.jpg)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
MUSIM MAJLIS KAHWIN
ANAK RAKAN-RAKAN PENULIS
Assalamualaikum,
Cuti penggal persekolahan menjadi tradisi masyarakat Melayu, bagi mengadakan majlis perkahwinan. Kalau pada dekad 1940-an,1950-an malah 1960-an, majlis kahwin dipilih selepas musim menuai, ketika padi penuh di kepuk. Bagaimanapun perubahan pradigma Melayu, mereka memilih musim cuti penggal persekolahan bagi mengadakan majlis kahwin, justeru terpaksalah membahagikan masa majlis mana yang lebih diberi prioriti. 18 Ogos 2007, majlis perkahwinan anak rakan lama seorang dramatis yang sering muncul di TV sekitar dekad 1970-an iaitu Shafie Ibrahim. Beliau mengadakan majlis berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa, sementara sebelumnya terpaksa menghadiri majlis kahwin anak jiran satu qariah terlebih dahulu.
19 Ogos 2007, terpaksa pula ke Seremban menghadiri majlis perkahwinan anak bekas aktivis Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Haji Mohd Salleh Salimin. Malamnya, majlis makan malam ‘Harakah Daily’ di hotel di Kuala Lumpur, bagi jadual diari pada hari Ahad (19 Ogos 2007). Pada 18 Ogos pun jadual memang padat juga (tapi tak sepadat jadual penyanyi Mawi), kerana selepas menghadiri dua majlis kahwin, 3.00 petang pula mesyuarat PRIMA. 5.30 petang ke pekan Batu Caves menemui Ramesh Rao, berkaitan pelancaran buku ‘Analitikal Pimpinan Pemuda: Dato’ Ahmad Badawi bin Abdullah Fahim: LILIN MEMBAKAR DIRI’ dijangka pada 24 Ogos 2007 di Pan Pacific.

-Muluk.-
INFO HAK ASASI MANUSIA:
DEKLARASI 10 KEPRIHATINAN
AKAN DISERAH PADA PIMPINAN MELAYU
AKAN DISERAH PADA PIMPINAN MELAYU

Deklarasi yang mengandungi ’10 Keprihatinan’ sebelumnya dinamakan ‘Deklarasi Putrajaya’ ditukar kepada ‘Deklarasi Perdana’ selaras ianya dilakar ketika majlis wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana 15 Ogos 2007 lalu. Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz dalam kenyataannya memberitahu, keputusan tersebut dicapai dalam perjumpaan di Taman Seri Gombak hari ini, 18 Ogos 2007. Dalam perbincangan bersama pimpinan PRIMA yang turut dihadiri sasterawan Dharmala N.S. dan bekas pensyarah USM, Yahaya Ismail ianya dipersetujui deklarasi berkenaan akan diserahkan kepada semua pimpinan pertubuhan Melayu termasuk raja-raja Melayu.

SALAM KU LI UNTUK PRIMA

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyampaikan salam kepada aktivis PRIMA berikutan kejayaan menganjurkan wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana 15 Ogos 2007 lalu. Beliau dikatakan menyampaikan salam tersebut kepada Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz, setelah mengikuti perkembangan wacana tersebut. Menurut Kamal, Ku Li kagum dengan keprihatinan PRIMA dengan isu kebobrokan yang berlaku dalam pentadbiran menyebabkan masyarakat Melayu berhadapan dengan dilema baru, seperti disebut oleh Tun Dr. M dalam wacananya.

KONTROVERSI AKTA 664 WPI

Pimpinan PRIMA akan meneruskan gelombang fasa kedua bersama-sama pimpinan Generasi Profesional & Pewaris Bangsa (ProWaris) dalam isu kontroversi Akta 664 Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor. Presiden ProWaris Sdr Feriz Omar sudah dihubungi melalui telefon pada 18 Ogos 2007 bagi tindakan bersepadu bersama Majlis NGO Malaysia (MAPAN). ProWaris dalam beberapa kenyataan sebelum ini mempertikai akta tersebut kerana bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia termasuk Seksyen 50 dan 56 IRDA (Akta 664) yang jelas ianya bertentangan dengan Artikel 10 (1) Perlembagaan Persekutuan. Malah ianya turut bercanggah dengan Artikel 152 (6) yang menjelaskan perkara keputusan mahkamah ‘Kes Merdeka Universiti Bhd vs Kerajaan Malaysia’, seperti disebut Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Suffian Hashim.

INFO SASTERA & BUDAYA:
LAGI HADIAH UNTUK SASTERA
BONUS PENGARANG MASTERA 2007
BONUS PENGARANG MASTERA 2007

Tentunya pengarang Melayu sedang menunggu ihsan yang ditawarkan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) bagi menerima ‘bonus’ bernilai RM10,000 November ini. Sekretariat MASTERA di Tingkat 25, Menara DBP menunggu karya-karya untuk dinilai menjelang tarikh tutup 10 September 2007. Penilaian pun sekadar mengikut prosedur sahaja, kerana pengarang yang dipilih tak perlu dinilai apa-apa. Sekretariat dengan segala kekebalan mungkin sahaja menafikan setiap dakwaan, tetapi ianya bukanlah benar sekali pun penafian itu dipercayai oleh orang ramai. Insiden Allahyarham Dato’ Dr Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) tak menerima anugerah ‘Sasterawan Negara’ masih lagi misteri kerana ianya memang berangkai-rangkai, berungkai-rungkai dan berantai-rantai. Astaga!

KOMENTAR
bersama Pak Parjo
bersama Pak Parjo
PEMUDA UMNO IKUT DAP
KEMPEN MENERUSI LAMAN WEB
KEMPEN MENERUSI LAMAN WEB

Tak sangka pula Pemuda UMNO terlambat menyertai laman web dan laman blog, sehingga terpaksa mengekori DAP. Ketika memberitahu pemberita selepas majlis perasmian Pameran Pelajaran dan Kerjaya Malaysia 2007 di Kuala Lumpur (17 Ogos 2007) Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, “Kita akui bahawa ini gelanggang yangb kita belum masuk secara total. Ini satu perkara yang perlu kita atasi dalam masa terdekat kerana kita mahu medium Internet akan jadi medium komunikasi pada masa akan datang”. Rupa-rupanya pengendali laman web dan laman blog yang ditakrif ‘goblok’ ini memukau pimpinan Pemuda UMNO. Hebat juga!
‘Perhambaan minda’ sudah dipimpin oleh media arus perdana sebelum ini, justeru alternatif yang boleh membebaskan ‘perhambaan minda’ itu ialah laman web dan laman blog. Nampaknya Pemuda UMNO sudah mengiktiraf peranan pengendali laman web dan laman blog, malah ianya memang dialu-alukan semoga persaingan sihat membebaskan ‘perhambaan minda’ boleh dikongsi bersama. Keperihalan pengendali laman web dan laman blog yang ditakrif sebagai ‘goblok’ itu, kerana rata-rata mereka tak akan menjadi menteri kerana ‘ihsan’, apalagi bukan disebabkan bakat kepimpinan dan sumbangan dalam gerakan nasionalisme. Makanya, janganlah bangsa Melayu mengulangi insiden Tun Jana Khatib dalam ‘Sejarah Melayu’ yang dibunuh kerana bercakap benar, seperti yang sukar mempercayai orang yang sudah berbohong sekali disebabkan kedua kali, ketiga kali seterusnya tetap berbohong ialah:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment