini (26 November 2007) membawa pendekatan baru yang amat dibanggakan. Syabas Gapena! Bapak Ismail Hussein secara tegas mahukan ‘Bahasa Melayu’ sebagai landasan bagi mencapai kecemerlangan negara. Bapak Ismail Hussein juga berulang kali menolak fenomena ‘perhambaan’ yang menyebabkan ‘Bahasa Melayu’ melalui ‘era pancaroba’.



Tak hairanlah ‘risalah’ GAPENA turut diedarkan kepada orang ramai yang turut menampilkan isu kegelisahan mantan Ketua Pengarah DBP Dato’ Dr. Hassan Ahmad dan ilmuan bahasa Dr. Awang Sariyan apabila resolusi ‘Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VII yang diadakan pada 6-8 November 2006 di DBP yang diserahkan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam ‘risalah’ GAPENA ianya menyebut indisen tersebut:

Abdullah dalam kenyataan pada 9 November (2006) lalu menyatakan kerajaan akan meneruskan dasar yang diperkenalkan bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak bercadang untuk mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam kedua matapelajaran itu (sains dan matematik). Walaupun kenyataan Abdullah itu tidak merujuk kepada resolusi itu, namun ia ditafsirkan sebagai ada kaitan dengan perkara berkenaan kerana ia dibuat selepas tidak sampai 48 jam Kongres itu tamat.”
PRIMA mengucapkan syabas kepada Bapak Ismail Hussein dan GAPENA.

INFO SASTERA DAN BUDAYA:

PENYAIR-PENYAIR TAK SABAR:
MENUNGGU ‘MELAYU MUDA LUPA’



Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’ sudah diperingkat akhir untuk memasuki percetakan. Beliau menjelaskan demikian, setelah menerima banyak SMS dari penyair-penyair yang terbabit dengan antologi berkenaan. Beberapa orang penyair menghubungi Sdr Dharmala N.S. menerusi SMS, mahu tahu perkembangan antologi tersebut berikutan laman blog PRIMA atas nama http://abdulmulukdaud.blogspot.com/ mengalami gangguan mulai 24 Julai 2007, menyebabkan mereka terputus hubungan.



Sdr Ehsan Jamily dari Melaka mahu tahu perkembangan antologi berkenaan, kerana tak sabar menunggu ‘kelahirannya’. Mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman pula kecewa dengan perjuangan Bahasa Melayu yang ‘terlalu lembik’ setakat ini, ketika diberitahu mengenai gangguan terhadap laman blog PRIMA. Sementara itu Dr. Leo A.W.S. dari Kelantan sentiasa menunggu dengan sabar perkembangan seterusnya, di samping mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah menelefon dari Alor Setar, Kedah (kerana urusan peribadi di sana) – akan sentiasa rebah dan bangun bersama PRIMA dalam isu Bahasa Melayu. Dr Haroun Kidam dari Melaka juga mengambil pendekatan yang sama dengan Dr.Mansor apabila banyak pihak terlalu ‘bertolak ansur’. Entahlah!


SURAT DARI PERLIS


Saya tidak punya komputer, kecuali TV Astro. Bolehlah saya lihat saluran ‘Aljazeera’, ‘Arabia’, ‘CNN’, ‘BBC’ dan sebagainya. Terima kasih mengenai laporan diri saya dalam laman blog saudara. Gembira juga. Puisi-puisi saya jarang diperkatakan oleh pengkritik-pengkritik. Apalah saya ni, lebih leceh daripada penyair-penyair Kuala Lumpur. Inilah pertama kali saya mendengar puisi saya berekonomi daripada pandangan saudara. Pandangan orang lain saya tidak tahu.


Saudara perlu lebih berani. Tak kira siapa. Sama ada orang politik atau sasterawan. Inilah rahsia kekuatan yang akan mengangkat darjat nama kita. Teruskan! (Nahmar Jamil, Perlis – 24 Julai 2007).


KOMENTAR
bersama Pak Parjo


KEPERIHALAN RAJA PETRA
PENGENDALI BLOG DISIASAT

Pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dipanggil ke balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi soal siasat pada 25 Julai 2007, selepas Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib membuat laporan polis pada 24 Julai 2007. Isu penulis blog yang ditakrif tak beretika turut dibawa ke Dewan Negara, tetapi tak pernah pula dipersoal senator-senator yang tak beretika. Kalau ikut etika, tak boleh ‘belasah’ sesiapa yang tak boleh mempertahan diri di dalam ‘Dewan’, kalau tak salah mengikut ‘peraturan-peraturan Dewan’ pada dekad 1960-an atau 1970-an. Tak tahulah, kalau sekarang sudah dibolehkan hingga melabel penulis blogger begitu dan begini.


Isu menghina Yang Dipertuan Agong dan Islam seperti yang didakwa, terlalu subjektif kalau tak dinyatakan bab mana yang dilakukan oleh Raja Petra. Perkara ‘menghina’ juga perlu dilihat menerusi pendekatan yang rasional, bukannya emosional; apalagi Raja Petra (atau dikenali Pet) sendiri adalah dari ‘kerabat diraja’. Sebelum piliharnaya 1969, Dato’ Engku Muhsein Abdul Kadir, Ahli Parlimen UMNO (Terengganu Tengah) misalnya, wakil rakyat tak perlu berucap membazir waktu dengan intro yang memuji-muji tetamu termasuk raja-raja, orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai tinggi – juga mungkin sahaja boleh ditakrif ‘menghina’. Makanya, pada pilihanraya 1969 beliau digugurkan jadi calon, sekalipun pernah menjadi Menteri Muda Kebudayaan, Belia dan Sukan, kerana yang tak suka hina menghina tapi sekadar berhumor ialah:


Wednesday, July 25, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)


INFO PRIMA:
(dari meja pimpinan)

MENOLAK PERHAMBAAN MINDA:
ELAK WUJUDNYA ‘ROBOT BERNYAWA’

Selepas 50 tahun merdeka, Malaysia perlu menolak sebarang sikap perhambaan minda bagi mengelak wujudnya masyarakat ‘robot bernyawa’. Justeru kebebasan intelektual hendaklah digalakkan, bagi membolehkan perdebatan pemikiran boleh dibincangkan secara rasional. Penahanan pengendali laman web Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nathaniel Tan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada 13 Julai lalu (dan dibebaskan dengan jaminan polis empat hari kemudian), begitu juga insiden yang dihadapi pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bukanlah langkah bijak.


Jurucakap Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA), Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz meminta kerajaan bersikap rasional, bukan dipengaruhi segelintir pimpinan UMNO yang mempunyai agenda. Katanya, pengendali-pengendali blog tak berhasrat menjatuhkan kerajaan, kerana yang mampu menjatuhkan kerajaan ialah ahli-aahli UMNO sendiri. Sebaliknya menurut Kamal, pengendali-pengendali blog mahu melihat kerajaan menjadi ‘pentadbir’ yang bermaruah bukan ‘penguasa’ yang pongah, justeru negara akan menerima manfaat kalau ditadbir kerajaan yang baik.

RAJA PETRA DISOAL SIASAT
Pengendali laman blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin disoal siasat hari ini (25 Julai 2007) di balai polis Dang Wangi Kuala Lumpur selama 5 jam. Jurucakap PRIMA Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz turut hadir memberi sokongan moral. Kamal mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana menyelesaikan isu Raja Petra dalam tempoh tak sampai 24 jam selepas Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib membuat laporan polis semalam (24 Julai 2007). Anehnya isu Ketua Polis Negara, Ketua Menteri Sabah dan beberapa kes yang lain tidak disoal siasat walaupun laporan sudah dibuat. Begitulah Malaysiaku...

SURAT DARI PENYAIR

Saudara Dharmala,

Saya menyokong penuh usaha saudara bersama Jawatankuasa Ad-Hoc untuk berjuang memartabatkan kembali bahasa kita – yang langsung tidak dihiraukan oleh pemerintah untuk memartabatkannya – lenyap bahasa maka lenyaplah bangsa! – kerana dalam masa terakhir kini (setelah negara kita mencapai taraf dewasa kemerdekaan) bahasa kita diinjak-injak! (Rejab F.I. , Perlis; 1 Jun 2007).

Pernah bertugas sebagai pengarang yang (kemudiannya diturunkan kepada penolong pengarang) dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan selama lapan tahun, tetapi gara-gara kesinisan tulisan termasuk cerpen berjudul ‘Retorik’ (yang memenangi hadiah pengharagaan Hadiah Sastera Kumpulan Exxcomobil 2005) telah digugurkan dari jawatan berkuatkuasa pada 30 Disember 2005. (Ramli Abdul Halim, Kota Bharu, Kelantan; 18 Jun 2007)

MELAYU LUPA MELAYU

Aku bangsa Melayu
dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu
aku Melayu kerana ibu dan ayahku Melayu
nenek moyang aku pun Melayu
maka bercakaplah aku
Bahasa Melayu.
Tiba-tiba tanpa disedari
Tanah Melayu jadi Malaya
mau tak mahu aku terima.

(Zakaria Bidin, Kuala Lumpur; dari antologi ‘Melayu Mudah Lupa’)

INFO SASTERA:

MANSOR YANG KONTROVERSI
PERHATIAN KEPADA ‘AMIGO POSSA’


Bukan sahaja DBP memberi perhatian kepada penerbitan novel dan antologi sajak Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, malah media arus perdana juga turut membuat liputan dengan novel ‘Amigo Passa’ (Berita Harian, 24 Julai 2007). Memang sebelum ini karya-karya Mansor kurang diberi perhatian sama ada pengulas-pengulas sastera, mahupun media seolah-olah pembabitan beliau dipandang sepi. Gamaknya! Mansor, yang juga mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM mula menulis sejak dekad 1960-an, malah paling prolifik sekitar dekad 1970-an dengan menghasilkan cerpen setiap bulan (atau 12 cerpen setahun).


Di samping cerpen, Mansor juga menulis sajak dengan nama penanya M. Ashikin. Sekitar dekad 1970-an, tulisan Mansor untuk teks sejarah sekolah menimbulkan kontroversi di Parlimen. (Mendiang) P. Patoo ketika itu Ahli Parlimen Ipoh (DAP) mendesak kerajaan mengharamkan buku teks sejarah yang ditulis Mansor, yang ditakrif berbau perkauman. Berikutan kritikan di Parlimen, Mansor bersetuju halaman yang ditakrif berbau perkauman itu dibuang daripada buku yang ditulisnya. Mungkin sahaja disebabkan menjadi penulis kontroversi, Mansor seolah-olah dipinggirkan oleh panel penilai yang berpusat DBP bagi anugerah SEA Writer, apalagi Sasterawan Negara. Entahlah!


INFO BUDAYA & WARISAN:


BANGUNAN WARISAN DIWARTAKAN
NILAI SEJARAHNYA PERLU DIPELIHARA


Koresponden ketika UMNO digerakkan pada 1946 ialah di premis beralamat No 21 Hale Street, Ipoh. Malah apabila Dato’ Onn Jaafar menghubungi Tunku Abdul Rahman bagi menjawab surat Tunku bertarikh 30 Mei 1946 menyebut: “Saya sukacita kalau Tunku datang berjumpa dengan saya pada 15 dan 16 Jun 1946 supaya kita dapat berunding dalam hal ini. Perjumpaan ini diadakan di atas kehendak saya dan sangat penting. Kalau Tunku dapat datang sila berhubung dengan Dato’ Panglima Bukit Gantang di rumah No 21 Hale Street, Ipoh secepat mungkin…”

Begitu juga dengan koresponden ‘Parti Perikatan’ digerakkan di premis Dewan Perhimpunan Cina (sekarang Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur. Malah persetujuan Tunku menerima tawaran Pesuruhjaya Tinggi melantik wakil ‘Parti Perikatan’ menjadi menteri iaitu Tun H.S. Lee dan Tun Dr. Ismail ialah berlamat di Dewan Perhimpunan Cina. Secara historikal dua premis terbabit itu adalah bangunan warisan yang memiliki nilai sejarah yang wajar diwarta dan dipulihara. Tak tahulah takrif ‘KekWa’ pula mengenai bangunan warisan. Aduhai!

INFO POLITIK:

KOMENTAR
bersama Pak Parjo

JAWATAN KOSONG 42,000
GRADUAN MENGANGGUR LAGI RAMAI


Menteri Sumber Manusia, Dato’ Dr Fong Chan Onn, 22 Julai 2007 lalu memberitahu media, sekarang ini terdapat jawatan kosong 42,000. Hebat juga! Tetapi dilaporkan secara rambang, graduan yang menganggur lagi ramai daripada jumlah jawatan kosong yang berdasarkan ‘angka’ itu. Tengku Razaleigh Hamzah ketika dikunjung aktivis PRIMA tak lama dulu, mengakui ramai juga graduan menganggur menemui beliau. Bagaimanapun beliau tak mampu menangani jumlah yang besar, tetapi setakat beberapa orang sahaja yang boleh dibantu menerusi kemampuan beliau yang terbatas.


Kabarnya kalangan intelektual Melayu dalam jabatan-jabatan kerajaan juga, merasakan ‘something wrong’ hingga fenomena begini makin sukar dibendung. Setiap tahun ramai graduan dikeluarkan oleh IPTA dan IPTS, tetapi mereka yang sudah memenuhi polisi ‘modal insan’ kerajaan masih juga ‘can melican, ketipang payung’! Dulu pun ramai juga penganggur hingga Allahyarham Sudirman Haji Arshad buat lagu ‘Aku Penganggur’, tetapi ketika itu tak ramai graduan ‘yang sepak kertas’. Bagaimanapun yang tahu sangat fasal ‘sepak kertas’ atau kata Tan Sri P. Ramlee ‘kira bulu kambing’ (Pendekar Bujang Lapok) ialah: