
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG:
GALERI SAMAD IDRIS DALAM PROSES
TAK SAMA DENGAN KONSEP TERATAK ZAABA
TAK SAMA DENGAN KONSEP TERATAK ZAABA
Assalamualaikum,

Kunjungan Kurator Muzium Negeri Sembilan, Drs Shamsuddin Ahmad bersama pembantunya Asrul Affandi Kamaruzzaman dan Alfian Abdul Kadir ke rumah saya pada 2 Oktober 2007, seolah-olah nostalgia kepada pembabitan ketika dalam ‘Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri Sembilan’ bagi tempoh 1990 – 2003. Memang bersama JKPBMNS di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Samad Idris, fungsi yang diberi prioriti ialah penyelidikan sejarah institusi istana di Negeri Sembilan, naratif Adat Perpatih di samping perjuangan tokoh-tokoh Melayu dalam gerakan nasionalisme di Negeri Sembilan dan Tanah Melayu.


Justeru pada 3 Oktober 2007 saya menelefon Mohd Fadzil anak kedua Allahyarham Tan Sri Abdul Samad bagi menyampaikan hasrat mewujudkan ‘Galeri Samad Idris’ itu dengan mensasarkan kediaman beliau di Seri Menanti diletakkan di bawah pentadbiran Muzium Negeri Sembilan. Sekalipun proses mewujudkan ‘Galeri Samad Idris’ masih di peringkat awal, tetapi kerjasama keluarga beliau sebelum ini memang menggalakkan. Tan Sri Abdul Samad Idris memang sebahagian daripada aset Negeri Sembilan sama juga seperti Zaaba sebagai putera bangsa yang berjasa. Tan Sri Abdul Samad bukan sekadar tokoh politik, malah pemikir budaya yang berketerampilan.

-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA:
TAK PERLU HARAPKAN MAJLIS PEGUAM
APABILA PERSOAL WIBAWA HAKIM ISLAM

Persatuan Peguam Islam (PPI) akan mempertahankan kewibawaan hakim-hakim Islam, kata Presidennya Tan Sri Abu Zahar Dato’ Nika Ujang. Ketika berucap dalam perjumpaan peguam-peguam Islam bersama PRIMA di samping majlis berbuka puasa di premis pejabat Mohd Radzi Mustapha di Tingkat 2, Bangunan Tabung Haji, Jalan Ipoh semalam (4 Oktober 2007), Abu Zahar mengakui terpanggil untuk memimpin PPI apabila baru-baru ini berlaku insiden peguam-peguam Islam mencabar kewibawaan hakim-hakim Islam mengendalikan kes di mahkamah secara adil. “Justeru buat hari ini kita tak boleh harapkan Majlis Peguam (Bar Council) untuk menjadi pemantau,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah dan Exco kerajaan Negeri Sembilan itu meminta semua peguam-peguam Islam tak berkompromi dengan isu mempertahankan wibawa perundangan yang membabitkan orang Islam. Menurut Abu Zahar, ketika terbabit menjadi peguambela dalam kes bekas Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato’ Mokhtar Hashim pada dekad 1980-an, beliau menyedari peluang untuk menang memang tipis. Sebaliknya beliau menawarkan diri menjadi peguambela bersama Manjeet Singh Dhilon, sebagai satu tanggungjawab perundangan yang tak boleh dikompromi dengan fenomena kuasa politik, beliau menambah.
Abu Zahar yang memenangi kerusi DUN Pilah pada pilihanraya 1986, pernah menimbulkan kontroversi ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Pilah (1995-1999). Sebagai Ahli Parlimen BN, beliau mengemukakan usul meminta kerajaan mengkaji semula (review) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyebabkan beliau dikritik hebat oleh pimpinan UMNO sendiri. Abu Zahar yang digugurkan menjadi calon pada 1999, sekalipun masih Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah ketika itu bersetuju dengan pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjumpaan dengan PRIMA 15 Ogos lalu iaitu, kebobrokan dalam UMNO bukan kesalahan parti tetapi pemimpin-pemimpin tertentu yang tak prihatin dengan kehendak majoriti ahli, katanya.

PRIMA MAHU AGENDA MELAYU
DITERUSKAN MELALUI JATIDIRI BANGSA

Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz memberitahu, PRIMA mahukan agenda Melayu diteruskan dengan berteraskan jatidiri bangsa, apalagi yang berkaitan dengan kebobrokan pimpinan negara. Berucap dalam perjumpaan Jawatankuasa Ad-Hoc Warga Prihatin Malaysia (PRIMA) bersama Persatuan Peguam Islam (PPI) pada majlis berbuka puasa dianjurkan pejabat peguam Mohd Radzi Mustapha di Jalan Ipoh semalam (4 Oktober 2007), Kamal menegaskan bagi mengajak orang Melayu bersatu dalam satu agenda berkesan, setiap aktivis perlulah memperkasa jatidiri bangsa iaitu melengkapkan pengetahuan mengangkat martabat Bahasa Melayu dan kesyumulan Islam.
“Kita akan gagal mengajak orang Melayu dalam agenda bangsa sekiranya jatidiri dipinggirkan, apalagi mengabaikan Bahasa Melayu dan meminggirkan kesyumulan Islam,” beritahu Kamal seterusnya. Kira-kira 20 peguam dan aktivis PRIMA turut hadir dalam majlis berbuka puasa, turut melahirkan rasa kecewa dengan kelemahan pimpinan negara menangani isu memperlekeh perundangan Islam oleh pihak bukan Islam. Kata Kamal lagi, belum pernah berlaku sebelum ini peguam bukan Islam menuntut hakim perbicaraan diganti disebabkan beragama Islam, kerana dianggap ‘berat sebelah’ apabila menjalankan tugas penghakiman berkaitan enakmen Islam.
SEMPENA MENJELANG HARIRAYA
WARTAWAN HIBURAN RAI ANAK YATIM
WARTAWAN HIBURAN RAI ANAK YATIM
PRIMA dijemput oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) meraikan anak-anak yatim di Selayang, hari Sabtu esok (6 Oktober 2007) mulai jam 6.00 petang, diikuti majlis berbuka hingga 8.30 malam. Presidennya, Hajah Fauziah Raof memberitahu acara tersebut bersempena menjelang Hari Raya Aidilfitri, bagi menceriakan anak-anak yatim berkenaan. “Sebagai masyarakat prihatin WHAM mengalu-alukan semua pihak sukpaya ikut terbabit menceriakan anak-anak yatim, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri ketika anak-anak yang lain bergembira di samping ibu bapa dan sanak saudara,” ujar Hajah Fauziah yang juga Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gombak.

INFO SASTERA & BUDAYA:
PERIHAL PENULIS TAK BERETIKA
SAYUTI JADI SASARAN MELEPAS GERAM

Gara-gara pendedahan Mohd Sayuti Omar dalam laman blognya mengenai isu seorang timbalan menteri membelasah seorang individu secara gangsterisme, beliau dilabel sebagai ‘penulis tak beretika’. Sayuti dijadikan sasaran melepas geram oleh pihak tertentu, bagi mempertahan tindakan gangsterisme timbalan menteri berkenaan, seolah-olah ‘menghalal cara’ sistem tak bermoral. Penulisan ‘tak beretika’ bukan mendedahkan keperihalan kepongahan seorang timbalan menteri yang tergamak ‘menghalal cara’ perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin yang fungsinya ialah melindungi kepentingan rakyat dan negara. Tak tahulah kalau timbalan menteri terbabit merasakan fungsinya ialah membelasah rakyat secara gangsterisme. Aduhai!
Sayuti boleh dianggap ‘tak beretika’ sekiranya membuat pendedahan secara tak bersopan atau semborono, yakni dengan tohmahan untuk mencari publisiti murahan di samping menerima ganjaran pihak lain yang mempunyai agenda. Sebaliknya apabila timbalan menteri berkenaan memang melakukan kebobrokan, di samping pihak mangsa membuat laporan polis dengan dibuktikan oleh Sayuti, maknanya beliau sudah menulis secara berhemah dengan tak melindungi ‘orang yang mempunyai kuasa’. Misalnya, menulis mengenai kebaikan seseorang tokoh dengan menerima ganjaran sekalipun terpaksa dibahagi sama rata dengan mereka yang terbabit, boleh juga ditakrifkan sebagai ‘penulis beretika’. Begitulah!
FENOMENA BIASA KEPADA PENULIS
SEKADAR MENIKMATI TULANG SAHAJA
SEKADAR MENIKMATI TULANG SAHAJA

Emman Jr pengarang pertama di Malaysia ditahan di lokap polis bagi soal siasat berikutan buku tulisannya mendedahkan skandal Datuk Bandar Kuala Lumpur, pernah juga menghasilkan buku ‘Khir Toyo: Antara Amanah & Khianat’ (Channel Forty, 2005), berasa hairan apabila ditangkap oleh pihak polis atas sebab-sebab penulisan buku. Kata Emman lagi, dalam sejarah penulisan di Malaysia hanya Dato’ Ahmad Boestamam sahaja pernah didakwa di mahkamah pada period penjajah Inggeris kerana bukunya yang dianggap berunsur subversif. “Kalau buku itu berunsur subversif sepatutnya diharamkan sahaja seperti ‘Dilema Melayu’ karangan Tun Dr Mahathir (Mohamad),” katanya.

Beliau juga menyentuh mengenai buku ‘100 Dalil Mengapa Najib Tak Boleh Jadi PM’ tulisan Syed Alhadi Pahang, pengarangnya mungkin tak memperoleh sesen pun hasil penulisannya. Menurut Emman, beliau sendiri membeli photostat buku berkenaan dari seorang agen dengan harga RM500. Sekalipun photostat buku berkenaan boleh juga ditakrif sebagai ‘cetak rompak’ di samping merampas ‘hak cipta’ pengarang, tetapi tak ada sebarang peraturan bagi melindunginya. “Pengarang terpaksa berhadapan risiko tinggi, malah boleh ditahan dilokap polis, tetapi ‘lanun’ memperoleh keuntungan besar berdasarkan fenomena di Malaysia,” ujar Emman Jr.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
bersama Pak Parjo
PEMUDA GERAKAN MELATAH
BANGKIT PERJUANGAN DATO’ ONN

Alkisah, terasa juga fakir mahu tergelak apabila menonton TV malam ini (5 Oktober 2007) jam 8.00 malam mengenai berita Ketua Pemuda Parti Gerakan, Mah Siew Keong mahukan semua Pemuda parti komponen dijadikan satu platform seperti Parti Negara yang diasaskan oleh Allahyarham Dato’ Onn Jaafar. Memang lucu benar keperihalan Pemuda BN mahu dijadikan sebuah parti yang diasaskan Dato’ Onn iaitu ‘Parti Negara’, tetapi tak menyarankan BN dibubarkan, bagi membolehkan semua ahlinya diserapkan kepada parti baru ala ‘Parti Negara’. Isu Dato’ Onn dan Parti Negara ini sudah pernah dibangkitkan oleh DAP sekitar dekad 1960-an, malah Timbalan Setiausaha Agungnya ketika itu Haji Daing Ibrahim Othman mendakwa beliau anak murid Dato’ Onn.

Makanya teringatlah fakir akan insiden nenek moyang fakir dahulukala yang namanya Tun Perpatih Putih diutus ke Benua China, yang tak dibenarkan menatap muka Maharaja China dikatakan terlalu tinggi daulat. Kononnya! Oleh kerana nenek moyang fakir mahu sangat menatap muka Maharaja China itu, dimintanya akan orang-orang Melayu makan nasi dengan sayur kangkung yang tak dipotong-potong. Tatkala Tun Perpatih Putih mendongak memakan sayur kangkung yang tak dipotong-potong itu, maka tampaklah ia akan wajah Maharaja China itu. Makanya nenek moyang fakir itu tahu sangatlah akan ‘terkilat ikan di air, sudah dikenal jantan betinanya’ seperti juga pengetahuan yang diajarkan kepada:
HIDUP BAHASA MELAYU!!!
No comments:
Post a Comment