JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
Assalamualaikum,
MENANGANI GEJALA BOBROK
MASYARAKAT PRIHATIN DITUNTUT
MASYARAKAT PRIHATIN DITUNTUT
Hampir seminggu berihat berikutan rutin jadual harian terlalu terhad sepanjang puasa sejak 13 September 2007, di samping komitmen dengan kerja-kerja penulisan buku dan skrip drama TV (animasi) yang perlu disiapkan. Ketika berbual dengan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan selepas solat terawih Ahad lalu (23 September 2007) di warun teh tarik di Taman Seri Gombak, jam 11.00 malam, memang berkisar isu masyarakat prihatin. Apalagi beliau juga mengakui UMNO Bahagiannya sudah lama mewujudkan ‘Kelab Masyarakat Prihatin’, selepas pilihanraya 1999, apabila dua DUN di Parlimen Gombak ‘al-mukarram laaa’.
Kata Omar Sudi atau Om, tragedi yang menimpa Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin, 8 yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju sejak 20 Ogos 2007, memang memerlukan keprihatinan masyarakat. Apalagi selepas pelbagai usaha dilakukan, akhirnya mayat Nurin ditemui pada 17 September 2007 di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya; iaitu dalam tempoh warga Malaysia bergembira bagi merayakan 50 tahun merdeka. “Tragedi Nurin memang menyayat hati, di samping cuba bayangkan apabila berlaku kepada keluarga kita sendiri, justeru keprihatinan masyarakat memang dituntut bagi menangani gejala begini,” beritahu Om.
Bagaimanapun Om tak mengulas lebih lanjut mengenai tragedi Nurin, disebabkan perasaannya tersentuh sangat apabila kenang insiden menimpa anak malang yang ianya patut menerima belaian kasih sayang. Apalagi penderaan seksual yang diterima oleh anak kecil itu memang di luar peri kemanusiaan, menurut Om seterusnya. Dalam pertemuan malam ke 10 berpuasa itu, Om juga turut mendoakan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad segara sembuh, selepas menjalani pembedahan pintasan koronori di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 4 September 2007. “Apa boleh buat, pelawat-pelawat belum dibenarkan menemui Tun,” katanya. Apalagi sehingga hari ini (25 September 2007), Tun Dr.M masih ditempatkan di bilik rawatan khas seperti kenyataan anaknya Dato’ Mohkzani.
-Muluk.
INFO HAK ASASI MANUSIA
MTUC DAN CUEPACS BERTINDAK
FOMCA SEKADAR TUNGGU DAN LIHAT
FOMCA SEKADAR TUNGGU DAN LIHAT
Berikutan sikap peniaga menolak kawalan harga yang ditetapkan, apalagi berkaitan kekurangan bekalan ayam menjelang perayaan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) segera bertindak melancarkan ‘Kempen Boikot Kenaikan Harga Barangan’ pada 24 September 2007. Laporan berita TV jam 8.00 malam pada 24 Spetember juga turut menyiarkan pandangan umum terhadap kempen MTUC dan Cuepacs. Beberapa orang suri rumah tak bersetuju ‘kempen boikot’, sebaliknya jangan beli sahaja barangan yang dinaikkan harga, apalagi tak berpatutan menjelang perayaan.
Berdasarkan respons orang ramai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal pula ‘tumpang sekaki’ meminta jangan boikot, tetapi ikut kempen kementeriannya ‘Pengguna Bijak’. Alahai! Ketika MTUC dan Cuepacs prihatin dengan isu kenaikan harga barangan, Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pula seolah-olah ‘tunggu dan lihat’. Kalau bersuara pun sekadar Presidennya sahaja, Dato’ Marimuthu, seolah-olah jeneral yang kehilangan seldadu. Memanglah, jika semua ahli-ahli MTUC, Cuepacs dan Fomca menyambut kempen ‘boikot’ dalam tempoh seminggu cukuplah, gamaknya!
Sebaliknya, kempen ‘boikot’ masih lagi tindakan berhemah, kalau bandingkan dengan gerakan ‘hartal’ seperti dilancarkan oleh golongan radikal pada 1948 dan 1968 dulu. ‘Hartal’ di Pulau Pinang pada 1968 ialah memaksa pekedai-pekedai menutup premis masing-masing, hingga menimbulkan rusuhan apabila berlaku provokasi di luar dugaan. Peniaga-peniaga yang menentang ‘hartal’ akan dibelasah, malah premis mereka akan dibakar, menyebabkan pengguna-pengguna sendiri mengalami kesengsaraan kerana sukar mendapat bekalan makanan. Biasanya, kita mampu membuat analisis di atas kertas sahaja, sebaliknya isu pengguna dan peniaga kadangkala macam ‘aur dengan tebing’ jika dilihat secara praktisnya.
PERIHAL ‘DUIT RAYA’ PENEROKA
KISAH ALADIN HILANG LAMPU AJAIB
KISAH ALADIN HILANG LAMPU AJAIB
Macam kisah Aladin kehilangan lampu ajaiblah pula, apabila Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak umumkan ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka Felda yang akan menerima RM350 bayaran lebih hasil untuk Julai dan Ogos. Peneroka yang terbabit di 39 tanah rancangan berkenaan juga memahami, ‘duit raya’ yang disebut Najib, bukanlah bagi tahun ini sahaja. Peneroka di kawasan Felda di tempat lain pun tahu sangat, memang ‘duit raya’ sudah ditetapkan oleh pihak pengurusan setiap tahun, sama ada Najib umumkan ataupun tidak. Astaga! Peneroka-peneroka juga tahu ‘duit raya’ yang diberi adalah bergantung kepada ‘lebihan hasil’; maknanya ‘kalau ok’ berjalan pun ‘mendadalah’ sikit, kalau ‘tak ok’ kuncuplah bahu laksana ‘ayam berak kapur’.
Najib mengumumkan ‘duit raya’ peneroka itu dalam sidang media selepas Majlis Rahmat Ramadan Warga Felda Parlimen Pekan dan Penyampaian Surat Hakmilik Peneroka Felda Chini Tiga, 22 September 2007 lalu. Sekalipun Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan ADUN Chini, Abu Bakar Harun turut hadir, tetapi tak semena-mena pula Najib yang bercakap mengenai isu peneroka. Takkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Abdul Aziz Shamsuddin tak dibenarkan membuat pengumuman berkaitan kepentingan peneroka, kalaupun beliau tak menjadi Aladin yang kehilangan lampu ajaib apabila berhadapan pancaroba. Heh heh heh!
BAS UNTUK BALIK KAMPUNG
SAMBUT OKTOBER MUSIM PERAYAAN
SAMBUT OKTOBER MUSIM PERAYAAN
Sudah terdengar desas desus, tiket bas sudah habis dijual pada hari ketiga berpuasa, bagi 500,000 warga kota yang mahu balik ke kampung menjelang musim perayaan Hari Raya Aidil-Fitri bagi tempoh 6 Oktober – 22 Oktober 2007. Bagaimanapun Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengakui dalam kenyataan media pada 23 September 2007, pihaknya mengenal pasti kira-kira 1,000 bas yang layak untuk beroperasi sebagai bas ekspres tambahan. Bas yang dikenal pasti itu termasuklah bas kilang, bas sekolah, bas berhenti-henti, sewa khas dan bas pesiaran yang dibenarkan memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS). LPKP juga membenarkan caj tambahan RM5 ke atas harga tiket bas kepada bas LPS ini dengan tak memberi sebarang alasan.
Maknanya, bagi mereka yang sepatutnya bayar RM30 bagi perjalanan biasa, terpaksa dikenakan caj tambahan kepada RM35 bagi satu-satu perjalanan. Trend masyarakat masakini yang perlu balik ke kampung pada musim perayaan, menjadikan masalah bas tambahan terlalu mendesak, apalagi warga kota juga sudah membuat persiapan awal untuk berhari raya di kampung. Kalau LPKP tak pantau bas-bas tambahan (misalnya jangka hayat melebihi 12 tahun), ‘ulat-ulat’ akan berkeliaran di terminal menjanjikan bas-bas untuk balik ke kampung.
Tetapi balik ke kampung pada Hari Raya Aidil-Fitri, memang sesuai bagi mereka yang mempunyai kedua ibu bapa di kampung yang wajib diziarahi. Sebaliknya mereka yang sudah berkeluarga, di samping ibu bapa tiada lagi, keseronokan berhari raya di kampung tentulah tak memberi apa-apa makna. Kalau sekadar menziarah pusara, ianya boleh dilakukan pada hari-hari selepasnya. Justeru PRIMA mengucapkan syabas kepada LPKP yang cepat mengambil inisiatif bagi memantau perjalanan balik warga kota ke kampung halaman, walaupun setakat 23 September 2007 baru 285 LPS sahaja yang dikeluarkan. Sebaliknya diharap kelonggaran boleh diberikan kepada kenderaan yang jangka hayat di bawah 15 tahun sekiranya memenuhi piawaian turut beroperasi, apabila 1,000 peruntukan bas tambahan itu masih tidak mencukupi.
INFO SASTERA & BUDAYA
SARJANA LUAR LEBIH BERANI
FRASA PERJUANGAN BAHASA MELAYU
FRASA PERJUANGAN BAHASA MELAYU
Tak malukah sarjana Melayu apabila sukar mahu menyebut bahasa utama negara ialah ‘Bahasa Melayu’ bukannya ‘Bahasa Malaysia’ seperti ditetapkan oleh kabinet? Tiba-tiba sahaja Profesor Liguisitik Melayu-Polynesia, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr James T Collins berkata, “Memang ada pelbagai artikel pendek tulisan ahli linguistik Malaysia mengenai beberapa bahasa minoriti di Malaysia, tetapi 78 bahasa selain bahasa Melayu dan Iban, belum dikaji secara mendalam.”
Keberanian Dr James Collin sarjana luar menyebut ‘Bahasa Melayu’ bukannya ‘Bahasa Malaysia’ seolah-olah mencabar sarjana-sarjana Melayu sendiri yang sekadar bersembunyi-sembunyi menyebut ‘Bahasa Melayu’ setelah kabinet memutuskan ianya berstatus ‘Bahasa Malaysia’. Kajian mengenai sikap terhadap ‘bahasa Melayu’ di kalangan guru atau pelajar di sekolah menengah kata Collins, memang sudah diusahakan oleh para sarjana, tetapi ianya belum pernah memperoleh gambaran lebih luas dan bersifat nasional mengenai kedudukan dan fungsi ‘bahasa Melayu’. Begitulah!
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
bersama Pak Parjo
SELEPAS BERBUKA DI RUMAH KU LI
FASAL PENGURUSAN DANA NEGARA
FASAL PENGURUSAN DANA NEGARA
Lama juga Jurucakap PRIMA, Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz makan ibu kentang di London sejak 28 Ogos, hingga 18 September 2007 baru balik ke tanah air. Memanglah tak sampai sebulan. Tapi di London tak sama dengan Stockholm di Sweden yang sukar mencari makanan Muslim, kerana di kota Mat Saleh di Britain banyak restoran Pakistan beroperasi. Tentunya Kamal tak banyak makan kentang semasa di London, apalagi beliau memang memiliki rumah di sana, justeru tak perlulah habiskan masa di restoran Pakistan. Bagaimanapun 23 September 2007, baru beliau menelefon atau selepas lima hari balik ke tanah air.
Kamal beritahu fasal beliau baru sahaja balik berbuka puasa dari rumah Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), di samping rungutan kawan-kawan yang hadir mengenai pengurusan dana negara. Ku Li juga menurut Kamal, kurang senang dengan dana negara diuruskan, kerana terlalu banyak menjadi tanda tanya berikutan dengan laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang. Dalam laporan Ketua Audit Negara mengenai pengurusan bujet di beberapa kementerian memang menimbul kebimbangan di kalangan orang ramai. “Kalau fenomena pengurusan dana kewangan berterusan, kita bimbang negara akan muflis dalam tempoh empat lima tahun lagi,” menurutnya ketika berbual dengan Ku Li.
Maka disebutlah di dalam kitab Melayu lama mengenai pemborosan dalam kerajaan Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah, ketika memanda bendaharanya Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Bagaimanapun di dalam ‘kitab Melayu’ sekadar disebut frasa salah urus dana kerajaan (ianya disebut perbendaharaan) ialah membina jambatan emas dan jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, menyediakan tujuh dulang hati nyamuk dan hati kuman (istilahnya projek sia-sialah, gamaknya!) dan satu tempayan air mata dan air pinang muda. Adapun yang memahami akan simbolik, takliq dan lak lik, lak lik ialah:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment