JAWATANKUASA AD-HOC WARGA
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
PRIHATIN MALAYSIA (PRIMA)
(menentang perhambaan minda manusia kepada manusia)
DARI LAMAN BLOG
BELASUNGKAWA WARGA INDONESIA:
PAK HARTO BERPULANG KE RAHMATULLAH
Assalamualaikum,
Dari Allah kamu datang, kepada Allah kamu pulang. Ketika makan tengah hari kira-kira jam 1.00 tengah hari, (27 Januari 2008) laporan TV menyebut mengenai bekas Presiden Indonesia Jeneral Suharto (Pak Harto) dalam keadaan nazak. Selepas solat saya ke rumah anak di Selayang disebabkan menantu tak berapa sihat. Sewaktu di dalam kereta kira-kira jam 2.30 petang, laporan radio menyebut Pak Harto meninggal dunia jam 1.10 tengah hari waktu tempatan (2.10 petang waktu Malaysia). Lebih seminggu melalui saat-saat cemas, akhirnya Pak Harto (atau nama sebenarnya Muhammad Suharto) pulang kepada Khaliqnya sebagai insan kerdil yang tak punya apa-apa. Begitulah!
Tetapi Pak Harto sudah melakar sejarahnya sendiri, sekalipun pada detik-detik akhir pemerintahannya dipaliti skandal rasuah yang mendorong rakyatnya bangkit melawan di tengah kebobrokan ekonomi dunia pada 1997. Dalam tempoh 32 tahun Pak Harto mampu mentadbir Indonesia, memang pelbagai andaian dibuat terhadap beliau. Apalagi ketika saya sering berulang alik ke Sumatera bersama Mamak Bandaro (Tan Sri Abdul Samad Idris) sekitar dekad 1990-an, masyarakat di peringkat akar umbi merungut dengan feonomena di Indonesia. Malah seorang bekas bupati mengakui meletak jawatan kerana tak tertarik dengan pentadbiran kerajaan, justeru membuka perniagaan kedai makan (restoran) di kota Padang.
Kritikan terhadap pimpinan negara perkara biasa dalam fenomena berpolitik, malah Mahatma Ghandi yang dipuja oleh majoriti rakyat India juga berhadapan dengan ramai musuh politiknya. Tak hairanlah Pak Harto juga sering dikritik musuh politiknya, tetapi beliau mampu bertahan dalam tempoh 32 tahun. Memang penampilan Pak Harto juga secara terdesak, apabila Angkatan Bersenjata Repubik Indonesia (ABRI) pada dekad 1960-an, berhadapan tragedi pembunuhan enam jeneral dalam rampasan kuasa Parti Komunis Indonesia (PKI). Justeru Pak Harto yang berpangkat Leftenan Jeneral sahaja mengambil alih ABRI bagi mematahkan rampasan kuasa PKI.
Kalau Pak Harto gagal menumpaskan rampasa kuasa, mungkin sahaja Indonesia jatuh ke tangan PKI menerusi dasar Nasakom (Nasional-Agama-Komunis) yang menjadi platform baru Ir Sukarno (Bung Karno). Jasa Pak Harto terlalu besar, malah beliau juga memulihkan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas polisi ‘Ganyang Malaysia’ diproklamir Ir Sukarno pada 1963. Tetapi ‘gading mana yang tak retak’, jasa-jasa Pak Harto hampir dilupakan apabila beliau dikaitkan dengan skandal rasuah di samping menggelapkan wang negara, pada saat-saat akhir pemerintahannya. Bagi pihak PRIMA, saya mengucapkan takziah dan belasungkawa kepada keluarga Pak Harto. Al-Fatihah!
-Pak Dharma.
INFO HAK ASASI MANUSIA
WAJAR TERIMA NASIHAT DR M
PILIHANRAYA SELEWAT-LEWAT MAC!
Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi wajar menerima pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan membubarkan Parlimen segera, di samping mengadakan pilihanraya selewat-lewat Mac ini, menurut Jurucakap PRIMA Dato’ Kamal Amir Kamal Hijaz. Katanya, Tun Dr M baru-baru ini memberi pandangan iaitu sekarang masa yang sesuai bagi kerajaan mengadakan pilihanraya kerana pencapaian ekonomi yang stabil dengan RM1 trilion nilai perdagangan, RM323.2 b ‘rizab antarabangsa’ dan 86 peratusan sumbangan ekonomi domestik dalam KDNK. “Berdasarkan pengalaman Tun Dr M, ketika lonjakan ekonomi stabil, pilihanraya akan memihak kepada kerajaan,” beritahu Dato’ Kamal Amir.
Mengulas cabar mencabar Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan pimpinan pembangkang menerusi akhbar hari ini (27 Januari 2008), Dato’ Kamal Amir menjelaskan dengan kapisiti tokoh nombor dua Pemuda, Khairy boleh menawarkan diri bertanding di mana-mana. Apalagi kawasan Parlimen Putrajaya mungkin sesuai untuk Khairy, sekiranya Ahli Parlimen sekarang (Dato’Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) digugurkan daripada menjadi calon, menurut Dato’ Kamal Amir menambah. “Tak perlu bagi Khairy mencabar pimpinan pembangkang bertanding di Kepala Batas atau Pekan, kerana beliau (Khairy) memang layak bertanding dalam pilihanraya,” katanya.
BINA 7 MASJID BARU
JANJI MAT HASSAN DI NS
Pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan akan membina tujuh masjid baru tahun ini, termasuk sebuah menerusi sumbangan Tokoh Maal Hijrah 1429, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, perkara biasa menjelang pilihanraya, kata pimpinan kanan PRIMA Haji Yahaya Ismail (Pak Ya). Mengulas laporan media hari ini (27 Januari 2008), Pak Ya memberitahu di Indonesia setiap penjuru dibina masjid oleh penduduk-penduduk menerusi dana yang dikumpulkan orang ramai, malah di tengah-tengah sawah juga boleh kelihatan masjid tersergam. “Membina masjid sahaja dengan tak dimakmurkan, mungkin tak memberi apa-apa makna bagi meningkatkan syiar Islam,” ujar Pak Ya seterusnya.
Pak Ya yang pernah menuntut di Indonesia, sebelum memperoleh kesarjanaan di Universiti Monash, Australia memberitahu pembinaan masjid di Indonesia menerusi persepakatan penduduk. Katanya, sekitar dekad 1990-an apabila singgah menunaikan solat di Masjid Agung, kota Bukittinggi di Sumatera Barat tak kelihatan karpet menutupi lantai, sebaliknya tikar rumput sahaja. Tetapi semangat persaudaaran Islam mereka begitu hebat, malah setiap jemaah menghulurkan dana bagi memperbaiki kemudahan di masjid berkenaan. “Pembinaan patung emas di Batu Caves lebih hebat daripada dana kerajaan membina masjid RM7.9 juta di Rantau,” beritahu Pak Ya.
KOMENTAR
bersama Pak Parjo
PELAJAR MALAYSIA CEMERLANG
HEBATNYA RAKYAT ‘MODAL INSAN’
Sebermula bertambah hebatlah rakyat di bawah negara ‘modal insan’, apabila dipukul canang ke seluruh negeri memberitahu akan cemerlangnya tiga pelajar kurus perakaunan Kolej Universiti Sunway, Petaling Jaya. Menerima pingat emaslah pelajar pintar itu kerana mengatasi pencapaian 6,063 pelajar seluruh dunia yang mengambil peperiksaan berkenaan. Aduhai! Maka diberitahu kepada fakir akan seorang anak muda lulus cemerlang di Kolej Profesional Mara di Beranang dalam diploma perakaunan, lalu menganggurlah dia beberapa tahun. Adapun akan anak muda itu terpaksalah menerima jawatan guru sandaran setelah bersusah payah memohon pekerjaan ke sana ke sini, malah jabatan akaun di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tak mahu menerima.
Syahdan akan fakir beritahu anak muda itu, eloklah tak menjadi anak pintar kerana di ceriterakan oleh nenek moyang fakir akan anak Melayu pintar di Singapura dahulukala dibunuhlah ia oleh pembesar-pembesar. Berkatalah pembesar-pembesar itu mengenai Hang Nadim itu, lagikan ia budak begitulah bijaknya, apahal kalau ia sudah besar tentu semua nasihat orang-orang besar tak didengar oleh raja. Astaga. Adapun Hang Nadim itu kasihanlah ia melihat orang banyak mati kerana berkubu betis ketika todak menyerang Singapura. Hang Nadim memberitahu akan supaya orang banyak berkubu batang pisang, seperti disebut dalam ‘Kitab Melayu’ oleh:
HIDUP BAHASA MELAYU!
No comments:
Post a Comment