JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
‘SIDANG TEH TARIK’ HINGGA 2 PAGI
TIBA-TIBA SEMUA BIL SUDAH DIBAYAR
Assalamualaikum,
Memang rakan-rakan perasan mengenai laman blog PRIMA kurang aktif sepanjang 15 hari Ramadan; apalagi dalam tempoh beberapa hari barulah ianya diisi. Begitulah! Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz sudah menyedari sejak hari pertama berpuasa, di samping pengendali laman blog MSO, Mohd Sayuti Omar juga tertanya-tanya fasal laman blog PRIMA tak aktif. Ketika bertemu di warung teh tarik di Taman Seri Gombak kelmarin (28 September 2007), segalanya seolah-olah terjawab kerana sibuk menyiapkan manuskrip buku ‘100 TOKOH’, skrip drama TV bagi animasi dan sebuah lagi buku sejarah perjuangan pimpinan wanita. Es es es!
Bukan sahaja Kamal Amir dan Sayuti yang bertandang ke gerai teh tarik berkenaan selepas solat terawih, pengendali laman web Sang Kelembai (Zaharin Mohd Yassin) juga ikut sama. Di tambah lagi Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan di samping beberapa lagi aktivis UMNO Bahagian Gombak, menyebabkan ‘sidang teh tarik’ berlangsung hingga jam 2.00 pagi. Hingga Sayuti pula terlupa fasal mahu ke Terengganu, di samping Kamal Amir mempunyai jadual pertemuan dengan kawan-kawannya di Taman Tun Dr Ismail. Kabarnya aktivis PRIMA Haji Bakar Ninggal tak sempat ikut sama disebabkan kurang sihat.
Semuanya berkisar mengenai ‘perhambaan minda’ di kalangan majoriti Melayu, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahtahir Mohamad juga mengaku gagal mengatasi dilema berkenaan, sekalipun 22 tahun memimpin negara. Bagaimanapun semua rakan-rakan dalam ‘sidang teh tarik’ berkenaan mendoakan Tun Dr M segera sembuh setelah menjalani rawatan pemebedahan pintasan koronari sejak 4 September 2007 lalu. Malah Omar Sudi juga kagum dengan komitmen Mufti Negeri Perlis Dato’ Asri Zainal Abidin yang meminta semua jemaah masjid di negeri Perlis mengadakan solat hajat memohon kesihatan Tun Dr M kembali sembuh. “Ironinya, kenapa negeri-negeri lain tak buat, atau nak tunggu arahan MB gamaknya!” gerutu Omar Sudi.
Ketika Kamal memanggil pemilik gerai mahu membayar bil, tiba-tiba sahaja ‘si mamak’ beritahu semuanya sudah ‘settle’. Rupa-rupanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Yuszahari Yusoff yang turut minum bersama aktivis UMNO di Taman Seri Gombak di meja lain, membayar semua bil. Kebetulan pula Yuszahari balik dari menghadiri majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor, Sultan Sariffuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Hulu Kelang. Sebenarnya Omar Sudi juga lengkap berpakaian ‘pakaian Melayu’ kerana turut menghadiri majlis berkenaan bersama dengan Yuszahari. Astaga!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
DR M PERLUKAN MASA REHAT
TAK WAJAR DIGANGGU PELAWAT
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan masa rehat yang selesa apabila ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN) selepas lima hari menjalani pembedahan membersihkan luka pada Sabtu (22 September 2007). Seperti dilaporkan pegawai khasnya, Sufi Yusoff sekalipun kesihatan Tun Dr M semakin stabil, tetapi beliau memerlukan pemeriksaan rapi dan pemerhatian mengenai keseluruhan aspek kesihatannya berikutan pembedahan pintasan jantung kedua pada 4 September 2007. Dalan kenyataannya kepada media, 28 September 2007, Sufi seterusnya memberitahu:
“Ia mungkin dilihat mengambil masa, tumpuan doktor adalah untuk meningkatkan status pemakanannya dan memperkukuhkan ototnya.” Sufi juga menjelaskan, doktor di IJN mahu memastikan semua fungsi organ utama Tun Dr M kekal stabil untuk menerus proses pemulihan selepas pembedahan. Beliau turut memberitahu, pihak IJN akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa bagi melaporkan tahap kesihatan Tun Dr M. Justeru, buat sementara pelawat-pelawat tak digalakkan mengunjungi Tun Dr M, kerana beliau memerlukan rihat dan keselesaan.
Sementara itu Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz mengakui Tun Dr M mempunyai tahap semangat yang tinggi melawan sebarang masalah penyakit. Katanya dalam satu kenyataan, ketika menghadiri wacana bersama PRIMA pada 15 Ogos 2007 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Tun Dr M mampu berdiri lebih dua jam bagi menyampaikan amanatnya. Bagaimanapun Tun Dr M sukar menahan emosi asal sahaja menyentuh isu kelemahan bangsa Melayu, malah kelihatan terlalu sebak apabila wakil ProWaris membangkitkan masalah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor. “Jangan ungkit isu kelemahan Melayu di hadapan Tun Dr M, ketika beliau perlukan rawatan dan rehat,” ujar Kamal.
AKTA YANG TAK DILAKSANAKAN
MAHU DISASAR KEPADA IBU BAPA
MAHU DISASAR KEPADA IBU BAPA
Berikutan isu pembunuhan kejam ke atas anak kecil yang baru berusia lapan tahun Allaharyarham Nurin Jazlin Jazimin, tiba-tiba sahaja Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hitam mencadangkan pelaksanaan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 yang selama ini tak diguna pakai. Akta berkenaan pula disasarkan kepada ibu bapa yang dikategorikan sebagai cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun penjara atau denda tak melebihi RM5,000, dengan tak mengambil kira perasaan ibu bapa terbabit Jazimin Abd Jalil dan Norzian Bistaman masih berduka akibat insiden tersebut.
Kenyataan Musa dilaporkan media pada 22 September 2007, disanggah pula oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Johari Bahrom kerana tak sesuai dilaksanakan semata-mata untuk disasarkan kepada ibu bapa yang tertekan perasaan mereka dengan insiden yang menimpa keluarga. Bagaimanapun percanggahan pendapat tersebut secara umum mendedahkan pula tak keseragaman akta tersebut mengikut ‘penggubal undang-undang’ dan ‘pelaksana undang-undang’. Musa yang mewakili pihak ‘pelaksana undang-undang’ tak sepatutnya mendahului kenyataan pihak ‘penggubal undang-undang’ yang diwakili oleh Johari, kerana ianya membabitkan pentadbiran negara.
Begitu juga laporan berita TV jam 3.00 petang hari ini (29 September 2007) yang menyalahkan ibu bapa berikutan insiden 4 murid Tadika lemas di tali air dekat rumah pam Sungai Kreh, Lahar Tembun. Tasek Gelugor pada 26 September 2007. PRIMA merasakan pihak TV seolah-olah tak prihatin dengan kesedihan ibu bapa kanak-kanak terbabit, malah ayah kepada salah seorang kanak-kanak itu, Saidin Ahmad sendiri yang terjun ke dalam tali air dalam usaha menyelamatkan mereka (bukannya wartawan TV, pembaca berita atau pentadbir stesen TV berkenaan). Aduhai!
Menyalahkan ibu bapa sahaja ialah sikap ‘kebangsatan’ yang tak berasaskan pemikiran waras, seolah-olah kanak-kanak terbabit ‘boneka’ yang boleh diletakkan di dalam saku. Bagi mengelakkan kanak-kanak sentiasa diawasi di sisi ibu bapa, apakah sesuai seperti dilakukan Puan Ruhayati Muda di Dungun, Terengganu empat tahun lalu dengan mengurung anaknya Muhd Hakim (Rohimin Abdullah) yang sekarang ianya ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan (RKKTAA) Kuantan? Apabila Muhd Hakim dikurung, masyarakat menyalahkan pula Puan Ruhayati.
LAPORAN YANG BOLEH DIPERTIKAI
BAPA YANG PRIHATIN TERHADAP ANAK
BAPA YANG PRIHATIN TERHADAP ANAK
Kalau ditakrifkan ibu bapa cuai mengawasi anak, bagaimana pula menafsirkan keprihatinan Dato’ Termudzi Abdul Aziz terhadap anaknya Allahyarham Kapten Norazlan yang terbabit dalam nahas pesawat Nuri TUDM dalam tragedi 13 Julai 2007. Laporan Lembaga Siasatan seperti diumumkan Timbalan Panglima TUDM Lt Jeneral Dato’ Bashir Abu Bakar, menyebut pesawat berkenaan dipercayai terbang rendah ketika cuaca buruk yang disifatkan tak sesuai untuk penerbangan altitud rendah. Bagaimanapun perbualan antara Norazlan bersama Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof tak pula diambil kira oleh pihak penyiasat. Alahai!
“Antara isi perbualan yang dinyatakan dan didengari oleh anak perempuan saya (anak perempuan Termudzi) ketika beliau keluar makan malam di Kelana Jaya dengan Norazlan bagi meraikan Nor Intan Asykeen sebelum hari kejadian adalah mengenai kerosakan (gear box leaking) yang dinyatakan pembantu juruterbang Norazlan. Norazlan, bagaimanapun memberitahu kepadanya bahawa helikopter terbabit sudah diselenggara dan ia tidak sepatutnya berlaku. Tetapi, dijawab pembantunya itu helikopter terbabit masih mengalami masalah sama,” kata Termudzi kepada media pada 27 September 2007.
Tetapi berdasarkan laporan berkenaan, yang salah ialah juruterbang kerana silap membuat perkiraan dengan menerbangkan persawat terlalu rendah, seolah-olah pesawat terbabit terlalu baik, terbaik dan sebaik-baiknya. Tak pedulilah sebelum ini sudah terlalu banyak pesawat Nuri menjunam, sekalipun tak pernah dibawa ke medan tempur. Ianya juga seolah-olah tak menghiraukan kesedihan, kepedihan dan keperihan hati dan perasaan ibu bapa yang anak-anak mereka terkorban akibat kecuaian pentadbiran, dengan jadikan laporan itu senjata untuk memaksa menerima ‘kebenaran’ sebelah pihak, sama seperti isu Bush menceroboh Iraq pada 2001 atau Mac Michael merampas kuasa raja-raja Melayu pada 1946 menerusi laporan ‘Kertas Putih’-nya.
PEGUAM PERTIKAI KEHAKIMAN
URUSAN PELANTIKAN KETUA HAKIM
Langkah peguam-peguam mempertikai urusan pelantikan Ketua Hakim Negara pada 2002 memang mendedahkan kebobrokan sistem kehakiman negara apabila rakaman klip video perbualan telefon antara seorang peguam dengan seorang hakim kanan dikatakan mempunyai kaitan. Apalagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz secara pongah mempertahankan isu video klip berkenaan, di samping menuduh ianya direka-reka oleh parti pembangkang. Dengan mempertahankan isu berkenaan, di samping memesong perhatian kepada menuduh ianya direka pembangkang, memperlihat ‘kedangkalan’ fikiran Nazri sendiri yang juga seorang ‘peguam’.
Kalau isu berkenaan direka-reka maknanya Nazri boleh menggunakan ‘Akta False News’ (atau menyebarkan berita palsu) bagi mendakwa peguam-peguam terbabit, kerana akta tersebut pernah digunapakai dalam isu bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, Lim Guan Eng pada 1998, yang sabit kesalahannya boleh dipenjara atau didenda. Dalam kes berkenaan Ahli Parlimen terbabit terpaksa menjalani hukuman penjara 18 bulan di Penjara Sungai Jeluk, Kajang. Langkah Majlis Peguam diketuai Presidennya, Ambiga Sreenevasan bersama 2,000 ahlinya berarak sejauh 2.5 kilometer dari Kompleks Keadilan (POJ) ke Jabatan Perdana Menteri adalah kemuncak kebobrokan institusi kehakiman yang sepatutnya diperbetulkan.
PRIMA berpendapat, kalau menerusi pembangkang kebobrokan boleh diperbetulkan, apa salahnya pihak kerajaan menerima dan melaksanakan secara rasional. Kalau Nazri terlupa, makanya perlu diimbau kembali bagaimana PAS dibawa masuk ke dalam kerajaan pada 1969. Tun Abdul Razak Hussein sendiri menghantar wakilnya (dengan tak berasa rendah diri) Tan Sri Hamzah Abu Samah bagi menemui Tan Sri Mohd Asri Muda di Kota Bharu dalam usaha memperbetulkan kebobrokan pentadbiran negara ketika itu. Justeru keikhlasan Tun Razak itu membuka hati Tan Sri Mohd Asri bagi bersama-sama berganding bahu menyelamatkan negara tercinta. Begitulah!
- (Gambar-gambar ihsan saudara Johari)
INFO SASTERA & BUDAYA:
DARI CERPEN KEPADA NOVEL
PROSES BERKARYA PENGARANG
Selepas selesai membaca novel ‘Amigo Possa’ (DBP, 2007) karya Mohd Mansur Abdullah (Dato’ Dr Mohd Mansur Abdullah, bekas Timbalan Naib Canselor HEP, UTM) ternyata ianya proses berkarya kebanyakan pengarang dengan mengadaptasi karya cerpen kepada novel. Misalnya, SN S. Othman Kelantan pernah melestarikan cerpen ‘Pahlawan Lembu’ kepada novel ‘Juara’, seterusnya diadaptasi kepada filem dengan judul ‘Jogho’. Mohd Mansur pula melestarikan judul cerpen ‘Amigo Possa’ (Dewan Sastera, Mac 1978) kepada novelnya yang diterbitkan oleh DBP itu. Bagaimanapun menerusi cerpennya Mohd Mansur lebih cenderung kepada interior monolog, berbanding dengan novelnya membawa pendekatan realisme.
‘Amigo Possa’ yang turut dimuatkan dalam antologi ‘Cerpen Malaysia Selepas Perang Dunia Ke-2’ (DBP, 1988) selenggaraan Dr Othman Puteh, mengambil masa hampir 29 tahun bagi membolehkan Mohd Mansur menterjemahkan karya interior monolog-nya kepada pendekatan realisme. Bagaimanapun Mohd Mansur yang juga penyair dikenali M. Ashikin seolah-olah gagal menarik perhatian penyelenggara antologi ‘Mengenangmu Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986’ (DBP, 1989) menerusi Dr Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim, apabila mampu memboloskan antologi sajaknya ‘Salam Anak-Anak Inderapura’ ke dalam kelompok penerbitan DBP.
Menerusi antologi ‘Salam Anak-Anak Inderapura’ memang termuat puisi-puisi berunsur Islam yang dihasilkan oleh Mohd Mansur. Misalnya, sajak ‘Akulah Pencari Yang Rugi’ (1961) ‘Ramadan’ (1973), ‘Musim Tengkujuh’ (1975) atau ‘Mimpi’ (1982) memang mengungkapkan sikap pasrah dan mencari keredhaan Illahi. ‘Akulah Pencari Yang Rugi’ dihasilkan oleh Mohd Mansor ketika berusia 16 tahun dalam insiden dibuang sekolah akibat terbabit dengan mogok, lantas beliau menuturkan: Janjiku tidak mahu menyesali diri sendiri/kepada-Nya ku serahkan diri/Dia tahu segala yang tersembunyi di hati/keampunan dari-Mu semoga rahmat Kau beri.
PENGHARGAAN KEPADA WARTAWAN
WAJAR DIRAKAM MENERUSI PENULISAN BUKU
Sumbangan wartawan dalam menggerakkan perjuangan nasionalisme pada period pra merdeka wajar dirakamkan menerusi penulisan buku yang berasaskan kajian lengkap, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gombak, Omar Sudi Abdul Manan. Ketika memberitahu PRIMA, Omar Sudi menjelaskan frasa kebangkitan wartawan pada dekad 1930-an dan 1940-an adalah menjadi perintis kepada usaha menggerakkan Kongres Melayu Pertama 1-4 Mac 1946, yang mempelopori penubuhan UMNO. Apalagi secara historikal, pejabat akhbar ‘Majlis’ di Batu Road (Jalan Tuanku Abdul Rahman) menjadi sekretariat bagi menggerakkan Kongres Melayu berkenaan, kata Omar Sudi.
Seterusnya Omar Sudi menyebut tokoh-tokoh wartawan seperti Dato’ Onn Jaafar, Ibrahim Haji Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Tan Sri Abdul Samad Ismail, Tan Sri Melan Abdullah, Tun Yusuf Ishak, Abdul Samad Ahmad dan rakan-rakannya adalah wartawan Melayu yang berjasa besar dalam gerakan kemerdekaan. “Kita tak boleh menafikan fakta sejarah mengenai pembabitan wartawan-wartawan dalam gerakan kemerdekaan. Justeru usaha perlu dibuat sebelum ianya terlambat bagi usaha merakamkan perjuangan mereka menerusi penulisan buku,” ujar Omar Sudi.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo.
DEDAHKAN KEPADA KELEMAHAN
PERIHAL MELAYU MALU TULISAN JAWI
Syahdan akan sikap ahmak (atau bodoh sombong) itu boleh mendedahkan kepada kelemahan jatidiri seseorang; apalagi yang membabitkan tabiat peribadi. Dengan lebih 14 juta populasi Melayu dari sejumlah 28 juta warga Malaysia, akhbar bertulisan jawi tak mampu bertahan. Sebaliknya populasi India yang jumlahnya lebih rendah daripada pekerja asing di Malaysia, mampu bertahan dengan beberapa akhbar bertulis Tamil. Kalau mahu bandingkan dengan akhbar tulisan Cina tak perlu cakaplah, malah akhbar-akhbar berkenaan tak memerlukan subsidi daripada kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan (Kekkwa), semuanya terus gagah bertahan.
Memang ahmak orang Melayu yang malu dengan tulisan jawi menyebabkan fenoema itu berlaku, walhal naratif penggunaan tulisan jawi sudah bermula sejak frasa kesultanan Melaka. Bingkisan (surat menyurat) yang dihantar ke Cina, ke India atau kerajaan di kepulauan Melayu ketika itu dengan utusannya (atau dutanya) diketuai Laksamana Hang Tuah, Tun Perpatih Putih, Temenggung Seri Udani, Tun Pikrama (Bendahara Lubuk Batu) dan lain-lain adalah menggunakan tulisan jawi. Abdullah Munshi juga ketika menjadi jurutulis kepada Stamford Raffles, di samping mengarang buku-buku Melayu juga menulis abjad jawi, kerana belum wujud tulisan rumi.
Novel-novel Melayu yang terbit pada dekad 1920-an, 1930-an dan 1940-an dari pengarang-pengarang tersohor seperti Ishak Haji Muhammad, Abdullah Sidek, Harun Aminulrashid atau Shamsuddin Salleh juga dalam tulisan jawi. Tetapi majoriti ibu bapa pada alaf 2000 berasa bangga anak-anaknya tak tahu menulis jawi, malah semakin hebat kalau anak-anaknya di sekolah menengah tak meminat mata pelajaran sastera Melayu, kerana sudah dipengaruhi sains dan matematik. Makanya, eloklah berterima kasih kepada RTM yang siarkan slot ‘Syahadah’ bulan Ramadan ini, sekalipun RTM sendiri sekadar menjadi agensi penyiaran yang tak pernah mempraktikkan apa disiarkan.
Ketika menonton ‘Syahadah’ selepas sahur 4.30 pagi (28 September 2007) di TV1 dan TV2 serentak, memang mengurut dada juga beberapa kali. TV1 mengenai Islam di India dalam bahasa Melayu, apabila diselangi iklan maka ditukar kepada TV2 slotnya ‘Syahadah’ juga mengenai Islam di China dalam bahasa Inggeris. Tak perlu nak cerita panjang, kerana baik di India mahupun di China masyarakat Islamnya meletakkan papan tanda di premis mereka ‘tulisan jawi’ (kecil sedikit) daripada tulisan ibunda mereka, yang ianya tak mahu dilaksanakan di Malaysia kerana pihak PBT lebih berminat robohkan bangunan setinggan daripada laksanakan polisi jatidiri Melayu hingga memeningkan kepala:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment