Friday, August 17, 2007

JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)

(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)

DARI LAMAN BLOG:
ELOKLAH BELAJAR DARI KELEMAHAN
JANGAN SENGAJA MENCARI KELEMAHAN


Assalamualaikum,


Terasa keletihan disebabkan fizikal semakin di mamah usia, tetapi sepatah kata Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika wacana bersama PRIMA (15 Ogos 2007), kalau generasi muda bersedia tampil ‘menegur’ kebobrokan, keberantakan dan keperongosan mereka yang ‘berkuasa’, silalah! Malah Tun Dr. M juga berulang kali mengingatkan ‘menegur’ bukan bermakna menyebut ‘assalamualikum’ sahaja ketika bersua, atau sengih-sengih mencium tangan sampai bulu roma pun malu nak tumbuh, tetapi ianya teguran untuk sama-sama berkongsi idea bagi membolehkan ‘yang malang’ menjadi cemerlang, ‘yang tempang’ menjadi gemilang, ‘yang tunggang langgang’ menjadi gemilang’. Begitulah!


Bagaimanapun mahu berihat hari ini (16 Ogos 2007), tak kesampaian apabila wakil penerbit Thinker’s Library, Sdr Ramesh Rao beritahu mengenai persedian pelancaran buku di Pan Pacific, 24 Ogos 2007 semakin sibuk, walaupun tak sesibuk mana. Sebelum itu kawan yang sudah lama tak bersua, Dato’ Dr Noordin Selat menelefon bertanyakan bagaimana mahu hubungi SN Dato’ A. Samad Said. (Memang saya baru sahaja bertemu Dato’ A. Samad di UPSI minggu lalu, tapi tak sempat meminta nombor telefonnya). Di sebelah petang, jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir pula menelefon fasal sikap kawan-kawan yang masih merelakan ‘perhambaan minda’ menguasai diri.


Misalnya, memperlekeh majlis wacana Tun Dr. M di Yayasan Kepimpinan Perdana kerana bangku di dalam dewan banyak kosong, seolah-olah kurang sambutan. Astaga! Walhal Tun Dr. M secara bergurau menyebut ‘tak ramai pun’, maknanya bukan kuantiti menjadi ukuran, sebaliknya ialah kualiti. Apalagi berdasarkan rekod kehadiran dalam dewan yang mampu memuatkan 200 orang itu, kehadiran ialah mencecah 180 orang. Mereka yang mendaftar menerusi emel pula, terpaksa ditolak kerana bimbang tak selesa.


Malah lihatlah rekod emel muluk47@.gmail.com , mereka yang tak sempat hadir di saat akhir terus menghubungi dengan memberikan sebab musababnya. Kalau nak jelas lagi begini: Bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah kirim salam, kerana beliau di Johor Bahru; bekas Ketua Pengarah DBP Dato’ A. Aziz Deraman berada di Kota Kinabalu, Sdr Mohd Isa bekas jurutera di UDA pula di Melaka atas urusan perniagaannya, bekas Ahli Parlimen Seputeh, Sdr Liew Ah Kim pula ada urusan di saat akhir, ‘Labisman’ yang sudah sampai di KL terpaksa berkejar ke Pahang berikutan urusan mengejut perniagaannya dan blah blah blah! Maknanya kewibawaan mereka lebih berkualiti daripada si polan yang sekadar mampu melongo di heh heh heh! Jadi, eloklah belajar dari kelemahan, jangan sengaja mencari kelemahan!
-Muluk-


INFO HAK ASASI MANUSIA:

MEDIA ARUS PERDANA
TETAP PERTAHAN ETIKA WARTAWAN


Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz berterima kasih kepada media arus perdana berbahasa Melayu ‘Utusan Malaysia’ dan ‘Beritah Harian’ yang terus bersikap memelihara etika kewartawanan dengan membuat laporan adil terhadap majlis wacana PRIMA bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam (15 Ogos 2007). Kamal yang juga bekas wartawan Utusan Melayu pada dekad 1970-an dan 1980-an mengakui etika kewartawanan masih terpelihara dalam laporan yang dibuat oleh media arus perdana. “Kalau berlaku laporan kurang tepat, biasanya bukan salah wartawan, tetapi sebab-sebab lain,” beliau menjelaskan.



Katanya, wacana bersama Tun Dr. M sekadar perjumpaan antara ‘anak-anak dan bapa’ atau ‘orang biasa dengan bekas pemimpin negara’, kerana logiknya rugilah orang Melayu kalau tak mahu berguru daripada pengalaman-pengalaman Tun Dr. M. Di masa lalu menurut Kamal, orang sanggup merantau jauh dari kampung halaman bagi mencari ilmu tokoh-tokoh pemikir besar, ‘malang’lah orang Melayu tak mahu menimba ilmu Tun Dr. M. Seterusnya Kamal memberitahu, Syeikh Abdul Kadir Jailani ahli sufi teragung pun merantau beribu-ribu kilometer bagi mencari ilmu, sebelum menjadi ilmuan Islam cemerlang, gemilang dan terbilang. “Nah! Tun Dr M memiliki segala-galanya, malanglah generasi muda Melayu tak menimba ilmu beliau sebagai pemikir terunggul,” kata Kamal.

KEPUTUSAN KABINET DIALU-ALUKAN
PELAJAR BIADAB PERLU TERIMA HUKUMAN


Mantan Timbalan Naib Canselor (HEP) UTM Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah mengalu-alukan keputusan kabinet Rabu (15 Ogos 2007) yang akan mengambil tindakan terhadap pelajar Malaysia yang menghina lagu ‘Negaraku’ baru-baru ini. Sekalipun bapa pelajar terbabit sudah meminta maaf dengan ditemani Timbalan Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek, tetapi ‘aib’ yang diterima oleh 28 juta rakyat Malaysia tak boleh dihapus dengan permintaan maaf sahaja, beritahu Dr. Mohd Mansor. Hari ini (16 Ogos 2007), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dari’ Seri Nazri Aziz mengakui kabinet sudah meluluskan sebulat suara, ‘maaf’ sahaja bukan penyelesaian terbaik.



Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Dato’ Seri Dr. Rais Yatim juga turut melahirkan rasa kesal apabila anak muda seperti pelajar terbabit tak mengenal budaya hingga tergamak mempersenda-senda ‘mercu tanda’ kedaulatan negara. Kedua-dua menteri terbabit yang juga peguam dalam kenyataan di media mengakui kaedah yang sesuai ialah mendakwanya di bawah Akta Hasutan. Semalam (15 Ogos 2007), Dr. Mohd Mansor mengingatkan menerusi laman blog PRIMA, penyelesaian dengan meminta maaf bagi sesiapa menghina lagu ‘Negaraku’ akan menggalakkan sikap generasi biadab kerana ianya boleh diselesaikan dengan meminta maaf sahaja.



DEKLARASI PUTRAJAYA DITERUSKAN
10 KEPERIHATINAN DALAM KONTRAK SOSIAL


Deklarasi Putrajaya mengandungi ’10 Keperihatinan’ yang sepatutnya diproklamir semalam (15 Julai 2007) dihadapan Tun Dr Mahathir Mohamad oleh bekas pensyarah USM Sdr Yahaya Ismail (Pak Ya), ditangguh pada saat-saat akhir setelah perundingan pimpinan PRIMA termasuk sasterawan Dharmala N.S., jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dan peguam PRIMA sdr Mohd Radzi Mustapha. Keputusan menangguhkan proklamir deklarasi berkenaan bagi menghormati Tun Dr. M berikutan insiden beliau kelihatan terlalu sebak sebaik sahaja Presiden Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) Sdr Feriz Omar membangkitkan isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).



“PRIMA bersetuju menangguhkan deklarasi ini, tetapi langkah susulan sudah dirangka bagi menyampaikan mesej sebenarnya,” beritahu Pak Ya. Bagaimanapun Pak Ya tak memberitahu butir-butir ’10 Keperihatinan’ yang terkandung di dalam deklarasi berkenaan. Sebaliknya Pak Ya tak menafikan butir-butir ’10 Keperihatinan’ memang sudah disentuh oleh Tun Dr M ketika menjawab soalan perserta mengenai ‘kontrak sosial’ yang tak perlu dikaji semula. Kata Pak Ya lagi, sesiapa sahaja boleh membuat persepsi sendiri mengenai kontrak sosial yang mahu dikaji, tetapi PRIMA tak kompromi dengan ’10 Keperihatinan’ dalam Deklarasi Putrajaya itu.



ISU SASTERA & BUDAYA:


MAHFUZ GEMBIRA BUKU KAMAL
SESUAI BEBASKAN ‘PERHAMBAAN MINDA’


Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, yang juga Ketua Penerangan PAS, Sdr Mahfuz Omar mengakui gembira selepas membaca buku ‘MELAYU HILANG DUNIANYA’ karangan Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Menurutnya, beliau membeli buku yang sudah berada di pasaran sejak sebulan lalu, di samping menelitinya secara analitikal. Mahfuz yang turut minum semeja bersama Kamal selepas majlis wacana PRIMA bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya (15 Ogos 2007), turut mengakui buku-buku yang bermatlamat membebaskan ‘perhambaan minda’ perlulah diperbanyakkan. “Kita mahukan buku-buku yang mampu mencelikkan minda dihasilkan oleh pengarang-pengarang yang prihatin,” beritahunya.



Kamal pula mengakui buku terbarunya berjudul ‘Perang Siber’ mengandungi kompilasi artikel terpilih yang diterbitkan melalui laman web dan laman blog dalam proses percetakan. Buku ‘Perang Siber’ diterbitkan Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd (PBCSB) akan menemui khalayak pembaca sebelum 31 Ogos 2007, serentak dengan antologi sajak ‘Melayu Mudah Lupa’. Menurut Kamal lagi, PBCSB juga dalam proses menerbitkan novel satira ‘SEMPERUNG’ hasil karya sasterawan Dharmala N.S. yang cenderung kepada ‘self criticism’, selaras dengan matlamat PRIMA sendiri iaitu menolak perhambaan minda.


KOMENTAR
bersama Pak Parjo

UJIAN BAHASA UNTUK WAKIL RAKYAT
DBP JADI ‘LEBIH SUDU DARIPADA KUAH’



Kononnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mampu menetapkan ‘penanda aras’ bagi menentukan kemahiran bahasa Malaysia (sebenarnya bahasa Melayu), kepada mereka yang mahu bertanding dalam pilihanraya seperti laporan media (16 Ogos 2007). Maknanya, DBP menentukan calon yang layak atau tak layak berdasarkan kriteria ‘penanda aras’, sekalipun mereka di DBP bukanlah layak menjadi ‘wakil rakyat’. Lupalah DBP akan sikap tersebut seakan-akan ‘lebih sudu daripada kuah’ (kalau tak faham bertanyalah kepada Dato’ Seri Dr Rais Yatim), kerana 50 tahun merdeka belum mampu mendekatkan orang ramai kepada sastera Melayu, kecuali menyediakan ‘bonus’ untuk menganjur sayembara mengarang yang ongkosnya ditadah daripada sumber kerajaan. Alahai!



Kalau takat menjadi ‘gelegar buluh, bunyinya gemuruh, dalamnya lompong, terasnya kosong’, lebih baik tumpukan kerja-kerja di DBP yang tentu ianya banyak melambak-lambak, bersepah-sepah dan bertimbun-timbun. Apalagi pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah, tak minat lagi sastera Melayu, kerana apabila gagal pun tak memberi kesan apa-apa. Sastera Melayu yang diminati pelajar-pelajar pada dekad 1950-an, 1960-an dan 1970-an sudah dianggap mata pelajaran kelas dua sekarang, di samping DBP sekadar berbangga dijadikan sekretariat sebagai penal menentukan aura anugerah kepada si polan itu atau si polan ini. Kalau dianggap tak menguasai bahasa Melayu di Parlimen menghina negara, bahasa dan Parlimen, eloklah DBP sendiri membuat takrif perkataan ‘menghina’ seperti disebut tok nenek moyang kita mengenai ‘hina dina’, ‘hamba sahaya’, ‘rakyat jelata’ mengikut kamus:




HIDUP BAHASA MELAYU!!!

No comments: